Monday, 18 February 2013

Aset dan saham akhirat untuk Ibu dan Ayah....


“Kalau boleh, abang nak semua anak kita menjadi hafiz atau hafizah” itulah ungkapan yang selalu saya ucapkan kepada isteri bila membicarakan soal masa depan anak-anak kami. Kami bersependapat dalam perkara ini, malah isteri akan menetapkan impian yang lebih spesifik. “Kalau boleh, Ila mahu semua anak kita menjadi seorang doktor yang hafaz 30 juz Al Qur’an.”

“Mengapa doktor, kenapa tidak ustaz, ustazah, pensyarah atau lain-lain profession?. Kan baik kalau jadi seorang ustaz atau ustazah, bukan sahaja ilmu itu bermanafaat kepada diri sendiri tetapi juga boleh mengajar kepada orang lain!” saya lontarkan pertanyaan bagi menduga niat sebenar di sebalik impiannya. Adakah kerana beliau seorang doktor maka anak-anak juga mesti mengikut jejak langkahnya.

“Ya, benar apa yang abang katakan, tetapi seorang doktor yang mantap ilmu agama dan al qur’annya mempunyai kelebihan-kelebihan lain berbanding seorang ustaz atau ustazah...” jawab isteri tanpa memberi penjelasan lanjut.

“Apa kelebihan lain yang Ila maksudkan?”

“Ya, kalau seorang ustaz atau ustazah biasanya mengajar ilmu yang ada dalam dadanya kepada orang Islam yang datang kepadanya atau beliau pergi kepada mereka. Audien mereka umumnya adalah orang yang seagama dengan mereka.”

“Jarang benar atau mungkin tiada langsung pendengar atau pelajar yang mengikuti kuliah dan ceramah yang diberikan adalah mereka yang berlainan pegangan agama. Jangkauan dakwah mereka mungkin tidak dapat merentasi sempadan agama malah bangsa pun susah!.”

“Macamana dengan doktor pula?”

“Kalau doktor pula, mereka boleh merawat sesiapa saja yang memerlukan khidmat mereka. Pesakit mereka bukan setakat yang seagama tetapi juga mereka yang berlainan bangsa dan agama. Doktor boleh pergi kepada pesakit yang berlainan agama atau mereka boleh datang kepada doktor dengan perasaan lebih selesa dan persepsi kurang bias berbanding dengan seorang ustaz/ustazah.”

“Dalam situasi inilah peranan seorang doktor itu sangat penting. Mereka bukan sahaja merawat dan membantu pesakit meringankan penderitaan yang dialami tetapi dalam masa yang sama boleh menunjukkan akhlak yang baik. Merawat pesakit dengan penuh kasih sayang kerana Allah SWT dan akhlak yang terpuji juga merupakan satu bentuk dakwah.!”
   
Demikian penjelasan isteri sebab musabab mengapa beliau inginkan anak-anak menjadi seorang doktor. Bukan sebarangan doktor tetapi seorang doktor yang hafaz seluruh ayat-ayat al quran, mantap iman, akhlak dan ilmu agamanya.

Saya bersetuju dengan pendapat yang dipegangi oleh isteri. Dakwah itu bukan sahaja melalui luahan kata-kata tetapi perlu disertai dengan akhlak yang baik. Bagi saya akhlak yang baik itu lebih utama dan aula. Biasanya orang yang bukan Islam atau belum lagi Islam - (itu istilah yang selalu diguna pakai oleh seorang guru yang mengajar saya di sekolah menengah) tertarik kepada Islam bukan melalui bijak bicara atau indahnya susunan kata-kata dan bahasa pendakwah semasa berdakwah tetapi lebih kepada akhlak yang diamalkannya. Dakwah itu akhlak! 

Seorang doktor juga mempunyai peluang yang lebih baik untuk pergi ke seluruh dunia terutamanya dalam misi-misi bantuan kemanusiaan atau perubatan setelah sesuatu bencana berlaku. Atas kapasiti sebagai seorang ustaz atau ustazah, peluang berdakwah di kalangan mangsa Tsunami seperti yang berlaku di Jepun pada 11 Mac 2011 atau mangsa taufan Bhopha yang melanda Philippina pada 5 Disember 2012 mungkin nipis atau tiada langsung. Berbeza dengan seorang doktor peluangnya lebih terbuka dan boleh diterima tanpa prejudice. Ada ketikanya dakwah tidak memerlukan kita banyak berkata-kata tapi keikhlasan hati kepada Allah dan akhlak yang terpuji yang menjadi tarikan serta perhatian. 

Memang benar itulah harapan dan impian kami berdua. Semoga diizinkan Allah, harapan dan impian kami termakbul. Harapan dan impian kami ini disandarkan kepada dua anak perempuan kami yang sekarang ini diusia persekolahan iaitu Nur Hafizah  dan Nur Hidayah. Nur Hafizah sudah mencecah umur 13 tahun dan seharusnya perlu memulakan alam persekolahan di peringkat menengah. Manakala Nur Hidayah pula berumur 10 tahun dan perlu meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah. Sebulan sebelum balik ke Malaysia kami telah mula mencari-cari sekolah yang sesuai untuk keduanya. 

Setelah tinjauan dan penyelidikan yang dilakukan, kami akhirnya memilih Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman Binjai untuk Nur Hafizah dan Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 bagi Nur Hidayah atas permintaannya bagi menghabiskan persekolahan peringkat rendahnya di sini. Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 adalah sekolah asal bagi Nur Hafizah dan Nur Hidayah sebelum mereka bersekolah di Australia. Sementara Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman adalah sebuah institusi pendidikan swasta yang tersusun dan terancang bagi melahirkan individu muslim yang mampu mempraktikkan Islam dengan sempurna dan menyeluruh. Sekolah ini terletak di Lot 3496, Jalan Tali Air Binjai 16150 Kubang Kerian, Kelantan.



Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman-pemandangan dari jauh

Bangunan Surau - Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman

Bangunan Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman


Faktor utama mengapa kami memilih SMI Aman adalah kerana kurikulumnya yang menyepadukan sukatan pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) Kerajaan dengan pelajaran Diniah (Tarbiah Islamiah) dan dimantapkan lagi dengan aliran tahfiz. Sekolah ini menawarkan sesi persekolahan untuk peringkat menengah rendah (Tingkatan1-3) dan menengah atas (Tingkatan 4-5). Satu lagi perkara yang membuat kami tertarik memilih sekolah ini adalah prinsip yang dipegang oleh pihak sekolah iaitu Al Qur'an untuk semua. Peluang untuk belajar membaca dan menghafaz Al Qur'an terbuka untuk semua orang. Tidak seperti sesetengah sekolah tahfiz lain yang memilih hanya mereka yang cerdas sahaja sebagai pelajar. Kelulusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi prasyarat utama sebelum diterima masuk.

Berpegang kepada prinsip Al Qur'an untuk semua, sekolah ini memberi peluang kepada semua pelajar samada lulus 5A UPSR atau tidak. Pelajar yang diterima masuk ini perlu melalui ujian saringan bagi menentukan tahap kemampuan bacaan Al Qur'annya. Terdapat 3 kelas bagi pelajar-pelajar yang telah disaring iaitu Iqra', nazhiroh dan tahfiz.

Kelas Iqra' adalah untuk pelajar yang tidak boleh membaca Al Qur'an
Kelas Nazhiroh untuk pelajar yang boleh membaca Al Qur'an
Kelas Tahfiz untuk pelajar yang boleh membaca Al Qur'an dengan lancar

Pendekatan yang digunakan dan sasaran yang ditetapkan kepada pelajar bergantung kepada kemampuan pelajar mengikut kelas di mana mereka berada. Secara umumnya bagi pelajar yang mampu setiap tahun mereka disasarkan dapat menghafaz sekurang-kurangnya 6 juzuk Al Qur'an. Matlamatnya, selepas menamatkan pengajian dari tingkatan 1-5, mereka dapat menghafaz keseluruh 30 juzuk Al Qur'an.

Kurikulum SMI Aman ini menepati kehendak dan impian kami bagi melihat anak-anak kami berjaya menjadi seorang yang mempunyai kerjaya yang professional dan mantap ilmu agamanya serta dalam masa yang sama merupakan seorang yang hafaz 30 juzuk Al-Qur'an. Allah s.w.t melalui kalam RasulNya telah menjanjikan banyak kelebihan kepada mereka yang menghafal Al-Qur'an seperti yang digambarkan di bawah.

1.MEREKA ADALAH KELUARGA ALLAH SWT.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia." Kemudian Anas berkata lagi, lalu Rasulullah s.a.w bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah. Baginda menjawab: "Iaitu ahli Qur'an (orang yang membaca atau menghafal Al- Quran dan mengamalkan isinya).Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah.

2.DI TEMPATKAN SYURGA YANG PALING TINGGI
Sabda rasulullah s.a.w:
"Daripada Abdullah Bin Amr Bin Al Ash ra dari nabi s.a.w, baginda bersabda; Diakhirat nanti para ahli Al Qur'an di perintahkan, "Bacalah dan naiklah kesyurga. Dan bacalah Al Qur'an dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggal mu di syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca."

3.AHLI AL QU'RAN ADALAH ORANG YANG ARIF DI SYURGA
Sabda rasulullah s.a.w "Daripada Anas ra. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; "Para pembaca Al Qur'an itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni syurga,"

4.MENGHORMATI ORANG YANG MENGHAFAL AL QU'RAN BERERTI MENGAGUNGKAN ALLAH SWT.
Sabda rasulullah s..a.w "Daripada Abu Musa Al Asya'ari ra.ia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Diantara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati Orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal Al-Qur'an yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak membiarkan Al-Qur'an tidak di amalkan, serta menghormati kepada penguasa yang adil."

5.HATI PENGHAFAL AL-QURAN TIDAK DI SEKSA
Sabda rasulullah s.a.w.
" Daripada Abdullah Bin Mas'ud ra. Daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: " bacalah Al Quran kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang hafal al-quran. Sesungguhanya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, siapa yang memasukkunya ia akan aman. Dan barangsiapa yang mencintai Al Quran maka hendaklah ia bergembira."

6.MEREKA LEBIH BERHAK MENJADI IMAM DALAM SOLAT
Sabda rasulullah s.a.w. :
"DaripadaIbnu Mas'ud ra. Dari Rasulullah s.a.w. beliau bersabda; "yang menjadi imam dalam solat suatu kaum hendaknya yang paling pandai membaca Al Quran."

7.DISAYANGI RASULULLAH S.A.W
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Jabir Bin Abdullah ra. Bahawa nabi s.a.w menyatukan dua orang daripada orang-orang yang gugur dalam perang uhud dalam satu liang lahad.
Kemudian nabi s.a.w. bertanya, "dari mereka berdua siapakah paling banyak hafal Al Quran?" apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka nabi s.a.w memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad."

8.DAPAT MEMBERIKAN SYAFAAT KEPADA KELUARGA
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Ali Bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah ia berkata, "Barangsiapamembaca Al Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya kedalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah di tetapkan untuk masuk neraka."

9.PENGHAFAL AL QURAN AKAN MEMAKAI MAHKOTA KEHORMATAN
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Abu Hurairah ra.daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: "orang yang hafal Al Quran nanti pada hari kiamatnanti akan datang dan Al Quran akan berkata; "Wahai Tuhan ,pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut di berikan mahkota kehormatan. Al Quran berkata lagi:
"Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu di beri pakaian kehormatannya. Al Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redailah dia." Maka kepadanya di katakan; "Bacalah dan naiklah." Dan untuk setiap ayat, ia di beri tambahan satu kebajikan."

10.HAFAL AL QURAN MERUPAKAN BEKALAN PALING BAIK.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada jabir bin nufair, katanya rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran.

11.ORANG TUA MEMPEROLEHI PAHALA KHUSUS JIKA ANAKNYA PENGHAFAL AL QURAN.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Buraidah Al Aslami ra, ia berkata bahawasanya ia mendengar Rasulullah s..a.w bersabda: "Pada hari kiamat nanti, Al Quran akan menemui penghafalnya ketika penghafal itu keluar dari kuburnya. Al Quran akan berwujud seseorang dan ia bertanya kepada penghafalnya: "Apakah anda mengenalku?".
Penghafal tadi menjawab; "saya tidak mengenal kamu." Al Quran berkata; "saya adalah kawanmu, Al Quran yang membuatmu kehausan di tengah hari yang panas dan membuatmu tidak tidur pada malam hari. Sesungguhnya setiap pedagang akan mendapat keuntungan di belakang dagangannya dan kamu pada hari ini di belakang semua dagangan. Maka penghafal Al Quran tadi di beri kekuasaan di tangan kanannya dan diberi kekekalan ditangan kirinya, serta di atas kepalanya dipasang mahkota perkasa. Sedang kedua orang tuanya diberi dua pakaian baru lagi bagus yang harganya tidak dapat di bayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua orang tua itu lalu bertanya: "kenapa kami di beri dengan pakaian begini?". Kemudian di jawab, "kerana anakmu hafal Al Quran."
Kemudian kepada penghafal Al Quran tadi di perintahkan, "bacalah dan naiklah ketingkat-tingkat syurga dan kamar-kamarnya." Maka ia pun terus naik selagi ia tetap membaca, baik bacaan itu cepat atau perlahan (tartil)

12.AKAN MENEPATI KELAS TERTINGGI DI DALAM SYURGA.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Sisyah ra ia berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat Al Quran. Maka tingkatan syurga yang di masuki oleh penghafal Al Quran adalah tingkatan yang paling atas, dimana tidak ada tingkatan lagi sesudah itu.

"Ya Allah jadikanlah kami dan zuriat keturunan kami, anak soleh yang menjadi aset dan saham akhirat ibu bapa kami sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara ; sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak soleh yang mendoakannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Wednesday, 23 January 2013

Kembali bekerja...


Selama tiga tahun dan tiga bulan saya mengambil cuti tanpa gaji bagi menemani isteri melanjutkan pengajian PhD di Universiti Monash, Australia. Selama tempoh itu juga saya telah meninggalkan pekerjaan di pejabat kerana bercuti bagi menggalas tugas sebagai house husband. Pada 1hb Januari 2013 (Selasa) lalu saya perlu melapurkan diri untuk kembali bertugas sebaik sahaja cuti tanpa gaji tamat. Tanggunjawab itu telah pun saya sempurnakan dan sekarang ini telah kembali bekerja. Kembali....ertinya saya dulu pernah melakukannya dan kini harus melakukannya lagi setelah suatu tempoh masa ianya berhenti. Seharusnya kembali bekerja menjadi hal yang mudah sahaja dilakukan, kerana saya sudah bertahun-tahun menjalaninya. Tetapi ternyata ianya tidak semulus yang dibayangkan. 

Banyak perkara, peristiwa dan perubahan berlaku seiring dengan peredaran masa. Keadaan dan suasana seperti yang pernah dirasai pada suatu ketika dahulu, sudah beransur pupus dan auranya tidak sama lagi seperti hari-hari yang telah pergi. Manakala sebahagiannya sudah tiada lagi dan ianya hanyalah lekat tersimpan dalam lipatan kenangan.

Keadaan pejabat sekarang ini sudah banyak berubah dan berbeza berbanding semasa saya tinggalkan dahulu. Ketika saya kembali melapur diri untuk bertugas, sebahagian besar ruang pejabat sudah diubahsuai. Ruang-ruang menjadi berubah. Ruangan kerja yang dahulunya luas dan tebuka kini kelihatan semakin kecil kerana sebahagian ruangnya telah dijadikan bilik-billik bagi menempatkan pegawai-pegawai yang berjawatan ketua. 

Ruang kerja terbuka yang menempatkan banyak unit-unit dalam organisasi pejabat juga sudah berubah. Dahulu di antara satu meja dengan meja lainnya tidak ada pembatas, tapi sekarang ruangan itu terpisah-pisah dengan pembahagi setinggi lebih kurang 4 kaki. Kalau dahulu kita boleh mengetahui dan melihat sebahagian besar rakan-rakan sepejabat yang datang bekerja di meja mereka, tetapi kini tidak lagi. Ruang pandang menjadi terhalang kerana adanya pembahagi yang memisahkan setiap unit kerja. Tiada lagi suasana dan rasa meriah ramainya rakan sepejabat. Dari sudut yang lain, pembahagi yang dibuat ini membolehkan setiap unit lebih fokus kepada tugas mereka. Ianya juga memudahkan ketua setiap unit berhubung dan mengawal selia staf bawahannya serta memberi lebih privacy. Semasa entri ini ditulis, pejabat masih lagi diubahsuai di mana satu kaunter pelanggan yang baru telah diadakan.

Satu lagi perubahan dan pembaharuan yang berlaku adalah sistem merekod kedatangan dan kepulangan staf dari pejabat tidak lagi menggunakan sistem punch card tetapi menggunakan sistem biometrik yang menggunakan cap jari. Sistem ini dikira lebih baik dari punch card kerana verifikasi cap jari hanya sah bila tuan punya jari yang sebenar dilekatkan pada pembaca cap jari. Ianya secara tidak langsung dapat mengatasi penipuan yang banyak berlaku dalam sistem punch card iaitu seseorang itu boleh mengetik kad bagi pihak orang lain.


Sistem biometrik merekod kedatangan dan kepulangan staf menggunakan cap jari

Sistem biometrik cap jari ditempatkan di sebelah tangga utama  pejabat.

Beberapa hari di awal kembali bekerja saya hanya menghabiskan waktu untuk berkenalan, berjumpa mata dan bertegur sapa serta berbincang dengan rakan-rakan baru-dan lama. Senang dan lega rasanya mereka masih menerima saya dengan hangat... Alhamdulillah!. 

Ketua Pejabat sudah berganti sejak saya tinggalkan kerana telah mencapai umur bersara. Beliau diganti oleh ketua baru yang lebih muda dan sudah pernah saya kenal sebelumnya. Beberapa jawatan ketua unit pentadbiran dan unit-unit lain juga sudah ada perubahan, tapi sebahagian besar masih saya kenal.

Staf lain di pejabat juga mengalami perubahan. Beberapa rakan sepejabat sudah tidak dapat saya temui lagi. Ada yang sudah meninggal dunia, pencen dan pindah ke unit kerja lain. Manakala sebilangannya bertukar ke tempat kerja yang baru kerana dinaikkan pangkat atau mohon dipindahkan. Saya kehilangan sebahagian rakan-rakan sejawatan kerana mereka ditukarkan ke negeri atau daerah lain, selepas dinaikkan pangkat. Perasaan gembira berbaur sedih bila mengetahui berita tersebut. Gembira kerana mereka dinaikkan pangkat dan sedih kerana tidak dapat mengikut jejak langkah mereka serta tidak berpeluang lagi berbual mesra, berkongsi cerita dan pengalaman seperti suatu ketika dulu. 

Dalam banyak perubahan yang berlaku di pejabat, kehilangan rakan-rakan sejawatan yang sudah bekerja bersama-sama selama bertahun-tahun ini sangat memberi kesan kepada diri saya. Saya boleh merasai suasana dan rasa yang berlainan bila bekerja tanpa kehadiran mereka. Perasaan sayu dan sebu datang menggugah kalbu bila terkenangkan peristiwa bersama mereka pada masa dulu. Mereka bukan sahaja humor dan optimis tetapi juga sentimental. Perasaan ini sering hinggap dan menusuk kalbu serta masuk bersarang di dalam hati saya sehingga kini. Sebenarnya perasaan yang sama juga turut dirasai oleh rakan-rakan sejawatan lama yang masih ada. Betapa tidak, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermesra dan bekerja membina kerjaya kehidupan...Walaubagaimana pun, saya akur dan pasrah dengan ketentuan yang telah direncanakan oleh Allah S.W.T ini. Tentunya semua yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi yang akan diketahui kebaikannya dikemudian hari.

Tempat mereka yang bertukar, diganti oleh rakan-rakan sejawatan yang lebih muda dan baru memasuki alam pekerjaan. Rata-ratanya mereka termasuk dalam golongan generasi Y. Perbezaan cara berfikir, bekerja, memberi pendapat dan pola fikir sudah tentu wujud. Semua perbezaan ini perlu diurus dan diolah bagi menjana sikap saling menghormati, kerjasama dan keserasian yang merupa elemen penting untuk menghasilkan suasana kerja yang harmoni. Keserasian bukan semestinya kita mempunyai pendapat dan sikap yang sama dalam semua perkara, tetapi ia adalah sebuah kemampuan kita memanafaatkan segala perbezaan untuk mencapai keharmonian, meraikan kepelbagaian untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Ibarat bezanya caj positif dan negatif yang menghasilkan arus elektrik bagi sebuah bateri. Atau ibarat bezanya bunyi setiap note piano yang menghasilkan irama dan lagu. Di mana ada perbezaan..disitu bercambah keserasian. Ternyata saya perlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sudah berubah dan membina keserasian dengan rakan-rakan baru dan lama. Kembali bekerja juga bermakna saya perlu menggilap semula ilmu dan kemahiran berkerja. Membiasa diri dengan tempo dan rutin harian bekerja. Kembali bekerja...ternyata memberi saya cabaran, semangat dan harapan baru.  Ya Allah!.....Tuntunlah dan bantulah hambaMU dalam meneruskan perjalanan hidup ini!

Tuesday, 1 January 2013

Musafir berakhir...


Siang bertukar malam. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan. Bulan bersilih tahun. Masa berlalu tanpa henti dan akhirnya genaplah sudah tempoh masa bagi kami bermusafir di Australia. Tanggal 29 hb November 2012 (Khamis) lepas saya dan keluarga telah meninggalkan Melbourne setelah menumpang hidup di bawah langitnya selama 3 tahun lebih. Kami tinggalkan Melbourne pada hujung musim bunga. Satu musim yang paling serasi dengan saya berbanding dengan 3 musim yang lainnya.

Kami tinggalkan Dandenong di mana terdapat Marmara - kedai orang Turki, tempat kami mendapatkan daging halal. Kami tinggalkan Clayton yang mempunyai Hong Kong, sebuah kedai runcit kepunyaan orang Cina yang menjual pelbagai makanan Asia. Ianya juga tempat di mana terdapatnya Sarawan - sebuah kedai runcit milik orang India, tempat kami mendapatkan beras Basmati bagi memenuhi kerinduan makan nasi, suatu keinginan yang sukar kami tinggalkan walaupun berada di negara yang penduduknya makan roti dan keju sebagai makanan rujinya. Kami tinggalkan Springvale kawasan penempatan masyarakat Vietnam - tempat kami selalu mendapatkan makanan laut terutama ikan kembong dan tenggiri. Ianya juga tempat kami memperolehi dan menikmati buah-buahan tropika seperti mempelam, nangka, mata kucing, durian dsb.


Hong Kong Asian Food Supermarket di Clayton

Sarawan Spices & Home Entertainment di Clayton

Pasar buah di Springvale

Buah-buahan tropika ada dijual di Springvale

Pasar ikan di Springvale

Kami tinggalkan kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East yang merupakan tempat yang tenang, bersih dan cantik. Kami tinggalkan rumah yang selama lebih 2 tahun, kami sekeluarga menetap di dalamnya. Kami tinggalkan jiran-jiran terdekat yang berasal dari pelbagai negara - Bangladesh, Iraq, Grecce dan China.  Kami juga tinggalkan rakan-rakan senegara, sebahagian mereka ada yang terlebih dahulu pulang ke Malaysia. Kami berkongsi ilmu, pengalaman dan cerita. Berkongsi citarasa, makanan dan kesukaan. Berbual, berhujah, bersetuju dan berbeza pendapat. Ada yang kelakar, ada yang serius, ada yang bersahaja, ada yang peramah, ada yang pendiam dan bermacam-macam karakter. Mereka ahli dalam pelbagai bidang. Di kalangan mereka - ada yang pakar komputer, ceo, guru, jurutera, ustaz, pengurus, doktor, pensyarah, usahawan, akauntan, pustakawan dsb. Saya tinggalkan rakan-rakan yang saya telah timba ilmu dan curi pengalaman mereka.


Kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East

Perasaan gembira berbaur sedih  menggamit kalbu tatkala meninggalkan rakan-rakan sekeliannya. Hati terasa walang. Perpisahan yang amat kelat untuk ditempuh. Perpisahan yang belum menjanjikan pertemuan semula, terasa begitu berat dan sungguh sayu sekali. Namun inilah aturan dan kudrat Allah S.W.T. Kenangan kembali membugar dan sungguh mengasyikkan bila mengimbau semula saat kedatangan kami ke Australia pada lebih 3 tahun yang lalu. Kami menjejakkan kaki di bumi Melbourne, Australia pada tanggal 26 hb September 2009 (Sabtu), lebih kurang pukul 10.30 pagi. Kami sekeluarga 5 beranak tiba di Melbourne International Airport pada awal musim bunga. Suhu ketika itu adalah kira-kira 7 celcius, sungguh sejuk mencengkam kulit kami lima beranak yang baru tiba dari bumi Malaysia yang panas membahang. Sungguhpun begitu, kami dikatakan tiba di musim yang paling sesuai untuk peralihan atau pengenalan kepada bumi Australia yang terkenal dengan empat musimnya. Selama setahun kami tinggal di Sarah Close, Clayton sebelum berpindah ke Strelden Ave, Oakleigh East - satu tempat yang lebih hampir dengan Universiti Monash Clayton. Seterusnya bermastautin di sini sehinggalah tarikh kepulangan ke Malaysia.

Kehidupan di bumi Australia sememangnya berwarna warni dengan empat musim yang silih berganti. Kedatangan musim bunga (spring) yang jatuhnya pada bulan September-November, dengan seribu satu warna sangat dinanti. Pelbagai spesis bunga memenuhi ruang mata. bunga-bunga mekar berkembang dalam pelbagai rupa, bau dan warna. Warna warni yang mengisi alam dan ruang pandangan membawa ke musim panas (summer) di bulan Disember-Febuari, disemarakkan pula dengan pelbagai aktiviti outdoor disebabkan siang lebih panjang dari malam. Subuh seawal pukul 4 pagi dan maghrib selewat 8.40 malam. Seusai musim panas, menjelma pula musim luruh (autumn) pada Mac-Mei, yang menjanjikan keindahan luar biasa. Walaupun layaknya musim luruh ini hanya dikaitkan dengan dedaun yang kekeringan namun hadir dengan pelbagai warna yang hampir serupa. Warna warni musim luruh…pemandangan yang amat menakjubkan. Keajaiban ciptaan Tuhan…

Bunga-bunga mekar berkembang di musim bunga
Lagi bunga-bunga muncul di musim bunga...
Suasana pemandangan musim luruh di Emerald Park

Kenangan ..Suasana pemandangan musim luruh

Daun-daun berguguran di musim luruh


Tika sampai saatnya musim luruh memberi laluan untuk musim sejuk (winter) yang datang pada Jun-Ogos menggantikannya. Hadirnya membawa malam yang tempohnya lebih panjang daripada siang. Subuh pukul 6.15 pagi dan maghrib seawal pukul 5.15 ptg. Walaupun hadirnya dengan seribu satu keresahan bagi sebahagian warga tempatan, namun bagi sesetengah orang - kedatangan musim sejuk terutamanya salji sangat dinanti. Walaupun kesejukannya mencengkam tulang namun kemeriahan bermain salji pasti menjadi salah satu nostalgia yang terpahat dalam ingatan terutama setelah tidak lagi bermastautin di sini. Musim sejuk yang sinonim dengan warna putih seputih salji yang memenuhi bumi. Satu lagi keindahan luar biasa semulajadi yang tiada di tanahair sendiri…

Bumi diliputi salji putih pada musim sejuk di Mount Buller

Suasana bersalji di musim sejuk
Bermain salji di Mount Buller


Saya tinggalkan banyak perkara yang menjadi kenangan. Ia satu tempoh yang diingati. Saya tinggalkan Australia, tetapi saya membawa segala kenangan dan pengalaman pulang bersama. Seperti mana musafir lain, bermusafir sering membuat kita berfikir dan merenung kembali banyak perkara yang dilihat dan menilai banyak perkara yang dipegang. Pandangan kita mengenai sesuatu perkara boleh berubah disebabkan perubahan tempat. Musafir juga membuka kesempitan penilaian kepada yang lebih luas dan jauh. Ianya juga memberi pelbagai pengalaman yang membuka hati dan minda. Memberikan penilaian baru tentang kehidupan. Musafir menguji keimanan kita dan seterusnya memberi peluang bermuhassabah serta menginsafi diri

Sepanjang 3 tahun lebih bermusafir, sedikit sebanyak saya dapat memahami corak dan erti kehidupan di bumi Kangaroo ini. Ternyata memang banyak mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi. Terkadang berlakunya suasana yang betul-betul menguji kesabaran dan ketabahan diri. Ujian ukhuwah antara rakan-rakan... ujian hidup dalam masyarakat yang majoritinya beragama kristian... cabaran bagaimana mengekalkan jati diri dan mempertahan iman diri dan anak-anak... Semua ini perlu dihadapi dan dihadam serta diambil cakna sebaiknya. Musafir ini menjadikan kami sekeluarga banyak belajar. Belajar bersabar terutamanya, belajar menjadi tabah dan kuat, belajar mengenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam, belajar akan ertinya redha dan banyak lagi perkara yang mendidik serta menjadikan kami hamba Allah yang semakin banyak bermuhassabah dan bersyukur.

Musafir membebaskan diri dari belenggu taksub, merintis jalan kepada keluasan pandangan dan ufuk pemikiran insan. Saya ingin bermusafir lagi jika diizinkan Allah. Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pegangan dan pandangan diri dalam perjalanan menuju Allah... Sesungguhnya, bermusafir itu membuat diri semakin mengenal dan bergantung harap kepada Allah S.W.T!.



Semalam adalah sejarah .. dan Hari ini adalah hadiah .. Esok adalah misteri ..
Alhamdulillah .. Terima Kasih Allah

Saturday, 22 December 2012

Bila tiba masanya untuk kembali...


Sesuatu yang bermula pada suatu saat pasti akan berakhir, itulah hakikat kehidupan di dunia. Begitulah juga dengan musafir dan keberadaan saya di bumi Kangaroo ini. Setelah lebih dari tiga tahun berada di Australia dan ianya menandakan cuti saya sudah menghampiri penghujungnya maka tibalah masanya untuk kembali ke tanah air. Kembali ke Malaysia selepas menghabiskan masa selama tiga tahun lebih bermastautin di Australia adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan. Pengalaman saya tinggal dan bekerja serta dalam masa yang sama menemani isteri belajar di negara 'down-under' ini adalah sesuatu yang sangat berharga. Ianya adalah pengalaman yang mahal, jarang diperolehi dan tidak boleh ditukar ganti. Namun, saya juga tidak sabar untuk segera kembali di tengah-tengah keluarga dan orang-orang yang saya kenal serta dekat di hati.

Beberapa ketika yang lalu saya cukup tersentuh bila menghadiri majlis perpisahan rakan-rakan yang akan berangkat pulang ke tanah air. Ada yang pulang setelah mengemukakan tesis kepada pihak universiti masing-masing manakala sebahagiannya terpaksa pulang dulu dan menyudahkan penulisan tesis di tanah air atas pelbagai sebab. Biasanya pada hari berangkat pulang rakan-rakan samada seorang diri atau  bersama keluarga masing-masing ke Malaysia, suatu majlis perpisahan diadakan di rumah rakan senegara yang menjadi tempat berkumpul sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne untuk kembali pulang ke Malaysia. Bermacam situasi yang dialami oleh rakan-rakan yang akan pulang ke tanah air. Ada banyak hal yang harus diselesaikan dan disempurnakan sebelum dapat  kembali ke tanah air. 

Banyak ibrah yang diperolehi daripada kepulangan mereka. Selepas memerhati dan mempelajari pelbagai situasi yang dilalui oleh rakan-rakan yang sudah pulang ke Malaysia serta ditambah dengan pengalaman sendiri, saya rumuskan terdapat beberapa persediaan penting yang perlu dilakukan supaya kepulangan ke tanah air tidak menjadi kelam-kabut dan bermasalah. Pada entri kali ini, saya ingin berbagi pengetahuan dan pengalaman mengenai persediaan yang perlu dilakukan supaya proses kepulangan ke tanah air tercinta lancar dan aman.

Perancangan dan persediaan rapi adalah perlu bagi menyelesaikan pelbagai urusan yang berkaitan dengan proses kepulangan ke Malaysia. Mulai dari menghantar barang-barang melalui kargo, menempah tiket pulang, mengurus dokumen-dokumen penting seperti passport dan visa sehinggalah trip perjalanan saat akhir bersama rakan-rakan ke destinasi-destinasi yang belum sempat dikunjungi. Apabila tiket pulang telah disahkan tarikh dan masanya, waktu yang berbaki dan kesempatan yang masih ada harus dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ada banyak hal yang harus kita 'beres'kan sebelum kita pulang kembali ke tanah air. Di sini saya rumus dan rangkumkan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:

1. Menempah tiket pulang.

Kalau boleh dilakukan lebih awal dari tarikh kepulangan lagi bagus, terutama jika kita membawa keluarga. Ini adalah penting jika pelajar mempunyai bilangan anak lebih dari 3 orang atau berumur 13 tahun ke atas. Terdapat sebilangan universiti yang menaja pelajar hanya membiayai pasangan dan hanya 3 orang anak untuk tambang penerbangan pergi dan balik sekali sahaja sepanjang tempoh pengajian. Sebahagian universiti lagi hanya membiayai pasangan dan anak-anak pelajar yang berumur di bawah 13 tahun sahaja. Jika bilangan anak lebih dari 3 orang atau  berumur 13 ke atas, tambang balik mereka mesti ditanggung dan diusahakan sendiri oleh pelajar berkenaan. Syarat-syarat berkaitan perkara ini mungkin berbeza di kalangan universiti-universiti yang menaja pelajar, maklumat lanjut mengenainya perlu dirujuk kepada pihak universiti berkenaan. 

Biasanya harga tiket yang ditempah atau dibeli pada masa lebih awal adalah lebih murah berbanding yang ditempah pada saat-saat akhir. Perbezaan harga di antara keduanya kadangkala sangat ketara dan penjimatan kos dapat dilakukan jika kita awal menempahnya. Perbezaan harga juga agak ketara bila kita menempah tiket secara online terutama jika menggunakan handphone berbanding menggunakan PC atau laptop. Ini adalah berdasarkan pengalaman rakan-rakan yang telah melaluinya. Perkara ini adalah penting bagi pelajar yang terpaksa membiayai sendiri sebahagian perbelanjaan tambang untuk keluarga masing-masing.

Selain itu, pastikan juga tarikh kepulangan masih dalam tempoh sah atau dibenarkan seperti dalam visa permit tinggal supaya tidak timbul masalah atau perkara yang tidak diinginkan. Pengesahan tarikh dan masa tempahan tiket pulang ini penting kerana ianya memudahkan perancangan seterusnya seperti bila masanya untuk menamatkan kontrak sewa dan mengosongkan tempat penginapan, menamatkan sambungan elektrik, air, gas, telefon, internet dan pelan handphone, menutup akaun bank, menghantar (shipping) barang dan urusan jual-beli kenderaan bagi yang mempunyai kenderaan.

2. Menamatkan kontrak sewa tempat tinggal.

Bagi penyewa yang sudah melebihi 12 bulan menyewa dan ingin menamatkan kontrak selepas tarikh  kontrak habis, perlu memberi tahu agen atau landlord sekurang-kurangnya 4 minggu sebelum tarikh kepulangan atau bergantung pada kesepakatan seperti di dalam kontrak. Bagi penyewa yang bercadang tinggal kurang daripada tempoh 12 bulan, mesti memastikan menandatangani kontrak yang membenarkan kontrak sewa ditamatkan sehingga tempoh masa berkenaan. Agak sedikit rumit jika  kita mahu menamatkan kontrak sebelum tarikh masanya habis, paling tidak kita harus memaklumkan kepada agensi / landlord 8 minggu sebelum kepulangan kita atau mengikut klausa kontrak. Dalam kes kami yang sudah menyewa melebihi 2 tahun hanya perlu memaklumkan kepada agen pengurusan hartanah Darras and Zervas, 4 minggu sebelum tarikh pulang. Kami tidak perlu membayar sewaan penuh pada bulan terakhir, tetapi bayaran sewa dikira berdasarkan kadar sewa harian iaitu jumlah sewa sebulan dibahagi dengan bilangan hari dalam bulan tersebut dan didharabkan dengan bilangan hari kami tinggal sehinggalah tarikh kediaman tersebut dikosongkan.

Dengan berakhirnya kontrak sewa ini kita juga mempunyai tanggungjawab mengosongkan dan  membersihkan tempat kediaman sama seperti keadaan ketika kita masuk di awal kontrak dulu. Bagi kediaman yang mempunyai karpet, perkara yang wajib dilakukan adalah mencuci karpet dengan menggunakan khidmat pencuci karpet profesional. Selain daripada karpet, kita boleh menjimatkan upah mencuci dengan membersih sendiri dapur, oven, heater, tingkap, bilik air, tandas, lantai, dinding dan siling kediaman sehingga bersih, sama seperti ketika kita masuk dulu. Kita harus mengemukakan resit yang kita terima daripada pencuci karpet professional kepada agen / landlord untuk  mendapatkan balik duit bond yang diberi semasa di awal kontrak. 

Untuk urusan mencuci karpet di unit kediaman, kami menggunakan perkhidmatan Pak Rudy (Tel: 0430489755) - Pencuci karpet profesional berbangsa Cina yang berasal dari Indonesia dan sudah lebih 15 tahun menetap di Australia. Harga yang dikenakan adalah bergantung kepada keluasan karpet. Biasanya bagi 3 bilik dan  satu ruang tamu yang berkarpet, harganya sekitar $90 hingga $120 bergantung kepada keluasan karpet di ruang berkenaan. Duit bond yang berjumlah sebulan sewa akan dikembalikan sepenuhnya selepas pihak agen / landlord berpuas hati dengan keadaan dan kebersihan kediaman selepas pemeriksaan dilakukan. Jika pihak agen / landlord tidak berpuas hati dengan kebersihan atau keadaan kediaman, sebahagian duit bond akan diambil untuk upah membersih semula atau mengganti alatan yang rosak/hilang.  

3. Mengosongkan kediaman.

Sebelum urusan mencuci kediaman dimulakan, sebaiknya kediaman tersebut perlu dikosongkan terlebih dahulu untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan dijalankan. Ada banyak cara bagaimana  mengosongkan kediaman, jika agen / landlord bersetuju ada rakan yang akan takeover, urusannya menjadi sederhana. Kita boleh take over seluruh kandungan isi rumah dengan harga yang dipersetujui dengan rakan, atau kita akan menghibahkan seluruhnya. Jika tidak dibenarkan take over, kita boleh menjual isi rumah atau menghibahkan samada kepada rakan-rakan yang memerlukannya atau institusi yang biasa menerima. Jika keadaannya tidak cukup layak untuk dihibahkan / dijual kita harus membuangnya ke tempat pembuangan akhir. Jika barang yang akan dibuang cukup banyak dan saiznya besar dan boleh dikitar semula seperti mesin basuh dan peti sejuk, kita boleh memberinya kepada pusat kitar semula yang terdapat berdekatan dengan kediaman. Sebahagian pusat kitar semula menyediakan pekhidmatan pengangkutan untuk mengambil barangan kitar semula yang diberikan kepada mereka. Maklumat mengenai pusat kitar semula ini ada terdapat di internet mengikut lokaliti yang berkenaan.  

Bagi barangan yang tidak boleh dikitar semula, kita boleh membuangnya semasa spring cleaning  yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum tarikh kepulangan. Spring Cleaning untuk kawasan Clayton, biasanya adalah pada bulan September pada setiap tahun. Dalam hal mengosongkan kediaman ini, kami melakukannya 12 jam sebelum tarikh dan masa kepulangan kami ke Malaysia. Usai sahaja kerja-kerja pembersihan, kami  terus menyerahkan kunci kepada pihak agen. Sebaik sahaja menerima kunci, pihak agen terus melakukan pemeriksaan dan hasilnya mereka berpuas hati. Kami menerima duit bond  yang dimasukkan ke dalam akaun dalam tempoh 3 hari selepas pemeriksaan dijalankan.   

4. Menamatkan sambungan perkhidmatan elektrik, air, gas, internet, telefon dan pelan telefon bimbit.

Perkara ini cukup sederhana, kita hanya perlu menelefon kepada pembekal perkhidmatan berkaitan dan memberitahu tarikh bila kita hendak memutuskan perkhidmatan tersebut. Khas untuk pelan telefon  bimbit, sejak awal usahakan hanya mengambil kontrak yang lebih pendek dari masa tinggal kita untuk mengurangkan kegawatan di masa akhir menjelang kepulangan kita. Jika memang tidak ada pelan yang sesuai dengan masa tinggal kita, saya sarankan untuk menggunakan kad pra bayar. Bagi perkhidmatan internet khususnya TPG, ianya memerlukan 30 hari notifikasi untuk menamatkan sambungan. Selepas memaklumkan melalui telefon, kita mesti mengesahkan untuk menamatkan sambungan internet tersebut melalui email atau surat. Tarikh 30 hari notifikasi bermula pada tarikh pengesahan dilakukan samada melaui kiriman email atau surat.

5. Menutup akaun bank.

Boleh jadi ada beberapa perkara yang masih kita perlukan yang berkaitan dengan akaun kita di bank yang membuat kita tidak boleh menutup akaun sebelum kita pulang ke tanah air. Salah satunya adalah urusan pembayaran balik duit bond yang berkaitan sewaan tempat kediaman. Dalam hal ini, hubungi pihak bank dan tanyakan tatacara yang terbaik perlu dilakukan bagi situasi yang kita hadapi. Dalam sesetengah kes, pihak bank membenarkan third party arrangement, kita boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menutup akaun kita  atau penutupan akaun melalui telefon selepas kita sudah pulang ke tanah air.

6. Menghantar barang.

Biasanya buku-buku, tetapi banyak juga kawan yang membawa barang lain seperti BBQ set, coffea  machine, basikal, peralatan / mainan kanak-kanak, peralatan elektrik, elektronik , pakaian, kasut, dsb. Yang perlu diingat adalah sama ada barangan tersebut boleh digunakan atau tidak bila sampai di Malaysia? Kerana jika tidak, selain kita perlu membayar untuk kos penghantaran kita juga hanya menghantar 'sampah' kerana kita tidak boleh menggunakannya. Dari pengalaman peribadi dan rakan, pakaian yang dihantar pulang biasanya tidak dipakai lagi kerana selain tidak sesuai kerana faktor cuaca, pakaian baru di Malaysia lebih 'bergaya' dan harganya pun lebih berpatutan. Daripada dihantar mungkin lebih baik di'waris'kan ke rakan yang masih memerlukan di sini, terutama pakaian untuk musim sejuk dan anak-anak. Jika memang banyak barang yang akan kita bawa pulang, saya mencadangkan untuk menghantarnya lebih dulu, paling lambat dua minggu sebelum kepulangan kita.

Untuk menghantar barang kita boleh memilih syarikat penghantaran mana yang sesuai dengan kehendak kita. Ada banyak pilihan. Kita boleh bertanya kepada rakan yang lebih dulu pulang untuk mendapatkan pertimbangan yang baik, termasuk bayaran penghantaran. Hubungi syarikat tersebut untuk menanyakan kos, tarikh penghantaran, dokumen dan keperluan yang harus kita sediakan. Jika memang perlu, bandingkan untuk memilih syarikat yang memberikan perkhidmatan terbaik dengan harga yang paling berpatutan. 

Cara penghantaran yang biasa menjadi pilihan rakyat Malaysia di sini adalah melalui kapal laut. Terdapat dua perkhidmatan yang ditawarkan iaitu penghantaran dari pintu ke pelabuhan (door to port) dan pintu ke pintu (door to door). Penghantaran dari pintu ke pelabuhan adalah bermaksud barangan yang hendak dihantar dikutip dari rumah dan dihantar ke pelabuhan di Malaysia yang paling hampir dengan alamat pengirim. Manakala penghantaran dari pintu ke pintu pula bermaksud barangan yang hendak dihantar diambil dari rumah pengirim di Australia dan setelah sampai di Malaysia, barangan tersebut seterusnya dihantar ke alamat yang dinyatakan oleh pengirim. Kaedah penghantaran ini adalah lebih murah tetapi mengambil lebih masa berbanding dengan  penghantaran melalui udara. 

Kos penghantaran adalah dikira berdasarkan saiz isipadu barangan dalam ukuran meter. Semua barangan yang hendak dihantar hendaklah dibungkus samada dengan memasukkan ke dalam kotak kertas atau beg. Semua kotak atau beg hendaklah ditampal alamat,  nombor bilangannya dan diambil ukuran panjang, lebar dan tingginya dalam ukuran meter bagi mengetahui jumlah isipadu barangan. Sebaiknya setiap beg atau kotak tidak terlalu berat bagi memudahkan pekerja mengangkatnya. Berat setiap beg atau kotak sepatutnya tidak melebihi 30 kg. 

Bagi barangan yang berat dan mudah pecah seeloknya dibungkus dalam kotak yang lebih kecil serta dilekatkan label ‘fragile’. Setiap barangan yang dibungkus juga hendaklah dinyatakan jenis atau kategorinya untuk memenuhi syarat-syarat penghantaran dan sebagai rujukan. Satu dokumen yang mengandungi butiran pengirim, senarai barangan, keterangan barangan, no. kotak dan jumlah isipadu hendaklah disediakan bagi memudahkan urusan penghantaran terutamanya yang melibatkan pihak kastam.

Contoh barangan yang dibungkus dan dilabel untuk dihantar balik

Contoh senarai barangan untuk dihantar balik


7. Membawa bagasi dan hand luggage ketika pulang

Usahakan kita hanya akan membawa beg kecil dan jumlah had berat yang dibenarkan sahaja ketika  kita pulang. Setiap syarikat penerbangan mempunyai peraturan-peraturan khas berkaitan dengan jumlah had berat bagasi dan hand luggage yang boleh dibawa oleh setiap penumpang. Pengalaman saya semasa pulang ke Malaysia bersama keluarga menggunakan pesawat MAS baru-baru ini adalah mendapati penumpang hanya dibenarkan membawa bagasi tidak melebihi 30 kg/orang. Manakala bagasi bagi bayi pula tidak melebihi 10 kg/orang. Sementara setiap penumpang dibenarkan membawa hand lugage yang tidak melebihi berat 7kg dan saiz yang ditetapkan.

Situasi yang sering berlaku adalah pada saat-saat akhir hendak pulang, kita banyak berbelanja dan bagasi kita yang dahulunya dikira sudah tinggal sedikit menjadi banyak semula dan boleh jadi akhirnya melebihi had maksima yang dibenarkan. Bila berat bagasi atau hand lugage melebihi berat yang dibenarkan, kita ada dua pilihan iaitu mengeluarkan sebahagian barangan dari bagasi dan hand lugage atau terpaksa membayar bagi setiap kilogram yang terlebih. Bayaran yang dikenakan bagi setiap kilogram yang terlebih biasanya agak mahal dan ianya tentulah membebankan jika lebihan berat tersebut banyak. Sementara barangan yang dikeluarkan dari bagasi dan hand lugage juga mempunyai dua pilihan iaitu samada kita terpaksa memberinya kepada rakan yang pergi menghantar atau membuangnya ke dalam bin yang disediakan di lapangan terbang. Tentulah kita tidak mahu perkara ini berlaku semasa kepulangan kita.  

Cara untuk mengelak ianya berlaku adalah kita perlu menimbang semua bagasi dan hand lugage semasa proses membungkus bagi mengetahui beratnya. Kita hanya membungkus barangan mengikut jumlah berat yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan. Satu lagi perkara yang paling penting dibuat sebelum bertolak ke lapangan terbang adalah memeriksa tiket, passport, semua dokumen penting dan mengira bilangan bagasi serta hand lugage yang harus dibawa supaya tidak berlaku keciciran atau kehilangan semasa kepulangan. Demikianlah beberapa perkara yang perlu diperhatikan sebelum pulang ke tanahair. Semoga bermanfaat...

p/s : Salah di mata jika tidak nampak, salah tafsiran jika tidak dinilai..

Monday, 26 November 2012

Jom! Pergi Cherry Picking

Musim Cherry di Victoria, Australia datang lagi!. Biasanya di kebanyakan kawasan musim Cherry bermula pada minggu pertama atau kedua bulan November dan berterusan sehinggalah memasuki pertengahan bulan Januari pada setiap tahun. Musim puncak adalah pada minggu-minggu menjelangnya hari Krismas. Tahun ini musim Cherry datang agak lambat sedikit, iaitu minggu ketiga bulan November. Musim sejuk yang sedikit panjang menyebabkan buah-buah Cherry masak agak lewat. Di kebanyakan ladang, ia mula dibuka kepada pengunjung pada 17 hb. November 2012 (Sabtu).

Buah-buah cherry yang mulai masak


Victoria mempunyai kira-kira 800 hektar ladang Cherry yang produktif. Terdapat 4 kawasan utama penanaman Cherry di Victoria iaitu di Goulburn Valley (Tatura, Cobram), Timur laut Victoria (Wangaratta, Stanley), Tengah Victoria (Alexandra, Yarck, Strathbogie, Euroa) dan Selatan Victoria (Yarra Valley, Mornington Peninsula, Gisborne). Pengeluaran tahunan buah Cherry adalah kira-kira 4,000 tan metrik dengan nilai @ $ 6.50/kg lebih kurang $ 25-30 juta. 

Pada 18 Nov 2012 (Ahad) yang lepas, kami berkesempatan pergi memetik cherry di Ladang Cherry bernama Cherry Bomb di Wandin Timur. Ladang Cherry ini terletak di Selatan Victoria iaitu di dalam kawasan Yarra Valley yang jaraknya kira-kira 41 km dari Oakleigh East. Perjalanan pergi memetik cherry kali ini disertai oleh Nasyran dan Ruzaidi bersama keluarga masing-masing. Rancangan dan destinasi asal yang dipilih adalah ladang Cherry bernama Cherry Haven di 470 Queen Rd, Wandin East,Victoria. Cherry Haven baru sahaja dibuka kepada orang ramai untuk memetik Cherry sehari sebelumnya.

Meskipun hujan renyai mengguyur dari langit membasahi tanah dan permukaan jalanraya pada awal paginya, kami meneruskan juga rancangan pergi memetik cherry kerana ramalan cuaca di Wandin East adalah cerah menjelang tengahari. Kami bertolak lebih kurang pukul 8.30 pagi dan selepas 15 minit memulakan perjalanan, kami dimaklumkan oleh seorang rakan melalui telefon bahawa ladang Cherry Haven ditutup disebabkan buah Cherry yang sudah masak tidak cukup banyak kerana sudah dipetik oleh orang ramai sehari sebelumnya. 

Setelah berbincang, kami memutuskan untuk pergi petik cherry di Cherry Bomb yang juga berada dalam daerah Wandin East. Kami juga dimaklumkan, 3 atau 4 rakan-rakan yang lain bersama dengan keluarga masing-masing juga berhasrat memetik cherry di tempat yang sama. Selepas separuh perjalanan menuju Wandin, langit bertukar menjadi semakin kelam kerana dilitupi awan gemawan hitam yang berarak perlahan seolah-olah mengekori kereta yang kami naiki. Bulir-bulir halus air hujan jatuh menimpa dan memenuhi permukaan cermin depan kereta yang saya pandu. Sambil menggerakkan pengelap cermin, saya berkata kepada isteri, "Nampaknya hujan dah turun...harap-harap ianya tidak lebat... kalau lebat, habislah rancangan kita hendak petik cherry." "Harap-harap di Wandin tidak hujan, sebab ramalan cuaca  kata hari cerah menjelang tengahari." jawab isteri dengan wajah yang sedikit cemas. Setelah beberapa minit kemudian, hujan berhenti dan langit menjadi cerah semula.

"Syukur Alhamdulillah, nampaknya hari semakin panas!, Ya Allah! janganlah hujan, berilah peluang kami petik cherry!" demikian doa isteri bila melihat matahari menampakkan wajahnya dari sebalik awan. Di sepanjang perjalanan menuju ladang cherry bomb ini, kami dapat melihat kawasan luar bandar dan ladang yang luas beralun, hijau serta mendamaikan. Di kiri dan kanan jalan terdapat banyak ladang berries, cherry dan anggur.

Kami sampai di Cherry Bomb selepas 45 minit perjalanan iaitu lebih kurang pukul 9.15 pagi. Rupanya kami merupakan kumpulan pertama yang datang ke ladang Cherry Bomb pada hari tersebut. Usai kami memakir kereta, barulah datang kumpulan kedua pengunjung seramai 6 orang yang mempunyai raut wajah seperti orang Cina/Jepun/Korea. Saya sukar membezakan ketiga-tiga bangsa ini melalui penampilan fizikal mereka. Bagi saya mereka semua nampak macam sama. Selanjutnya kami menuju ke khemah yang didirikan berhampiran dengan rumah tuan punya ladang. Di khemah ini terdapat dua petugas perempuan yang mengendalikan urusan bayaran masuk dan mengira jumlah berat buah cherry yang dipetik oleh pengunjung.

Bayaran masuk ke ladang Cherry ini ialah $3 untuk pengunjung yang berumur 5 tahun dan ke atas. Manakala kanak-kanak bawah 5 tahun adalah percuma. Bagi buah cherry yang telah dipetik dan mahu dibawa keluar, harga yang dikenakan ialah $7 bagi setiap kilogram. Selepas membayar yuran kemasukan, kami diberi bekas plastik yang dilengkapi dengan tali pinggan bagi memudahkan proses memetik buah cherry dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Kemudian kami dan kumpulan pengunjung yang mirip seperti Cina/Jepun/Korea diberi taklimat mengenai jenis-jenis cherry yang terdapat diladang tersebut oleh seorang petugas lelaki.  Selain itu kami juga diajar cara yang betul bagaimana memetik buah cherry supaya tidak merosak lapisan tampuk tangkai buah yang memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 tahun untuk pulih dan mengeluarkan bunga seterusnya buah cherry.

Buah cherry akan tahan lebih lama jika dipetik bersama-sama dengan tangkainya. Buah cherry yang berwarna merah gelap adalah menandakan ianya masak ranum. Sementara yang berwarna merah cerah adalah separa ranum dan biasanya mempunyai masa yang lebih panjang sebelum ianya menjadi busuk atau rosak. Di ladang ini sebahagian pokok cherry terpaksa dilitupi dengan jaring bagi mengelak buah yang telah masak dimakan oleh burung. Bagi memetik buah cherry kami perlu masuk ke dalam litupan jaring dan seterusnya memetik buah-buah cherry yang sudah masak serta sedia untuk dimakan. Setelah lebih kurang 20 minit kami asyik memetik cherry, 4 keluarga rakan-rakan senegara sampai dan bergabung menyertai kami memetik buah cherry. Suasana riuh rendah dengan senda gurau dan pelbagai keletah anak-anak, terasa bagaikan bukan berada di Australia tetapi di Malaysia. Sambil memetik cherry untuk terus dimakan, kami juga memetiknya untuk dibawa pulang. Selain itu kami juga mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.   

Memetik cherry dari pokok di ladang dan terus dimakan adalah pengalaman yang sukar dan mungkin tidak dapat dirasai jika berada di Malaysia. Apatah lagi aktiviti ini dilakukan bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan. Mungkin ada orang bertanya, "Mengapa cherry picking? kenapa susah-susah pergi ladang, beli sahaja di kedai buah atau Coles, habis cerita." Jawapannya adalah - pertama, anak-anak sejak kecil didedahkan dengan alam sekitar, khususnya kebun atau ladang buah-buahan. Bagi orang dewasa, aktiviti memetik buah boleh jadi perkara biasa saja. Tetapi seperti kata pepatah, "Lihatlah dengan mata seorang anak kecil." Boleh jadi memetik cherry adalah pengalaman luar biasa bagi mereka. Malah masa bersama anak memetik buah Cherry adalah pengalaman dan masa yang istimewa buat si anak. Apa yang pasti, tidak perlu ilmu khusus memetik cherry. Asal petik, biasanya manis. 

Kedua, memetik cherry memang mengasyikkan. Melihat buah cherry yang merah matang di pohon dan memetiknya memang menyeronokkan. Kita boleh pilih jenis atau buah cherry mana yang kita suka. Kita boleh makan bermacam jenis cherry. Begitu juga kita boleh pilih buah cherry yang separa ranum atau ranum untuk dimakan. Ada banyak pokok cherry tinggi dan untuk memetik buah diperlukan tangga. Namun, tidak sedikit pohon cherry yang tumbuh rendah merinbum sehinggakan anak-anak kecil pun dengan mudah boleh meraih dan memetik cherry. 

Ketiga, cherry picking adalah kesempatan yang terbaik untuk berkumpul bersama keluarga di alam persekitaran terbuka. Bukan hanya di antara anak dan ibubapa tapi juga berjumpa dengan ahli keluarga yang lain dan rakan-rakan. kita boleh makan buah cherry sepuasnya di dalam ladang dan hanya membayar cherry yang dibawa pulang saja. Ladang Cherry Bomb ini mengenakan harga sebanyak $7/kg bagi buah cherry yang dibawa pulang. Selepas menghabiskan masa lebih kurang dua jam di ladang Cherry Bomb ini, kami semua berangkat pulang dengan membawa bersama buah cherry sebagai bekalan. Di bawah ini adalah gambar-gambar kami memetik cherry di ladang Cherry Bomb untuk dikongsi bersama.!

Jalan menuju ke Wandin East


Pemandangan luar bandar dalam perjalanan ke ladang cherry Bomb

Berjumpa ladang anggur semasa perjalanan ke Ladang Cherry Bomb




Papan Tanda Arah ke Cherry Bomb
Ladang Cherry Bomb beralamat di 120 Wandin Creek Rd, wandin East, Vic 3139

Di sebelah ladang Cherry Bomb adalah Ladang Berries - Jay Berries
Rumah tuan punya ladang Cherry Bomb

Tuan punya ladang juga ada membela ayam untuk kegunaan sendiri.
Kesian..Hafiz dan Hisham terpegun mereka melihat ayam,. Ayam dipanggilnya
burung...Ala hai...selalu makan daging ayam tapi jarang/tidak pernah tengok ayam hidup!

Bergambar bersama sebelum memulakan aktiviti memetik cherry

Berjalan menuju ke pokok-pokok Cherry di Ladang Cherry Bomb


Suasana di ladang Cherry Bomb

Sebahagian pokok-pokok cherry terpaksa dilitupi dengan
pukat/jaring  bagi mengelak buahnya dimakan oleh burung

Hidayah sedang asyik memetik cherry
Buah-buah cherry yang sudah masak dan boleh dipetik

Adik Hisham pun hendak petik cherry juga...

Lepas petik dari pokok terus makan...emm.,,yummm..manis..
Masuk ke dalam litupan pukat untuk memetik buah cherry
yang manis dan turut menjadi kesukaan burung-burung.


Cherry jenis Lewis-warna merah gelap dan rasanya manis
Cherry jenis Lambert - warna merah cerah  mempunyai rasa
masam-masam manis dan teksturnya lebih rangup.

Kaum bapa bersama anak-anak bergambar di ladang cherry
Kaum ibu pula bersama anak-anak bergambar di ladang cherry



Buah-buah cherry yang sudah dipetik dan dibawa pulang