Thursday 18 June 2015

Empat Persiapan Menyambut Ramadhan Al Mubarak... (Bahagian 2)



Persiapan kedua yang perlu kita sediakan untuk menghadapi Ramadhan ini adalah dari sudut hubungan kita dengan Allah SWT. Barangkali kalau sebelum ini, kita melakukan solat itu hanya yang wajib sahaja tetapi di dalam bulan Ramadhan ini kita diminta untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah dengan cara memperbanyakkan melakukan solat-solat sunat. Barangkali pada sebelas bulan yang lalu kita tidak melakukan solat sunat witir, tetapi di dalam bulan ramadhan ini kita telah melakukan solat sunat Witir. Bahkan solat sunat Tarawih yang tiada pada bulan-bulan yang lain kita akan laksanakan dalam bulan Ramadhan ini. Barangkali pada bulan-bulan yang lain kita tidak berkesempatan untuk solat Subuh secara berjemaah tetapi pada bulan Ramadhan ini adalah kesempatan terbaik untuk kita mula melakukannya. Ketika kita bangun untuk bersahur maka persiapkanlah diri kita untuk sentiasa menempatkan diri kita untuk solat sunat sebelum Subuh dua rakaat dan Solat Subuh secara berjemaah di tempat di mana azan diazankan.

Kita juga boleh memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT dengan membaca Al quran. Satu juzuk al quran mengandungi sebanyak 20 halaman. Kalau kita siapkan diri kita dengan membaca Al quran selepas setiap solat fardhu sebanyak 2 helai atau empat halaman maka dengan cukup lima waktu sehari semalam kita akan membaca sebanyak 20 halaman. In Sha Allah! kita akan dapat khatam Al quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang bulan Ramadhan. Maka pergunakanlah kesempatan dan peluang yang ada ini untuk kita terus memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT . Perbanyakkan istighfar, mohonlah keampunan daripada Allah SWT, mohonlah syurga dan dihindarkan diri kita daripada api neraka. Perbanyakkan Selawat kepada nabi SAW dan keluarga baginda. Ini adalah merupakan kemeriahan di dalam bulan Ramadhan dalam usaha kita untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Janganlah kita lupa bahawa hubungan kita dengan Allah wajib dijaga supaya ianya menjadi lebih baik. Kehidupan kita akan menjadi cemerlang apabila Allah SWT meredhai kita. 

Persiapan ketiga yang perlu dilaksanakan dalam menghadapi Ramadhan adalah
memperbaiki hubungan kita dengan manusia. Memperbaiki hubungan kita dengan jiran-tetangga, sanak-saudara dan rakan-rakan kita. Memperbaiki hubungan ini adalah dengan cara kita memberi maaf kepada mereka dan kita minta maaf terhadap kesilapan-kesilapan yang telah kita lakukan. Mudah-mudahan kita melangkah dalam bulan Ramadhan ini dengan satu langkah yang cukup bersedia. Langkahan dalam menuju ketakwaan di sisi Allah SWT. Kalau ada hutang dengan rakan, saudara atau jiran, berusahalah untuk melunaskannya. Kita lunaskanlah hutang-hutang dengan mereka dan juga hutang dengan Allah SWT.

Persiapan keempat yang perlu dipersiapkan adalah dari sudut kewangan yang lebih baik.
Pada bulan Ramadhan ini jika kita mempunyai lebihan kewangan, eloklah kita melakukan sedekah kepada mereka yang memerlukannya. Begitu juga dengan sumber kewangan ini, kita boleh membeli makanan dan sedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Rasululllah sendiri adalah seorang amat pemurah dalam bulan Ramadhan. Maka eloklah kita mempersiapkan kewangan kita. Bukanlah kita mempersiapkan kewangan untuk mengenyangkan diri dan memenuhi keperluan kita sahaja tetapi berusahalah dengan sumber kewangan yang banyak itu, kita mampu mengenyangkan saudara-saudara seislam yang lain. Barangkali sebelum ini mereka sudah terbiasa digeluti oleh kelaparan maka hapuskanlah kelaparan itu dengan memberi mereka makan. Bukankah dengan memberi makan sewaktu mereka berbuka puasa, maka kita juga akan memperolehi pahala ibadah mereka tanpa mengurangkan sedikit pun pahala yang mereka perolehi.

Maka oleh itu, pergunakan kesempatan dan peluang menyambut Ramadhan ini dengan mengenal Ramadhan betul-betul, baiki hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama manusia serta persiapkan kewangan yang baik. Bahkan Kesihatan juga perlu kita jaga supaya mampu melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan dengan sepenuhnya supaya tiada ibadah yang tertinggal untuk dilaksanakan. Marilah kita berdoa semoga kita diberi hidayah dan kekuatan untuk melaksana semua ibadah sehingga akhir bulan Ramadhan dan bertemu dengan Lailatul Qadar. Semoga semua ibadah kita dterima oleh Allah SWT. Amin....

Wednesday 17 June 2015

Empat Persiapan Menyambut Ramadhan Al Mubarak... (Bahagian 1)


Alhamdulillah, Allah masih memberi umur dan peluang kepada kita untuk bertemu Ramadhan lagi sekali. Tahun ini, 1 Ramadhan 1436H adalah bersamaan 18 Jun 2015 (Khamis). Bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang cukup bermakna bagi umat Islam. Kalau disebutkan hari yang paling mulia adalah hari Jumaat. Manakala bulan yang paling mulia adalah bulan Ramadhan. Perkataan Ramadhan ini telah disebutkan oleh Allah SWT dalam Al quran yang mana Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berpuasa. Bulan Ramadhan juga bulan diturunkan oleh Allah SWT dengan Al quran.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan adalah bulan bulan diturunkannya Al Qur’an. Al Quran adalah petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)” (QS. Al Baqarah: 185)


Dengan kedatangan Ramadhan ini maka perlulah kita membuat persediaan supaya Ramadhan kali ini adalah yang terbaik dalam hidup kita. Janganlah jadi sebaliknya. Sebagai umat Islam janganlah kita memasuki bulan Ramadhan ini dengan kemasukan yang tidak mengenal sesuatu. Lumrahnya kalau ada tetamu datang ke rumah kita atau kita pergi ke sesuatu majlis, disebabkan kita tidak kenal tetamu yang datang maka layanan kita adalah biasa-biasa sahaja. Bahkan dalam suatu majlis, kita buat tidak kisah terhadap tetamu yang datang kerana kita tidak mengenalnya. Tetapi kalau kita kenal siapa gerangan orang datang itu, yang mana mungkin ianya adalah rakan kita atau seseorang kenamaan atau orang terkenal di tempat kita maka sudah tentu kita akan melayannya dengan cara yang berbeza. Bahkan kita akan menyambut kedatangan dan menghantarnya pulang dengan cara yang begitu baik sekali.

Jadi bagaimana dengan Ramadhan?  yang mana ia datang dan hadir sebagai tertamu kita . Jika kita tidak mengenal apa itu Ramadhan maka kita menyambutnya seperti biasa-biasa sahaja. Malah kita menyambut Ramadhan seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu tanpa apa-apa erti, terlepas manafaat dan kelebihan yang banyak terkandung di dalamnya. Berbeza  jika kita mengenal Ramadhan, sudah tentu kita akan menyambutnya dengan perasaan sayang, cinta dan rindu. Bahkan mengharapkan Ramadhan jangan berlalu dan berlaku sepanjang tahun.


Persiapan Pertama sebagai persediaan untuk menyambut Ramadhan adalah kita mesti mengenal Ramadhan. Jika kita mengenal Ramadhan, di waktu sahurnya itu ada penuh dengan keberkatan. perintah nabi saw supaya kita bersahur. Sabda baginda saw “Bersahurlah kamu, kerana di dalam bersahur itu ada barakah”. Adanya keberkatan, mungkin keberkatan itu adalah  dari sudut fizikal kita. Tetapi yang jelasnya waktu itu adalah yang cukup berkat. Waktu yang mana kita tidak sewajarnya membiarkan diri kita terlepas dari mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita tidak sewajarnya mensia-siakan masa yang cukup berkat itu. 

Berkat yang bererti bertambah maka amalan kita juga perlu bertambah dalam melaksanakan pengabdian kita kepada Allah SWT. Waktu tersebut adalah waktu yang bertambah khusuknya kita kepada Allah SWT. Bertambah darjat di sisi Allah SWT kalau kita melakukan ibadah kepadaNya. Maka disebab itu, dari segi fizikal kita memperolehi kesihatan. Kita mendapat kekuatan iaitu dari lemah kepada kuat ketika berpuasa di siang harinya. Apatah lagi ketika melakukan solat sunat, zikir, tasbih, tahmit, takbir dan membaca al quran dalam waktu tersebut akan lebih memberi kekuatan rohani kepada kita. Maka marilah kita mengenali Ramadhan dengan waktu yang disediakan oleh Alllah SWT untuk kita bangun bersahur pada waktu dinihari tersebut.

Begitu juga dengan waktu siangnya, kita berpuasa. Kita sudah cukup faham bahawa puasa itu bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Berapa ramai yang berpuasa  tetapi tidak memperolehi apa-apa di sisi Alllah SWT kecuali lapar dan dahaga sahaja. Oleh sebab itu, kita berpuasa di siang hari perlulah berusaha untuk tidak mengucapkan perkataan-perkataan yang tidak baik dengan membuat ucapan-ucapan yang boleh menyakiti hati orang lain, mencaci maki, memfitnah dan seumpamanya, eloklah kita elakkan. Perbanyakkanlah muhasabah diri kita bagaimana kita perlu dan boleh melaksanakan perintah Allah SWT ini dengan sebaik-baiknya.

Kita sudah cukup maklum bahawa tujuan kita berpuasa seperti yang disebutkan Allah iaitu mudah-mudahan kita memperloehi ketakwaan. Dalam sebulan kita berpuasa, pastikan puasa kita merubah kehidupan kita daripada  tidak baik kepada baik, daripada yang telah baik kepada yang lebih baik. Maka inilah perkara yang perlu kita kekalkan. Orang-orang yang bertakwa itu  adalah orang yang sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Mereka sentiasa menggunakan lidah dan segala indera yang diberikan Allah untuk menambahkan kedekatannya kepada Allah SWT. Menggunakan mata, lidah, kaki,tangan, telinga dan semua anggota tersebut untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Maka dengan sebab itu semasa berpuasa di siang hari janganlah kita menggunakan mata tersebut untuk tidur semata-mata. Walaupun nabi saw ada menyebut “Tidur orang yang berpuasa itu adalah merupakan ibadah”. Kalau sekiranya kita mengambil hadis ini menjadi amalan dalam kehidupan kita,  maka sepanjang berpuasa kita akan sentiasa suka tidur. Kita mesti melihat dari sudut positifnya, kalau tidur itu dikatakan sebagai ibadah, apatah lagi badah-ibadah lain sudah tentu kita akan mendapat ganjaran pahala yang berganda-ganda di sisi Allah SWT.

Maka pergunakanlah bulan Ramadhan, di siang harinya itu bukan semata-mata untuk kita tidur. Kita berpuasa bukan untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata tetapi pergunakanlah ia untuk kita lebih merasai dan menikmati betapa dengan kelaparan ini akan membawa diri kita bertambah dekat dengan Allah SWT.

Seterusnya kita perlu melihat pada waktu malamnya. Pada sebelah malam bulan Ramadhan adalah waktu kita memperbanyakkan amalan ibadah kita kepada Allah SWT.  Rasulullah SAW telah menyebutkan “Sesiapa yang bangun untuk beribadah kepada Allah pada waktu malamnya, maka Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya.”  Waktu malam bukan hanya untuk tidur tetapi adalah untuk kita bangun dan berdiri, bukan setakat bertarawih tetapi kita lengkapkan juga dengan sola-solat sunat Witir, Tahajud, Taubat, Tasbih, membaca al quran, berzikir dengan bertahlil, bertasbih, bertahmit dan bertakbir. Kesemua ini perlu kita sempurnakan. Jika sepanjang Ramadhan, pada ketika sahurnya, siang dan malamnya, kita gunakan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah SWT , mudah-mudahan kita akan menjadi hamba Allah yang akhirnya mendapat darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.