Tuesday, 20 August 2013

Sepanjang Jalan Kenangan...

Permintaan isteri untuk pergi ke Majlis Perkahwinan anak sepupunya di Gong Badak Terengganu pada 17/8/2013 yang lepas, saya sanggupi dengan perasaan sedikit gusar dan berbelah-bagi. Ini adalah kerana saya terpaksa memandu kira-kira hampir 3 jam untuk sampai ke destinasi berkenaan. Sudah lama saya tidak memandu untuk perjalanan yang mengambil masa lebih daripada 2 jam. Sejak balik dari Australia pada Oktober 2012 yang lepas, belum pernah saya memandu kereta melebihi dua jam untuk sesuatu perjalanan. Disebabkan permintaan isteri dan memikirkan Majlis Perkahwinan ini adalah sesuatu yang istimewa dan mungkin hanya sekali dalam seumur hidup bagi anak sepupunya, saya akhirnya terpaksa menyanggupinya. Tambahan pula inilah masanya yang sesuai untuk kami sekeluarga pergi menziarahi dan bertandang ke rumah adik lelaki saya dan keluarganya yang sudah lebih empat tahun bermastautin di Kg. Petai Bubus, Manir Kuala Terengganu. Kesempatan ini juga adalah peluang bagi kami sekeluarga untuk melihat dan menelusuri sebahagian daripada negeri Terengganu yang terkenal dengan pantainya yang cantik dan bersih. Rasanya sudah 7 tahun lebih, saya tidak menjejakkan kaki di negeri Terengganu, tempat di mana saya menamatkan masa persekolahan peringkat menengah pada suatu ketika dahulu

Mengikut perancangannya, kami bercadang bertandang dahulu ke rumah adik lelaki saya di Kg. Petai Bubus yang terletak di Manir sebelum pergi ke Majlis Perkahwinan yang diadakan di Dewan Sivik Perumahan Gong Badak, Kuala Terengganu. Selepas itu, agenda seterusnya adalah untuk berlibur dan bersantai di pantai yang terdekat. Setelah berbincang dengan isteri, saya memilih laluan jalan pesisir pantai dari rumah kami di Kg. Tokku, Kota Jembal ke Kuala Terengganu. Laluan pesisir pantai yang menjadi pilihan itu adalah melalui Tawang dan Melawi di daerah Bachok. Kemudian melewati Tok Bali, di Pasir Putih, seterusnya menghala ke Kuala Besut dan Kg. Raja, di Besut. Perjalanan selanjutnya adalah melalui Kg. Penarik di daerah Setiu, Rhu Tapai, Batu Rakit, Wakaf Tengah, Gong Badak, Wakaf Tembusu dan melepasi bulatan Batu Enam, sebelum sampai di rumah adik saya di Kg. Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu 

Kira-kira pukul 7.15 pagi, kami sekeluarga memulakan perjalanan dari rumah ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu isteri saya. Sebenarnya anak sepupu isteri iaitu Aufa Dahlia Bahar, 25 tahun, bermastautin di Melaka, manakala pasangannya iaitu Nafiizwan, 27 tahun, berasal dari Terengganu. Majlis pernikahan mereka diadakan di Terengganu dan dijalankan serentak dengan satu lagi pasangan pengantin iaitu Mohd Nafzahizam Adnan, 28 tahun dan isterinya Nor Farhana. Mohd Nafzahizam Adnan adalah abang kepada Nafiizwan. Mereka merupakan pemain skuasy Kebangsaan dan berita mengenai majlis pernikahan keduanya ada tersiar dalam ruangan sukan akhbar Kosmo , Ahad 18 Ogos 2013.

Selepas 15 minit perjalanan, kami singgah untuk sarapan pagi di sebuah gerai makan yang terletak di tepi Sungai Kemasin dan berhampiran dengan Jeti Nelayan Pengkalan Petah. Sengaja saya pilih gerai makan ini, pertamanya adalah kerana lokasinya yang strategik iaitu di tepi jalan raya, sungai dan jeti nelayan dengan panorama yang cantik serta suasana nan tenang. Keduanya, sungai Kemasin yang mengalir berhampiran dengan gerai ini adalah merupakan tempat saya menahan pukat dan mengail ikan pada suatu ketika dahulu. Melihat sungai ini, ianya membuat saya mengimbau kenangan silam. Sambil menjamu selera, kami juga menikmati dan menghayati lukisan alam yang indah serta unik. Suasana pagi yang tenang dan permukaan air sungai yang seperti cermin di jeti nelayan di mana terdapat deretan bot-bot berlabuh menyejukkan lagi pandangan mata. 

Semua itu menggembalikan kenangan dan ingatan saya kepada suasana dan wajah Sungai Kemasin pada masa 20 tahun dahulu. Sekarang wajah sungai tersebut telah berubah. Sebahagian besar pohon-pohon Nipah dan Membuta di kanan dan kiri tebing sudah tiada lagi. Ikan-ikan tembakul yang merayap di gigi air kawasan tepi sungai yang berlumpur juga tidak kelihatan lagi. Satu jambatan kekal telah dibina bagi menggantikan jambatan rakit atau jelujur yang menghubungkan Kg. Kemasin dan Kg. Tawang. Bersama-sama dengan jambatan dibina juga Pintu Air. Selain untuk tujuan pertanian ianya juga bagi membolehkan air mengalir masuk ke sungai dilepaskan ke laut dengan lebih cepat serta lancar bila banjir melanda kampung-kampung yang berhampiran. 

Struktur tebing dan alur sungai juga telah berubah. Sebahagian alur sungai telah ditimbus dan alur yang baru telah digali bagi membetulkan aliran dan mendalamkan paras airnya. Tujuannya adalah untuk membolehkan ianya menampung air dengan kapasiti yang lebih banyak bagi mengelak berlakunya banjir di kampung-kampung yang berdekatan. Selain itu ianya juga bagi membolehkan bot-bot nelayan yang bersaiz besar mudik masuk dari Laut Cina Selatan melalui Kuala Kemasin ke Jeti Nelayan Pengkalan Petah untuk mendaratkan hasil tangkapan, mendapatkan bekalan baru dan membaikpulih bot. Sebetulnya jeti nelayan Pengkalan Petah baru sahaja siap dibina. Sebelum jeti ini beroperasi sebahagian bot-bot nelayan ini mendaratkan hasil tangkapan samada di Kuala Besut atau di Thailand. Berikut ini adalah sebahagian foto yang sempat di rakam semasa singgah di gerai makan berkenaan:


Bot-bot Nelayan berlabuh di Jeti Pengkalan Petah-pemandangan dari jauh



Bot-bot Nelayan berlabuh di Jeti Pengkalan Petah-pemandangan dari dekat

Singgah untuk bersarapan pagi di Gerai Makan berhampiran Jeti Nelayan

Bersarapan pagi bersama keluarga sambil menghirup
udara segar waktu pagi di tepi sungai

Sarapan pagi dengan berlatarbelakangkan Sungai Kemasin
dan bot-bot nelayan yang berlabuh di Jeti Pengkalan Petah.


Gerai Makan terbuka - hanya bertiang dan bumbung tanpa dinding

Permukaan air sungai di Jeti Nelayan ini kelihatan seperti cermin

Suasana yang cantik dan damai di Jeti Nelayan Pengkalan Petah


Bersarapan pagi sambil menikmati suasana tenang dan damai di Jeti Nelayan


Lokasi tapak gerai makan ini sebenarnya terletak di tengah-tengah bahagian
sungai asal  sebelum ianya ditimbus bagi meluruskan aliran airnya


Pemandangan Jambatan dan Pintu Air dari jauh


Kenderaan melalui jambatan dan di sebelahnya Pintu Air yang merentasi sungai

Pemandangan Pintu Air dari dekat

Usai bersarapan pagi dan membayar harga makanan serta minuman, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Seperti yang direncanakan, kami menyusuri jalan pesisir pantai yang menjadi pilihan. Sepanjang jalan, kami dapat merasa suasana damai dan melihat pemandangan pesisir pantai-laut yang cantik. Di langit kelihatan awan bertaut, pucuk dan dedaun kelapa melambai-lambai, jajaran pokok-pokok cemara yang dahannya yang meliuk-liuk dibuai angin, lautan kebiruan terbentang luas dengan riak lemah lembut ombak dan gelombangnya menyejukkan pandangan serta membangkit perasaan nyaman. Semua itu berpadu dan menyatu menghasilkan lukisan alam ciptaan Allah SWT yang indah lagi unik. Betullah kata orang, pantai-pantai di Terengganu cantik, unik dan alami.

Setelah mengharungi perjalanan selama dua setengah jam, melalui Tawang, Melawi,Tok Bali, Kuala Besut, Kg. Raja, Kg. Penarik, Rhu Tapai, Batu Rakit, Wakaf Tengah, Gong Badak, Wakaf Tembusu dan bulatan Batu Enam, akhirnya kami sampai di rumah adik saya di Kg. Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu. Kami tiba di rumah adik saya lebih kurang pukul 11.15 pagi. Disebabkan aturcara Majlis Perkahwinan bermula 11.00 pagi, kami merancang untuk ke sana kira-kira sejam selepas ianya berlangsung. Masa menunggu itu kami habiskan dengan berehat dan menikmati  jamuan ringan yang disediakan oleh Nor Aini, isteri adik saya.

Kami mengajak adik saya, Mohd Kamri dan isterinya, Nor Aini untuk bergabung bersama kami pergi ke Majlis Perkahwinan anak sepupu isteri. Rencananya selepas menghadiri Majlis Perkahwinan tersebut, kami ingin pergi bersantai di pantai. Mereka berdua bersetuju. Adik saya, Mohd Kamri (kami memanggilnya, Kamri) berkerja di Universiti Malaysia Terengganu manakala Nor Aini bertugas di Bahagian Kawalan Penyakit, Kompleks Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Jalan Kuala Berang. Setelah semuanya siap-sedia, kami bertolak ke Majlis Perkahwinan yang diadakan di Dewan Sivik, Perumahan Gong Badak lebih kurang pukul 12.30 tengahari.

Perjalanan ke sana menjadi mudah kerana Kamri bertindak sebagai penunjuk arah. Setelah beberapa tahun menetap di Kuala Terengganu, beliau menjadi lebih arif dengan jaringan jalan di sini. Saya tidak perlu tercari-cari arah, sebaliknya hanya mengikut kereta yang dipandu oleh Kamri. Dalam tempoh kurang dari 10 minit, kami sudah sampai ke tempat yang dituju. Semasa kami sampai, kedua-dua pasangan pengantin belum lagi tiba. Sementara menunggu ketibaan rombongan pengantin, kami menyertai tetamu-tetamu yang lain menjamu selera di Khemah yang didirikan di sebelah kanan Dewan.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pasangan pengantin tiba dan diarak naik ke pelamin yang disediakan di atas pentas dewan. Setelah selesai sesi bergambar, bacaan doa selamat dan beberapa acara lainnya, pengantin diiringi turun ke bawah pentas untuk acara makan beradab. Kami mengambil kesempatan bergambar bersama pengantin dan bertemu mata dengan keluarga sepupu isteri. Sesudah mengucapkan ucapan tahniah dan selamat serta berborak seketika, kami meminta izin untuk meninggalkan majlis. Kami meneruskan hajat seterusnya iaitu pergi ke pantai. Atas cadangan Kamri, kami memilih Pantai Teluk Ketapang yang terletak tidak jauh dari tempat Majlis Perkahwinan diadakan.


Selamat sampai di rumah adik di Kg. Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu.



Banner yang mempelawa tetamu ke Majlis Perkahwinan pasangan pengantin


Bergambar di samping banner Selamat Datang Ke Majlis Perkahwinan
dua pasangan pengantin yang berkongsi Majlis dan kegembiraan


Berita berkenaan Majlis Perkahwinan kedua-dua pasangan pengantin
tersiar di ruangan sukan akhbar Kosmo, Ahad, 18 Ogos 2013



Suasana di dalam dewan di mana Majlis Perkahwinan diadakan


Dua pasangan pengantin berseri dan menadah tangan berdoa di atas pelamin

Bergambar bersama dengan pasangan pengantin iaitu
Aufa Dahlia Bahar dan suaminya Nafiizwan Adnan


Sebelum pergi ke Pantai Teluk Ketapang, kami singgah untuk solat di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kampus Gong Badak yang dahulunya  dikenali dengan nama Kolej Sultan Zainal Abidin (Kusza). Saya pernah beberapa kali singgah solat di Masjid ini semasa ianya dikenali dengan nama Kusza. Pada 26 Mac 2005 Kusza telah dinaiktaraf menjadi Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Setelah itu pada 14 April 2010, Universiti Darul Iman Malaysia dikenali dengan nama  Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Unisza merupakan Universiti Islam ketiga di Malaysia selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Ini adalah kali pertama saya singgah bersolat di sini selepas ianya bertukar nama. Struktur binaan Masjid yang cantik dan unik, ditambah dengan tahap kebersihan yang baik dan landskap menarik menjadikannya sangat selesa kepada pengunjung yang singgah bersolat. Kami sempat merakam beberapa foto di Masjid Unisza untuk kenangan.


Singgah solat di Masjid UNISZA
Bergambar di hadapan Masjid UNISZA yang cantik tersergam

Suasana di dalam Masjid UNISZA

Tempat mengambil wuduk

Perkarangan Masjid - cantik dan bersih serta landskap yang menarik

Dua keluarga bergambar bersama di hadapan Masjid UNISZA  sebagai kenangan

Bergambar di kawasan parkir kenderaan Masjid UNISZA sebelum ke destinasi seterusnya

Universiti Malaysia Terengganu pemandangan dari jauh


Usai solat, kami bertolak ke Pantai Teluk Ketapang. Dalam perjalanan ke pantai tersebut kami melewati Universiti Malaysia Terengganu (UMT), tempat di mana Kamri bekerja. Kami sampai di Pantai Teluk Ketapang dengan disambut oleh angin yang berhembus lembut dan bunyi debur ombak yang berderai di pantai. Hamparan pantai yang luas dengan pasirnya yang putih dan terpaan warna biru lautnya membangkitkan perasaan nyaman serta damai.

Pantai Teluk Ketapang terletak di kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu. Bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kira-kira 10km dari pusat bandaraya Kuala Terengganu. Di depan lapangan terbang di sebelah arah laut, pantainya telah ditambak dengan bongkah batu-batu granit yang besar, disusun menjadi benteng pemecah ombak.

Pantai Teluk Ketapang tidaklah sepopular Pantai Batu Buruk yang terletak di bandar Kuala Terengganu tetapi ia mempunyai pantai yang luas, cantik dan bersih. Pantai ini sangat sesuai sebagai tempat istirehat, santai serta aktiviti pantai seperti menunggang kuda dan memancing. Pantai Teluk Ketapang menjadi tempat tumpuan orang ramai pada hari cuti dan hujung minggu bukan sahaja disebabkan keindahan pantainya tetapi ianya juga terkenal kerana terdapat gerai-gerai yang menyajikan makanan yang berasaskan laut yang enak seperti ikan celup tepung (ICT), sotong celup tepung, udang celup tepung, kerepok lekor dan air nyiur muda.

Kami juga tidak ketinggalan mencuba keenakan makanan laut ini. Sebaik sahaja sampai di pantai ini, lokasi pertama yang dituju adalah gerai yang menjual ikan celup tepung (ICT), sotong celup tepung, udang celup tepung dan kerepok lekor. Selepas menjamu selera barulah kami ke pantai dan laut. Hampir sejam saya menghabiskan masa bersantai bersama keluarga di Pantai Teluk Ketapang ini. Rasanya tidak puas berada di pantai ini, tapi apakan daya kami harus pulang ke Kota Bharu segera. Selepas bersalaman dan mengucapkan salam perpisahan kami pun berangkat pulang. Kamri bersama isteri dan 2 anak lelakinya pulang ke Kg. Petai Bubus manakala saya sekeluarga menuju ke Kota Bharu.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah sekejap di Pantai Batu Rakit untuk melihat batu yang seolah-olah terapung di tengah laut sehinggakan ianya dipanggil Batu Rakit. Rasanya sudah lebih 10 tahun saya tidak datang ke pantai ini. Melihat pantai ini juga mengingatkan saya kenangan sewaktu persekolahan dahulu. Betapa tidak, saya sampai di Pantai Batu Rakit untuk kali pertamanya adalah sewaktu saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Terengganu yang terletak kira-kira 12 km dari pantai ini. Di pantai ini juga, saya dapat menunjukkan perahu-perahu nelayan dan menceritakan kisah suka-duka kehidupan mereka kepada anak-anak. Pengkisahan kehidupan seorang nelayan ini penting kepada anak-anak supaya mereka lebih menghargai diri sendiri dan orang lain. Di sini kami juga tidak boleh berlama-lama kerana perlu meneruskan perjalanan pulang. Saya merakam beberapa keping gambar di pantai ini sebagai kenang-kenangan.

Kami meneruskan perjalanan pulang. Setelah sampai di Kedai Keropok Mengabang Tapah, Merang, Setiu, saya berhenti sekali lagi bagi membeli keropok lekor untuk kami sekeluarga. Selain itu ianya juga untuk  dijadikan buah tangan kepada Mek, kakak dan jiran terdekat. Mengikut cerita Kamri, keropok lekor di kedai ini adalah di antara yang paling enak di Terengganu. Sememangnya betul kata Kamri, berbanding keenakan keropok lekor Losong dengan Kedai Mengabang Tapah ini, saya lebih menyukai keropok kedai ini. Selepas membeli keropok lekor, kami meneruskan perjalanan kembali. Sepanjang perjalanan pulang kami dapat melihat suasana dan pemandangan cantik waktu petang di sepanjang jalan pesisir pantai. Kalau semasa pergi, kami dapat melihat keindahan dan suasana tepi pantai pada waktu pagi manakala sewaktu pulang pula, kami dapat menyaksikan keindahan dan keunikan suasana di waktu petang. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah sekitar pukul 8 malam. Kenangan silam kembali membugar di sepanjang perjalanan  ini kerana ianya adalah sepanjang jalan kenangan....



Papan Tanda  yang mengalu-alukan kedatangan tetamu ke Pantai Teluk Ketapang 


Anak-anak berlari menuju ke Pantai Telok Ketapang

Bersantai bersama keluarga di Pantai Teluk Ketapang

Barisan pohon Cemara yang ditanam sepanjang pantai

Hembusan angin dari Laut Cina Selatan di pantai
Teluk ketapang begitu menyegarkan

Melihat pantai dan laut lepas di Pantai Teluk Ketapang

Meluang masa dan bersantai di pantai bersama keluarga

Menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga

Bergambar bersama adik dan keluarganya di Pantai Teluk Ketapang

Merenung jauh ke ufuk kebiruan, yang berpadu menyatukan langit dan laut 



Bergambar di bawah bangsal beratapakan daun kelapa  

Pasir pantai nan putih dan air laut yang kebiruan

Teruja dengan keindahan panorama dan suasana pantai dan laut yang terbentang luas

Pantai yang landai dan bersih

Bergambar bersama dengan berlatar belakangkan Laut Cina Selatan

Merenung laut yang membiru dan mendengar deburan ombak yang menghempas pantai

Bermain dan bercanda di tepian pantai


Menapak meninggalkan pantai yang cantik bersama kenangan yang indah

Berjalan menuju jalan pulang


Hafiz bergambar  membelakangi Batu Rakit yang kelihatan terapung di tengah laut


Batu Rakit - pemandangan dari jauh

Rumah Api dibina di atas Batu Rakit sebagai panduan kepada nelayan


Pantai Batu Rakit luas dan pasirnya putih bersih

Perahu-perahu nelayan mendarat  bersama hasil tangkapan di pantai ini


Deretan perahu-perahu nelayan yang diletakkan bersebelahan antara satu sama lain
\

Salah sebuah perahu nelayan tempatan yang sudah siap sedia bersama ikatan
dahan-dahan pokok yang dijadikan unjam untuk tujuan menangkap ikan

Hafiz bergambar bersama dengan bot dan bubu-bubu kepunyaan nelayan tempatan

Hafiz tertarik dengan Ikan Todak yang dibuang oleh nelayan tempatan

Bubu yang dibina daripada dawai  'mata punai' digunakan untuk menangkap sotong katak

Singgah membeli keropok Lekor di kedai Keropok Mengabang Tapah,
Kampung Pantai Merang, Setiu yang terkenal dengan keenakannya

Pemandangan dari jauh  Kedai Keropok Mengabang Tapah.

Thursday, 8 August 2013

Aidilfitri Menjelma:Takbir bergema, Fitrah Terbina...

Ramadhan sudah pun melabuhkan tirainya bagi membolehkan Syawal menjelma tiba. Sudah berlalu satu bulan yang sangat istimewa dan penuh barakah. Mungkin ada yang menangis dan merinduinya. Adakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun akan datang? Ramadhan telah meninggalkan kita!. Berapa banyakkah kita telah dapat merebut tinggalan Ramadhan yang penuh dengan ganjaran dan keuntungan. Perubahan macam manakah yang kita perolehi? Bertambah baikkah solat kita? Bertambah banyakkah infak dan sedekah kita? Bertambah seronokkah kita dengan membaca al quran? Mampukah kita bertahajud di waktu malam? Bertambah hampirkah kita dengan Allah SWT. Semua itu menjadi ukuran sejauh mana Ramadhan berkesan kepada fitrah kita.

Ukuran berkesan atau tidak ibadah puasa Ramadhan selama sebulan, kita boleh lihat pada hari Raya. Kalau pada bulan Ramadhan kita boleh jaga solat berjemaah, apa jadi kepada solat kita ketika hari raya? Berjemaah atau tidak? atau kita solat di akhir waktu kerana disibukkan oleh sambutan dan kemeriahan raya. Kalau pada bulan Ramadhan kita boleh jaga makan-minum, apakah bila Raya menjelma kita lupa segala, makan minum ikut selera dan citarasa. Semua makanan yang ada di depan mata, semuanya mahu dicuba dan dirasa. Inilah masanya untuk merasa nikmat dunia. Kalau pada bulan Ramadhan kita boleh jaga niat, tutur kata dan perbuatan, apakah selepas Ramadhan berakhir kita bebas melakukan apa sahaja?. Semoga selepas sebulan kita menjalani ibadah puasa Ramadhan, kita menjadi insan yang semakin baik, bertambah taqwa dan bukan sebaliknya.

Ramadhan datang hanya sekali setahun. Sekiranya Ramadhan pergi meninggalkan kita dalam keadaan kosong, gersang tanpa mendapatkan sedikit pun ganjaran, keuntungan dan kebaikan daripadanya, maka alangkah ruginya. Rugi kerana kita ada kehidupan selepas kematian. Kehidupan akhirat yang mesti ditempuhi dengan keyakinan dan keimanan. Akhirat adalah kehidupan yang sebenar dan kekal abadi. Allah akan memberi kita ganjaran sebenar samada SYURGA atau NERAKA. Mudah-mudahan dengan ibadah puasa Ramadhan yang kita lalui tahun ini, menjadikan kita orang yang bertaqwa dan layak mendapat ganjaran SYURGA di akhirat kelak. In Sha Allah! Selamat datang Aidilfitri dan selamat tinggal Ramadhan Al Mubarak semoga bertemu lagi di tahun hadapan...Ameen Ya Allah!.


Selamat tinggal Ramadhan semoga bertemu lagi di tahun hadapan...Ameen Ya Allah!

Pemergian Ramadhan diganti dengan Syawal yang datang bersama dengan Aidilfitri iaitu hari kesyukuran dan kegembiraan khususnya untuk umat Islam. Aidilfitri atau dalam bahasa Arabnya Aidulfitri juga dipanggil Hari Raya Puasa. Perkataan Id' (hari raya) berasal daripada perkataan 'Aud' ertinya berulang-ulang iaitu peristiwa yang berulang pada setiap tahun. Ianya membawa rahmat dan kegembiraan kepada umat Islam. Manakala Fitri bermaksud Fitrah.

Pada Aidilfitri ini, umat Islam diharamkan berpuasa untuk menyambutnya dengan wajah gembira dan dengan laungan takbir mengagungkan Allah S.W.T. Bertakbir membesarkan Allah, bertasbih menyucikanNya, bertahmid memujiNya dan bertahlil mentauhidkanNya. Di Aidilfitri ini kita bersyukur kepada Allah SWT dengan bertakbir kerana sebagai hamba kita telah berjaya menunaikan ibadah puasa Ramadhan yang dipenuhi dan dilimpahi dengan keberkatan. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberi peluang berhimpun beramai-ramai dengan bertakbir membesarkan Allah SWT.

Sebanyak 9 kali laungan takbir diucapkan oleh khatib pada khutbah pertama dan 5 kali pada khutbah kedua. Sebanyak 7 kali takbir dilafazkan dalam rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua semasa kita solat sunat Aidilfitri dan sekian kali banyaknya semenjak pagi. Kalimah takbir ini benar-benar menjadikan kita hambaNya yang sangat kerdil, lemah dan tidak punya apa-apa. Kita tidak mempunyai sedikit pun kekuatan melainkan kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah. Kita tidak mempunyai  kebesaran, ketinggian dan kemuliaan melainkan kebesaran, ketinggian dan kemuliaan Allah SWT. Semoga ucapan takbir kita pada Aidilfitri mampu menjadikan kita suci dari dosa dan kembali kepada fitrah.

Marilah kita raikan Aidilfitri ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Lupakan sengketa dan dukacita. Eratkanlah hubungan silaraturrahim dengan kunjung-mengunjung dan maaf bermaafan di antara satu sama lain. Dalam kita merayakan Aidilfitri ini, jangan lupa puasa enam di bulan Syawal kerana sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan dikuti puasa 6 hari dalam bulan Syawal seolah-olah ia berpuasa selama setahun. Sempena hari dan bulan yang mulia ini, kami sekeluarga ingin mengambil peluang mengucapkan kepada semua sanak-saudara, rakan-rakan, pengunjung dan pembaca blog ini :

Semoga dengan kedatangan Aidilfitri ini, menjadikan kita orang yang bersyukur dan berbahagia serta diredhai oleh Allah SWT. Ameen....


Wednesday, 31 July 2013

Memburu dan Menggapai Lailatul Qadar...

Sekarang ini kita telah pun memasuki dan berada di dalam bahagian 10 hari terakhir Ramadhan. Pada kali ini saya ingin membicarakan berkenaan dengan kesilapan-kesilapan kita semasa Ramadhan dan tentunya hal yang berkaitan dengan Lailatul Qadar atau malam Al Qadar. Seperti kita maklum, bulan Ramadhan dibahagikan kepada tiga fasa yang istimewa. 10 hari pertama adalah fasa limpahan rahmat, 10 hari kedua fasa pengampunan dan 10 hari ketiga atau terakhir adalah fasa bebas dari api neraka. Memasuki 10 hari ketiga atau terakhir ini, bermakna kita telah melepasi dua pertiga bulan Ramadhan dan sewajarnya kita merenung sejenak dan menyemak semula perjalanan ibadah-ibadah kita. Apakah ibadah-ibadah yang kita lakukan itu menepati kehendak Allah SWT dan mengikuti sunnah NabiNya saw? Atau adakah ibadah yang dilaksanakan itu mengikut cara kita sendiri dan tidak sejajar dengan cara yang telah ditunjuk oleh Rasulullah saw?. Adalah menjadi kewajipan kita untuk bermuhasabah dan menilai kualiti dan kuantiti semua ibadah yang telah dilakukan samada yang sunat atau fardhu. Mungkin ada sebahagiannya yang tercicir, terlepas pandang atau ada lompang yang perlu ditampung bagi menghasilkan ibadah yang baik dan sempurna.

10 malam terakhir pada bulan Ramadhan dan Lailatul Qadar
Apakah dan sebanyak manakah kepentingan yang telah dan harus kita utamakan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini? Sebanyak manakah ibadah-ibadah nafil (sunat) yang telah kita lakukan seperti amalan-amalan fardhu?. Kita boleh perhatikan kebanyakan kita selepas sahaja makan sahur, lantas pergi tidur semula yang mana akibatnya solat subuh terlepas tanpa ditunaikan. Ramai yang menunaikannya tetapi tidaklah secara berjemaah. Ini seolah-olah menggambarkan bahawa kita hanya sekadar berterima kasih kepada Allah bagi makanan yang kita makan sewaktu bersahur tanpa melakukan fardhu yang paling penting atau tidak melakukannya secara berjemaah. Ianya dilakukan dengan secara tidak sempurna. Rasulullah saw bersabda : "Tidak ada sembahyang bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan masjid melainkan di dalam masjid." Tanpa alasan-alasan yang kuat, ramai yang mendirikan solat Subuh tanpa berjemaah.

Begitu juga dengan bermacam-macam perkara pada masa berbuka, solat Maghrib berjemaah pun terlepas juga. Ramai pula yang datang ke masjid terlepas takbir pertama atau terlepas rakaat pertama. Sesetengahnya pula bersolat ketika waktu Maghrib hampir luput. Sebilangan orang pula disebabkan hendak bersolat Teraweh, melakukan solat Isyak sebelum masuk waktunya.

Beginilah sikap sebahagian kita yang cuai terhadap ibadah-ibadah kita di dalam bulan Ramadhan ini. Kadangkala kerana untuk melakukan satu fardhu, beberapa fardhu telah binasa (hilang). Betapa kerapnya terjadi di mana solat Zohor berlalu kerana kita tidur. Sementara Solat Asar terus lenyap kerana kita sibuk membeli-belah, menjual dan memasak makanan sebagai hidangan sewaktu berbuka nanti.

Jikalau inilah keadaan yang terjadi kepada amalan-amalan fardhu kita, bayangkanlah sendiri betapa kurangnya kita mementingkan amalan-amalan sunat. Bagaimana dengan bacaan Al quran dan zikir kita?. Begitu juga halnya dengan solat Isyrak (selepas matahari naik) dan Duha (sebelum tengahari) terlepas begitu sahaja kerana kita masih di dalam tidur. Bagaimana pula dengan solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, solat Terawih serta solat Tahajjud yang masanya sama dengan waktu sahur? Disebabkan kecuaian dan kemalasan kita, ianya juga turut terlepas tanpa dapat ditunaikan!.

Kita boleh mengemukakan seribu satu macam alasan yakni tiada masa untuk melakukan amalan-amalan sunat ini, tetapi kita dapat lihat bukan sedikit orang boleh mencari dan meluangkan masa untuk melakukan semua ibadah tersebut di dalam waktu yang sangat-sangat berharga ini. Selain itu, kita hendaklah melakukan terus sebanyak-banyaknya lima perkara di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini iaitu mengucapkan atau membaca kalimah Taiyibbah, Istighfar, selawat atas Nabi Muhamad, memohonkan syurga dan meminta perlindungan daripada azab-sengsara neraka Jahanam. Marilah kita pujuk hati kita supaya terus tabah dan tidak lagi bermalas-malasan. Marilah kita berdoa dan memohon kepada Allah supaya diberi kekuatan untuk melakukan amal ibadah sebanyak-banyaknya di bulan yang mulia ini. Marilah kita memperbaiki niat dan amalan-amalan ibadah kita supaya ianya menepati kehendak Allah SWT dan mengikut sunnah nabiNya saw. Marilah kita mengisi Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari lagi ini dengan amal ibadah yang ikhlas, baik dan terpuji.

Sekarang ini kita telah berada dalam detik akhir atau 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Apa yang paling sering dihubungkan dengan hari 10 terakhir Ramadhan? Tentunya ganjaran pembebasan daripada azab neraka dan Lailatul Qadar kepada mereka yang berjaya mengisi malamnya dengan amal ibadah. Lailatul Qadar atau bahasa Arabnya لیلة القدر‎ adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini.  Malam ini disebut di dalam al-Qur'an surah 97 Al-Qadr :


1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran Lailatul-Qadar itu?
3. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4.Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);

5.Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Sejarah Malam al-Qadar adalah bermula apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadr yang menyatakan malam al-Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.

Lailatul Qadar, dari segi kerohanian, ianya lebih baik daripada seribu bulan. Walaupun saat berlangsungnya malam ini tidak diketahui dengan pasti, namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan. Malam itu adalah pada salah satu malam ganjil iaitu malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29, ini adalah pandangan jumhur ulama'. Malah ada sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke 22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat ia adalah tetap, iaitu pada malam ke 27.

Lailatul Qadar lebih baik daripada 1000 bulan

Malam khusus berlakunya Lailatul Qadar dengan pasti dirahsiakan oleh Allah SWT. Di antara hikmah malam ini dirahsiakan adalah agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Bagi orang yang mencarinya atau pemburu Lailatul Qadar biasanya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkannya dan tidak akan mensia-sia malam ini. Mereka akan tekun dan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, jika mendapatnya selama 10 tahun bersamaan beribadat lebih 833 tahun, jika mendapatnya selama 20 tahun bersamaan lebih 1,666 tahun, jika mendapatnya selama 30 tahun mendapatnya bersamaan 2,500 tahun. 

Doa yang diajar oleh Rasulullah saw dan mesti dibaca bila berjumpa Lailatul Qadar. 

Marilah kita sama-sama memburu dan menggapai Lailatul Qadar bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT ini. Memburunya adalah mudah hanya memerlukan sedikit mujahadah. Ini adalah kerana orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan Ramadhan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Bagi memburu dan menggapai Lailatul Qadar, kita perlu bersedia dan menyiapkan persiapan yang sewajarnya. Kita seharusnya mempertingkatkan amal ibadah terutama pada sepanjang malam-malam akhir bulan Ramadhan ini.

Berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat Maghrib, Isyak,Tarawih dan Subuh secara berjemaah. Ini adalah kerana orang yang solat Isyak dan Subuh berjemaah termasuk dari kalangan orang mendapat Lailatul Qadar. Rasullah s.a.w. mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya dia adalah tergolong daripada orang yang amat rugi. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiamulail separuh malam; Dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.”(Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)

Sesungguhnya pengurniaan Lailatul Qadar atau Malam Al Qadar kepada orang Islam yang taat adalah satu anugerah yang besar. Bertuah benarlah orang yang mendapatkan rahmat yang sepenuhnya daripada malam tersebut dengan menghabiskannya di dalam ibadah kepada Allah. Ini adalah kerana dia akan mendapatkan ganjaran sebanyak lapan puluh tiga tahun dan empat bulan malahan lebih daripada itu. Ya Allah, kurniakanlah Lailatul Qadar kepada kami, terimalah semua amal ibadah kami, selamatkan kami daripada azab nerakaMU dan masukkan kami ke dalam syurgaMu!

Saturday, 27 July 2013

Ramadhan-Jihad Melawan Hawa Nafsu...

Puasa Ramadan adalah salah satu daripada 5 rukun Islam yang disyariatkan pada tahun 2 Hijrah. Perang Badar merupakan peperangan pertama di antara orang Islam dengan golongan kafir yang berlaku dalam bulan Ramadan pada tahun itu juga. Perintah puasa jatuh pada tahun yang sama dengan diturunkannya perintah berjihad (perang melawan kaum musyrik) iaitu pada saat Rasulullah s.a.w. menghadapi perang Badar tahun kedua Hijriah.

Yang pertama kali turun adalah perintah puasa dalam firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa "(QS Al-Baqarah:183). Kemudian selepas beberapa waktu turunlah ayat: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu,(tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."(QS Al-Baqarah:190).

Ada hubungan yang sangat erat antara perintah puasa dan perintah jihad. Puasa dan Jihad adalah dua ibadah yang berisi peperangan. Puasa adalah ibadah berperang melawan kejahatan metafizik, iaitu hawa nafsu dan penyakit-penyakit hati. Musuh kita saat berpuasa tidak nampak kerana kebanyakan berada dalam diri kita. Sedangkan Jihad adalah ibadah berperang melawan kejahatan fizik (kaum musyrik) atau musuh yang nampak di luar diri kita. kedua ibadah tersebut menuntut persiapan mental yang sangat besar. Keduanya menuntut pengosongan jiwa dari dominasi keduniaan demi terciptanya kesucian ibadah dan keikhlasan. 

Dalam terminologi fiqh, jihad ertinya memerangi orang kafir demi menegakkan syariat Islam. Jihad juga boleh diertikan memerangi hawa nafsu. Jihad merupakan puncak ketinggian dalam Islam. Sesiapa yang berjihad akan memperolehi tingkat yang tinggi dalam syurga dan mereka juga mendapat kemuliaan di dunia.




Seperti yang kita maklum bahawa manusia adalah suka mengikut kemahuan hawa nafsu dan cenderung kepada kesukaan, keinginan dan kelazatan. Jadi Allah fardhukan puasa ke atas manusia supaya manusia itu berjihad melawan godaan hawa nafsu hingga jadilah manusia itu bersih daripada sifat dan perangai kebinatangan dan berhias dengan sifat-sifat yang terpuji.

Ramadhan adalah bulan untuk melawan hawa nafsu. Melawan hawa nafsu atau mujahadah bukanlah satu tugas yang mudah. Kalau nafsu berada di luar jasad kita, dapatlah kita pegang dan menentang serta membunuhnya. Tetapi nafsu berada di dalam diri kita mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh badan kita. Begitulah gambaran betapa besar dan sukarnya jihad melawan hawa nafsu. Orang yang berperang melawan hawa nafsu ini nampaknya seperti duduk-duduk sahaja, tidak sesibuk orang lain tetapi yang sebenarnya telah membuat kerja yang besar. Kerja itu adalah berjihad melawan hawa nafsu dan bertarung bagi merebut kemenangan.

Tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan untuk diperalatkan selamanya. Dalam ilmu tasauf nafsu jahat dan liar ini disebut mazmumah. Di antara sifat-sifat mazmumah itu ialah sumaah, ujub, cintakan dunia, gila harta, gila pangkat, banyak berbicara, hasad dengki, ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri, pemarah, tamak, sombong dan banyak lagi. Sifat-sifat ini melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita malas menggosoknya, sifat-sifat itu menjadi semakin kuat dan menebal pada hati kita. Sebaliknya jika kita rajin menggosoknya, hati akan bersih dan jiwa akan suci.

"Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang Yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS Yusuf : 53)

Sebagai seorang muslim, perjuangan hebat yang perlu kita tempuh adalah puasa Ramadhan. Puasa adalah ibadah yang sukar dan menjadi perjuangan secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah rahsia di antara hamba dan tuannya kerana gerak-geri amalan puasa tidak boleh dinilai oleh orang lain. Jika kita berpuasa, kita bukan sahaja menahan diri daripada keinginan makan dan minum tetapi seluruh anggota badan seperti mulut, mata,hati dan kemaluan juga turut berpuasa.


Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah. Amalan wajib dan sunat dilipat gandakan di bulan Ramadhan ini. Puasa adalah proses latih tubi pembersihan hati. Ianya adalah pembersihan dalaman, mendisiplinkan jiwa, memperkukuh dan memperelokkan akhlak. Oleh sebab itu terdapat dua aras pengukuran nilai puasa, iaitu puasa ramadhan kita itu adalah semata-mata menahan lapar dan dahaga ataupun kita berpuasa dan dalam masa yang sama kita mengambil berat dalam aspek pembersihan jiwa dan akhlak.

Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu."

Sempena bulan yang mulia dan berkat ini, marilah kita sama-sama bermujahadah dengan diri sendiri, mengawal segala perbuatan agar ianya selaras bertepatan dengan syariat tuntutan agama. Marilah kita menghiasi diri dengan amalan kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan. Bentuklah ahli keluarga menjadi insan bertaqwa dengan amalan puasa wajib dan diisi pula dengan amalan-amalan sunat pada siang dan malam di sepanjang bulan Ramadhan.

Walaupun impian ini memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah daripada Allah swt kepada hambaNya. Anugerah ini datang hanya sekali setahun dan merupakan suatu jihad serta pengabdian diri seorang hamba kepada penciptanya. Sesungguhnya MUJAHADAH itu PAHIT kerana SYURGA itu MANIS!

Wednesday, 24 July 2013

Ramadhan-Mengapa Berpuasa?


Alhamdulillah, Allah swt. telah mempertemukan kita kembali dengan Ramadhan tahun ini, bulan berkat, yang penuh rahmat dan ampunan. Setiap tahun apabila tibanya bulan Ramadhan kita semua diwajibkan berpuasa kecuali bagi beberapa golongan tertentu sahaja. Ramadhan adalah berasal daripada perkataan ‘ramadho’ yang membawa maksud panas yang terik.  Istilah Ramadhan digunakan untuk menunjukkan adanya sensasi panas ketika seseorang itu kehausan. Perkataan Ramadhan juga digunakan kerana pada bulan ini dikaitkan dengan dosa-dosa dihapuskan oleh perbuatan baik sebagaimana matahari membakar tanah. Di dalam Islam bulan Ramadhan merupakan bulan yang ke-9 di dalam kalendar hijrah.



Puasa telah difardhukan kepada seluruh umat Islam semenjak tahun ke-2 hijrah sehingga hari kiamat. Ini bererti selama hidupnya, Rasulullah saw. hanya berpuasa Ramadhan sebanyak 9 kali. Boleh jadi, puasa Ramadhan kita lebih banyak daripada puasa Rasulullah saw. Kalau tahun lepas kita sudahpun berpuasa dan tahun ini pula, kita juga wajib berpuasa dalam bulan Ramadhan. Mengapa kita perlu berpuasa? Pelbagai jawapan akan kita perolehi, bila pertanyaan ini kita ajukan kepada ramai orang. Ini  adalah sebahagian daripada jawapan  yang kita akan perolehi :

“Sebagai bentuk self-assesment (penilaian sendiri) apakah kita termasuk orang beriman atau tidak.”

“Puasa Ramadhan menanamkan harga diri kita bahawa kita, kaum Muslim, adalah umat yang paling konsisten menjaga kesinambungan ajaran-ajaran agama langit.”

“kita perlu berpuasa untuk mengingatkan akan nikmat terbesar dalam hidup kita, iaitu nikmat turunnya al-Quran, yang membawa prinsip-prinsip kebahagiaan hidup.”

“kita perlu berpuasa agar kita tidak menurut kemahuan perut dan kemaluan kita. Sesungguhnya, semua kerosakan di dunia sebahagian besar  kerana dua kemahuan itu.”

“Puasa memberikan kita waktu dan peluang  untuk membersihkan kotoran-kotoran ruhani kita. Siapakah manusia yang tidak pernah salah? Ramadhan adalah training massa yang mencuci kotoran-kotoran yang melekat di dinding hati kita."

"Puasa Ramadhan memberi kesempatan kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah,  memohon rahmat dan ampunan dari-Nya. Ramadhan adalah ghayts al-qulub - rintik hujan yang membasahi keringnya hati.”

Banyak lagi jawapan-jawapan lain selain daripada di atas. Jawapan mengapa kita berpuasa, sebenarnya sudah dijelaskan di dalam Al quran iaitu ayat 183 surah Al Baqarah:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.


Sebenarnya kita berpuasa adalah kerana ianya adalah perintah dari Allah swt supaya kita menjadi orang yang bertaqwa. Kita lihat dalam ayat ini- pertamanya يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ (Wahai orang-orang Yang beriman!), Ya atau Wahai biasanya digunakan untuk yang jauh.  Oleh kerana itu, kita dapat faham bahawa yang jauh di sini adalah puasa. Puasa adalah tinggi dan ianya ditujukan kepada hati-hati yang beriman. Kita bersyukur sebab menjadi orang Islam dan kita juga adalah orang yang beriman. Iman dan Islam adalah saling bantu membantu. Tidak lengkap Islam kalau tidak beriman dan tidak beriman seseorang itu jika tidak Islam.  Sekarang ini kita sedang melaksanakan tuntutan puasa. Harapan daripada ibadah puasa ini adalah   لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون (supaya kamu bertaqwa). Dengan berpuasa, mudah-mudahan kita menjadi orang yang bertaqwa.

Apa itu taqwa?. Taqwa ini diambil daripada perkataan ‘waqa’ iaitu makna dalam bahasa Melayu adalah menyelamatkan. Waqa maknanya menjaga, Waqa maknanya melindungi. Jadi kalau kita kata, kita ini orang yang bertaqwa maknanya kita adalah orang yang sanggup menghormati dan menunaikan kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh Allah swt. Dengan itu kita menjadi orang yang menyelamatkan, orang yang melindungi diri kita – iaitu kita sentiasa berhati-hati di dalam membuat hubungan dengan Allah swt dan hubungan dengan sesama manusia.

Perkataan taqwa meliputi kita merasa gerun kepada Allah swt. Takut itu membawa kita melakukan perkara-perkara makruf (kebaikan). Takut itu menyebabkan kita melindungi diri kita daripada melakukan perbuatan-perbuatan jahat atau mungkar. Taqwa juga maknanya kita taat beribadat kepada Allah. Kita taat bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji dan sebagainya. Orang bertaqwa juga bermaksud berlakunya atau dapat menyucikan hati. Hati-hati menjadi bersih. Pembersihan diri berlaku kepada orang-orang yang bertaqwa.

Walaupun sesuatu perkara itu halal tetapi tidak berlebih-lebihan dalam melakukannya juga termasuk dalam taqwa. Kita tahu bahawa kita sudah bersuami-isteri atau sudah bernikah, maka dalam bulan Ramadhan ini meskipun kita halal bergaul, bermesra dan mengadakan hubungan intim, tetapi kita diperintahkan supaya menjaganya. Maknanya walaupun perkara itu halal, janganlah berlebih-lebihan. Ini termasuklah memakan makanan yang halal sekali pun, janganlah berlebih-lebihan. Kalau kita berlebih-lebihan maka sudah menidakkan taqwa kita. Oleh kerana itu dalam kita hendak menjadi manusia bertaqwa dengan berpuasa, kita hendaklah berhati-hati membuat hubungan dengan Allah swt dan menjaga hubungan sesama manusia.


Janganlah berlebih-lebihan....
Berhati-hati dalam hubungan dengan Allah swt maknanya adalah dengan kita terus memperkukuhkan keimanan dan menguatkan keyakinan akidah kepada Allah. Manakala menjaga hubungan sesama manusia adalah dengan melakukan amalan kebaikan.  Jadi Ramadhan ini , mengajar kita bagaimana memperbaiki hubungan dengan Allah iaitu keimanan kita terhadap Allah swt. Tidak rugi orang yang beriman dan seterusnya orang yang melakukan amalan soleh seperti yang dijelaskan dalam surah Al ‘Ashr:
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾
1. Demi Masa!  2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian - 3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

Dalam bulan Ramadhan ini, kita berpuasa – ertinya kita jujur dengan Allah swt . Kita memperbaiki hubungan dengan Allah swt dengan melakukan taubat nasuha. Nabi digambarkan bertaubat, ada riwayat  mengatakan 70 kali sehari dan sesetengah riwayat  yang lain sebanyak 100 kali sehari. Ini gambaran menunjukkan banyaknya nabi beristighfar. Nabi tidak pernah menghitung dosanya kerana baginda tiada dosa. Namun begitu nabi banyak bertaubat.

Bagaimana dengan kita? Yang banyak dengan dosa ini?. Kita tidak menghitung dosa kita dan pada masa yang sama kita tidak menghitung taubat kita!. Jadi dalam bulan Ramadhan ini kita perlu memperbaiki hubungan kita dengan Allah swt dan hubungan dengan sesama manusia. Dalam hubungan dengan sesama  manusia antara yang perlu dijaga adalah lidah. Lidah kita lembut tetapi tajam bak sembilu, sentiasa melukakan hati orang. Ini adalah perbuatan atau ciri-ciri memutuskan hubungan silaraturrahim.


Sebenarnya kalau kita hendak memperbaiki hubungan sesama manusia ini, kita jangan malu untuk memohon maaf dan juga tidak lokek untuk memberi maaf. Kita hidup dalam bermasyarakat dan perlu kita ingat bahawa selagi kita memutuskan hubungan silaraturrahim, selagi kita tidak mengembalikan persaudaraan ukhuah islamiyyah maka selama itulah amalan-amalan baik kita tidak akan diangkat ke Hadzrat Allah swt. Pahala amalan baik kita akan ditunda sehinggalah hubungan silaraturrahim yang terputus bertaut kembali.

Dalam bulan Ramadhan ini juga, kita perlu sedar bahawa sekarang kita berada dalam sambutan hari kelahiran Al quran. Ini adalah kerana Al quran diturunkan pada bulan Ramadhan seperti yang dinyatakan dalam surah Al Baqarah  :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ   

185. Bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al Baqarah 2:185)

Ertinya kita berada dalam hari sambutan turunnya Al quran. Al quran ini diturunkan untuk memperbaiki dunia ini. Justeru itu, kita sangat-sangat digalakkan membaca, memperbaiki bacaan dan memahami makna ayat-ayat al quran. Sebaiknya, pada sebelum atau selepas setiap solat fardhu kita baca sekurang-kurangnya dua mukasurat al quran. Jadi dalam sehari kita dapat baca satu juz al quran dan In Sha Allah sepanjang bulan Ramadhan ini kita mampu baca keseluruhan al quran.

Begitu juga kita  perlu menyiapkan harta atau bajet untuk menambah amalan kebaikan kita kepada masyarakat. Misalnya bajet untuk kita menderma, bersedekah, menjemput dan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Selain itu, kita juga perlu menjaga kesihatan fizikal, mental dan spiritual supaya dapat terus mengisi Ramadhan dengan sebaiknya. Marilah kita sama-sama merebut peluang di bulan Ramadhan Al Mubarak ini untuk meraih ganjaran dan pahala sebanyak yang mungkin. Marilah sama-sama berusaha untuk mendapat rahmat dan redha Allah swt. Semoga Ramadhan kali ini adalah merupakan di antara Ramadhan yang terbaik sepanjang hidup kita. Selamat menjalani ibadah puasa semoga berbahagia menjalaninya!.


Tuesday, 23 July 2013

Pergi Tak Kembali....

Ketibaan Ramadhan tahun ini dirasakan begitu berbeza sekali. Gembira berbaur sedih. Dalam kegembiraan hendak bertemu Ramadhan, kami disapa kesedihan dengan pemergian Ayahanda mengadap Ilahi. Ayahanda (kami memanggilnya Che’) pergi di ambang kedatangan Ramadhan Al Mubarak. Che’ pergi meninggalkan dunia yang fana ini beberapa jam sebelum Ramadhan menjelma. Selasa, tanggal 9 Julai 2013 pada detik 12.55 tengahari, diusia 78 tahun, Che’ meninggalkan alam dunia menuju alam baqa. Pergi tak kembali…  Hati tergores oleh kedukaan dan sedihnya seakan tidak terucap.

Sebenarnya sudah hampir 4 bulan Che’ uzur dan hanya di pembaringan. Umurnya yang agak berusia ditambah dengan penyakit jantung dan Benign Prostatic Hypertrophy (BPA) yang dialami telah memberi kesan kepada kesihatannya. Selera makannya turut menerima impaknya. Beliau tidak dapat makan seperti dahulu lagi. Makan dan minumnya hanya beberapa suap dan teguk. Saya sayu dan simpati melihat Che’ uzur, kehilangan selera makan, berat badan dan kudrat.. 

Tiga hari sebelum pemergiannya, Che’ dimasukkan ke wad 7 Selatan HUSM kerana pernafasannya tidak lancar. Di hospital Che’ diberi topeng bantuan pernafasan oksigen dan air melalui drip. Pemeriksaan doktor mendapati selain penyakit yang sedia ada, terdapat jangkitan kuman di paru-paru Che’. “Akibat lama berbaring dan tidak aktif bergerak, banyak cecair berkumpul di paru-paru dan akhirnya berlaku jangkitan kuman” Itulah jawapan yang diberikan oleh doktor bila ditanya mengapa boleh berlakunya jangkitan kuman tersebut?. Selama 3 malam dan 2 hari kami bergilir menemani Che’ di hospital. Malam pertama kakak sulong yang menemani . Malam kedua dan ketiga saya pula menggantikan tempatnya. Sebelah siangnya emak (kami memanggilnya ‘Mek’) mengambilalih menemani Che',walaupun kesihatannya sendiri tidak berapa baik. Che pergi semasa ditemani oleh Mek pada siang hari ketiga selepas dimasukkan ke dalam wad.

Benar-benar saya tidak sangka Che’ telah meninggalkan kami. Saya sedikit terkilan kerana tidak berada di sisi Che' ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Saya tidak berpeluang untuk membisikkan kalimah Allah atau Laa ila ha illallah di telinganya buat kali terakhir. Peluang tersebut diperolehi oleh kakak sulong dan Mek yang ada bersama ketika Che' berada di penghujung nyawa. "Che pergi dengan mudah!"  begitu kata kakak sulong saya. Kata-kata itu memberi sedikit kelegaan kepada diri saya yang diselubungi rasa ralat.  Saya terkenangkan malam kedua menemani Che' di hospital. Sepanjang malam tersebut, Che' langsung tidak makan dan minum. Semua pujukan dan ajakan saya untuk makan dan minum ditolaknya. Beliau seolah-olah sudah kehabisan ‘kuota makan dan minum’. Che' seakan sudah tahu bahawa rezeki makan dan minum yang telah ditetapkan untuknya sudah tiada lagi!. Rupanya malam itu merupakan malam terakhir saya bersama Che'. Saat itu sangat membekas di hati saya. Ia adalah suatu tempoh yang dikenang. 

Usai semua urusan prosedur pentadbiran dengan pihak hospital, Jenazah Che' dihantar ke rumah dari hospital USM Kubang Kerian dengan Van Jenazah. Jenazah Che' sampai ke rumah selepas waktu zohor dan diletakkan di ruang kanan bahagian tengah rumah bagi memboleh sanak-saudara, jiran-jiran dan rakan taulan datang menghadiahkan bacaan Al Quran serta melawat buat kali terakhir. Setelah berbincang dengan Mek, kakak dan sanak-saudara yang lain, saya memutuskan untuk menangguhkan pengebumian Che' sehingga waktu malam. Ini bagi membolehkan empat lagi adik-beradik kami yang berada di luar Kelantan sempat sampai dan dapat menatap wajah Che' bagi kali terakhir. Kakak kedua, Kamariah dan adik perempuan, Siti Fatimah bersama keluarga masing-masing tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Seorang lagi adik perempuan Siti Khalijah dan keluarga menetap di Kuala Kangsar, Perak. Manakala adik lelaki, Mohd Kamri dan keluarga bermastautin di Kuala Terengganu.

Saya menyelesaikan urusan pemilihan tapak dan penggalian kubur. Selepas itu berbincang dengan Imam dan Penghulu untuk urusan seterusnya. Atas nasihat dan cadangan Tuan Imam, urusan mandi jenazah dilakukan selepas Solat Maghrib dan Solat Jenazah diadakan sesudah Solat Terawih. Alhamdulillah semua empat adik-beradik saya bersama keluarga masing-masing sampai sebelum masuknya waktu Maghrib. Kakak dan adik yang tinggal di Cheras, balik dengan kapal terbang. Manakala adik yang tinggal di Kuala Kangsar dan Kuala Terengganu tiba dengan kenderaan masing-masing. Ketibaan mereka disambut dengan perasaan lega tetapi diselimuti kesedihan.

Seperti yang telah direncanakan, selepas solat Maghrib urusan mandi Jenazah Che' dimulakan. Dengan diketuai oleh Imam dan pembantunya, Saya, Mohd Kamri dan menantu-menantu lelaki Che'- abang Latif, abang Zali, Mat, Wan dan Along (anak lelaki abang Latif) turut sama-sama membantu. Ini sebagai menunaikan tanggungjawab dan menunjukkan tanda penghargaan dan kasih kami yang tidak terhingga buat Che'.

Selepas dimandikan, jenazah Che' dibaring untuk dikafankan. Proses mengkafankan Che' adalah suatu proses yang sukar bagi kami untuk saksikan. Jenazah Che' yang terbujur kaku di kafan sehelai demi sehelai dengan kain putih sehingga lapisan yang terakhir. Cuma yang ditinggalkan di bahagian muka untuk kami sekeluarga kucup sebelum ianya juga ditutup. Minyak wangi dan wangian lain ditaburi mengiringi jenazah Che'. Semua urusan mandi dan kafan selesai menjelang waktu Isyak. Mek, kami adik-beradik seramai tujuh orang dan cucu-cucu Che' diberikan peluang untuk mengucup dahi Che' buat kali terakhir.


Selepas solat terawih, jenazah Che' disolatkan di rumah yang merupakan hasil titik peluh Che' dan Mek sepenuhnya. Selepas solat jenazah, Che' seterusnya dibawa keluar dari pintu rumah buat kali yang teakhirnya. Perpisahan abadi semakin menghampiri, jenazah Che' dibawa ke destinasinya. Perlahan-lahan jenazah Che' diturunkan ke dalam liang untuk disemadikan.


Solat Jenazah yang diimamkan oleh Imam Masjid Mukim Kemasin

Selesai solat jenazah Ayahanda mula diangkat untuk disemadikan 

Jenazah ayahanda diusung keluar dari rumah dan dibawa ke tanah
perkuburan dengan Van Jenazah yang sedia menunggu. 

Saya sugul. Apatah lagi ketika menyemadikan jenazahnya ke liang tanah perkuburan. Tidak tega rasanya bila menimbus tanah ke dalam liang menutupi jenazahnya. Seakan tidak percaya jenazah itu adalah ayahanda kami yang tercinta. Dengan perasaan yang berat saya menimbus tanah ke dalam liang bersama mereka yang lainnya. Usai tahlil dan bacaan talkin, tubuh saya terus menjadi tidak bermaya untuk terus berdiri teguh. Tidak mampu rasanya diri ini meninggalkan ayah besemadi di sana seorang diri. Saya ingin melawatnya lagi apabila semua orang telah pulang. Saya harap rohnya akan terus mengenali saya dan suka dengan kedatangan saya nanti. Demikianlah perjalanan hidup ayahanda kami tercinta. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Ayahanda kami Mamat bin Awang dilahirkan pada 23.09.1935 (Ahad) bersamaan 1 Rejab 1354 dan kembali ke rahmatullah pada 09.07.2013 (Selasa) bersamaan 29 Syaaban 1434. Ayahanda berusia 78 tahun mengikut kalendar Gregorian (Masihi) dan berumur 80 tahun jika dikira berpandukan kalendar Islam (Hijrah). Ayahanda telah selamat disemadikan di perkuburan Kg kemasin, Bachok selepas solat terawih pada malam pertama Ramadhan Al Mubarak. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang solleh. Disebabkan bulan ini merupakan Ramadhan, atas nasihat imam Majlis tahlil diadakan selepas solat terawih. Pada malam Jumaat iaitu hari ketiga kematian, kami mengadakan Majlis tahlil pada waktu sebelum berbuka puasa. Ia kemudiannya diikuti sesi Tazkirah oleh Imam Masjid Mukim Kemasin dan Majlis berbuka puasa.


Majlis tahlil diikuti tazkirah oleh Imam Masjid Mukim Kemasin dan Majlis
Berbuka Puasa diadakan pada hari ketiga (Jumaat) selepas pemergian ayahanda


Sebahagian tetamu yang hadir ketika Majlis Tahlil, Tazkirah dan Berbuka Puasa

Selepas beberapa hari pemergian Che’, saya cuba menulis untuk merakam kenangan lalu dan melerai kesedihan yang menjalar dalam diri . Namun usaha saya tidak berhasil. Tangan dan jari-jemari menjadi longlai tidak berdaya. Kesedihan dan sebak yang ada di dalam dada dan kalbu masih menebal. Kesedihan dan sebak itu terperap di dalam, tidak mahu menghilang. Fikiran buntu untuk mengolah untaian kata-kata bagi meluah rasa. Rasa kehilangan dan sendu masih belum kendur, masih bersarang di hati dan kalbu. Aduhai, kesedihan dan sendu ini meresap serta menjalar ke seluruh penjuru nafas. Ia mengalir dalam darah bersama sebak di dada. Airmata memenuhi pandangan tatkala wajah Che’ hadir dalam ingatan. Betapa pemergian dan kehilangan ini begitu menyayat hati serta menusuk kalbu.

Selepas dua minggu berlalu, barulah saya boleh menulis entri ini. Itu pun dalam kesedihan yang tak tertahankan. Walaupun saya sudah berusaha tegar, setegar-tegarnya. Saya tidak mampu menulis banyak, perasaan saya masih bergoncang. Sesungguhnya semuanya ini adalah suratan takdir dari Ilahi. Kami mesti menerimanya dengan hati yang redha biarpun kesedihan ini begitu payah untuk dibendung. Ya, kematian itu adalah satu kemestian. Semua yang hidup akan mati. Kubur sebagai tempat persinggahan dan laluan ke alam akhirat. Apa yang nyata, kematian dan alam kubur adalah suatu perkara yang pasti!.

Ayahanda kami telah pergi. Pergi yang takkan kembali lagi. Berpisahlah sudah segalanya. Yang tinggal hanyalah kenangan. Pemergian ini kami iringi dengan doa dan air mata, semoga Che’ sentosa dan aman di sana.  Kami masih di sini. Menunggu giliran hari. Kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya, jika diizinkan Allah, kita akan berjumpa. Moga kita direzekikan bertemu di tempat yang baik. Saya menangis. Saya pasti terus menangis kerana Che’ telah pergi ke destinasi. Saya belum lagi. Tapi saya tahu, saya juga akan ke sana. Namun, antara bahagia dan derita hanya Allah Yang Maha Tahu. Sebagai anak saya doakan keampunan, kebaikan dan rahmat Allah untuknya. Namun, siapakah yang sudi berdoa untuk saya nanti? Ya Allah! Ampunkan saya, ampunkan  ayahanda kami dan ampunkan kami semua!.