Saturday 28 June 2014

Setahun Selepas Pemergian Ayahanda....


Tahun 2014, Ramadhan Kareem tiba lagi. Tarikh 1 Ramadhan 1435 kali ini adalah jatuhnya pada hari Ahad bersamaan 29 Jun 2014. Dengan kedatangan Ramadhan ini maka telah genaplah setahun mengikut kalendar Hijri, ayahanda meninggalkan kami. Pergi mengadap Ilahi. Pergi yang tidak kembali lagi..

Ayahanda, kami memanggilnya Che' pergi meninggalkan kami pada hari Selasa iaitu sehari sebelum 1 Ramadhan 1434 yang lepas. Masa tersebut adalah bertepatan dengan Tanggal 9/7/2013 pada detik 12.55 tengahari. Che meninggal dunia pada usia 78 tahun mengikut tahun  Masihi atau 80 tahun kalau dikira berdasarkan kalendar Hijri. Che meninggal dunia akibat sakit tua ketika dirawat di Wad 7 Selatan HUSM Kubang Kerian. Jenazah Che' disemadikan pada malam pertama bulan Ramadhan 1434 yang lalu.  Kisah pemergian Che' ini telah saya rakamkan dalam masukan lepas yang bertajuk Pergi Tak Kembali....

Mengimbau kembali saat pemergian Che', ianya mengait kenangan yang tidak dapat dilupakan. Masih terasa di hujung hidung saya, dinginnya dahi dan pipi Che' yang dikucup sebelum kafan diikat kemas. Kami sekeluarga bersedih kerana telah kehilangan tonggak keluarga yang tersayang. Kini dengan tibanya bulan Ramadhan maka genaplah setahun pemergian Che'. Pemergian dan kehilangannya amat dirasai. Kenangan terhadap Che' tidak pernah padam dan masih segar dalam ingatan.

Kedatangan Ramadhan membawa bersamanya kerinduan dan kenangan kami kepada Che'. Ingatan kepada Che' semakin kuat menerjah dan kembali membayangi hati dan jiwa. Benarlah seperti dikata...betapa mendalam sekali rasa kehilangan dan rindu kami kepadanya. Bagaimanakah keadaan Che' di sana? Kami berdoa semoga Allah SWT memberikan keampunan dan rahmat serta meletakkan Che' bersama orang-orang yang Soleh. In Sha Allah!.

Bersama Bonda dan Ayahanda. Dalam kenangan.....

Ini adalah pengalaman kali kedua, kami menjalani ibadah puasa Ramadhan tanpa ayahanda tercinta. Walaupun rasa kehilangan dan rindu sudah beransur hilang, namun kesayuan kembali menggamit apabila Ramadhan datang bertamu. Terasa aneh dan janggal bila menyambut Puasa Ramadhan tanpa kehadiran Che'. Tiada lagi orang tempat kami meminta nasihat, menumpang kasih dan teman berbicara. Segala nasihat dan pengalaman bersama Che' mematangkan kami. Segala jerih perih yang Che' alami semasa membesarkan kami hanya Allah swt sahaja yang dapat membalasnya. Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segalanya. Kami berjanji akan menjadi anak yang soleh dan sentiasa mendoakan kebaikan untuknya. Semua kenangan bersama Che' tidak dapat kami lupakan!.

Sesungguhnya pemergian dan kehilangan Che' tidak boleh ditukar ganti. Namun kami akur dengan ketentuan Ilahi ini. Walaupun Che' adalah ayahanda kami tetapi kami pasrah dan redha Allah telah mengambilnya kembali. Ini adalah kerana Che' bukanlah  hak kami yang hakiki. Walaupun Che' tiada lagi di dunia ini, kami akan sentiasa mengingati dan mendoakan kebaikan untuk Che' yang dikasihi. Terima kasih Allah! kerana telah meminjamkan Che' kepada kami sepanjang hayatnya di dunia ini.