Saturday, 4 May 2013

Pembawa Demam Denggi....

Pada awal bulan April 2013 lepas, saya mendapat perkhabaran berkenaan dua rakan disyaki dijangkiti demam denggi. Seorang telah dirujuk ke wad Hospital Kota Bharu Medical Centre (KBMC). Beliau disyaki dijangkit Demam Denggi Berdarah atau Dengue Haemorrhagic Fever (DHF). Keadaan beliau agak serius pada mulanya dan beransur-ansur stabil setelah mendapat rawatan. 

Manakala seorang rakan lagi dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu kerana dijangkiti Demam denggi (DF). Keadaannya tidak seserius rakan yang dimasukkan ke wad KBMC, Sekarang ini beliau telah pun pulih dan dibenar pulang ke rumah. Walaupun telah dibenarkan keluar daripada hospital, ternyata demam denggi telah memberi kesan kepada kesihatan dan dirinya. Berat badannya menjadi susut dan wajahnya menjadi cekung dan pucat. 

Ekoran daripada peristiwa tersebut, tergerak hati saya untuk menulis sesuatu berkenaan dengan demam denggi. Ya... demam denggi suatu penyakit yang semakin kerap terjadi dan dengar namanya sekarang ini berbanding dengan masa dahulu. Demam denggi ini menjadi masaalah kesihatan awam yang semakin besar magnitudnya. Mahu atau tidak mahu kita harus menghadapinya dan mencari jalan keluar bagi mengatasinya. Bagi menelurkan jalan mengatasinya kita perlu mengetahui semua maklumat berkaitan dengan penyakit demam denggi ini. Terdapat dua aspek besar yang perlu diketahui iaitu pertama berkenaan dengan Virus denggi itu sendiri dan keduanya berkaitan dengan pembawa virus tersebut iaitu nyamuk Aedes.

Entri kali ini saya ingin menulis berkenaan dengan pembawa demam denggi iaitu nyamuk Aedes. Bila membicarakan hal berkenaan pembawa demam denggi atau vektor kepada virus denggi ini, ramai yang sudah maklum tetapi tidak kurang juga yang belum mengenalnya secara pasti. Pada bulan-bulan yang lepas, saya dan rakan-rakan sekerja telah menghadiri mesyuarat mingguan Epidemiologi yang dipengerusi oleh seorang doktor yang pakar dalam bidang Kesihatan Awam. Beliau merupakan salah seorang ketua di tempat kami bekerja. Jawatan yang disandang oleh beliau adalah dikenali dengan nama Pegawai Kesihatan Epidemiologi atau ringkasnya Pegawai Epid.

Dalam salah satu sesi mesyuarat itu, berlaku perbincangan  di antara rakan-rakan sekerja dan saya dengan Pegawai Kesihatan Epidemiologi mengenai pembawa denggi. Berikut adalah perbincangan kami dengan Pegawai Kesihatan Epidemiologi tersebut :

Pegawai Epid. : “Apa pembawa demam denggi?”

Rakan 1 : “Nyamuk Aedes ”


Pegawai Epid. : “Ada berapa jenis nyamuk Aedes yang membawa demam denggi di Malaysia?”

Rakan 2 : “Dua!”

Pegawai Epid : “Apa dia?”

Saya : “Aedes albopictus dan Aedes aegyti” saya menyebut dua spesis nyamuk Aedes yang terdapat dan biasa dijumpai di Malaysia.

Pegawai Epid : “Apa perbezaan di antara keduanya terutama dari segi tabiatnya?” soal pegawai epid yang mahukan jawapan lebih kepada perbezaan tingkah laku dan bukannya perbezaan fizikal atau morfologi nyamuk Aedes dewasa.

Rakan 2 :“ Aedes albopictus biasanya bertelur dan membiak di luar rumah. Gemar berehat dan sering menggigit mangsanya di luar rumah. Sebaliknya Aedes aegyti, tempat pembiakannya di dalam rumah dan suka menggigit manusia yang berada di dalam rumah.” Jawapan yang diberi oleh rakan sekerja menyentuh perbezaan dari segi tingkahlaku di antara Aedes aegyti dan albopictus.

Sebenarnya banyak lagi perbezaan di antara keduanya samada di peringkat telur, jentik-jentik, pupa dan dewasa. Dalam banyak perbezaan tesebut, perbezaan tingkahlaku dan belang-belang hitam putih pada nyamuk dewasa yang agak mudah dikenalpasti.

Pegawai Epid :“Okay betul...tapi mana lebih bahaya, Aedes aegyti atau albopictus?. dan mengapa?..”

Rakan 3 : “Aedes aegyti... kerana ia membawa virus yang menyebabkan demam denggi berdarah (DHF)..dalam badannya. Manakala Aedes albopictus membawa virus denggi yang menyebabkan demam denggi tidak berdarah..dalam badannya.

Demikian jawapan oleh seorang rakan sekerja. Memang tidak dapat dinafikan jika dibandingkan di antara keduanya, ternyata Demam denggi berdarah (DHF) lebih  bahaya berbanding dengan Demam denggi tidak berdarah (DF). Ini adalah disebabkan DHF mengakibatkan berlakunya pendarahan yang serius dan  seterusnya DHF boleh bertukar menjadi Dengue Shock Syndrome (DSS) jika tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. DSS seterusnya boleh mengakibatkan kematian kepada pesakit yang mengalaminya.”

Pegawai Epid : "Okay... Di antara keduanya, mana satu yang lebih menularkan atau lebih menyebabkan jangkitan denggi kepada ramai orang? dan mengapa?

Rakan 1 : "Pada pendapat saya, Aedes albopictus lebih menyebarkan jangkitan virus denggi kerana habitatnya di luar rumah. Di luar rumah, terdapat ramai orang berbanding di dalam. Peluang untuk Aedes albo ini menggigit mangsanya dan menyebarkan virus denggi juga tinggi."

Pegawai Epid : "Awak macamana pula?"

Rakan 4 : "Bagi saya, Aedes aegyti lebih menyebarkan demam denggi kerana ianya membiak dan tinggal di dalam rumah. Dalam rumah ia tidak perlu terbang jauh untuk menghisap darah dan menyebarkan virus denggi kepada penghuni atau orang yang berada di dalam rumah tersebut!"

Pegawai Epid : " Bagaimana dengan awak?"

Rakan 5 : "Bagi saya, Aedes aegyti lebih menyebarkan demam denggi kerana tabiat mengigitnya"

Pegawai Epid : " Kenapa dengan tabiat menggigitnya?"

Rakan 5 : "Tabiat nyamuk Aedes aegypti ini, bila ianya menggigit dan menghisap darah seseorang atau mangsanya tidak terus sampai kenyang. Ia akan berpindah dan menghisap darah beberapa orang sebelum ianya kenyang. Berbeza dengan Aedes albo bila ia menghisap darah orang pertama yang ditemuinya terus sampai kenyang dan ianya tidak dapat menghisap darah orang yang seterusnya. Oleh itu peluang Aedes agypti menyebarkan demam denggi kepada ramai orang adalah lebih tinggi"

Pegawai Epid : "Di antara tiga jawapan tersebut, mana satu yang betul?"

Pegawai Epid : "Ok...Jawapan yang ketiga itulah yang betul. Memang jika dibanding tabiat menggigit di antara kedua spesis nyamuk Aedes ini, Aedes albopictus agak tamak sikit. Bila menghisap darah...sekali hisap terus sampai kenyang.  Berbeza dengan Aedes aegyti ia suka menghisap darah sekejap-sekejap. Lepas tu...ia pindah kepada orang lain dan begitu seterusnya sampai ia betul-betul kenyang. Bukan setakat menghisap darah sahaja, tetapi dalam masa yang sama memasukkan virus denggi ke dalam badan mangsanya"

"Mana satu yang menggigit dan menghisap darah lebih ramai orang?"

"Aedes agypti!"

"Mana satu yang lebih menyebarkan demam denggi?"

"Aedes agypti!"

"Mana satu yang lebih bahaya?"

"Aedes agypti"




Aedes aegyti (pandangan sisi). Mempunyai belang atau
jalur putih di bahagian mesothorax (belakang tengah)
yang lebih banyak berbanding  dengan Aedes albopictus

Aedes albopictus (pandangan sisi).  Mempunyai belang
atau jalur putih di bahagian mesothorax (belakang tengah)
yang sedikit berbanding  dengan Aedes aegypti

Aedes aegyti (pandangan depan). Terdapat 2 belang putih
yang berbentuk seperti layar dan sepasang jalur putih
di bahagian tengah mesothorax (belakang tengah)

Aedes albopictus (pandangan depan). Terdapat satu
jalur putih tebal  dan berbentuk lurus di bahagian
mesothorax (belakang tengah)

Suatu perkara yang sering menjadi masalah utama berkenaan dengan nyamuk Aedes ini adalah pembiakannnya. Aedes boleh membiak di mana-mana sahaja baik di dalam atau di luar rumah. Ia boleh membiak di dalam bekas atau takungan yang mempunyai air yang sedikit. Telur-telurnya boleh bertahan tanpa air selama 6 bulan dan bila terdapat air ia boleh menetas menjadi jentik-jentik dan bertukar menjadi pupa (kepompong) dan seterusnya nyamuk hanya dalam tempoh kira-kira seminggu sahaja. Sesetengah orang mempunyai fahaman yang salah berkaitan dengan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Mereka mengatakan nyamuk Aedes membiak di tasik, sungai, paya, parit-parit besar dsb. Sebetulnya nyamuk Aedes tidak membiak di tempat-tempat berkenaan. Kalau adapun jentik-jentik, ianya mungkin nyamuk Mansonia atau Culex.


Kitaran hidup nyamuk aedes bermula dari telur hingga
dewasa mengambil masa kira-kira satu minggu.

Daripada pengalaman kerja di Unit Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV), tempat-tempat pembiakan Aedes yang sering ditemui adalah di sekitar kediaman samada di dalam atau luar rumah.  Berikut adalah senarai dan gambar bekas atau tempat yang sering ditemui pembiakan nyamuk Aedes:

Dalam Rumah:
1. Akuarium
2. Perangkap semut
3. Pasu Bunga
4. Timba/baldi
5. Tempayan
6. Kolam (kolah) mandi
7. Tempat air peti sejuk
8. Mangkuk tandas yang lama tidak digunakan
9. Cistern (pam tandas) yang lama tidak digunakan
10.Bekas bunga/tumbuhan air (aquatic plants)

Luar Rumah:
1. Tayar buruk
2. Tempurung kelapa
3. Botol/gelas pecah yang mengandungi air
4. Salur air hujan yang tersumbat
5. Tempayan
6. Pokok Pisang
7. Pokok Keladii
8. Longkang yang tersekat
9. Tangki septik (terdedah)
10.Botol/bekas plastik yang menakung air

 



Tayar terpakai meupakan tempat pembiakan yang ideal untuk nyamuk Aedes.


Tempat pembuangan sampah juga di antara tempat yang
sering dijumpai pembiakan nyamuk Aedes


Tunggul pohon buluh dan bekas-bekas plastik boleh menjadi
tempat pembiakan nyamuk Aedes



Di antara kedua jenis pembawa demam denggi ini, ternyata Aedes aegyti lebih bahaya dan menyebarkan denggi tetapi Aedes albopictus merupakan spesis yang sering ditemui. Dalam membicarakan berkenaan nyamuk berbelang putih hitam ini, mungkin ada di antara pembaca tertanya-tanya mengapa ianya dinamakan Aedes? Sebenarnya Aedes berasal daripada perkataan Yunani Kuno aēdēs, yang bererti "tidak menyenangkan", kerana nyamuk ini menyebarkan beberapa penyakit berbahaya seperti demam denggi. Selain denggi, Aedes aegypti juga terkenal sebagai penyebar penyakit demam kuning (yellow fever) dan Chikungunya. 


 

Di antara tindakan yang berkesan dan utama dalam mencegah penyakit-penyakit yang dibawa oleh nyamuk Aedes ini adalah memusnahkan atau mengeringkan air di dalam bekas / takungan yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Cegahlah demam denggi daripada berlaku dengan cara meluangkan masa selama 10 minit dihujung minggu bagi memastikan kediaman kita bebas dari pembiakan Aedes.! Hapuskan Pembawa Demam Denggi! Tiada Aedes Tiada Denggi!


Sunday, 31 March 2013

Tiga Bulan Selepas Kembali Bekerja....


Sedar tidak sedar rupa-rupanya sudah 3 bulan saya kembali bekerja. Kehidupan saya menjadi sedikit sibuk berbanding semasa tinggal di Australia. Terasa masa begitu pantas berlalu. Banyak tugasan yang perlu dilaksana dan disempurnakan. Entri kali ini saya ingin menulis berkenaan perkerjaan dan situasi terkini yang sedang dialami. Selepas melaporkan diri tempoh hari, saya telah ditempatkan di Unit Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV). 

Ianya merupakan salah satu sub unit di bawah Unit Inspektorat. Unit lain yang terdapat bawah Inspektorat adalah Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), HIV/AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCDC), Keselamatan dan Kualiti Makanan (KKM), Kawalan Mutu Air Minum (KMAM), Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), Penyiasatan dan Pendakwaan (UPP), Promosi Kesihatan (UPK), Surveilan dan Tb/Kusta.

Unit RKPBV bertanggungjawab ke atas morbiditi dan mortaliti penyakit-penyakit bawaan vektor yang merangkumi Malaria, Denggi, Filariasis (Untut), Japanese Encephalitis, Scrub Taifus (Typhus), Hawar (Plague) dan Yellow Fever. Penyakit Chikungunya, Kalaazar dan West Nile Fever juga telah diserapkan ke dalam RKPBV pada Januari 2001.

Objekif Unit RKPBV meliputi:-
1.Mengurangkan kejadian dan kematian penyakit bawaan vektor supaya ianya tidak lagi menjadi masalah kesihatan umum di Malaysia.
2.Mencegah kejadian penyakit bawaan vektor di kawasan di mana tiada berwabak pada masa ini.
3.Mencegah kedatangan semula (“re-introduction”) penyakit Hawar dan mencegah pengimpotan penyakit Yellow Fever.
4.Mencegah kemasukan penyakit Chikungunya, Kala-azar dan West Nile Fever

Unit RKPBV merupakan yang terbesar dengan bilangan kakitangan yang ramai jika dibandingkan dengan unit-unit yang lain. RKPBV merupakan hot unit kerana ia melibatkan penyakit demam denggi yang mesti disiasat dalam tempoh 24 jam dari tarikh ianya dilaporkan. Demam denggi merupakan penyakit bawaan vektor yang menjadi masaalah kesihatan utama dalam masyarakat, khususnya di daerah Kota Bharu dan Malaysia secara amnya.

Sengaja saya pilih dan ceritakan secara sepintas lalu berkenaan dengan Unit RKPBV ini kerana dari pengalaman tidak ramai orang yang mengetahui peranannya kecuali ahli keluarga dan mereka yang pernah mengidap demam denggi. Tidak ramai yang sedar dan perasan tentang kewujudan dan peranan yang dilakukan oleh unit ini bagi memastikan kejadian atau wabak penyakit bawaan vektor terkawal. Semoga tulisan ini memberi sedikit pencerahan kepada pembaca yang belum mengetahuinya.

Berbalik kepada Unit RKPBV di tempat saya bekerja, ianya dibahagikan kepada 3 pasukan iaitu Siasatan, Kawalan dan Pencegahan. Saya termasuk dalam pasukan siasatan yang terdiri daripada 6 orang pegawai penyiasat. Sebaik sahaja notifikasi kes Demam Denggi diterima dari hospital dan klinik (kerajaan dan swasta), ianya mesti disiasat segera dalam tempoh 24 jam. Secara ringkasnya tugas kami adalah bagi menentukan punca dan tempat jangkitan.



Pasukan Kawalan dan Pencegahan Unit RKPBV sedang 
melakukan tugasnya.

Semburan kabus dilakukan bagi membunuh 
nyamuk Aedes dewasa. 

Selepas itu pasukan Kawalan dan Pencegahan akan meneruskan tindakan seterusnya. Biasanya sebelum semburan kabus dijalankan di lokaliti yang disyaki sebagai tempat seseorang pesakit itu dijangkiti denggi, suatu Pemeriksaan Pembiakan Aedes (PPA) dilakukan bagi mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Selain itu, ianya juga bagi menentukan Indeks Aedes di lokaliti tersebut. Bagi premis yang didapati terdapat pembiakan Aedes di dalam atau di luar kawasan persekitaran premis, penghuninya akan dikenakan kompaun atau tindakan mahkamah jika gagal membayarnya mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Selepas PPA dilaksanakan, barulah semburan kabus dilakukan di dalam dan luar premis (rumah dan bangunan) bagi membunuh nyamuk Aedes dewasa. Bagi daerah Kota Bharu secara puratanya terdapat 10-15 kes yang disyaki demam denggi dilaporkan pada setiap hari. Jumlah tersebut cukup membuatkan saya dan rakan-rakan di unit RKPBV sibuk pada setiap hari termasuk hari minggu....

Monday, 18 February 2013

Aset dan saham akhirat untuk Ibu dan Ayah....


“Kalau boleh, abang nak semua anak kita menjadi hafiz atau hafizah” itulah ungkapan yang selalu saya ucapkan kepada isteri bila membicarakan soal masa depan anak-anak kami. Kami bersependapat dalam perkara ini, malah isteri akan menetapkan impian yang lebih spesifik. “Kalau boleh, Ila mahu semua anak kita menjadi seorang doktor yang hafaz 30 juz Al Qur’an.”

“Mengapa doktor, kenapa tidak ustaz, ustazah, pensyarah atau lain-lain profession?. Kan baik kalau jadi seorang ustaz atau ustazah, bukan sahaja ilmu itu bermanafaat kepada diri sendiri tetapi juga boleh mengajar kepada orang lain!” saya lontarkan pertanyaan bagi menduga niat sebenar di sebalik impiannya. Adakah kerana beliau seorang doktor maka anak-anak juga mesti mengikut jejak langkahnya.

“Ya, benar apa yang abang katakan, tetapi seorang doktor yang mantap ilmu agama dan al qur’annya mempunyai kelebihan-kelebihan lain berbanding seorang ustaz atau ustazah...” jawab isteri tanpa memberi penjelasan lanjut.

“Apa kelebihan lain yang Ila maksudkan?”

“Ya, kalau seorang ustaz atau ustazah biasanya mengajar ilmu yang ada dalam dadanya kepada orang Islam yang datang kepadanya atau beliau pergi kepada mereka. Audien mereka umumnya adalah orang yang seagama dengan mereka.”

“Jarang benar atau mungkin tiada langsung pendengar atau pelajar yang mengikuti kuliah dan ceramah yang diberikan adalah mereka yang berlainan pegangan agama. Jangkauan dakwah mereka mungkin tidak dapat merentasi sempadan agama malah bangsa pun susah!.”

“Macamana dengan doktor pula?”

“Kalau doktor pula, mereka boleh merawat sesiapa saja yang memerlukan khidmat mereka. Pesakit mereka bukan setakat yang seagama tetapi juga mereka yang berlainan bangsa dan agama. Doktor boleh pergi kepada pesakit yang berlainan agama atau mereka boleh datang kepada doktor dengan perasaan lebih selesa dan persepsi kurang bias berbanding dengan seorang ustaz/ustazah.”

“Dalam situasi inilah peranan seorang doktor itu sangat penting. Mereka bukan sahaja merawat dan membantu pesakit meringankan penderitaan yang dialami tetapi dalam masa yang sama boleh menunjukkan akhlak yang baik. Merawat pesakit dengan penuh kasih sayang kerana Allah SWT dan akhlak yang terpuji juga merupakan satu bentuk dakwah.!”
   
Demikian penjelasan isteri sebab musabab mengapa beliau inginkan anak-anak menjadi seorang doktor. Bukan sebarangan doktor tetapi seorang doktor yang hafaz seluruh ayat-ayat al quran, mantap iman, akhlak dan ilmu agamanya.

Saya bersetuju dengan pendapat yang dipegangi oleh isteri. Dakwah itu bukan sahaja melalui luahan kata-kata tetapi perlu disertai dengan akhlak yang baik. Bagi saya akhlak yang baik itu lebih utama dan aula. Biasanya orang yang bukan Islam atau belum lagi Islam - (itu istilah yang selalu diguna pakai oleh seorang guru yang mengajar saya di sekolah menengah) tertarik kepada Islam bukan melalui bijak bicara atau indahnya susunan kata-kata dan bahasa pendakwah semasa berdakwah tetapi lebih kepada akhlak yang diamalkannya. Dakwah itu akhlak! 

Seorang doktor juga mempunyai peluang yang lebih baik untuk pergi ke seluruh dunia terutamanya dalam misi-misi bantuan kemanusiaan atau perubatan setelah sesuatu bencana berlaku. Atas kapasiti sebagai seorang ustaz atau ustazah, peluang berdakwah di kalangan mangsa Tsunami seperti yang berlaku di Jepun pada 11 Mac 2011 atau mangsa taufan Bhopha yang melanda Philippina pada 5 Disember 2012 mungkin nipis atau tiada langsung. Berbeza dengan seorang doktor peluangnya lebih terbuka dan boleh diterima tanpa prejudice. Ada ketikanya dakwah tidak memerlukan kita banyak berkata-kata tapi keikhlasan hati kepada Allah dan akhlak yang terpuji yang menjadi tarikan serta perhatian. 

Memang benar itulah harapan dan impian kami berdua. Semoga diizinkan Allah, harapan dan impian kami termakbul. Harapan dan impian kami ini disandarkan kepada dua anak perempuan kami yang sekarang ini diusia persekolahan iaitu Nur Hafizah  dan Nur Hidayah. Nur Hafizah sudah mencecah umur 13 tahun dan seharusnya perlu memulakan alam persekolahan di peringkat menengah. Manakala Nur Hidayah pula berumur 10 tahun dan perlu meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah. Sebulan sebelum balik ke Malaysia kami telah mula mencari-cari sekolah yang sesuai untuk keduanya. 

Setelah tinjauan dan penyelidikan yang dilakukan, kami akhirnya memilih Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman Binjai untuk Nur Hafizah dan Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 bagi Nur Hidayah atas permintaannya bagi menghabiskan persekolahan peringkat rendahnya di sini. Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 adalah sekolah asal bagi Nur Hafizah dan Nur Hidayah sebelum mereka bersekolah di Australia. Sementara Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman adalah sebuah institusi pendidikan swasta yang tersusun dan terancang bagi melahirkan individu muslim yang mampu mempraktikkan Islam dengan sempurna dan menyeluruh. Sekolah ini terletak di Lot 3496, Jalan Tali Air Binjai 16150 Kubang Kerian, Kelantan.



Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman-pemandangan dari jauh

Bangunan Surau - Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman

Bangunan Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman


Faktor utama mengapa kami memilih SMI Aman adalah kerana kurikulumnya yang menyepadukan sukatan pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) Kerajaan dengan pelajaran Diniah (Tarbiah Islamiah) dan dimantapkan lagi dengan aliran tahfiz. Sekolah ini menawarkan sesi persekolahan untuk peringkat menengah rendah (Tingkatan1-3) dan menengah atas (Tingkatan 4-5). Satu lagi perkara yang membuat kami tertarik memilih sekolah ini adalah prinsip yang dipegang oleh pihak sekolah iaitu Al Qur'an untuk semua. Peluang untuk belajar membaca dan menghafaz Al Qur'an terbuka untuk semua orang. Tidak seperti sesetengah sekolah tahfiz lain yang memilih hanya mereka yang cerdas sahaja sebagai pelajar. Kelulusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi prasyarat utama sebelum diterima masuk.

Berpegang kepada prinsip Al Qur'an untuk semua, sekolah ini memberi peluang kepada semua pelajar samada lulus 5A UPSR atau tidak. Pelajar yang diterima masuk ini perlu melalui ujian saringan bagi menentukan tahap kemampuan bacaan Al Qur'annya. Terdapat 3 kelas bagi pelajar-pelajar yang telah disaring iaitu Iqra', nazhiroh dan tahfiz.

Kelas Iqra' adalah untuk pelajar yang tidak boleh membaca Al Qur'an
Kelas Nazhiroh untuk pelajar yang boleh membaca Al Qur'an
Kelas Tahfiz untuk pelajar yang boleh membaca Al Qur'an dengan lancar

Pendekatan yang digunakan dan sasaran yang ditetapkan kepada pelajar bergantung kepada kemampuan pelajar mengikut kelas di mana mereka berada. Secara umumnya bagi pelajar yang mampu setiap tahun mereka disasarkan dapat menghafaz sekurang-kurangnya 6 juzuk Al Qur'an. Matlamatnya, selepas menamatkan pengajian dari tingkatan 1-5, mereka dapat menghafaz keseluruh 30 juzuk Al Qur'an.

Kurikulum SMI Aman ini menepati kehendak dan impian kami bagi melihat anak-anak kami berjaya menjadi seorang yang mempunyai kerjaya yang professional dan mantap ilmu agamanya serta dalam masa yang sama merupakan seorang yang hafaz 30 juzuk Al-Qur'an. Allah s.w.t melalui kalam RasulNya telah menjanjikan banyak kelebihan kepada mereka yang menghafal Al-Qur'an seperti yang digambarkan di bawah.

1.MEREKA ADALAH KELUARGA ALLAH SWT.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia." Kemudian Anas berkata lagi, lalu Rasulullah s.a.w bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah. Baginda menjawab: "Iaitu ahli Qur'an (orang yang membaca atau menghafal Al- Quran dan mengamalkan isinya).Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah.

2.DI TEMPATKAN SYURGA YANG PALING TINGGI
Sabda rasulullah s.a.w:
"Daripada Abdullah Bin Amr Bin Al Ash ra dari nabi s.a.w, baginda bersabda; Diakhirat nanti para ahli Al Qur'an di perintahkan, "Bacalah dan naiklah kesyurga. Dan bacalah Al Qur'an dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggal mu di syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca."

3.AHLI AL QU'RAN ADALAH ORANG YANG ARIF DI SYURGA
Sabda rasulullah s.a.w "Daripada Anas ra. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; "Para pembaca Al Qur'an itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni syurga,"

4.MENGHORMATI ORANG YANG MENGHAFAL AL QU'RAN BERERTI MENGAGUNGKAN ALLAH SWT.
Sabda rasulullah s..a.w "Daripada Abu Musa Al Asya'ari ra.ia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Diantara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati Orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal Al-Qur'an yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak membiarkan Al-Qur'an tidak di amalkan, serta menghormati kepada penguasa yang adil."

5.HATI PENGHAFAL AL-QURAN TIDAK DI SEKSA
Sabda rasulullah s.a.w.
" Daripada Abdullah Bin Mas'ud ra. Daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: " bacalah Al Quran kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang hafal al-quran. Sesungguhanya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, siapa yang memasukkunya ia akan aman. Dan barangsiapa yang mencintai Al Quran maka hendaklah ia bergembira."

6.MEREKA LEBIH BERHAK MENJADI IMAM DALAM SOLAT
Sabda rasulullah s.a.w. :
"DaripadaIbnu Mas'ud ra. Dari Rasulullah s.a.w. beliau bersabda; "yang menjadi imam dalam solat suatu kaum hendaknya yang paling pandai membaca Al Quran."

7.DISAYANGI RASULULLAH S.A.W
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Jabir Bin Abdullah ra. Bahawa nabi s.a.w menyatukan dua orang daripada orang-orang yang gugur dalam perang uhud dalam satu liang lahad.
Kemudian nabi s.a.w. bertanya, "dari mereka berdua siapakah paling banyak hafal Al Quran?" apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka nabi s.a.w memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad."

8.DAPAT MEMBERIKAN SYAFAAT KEPADA KELUARGA
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Ali Bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah ia berkata, "Barangsiapamembaca Al Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya kedalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah di tetapkan untuk masuk neraka."

9.PENGHAFAL AL QURAN AKAN MEMAKAI MAHKOTA KEHORMATAN
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Abu Hurairah ra.daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: "orang yang hafal Al Quran nanti pada hari kiamatnanti akan datang dan Al Quran akan berkata; "Wahai Tuhan ,pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut di berikan mahkota kehormatan. Al Quran berkata lagi:
"Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu di beri pakaian kehormatannya. Al Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redailah dia." Maka kepadanya di katakan; "Bacalah dan naiklah." Dan untuk setiap ayat, ia di beri tambahan satu kebajikan."

10.HAFAL AL QURAN MERUPAKAN BEKALAN PALING BAIK.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada jabir bin nufair, katanya rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran.

11.ORANG TUA MEMPEROLEHI PAHALA KHUSUS JIKA ANAKNYA PENGHAFAL AL QURAN.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Buraidah Al Aslami ra, ia berkata bahawasanya ia mendengar Rasulullah s..a.w bersabda: "Pada hari kiamat nanti, Al Quran akan menemui penghafalnya ketika penghafal itu keluar dari kuburnya. Al Quran akan berwujud seseorang dan ia bertanya kepada penghafalnya: "Apakah anda mengenalku?".
Penghafal tadi menjawab; "saya tidak mengenal kamu." Al Quran berkata; "saya adalah kawanmu, Al Quran yang membuatmu kehausan di tengah hari yang panas dan membuatmu tidak tidur pada malam hari. Sesungguhnya setiap pedagang akan mendapat keuntungan di belakang dagangannya dan kamu pada hari ini di belakang semua dagangan. Maka penghafal Al Quran tadi di beri kekuasaan di tangan kanannya dan diberi kekekalan ditangan kirinya, serta di atas kepalanya dipasang mahkota perkasa. Sedang kedua orang tuanya diberi dua pakaian baru lagi bagus yang harganya tidak dapat di bayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua orang tua itu lalu bertanya: "kenapa kami di beri dengan pakaian begini?". Kemudian di jawab, "kerana anakmu hafal Al Quran."
Kemudian kepada penghafal Al Quran tadi di perintahkan, "bacalah dan naiklah ketingkat-tingkat syurga dan kamar-kamarnya." Maka ia pun terus naik selagi ia tetap membaca, baik bacaan itu cepat atau perlahan (tartil)

12.AKAN MENEPATI KELAS TERTINGGI DI DALAM SYURGA.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Sisyah ra ia berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat Al Quran. Maka tingkatan syurga yang di masuki oleh penghafal Al Quran adalah tingkatan yang paling atas, dimana tidak ada tingkatan lagi sesudah itu.

"Ya Allah jadikanlah kami dan zuriat keturunan kami, anak soleh yang menjadi aset dan saham akhirat ibu bapa kami sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara ; sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak soleh yang mendoakannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Wednesday, 23 January 2013

Kembali bekerja...


Selama tiga tahun dan tiga bulan saya mengambil cuti tanpa gaji bagi menemani isteri melanjutkan pengajian PhD di Universiti Monash, Australia. Selama tempoh itu juga saya telah meninggalkan pekerjaan di pejabat kerana bercuti bagi menggalas tugas sebagai house husband. Pada 1hb Januari 2013 (Selasa) lalu saya perlu melapurkan diri untuk kembali bertugas sebaik sahaja cuti tanpa gaji tamat. Tanggunjawab itu telah pun saya sempurnakan dan sekarang ini telah kembali bekerja. Kembali....ertinya saya dulu pernah melakukannya dan kini harus melakukannya lagi setelah suatu tempoh masa ianya berhenti. Seharusnya kembali bekerja menjadi hal yang mudah sahaja dilakukan, kerana saya sudah bertahun-tahun menjalaninya. Tetapi ternyata ianya tidak semulus yang dibayangkan. 

Banyak perkara, peristiwa dan perubahan berlaku seiring dengan peredaran masa. Keadaan dan suasana seperti yang pernah dirasai pada suatu ketika dahulu, sudah beransur pupus dan auranya tidak sama lagi seperti hari-hari yang telah pergi. Manakala sebahagiannya sudah tiada lagi dan ianya hanyalah lekat tersimpan dalam lipatan kenangan.

Keadaan pejabat sekarang ini sudah banyak berubah dan berbeza berbanding semasa saya tinggalkan dahulu. Ketika saya kembali melapur diri untuk bertugas, sebahagian besar ruang pejabat sudah diubahsuai. Ruang-ruang menjadi berubah. Ruangan kerja yang dahulunya luas dan tebuka kini kelihatan semakin kecil kerana sebahagian ruangnya telah dijadikan bilik-billik bagi menempatkan pegawai-pegawai yang berjawatan ketua. 

Ruang kerja terbuka yang menempatkan banyak unit-unit dalam organisasi pejabat juga sudah berubah. Dahulu di antara satu meja dengan meja lainnya tidak ada pembatas, tapi sekarang ruangan itu terpisah-pisah dengan pembahagi setinggi lebih kurang 4 kaki. Kalau dahulu kita boleh mengetahui dan melihat sebahagian besar rakan-rakan sepejabat yang datang bekerja di meja mereka, tetapi kini tidak lagi. Ruang pandang menjadi terhalang kerana adanya pembahagi yang memisahkan setiap unit kerja. Tiada lagi suasana dan rasa meriah ramainya rakan sepejabat. Dari sudut yang lain, pembahagi yang dibuat ini membolehkan setiap unit lebih fokus kepada tugas mereka. Ianya juga memudahkan ketua setiap unit berhubung dan mengawal selia staf bawahannya serta memberi lebih privacy. Semasa entri ini ditulis, pejabat masih lagi diubahsuai di mana satu kaunter pelanggan yang baru telah diadakan.

Satu lagi perubahan dan pembaharuan yang berlaku adalah sistem merekod kedatangan dan kepulangan staf dari pejabat tidak lagi menggunakan sistem punch card tetapi menggunakan sistem biometrik yang menggunakan cap jari. Sistem ini dikira lebih baik dari punch card kerana verifikasi cap jari hanya sah bila tuan punya jari yang sebenar dilekatkan pada pembaca cap jari. Ianya secara tidak langsung dapat mengatasi penipuan yang banyak berlaku dalam sistem punch card iaitu seseorang itu boleh mengetik kad bagi pihak orang lain.


Sistem biometrik merekod kedatangan dan kepulangan staf menggunakan cap jari

Sistem biometrik cap jari ditempatkan di sebelah tangga utama  pejabat.

Beberapa hari di awal kembali bekerja saya hanya menghabiskan waktu untuk berkenalan, berjumpa mata dan bertegur sapa serta berbincang dengan rakan-rakan baru-dan lama. Senang dan lega rasanya mereka masih menerima saya dengan hangat... Alhamdulillah!. 

Ketua Pejabat sudah berganti sejak saya tinggalkan kerana telah mencapai umur bersara. Beliau diganti oleh ketua baru yang lebih muda dan sudah pernah saya kenal sebelumnya. Beberapa jawatan ketua unit pentadbiran dan unit-unit lain juga sudah ada perubahan, tapi sebahagian besar masih saya kenal.

Staf lain di pejabat juga mengalami perubahan. Beberapa rakan sepejabat sudah tidak dapat saya temui lagi. Ada yang sudah meninggal dunia, pencen dan pindah ke unit kerja lain. Manakala sebilangannya bertukar ke tempat kerja yang baru kerana dinaikkan pangkat atau mohon dipindahkan. Saya kehilangan sebahagian rakan-rakan sejawatan kerana mereka ditukarkan ke negeri atau daerah lain, selepas dinaikkan pangkat. Perasaan gembira berbaur sedih bila mengetahui berita tersebut. Gembira kerana mereka dinaikkan pangkat dan sedih kerana tidak dapat mengikut jejak langkah mereka serta tidak berpeluang lagi berbual mesra, berkongsi cerita dan pengalaman seperti suatu ketika dulu. 

Dalam banyak perubahan yang berlaku di pejabat, kehilangan rakan-rakan sejawatan yang sudah bekerja bersama-sama selama bertahun-tahun ini sangat memberi kesan kepada diri saya. Saya boleh merasai suasana dan rasa yang berlainan bila bekerja tanpa kehadiran mereka. Perasaan sayu dan sebu datang menggugah kalbu bila terkenangkan peristiwa bersama mereka pada masa dulu. Mereka bukan sahaja humor dan optimis tetapi juga sentimental. Perasaan ini sering hinggap dan menusuk kalbu serta masuk bersarang di dalam hati saya sehingga kini. Sebenarnya perasaan yang sama juga turut dirasai oleh rakan-rakan sejawatan lama yang masih ada. Betapa tidak, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermesra dan bekerja membina kerjaya kehidupan...Walaubagaimana pun, saya akur dan pasrah dengan ketentuan yang telah direncanakan oleh Allah S.W.T ini. Tentunya semua yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi yang akan diketahui kebaikannya dikemudian hari.

Tempat mereka yang bertukar, diganti oleh rakan-rakan sejawatan yang lebih muda dan baru memasuki alam pekerjaan. Rata-ratanya mereka termasuk dalam golongan generasi Y. Perbezaan cara berfikir, bekerja, memberi pendapat dan pola fikir sudah tentu wujud. Semua perbezaan ini perlu diurus dan diolah bagi menjana sikap saling menghormati, kerjasama dan keserasian yang merupa elemen penting untuk menghasilkan suasana kerja yang harmoni. Keserasian bukan semestinya kita mempunyai pendapat dan sikap yang sama dalam semua perkara, tetapi ia adalah sebuah kemampuan kita memanafaatkan segala perbezaan untuk mencapai keharmonian, meraikan kepelbagaian untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Ibarat bezanya caj positif dan negatif yang menghasilkan arus elektrik bagi sebuah bateri. Atau ibarat bezanya bunyi setiap note piano yang menghasilkan irama dan lagu. Di mana ada perbezaan..disitu bercambah keserasian. Ternyata saya perlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sudah berubah dan membina keserasian dengan rakan-rakan baru dan lama. Kembali bekerja juga bermakna saya perlu menggilap semula ilmu dan kemahiran berkerja. Membiasa diri dengan tempo dan rutin harian bekerja. Kembali bekerja...ternyata memberi saya cabaran, semangat dan harapan baru.  Ya Allah!.....Tuntunlah dan bantulah hambaMU dalam meneruskan perjalanan hidup ini!

Tuesday, 1 January 2013

Musafir berakhir...


Siang bertukar malam. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan. Bulan bersilih tahun. Masa berlalu tanpa henti dan akhirnya genaplah sudah tempoh masa bagi kami bermusafir di Australia. Tanggal 29 hb November 2012 (Khamis) lepas saya dan keluarga telah meninggalkan Melbourne setelah menumpang hidup di bawah langitnya selama 3 tahun lebih. Kami tinggalkan Melbourne pada hujung musim bunga. Satu musim yang paling serasi dengan saya berbanding dengan 3 musim yang lainnya.

Kami tinggalkan Dandenong di mana terdapat Marmara - kedai orang Turki, tempat kami mendapatkan daging halal. Kami tinggalkan Clayton yang mempunyai Hong Kong, sebuah kedai runcit kepunyaan orang Cina yang menjual pelbagai makanan Asia. Ianya juga tempat di mana terdapatnya Sarawan - sebuah kedai runcit milik orang India, tempat kami mendapatkan beras Basmati bagi memenuhi kerinduan makan nasi, suatu keinginan yang sukar kami tinggalkan walaupun berada di negara yang penduduknya makan roti dan keju sebagai makanan rujinya. Kami tinggalkan Springvale kawasan penempatan masyarakat Vietnam - tempat kami selalu mendapatkan makanan laut terutama ikan kembong dan tenggiri. Ianya juga tempat kami memperolehi dan menikmati buah-buahan tropika seperti mempelam, nangka, mata kucing, durian dsb.


Hong Kong Asian Food Supermarket di Clayton

Sarawan Spices & Home Entertainment di Clayton

Pasar buah di Springvale

Buah-buahan tropika ada dijual di Springvale

Pasar ikan di Springvale

Kami tinggalkan kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East yang merupakan tempat yang tenang, bersih dan cantik. Kami tinggalkan rumah yang selama lebih 2 tahun, kami sekeluarga menetap di dalamnya. Kami tinggalkan jiran-jiran terdekat yang berasal dari pelbagai negara - Bangladesh, Iraq, Grecce dan China.  Kami juga tinggalkan rakan-rakan senegara, sebahagian mereka ada yang terlebih dahulu pulang ke Malaysia. Kami berkongsi ilmu, pengalaman dan cerita. Berkongsi citarasa, makanan dan kesukaan. Berbual, berhujah, bersetuju dan berbeza pendapat. Ada yang kelakar, ada yang serius, ada yang bersahaja, ada yang peramah, ada yang pendiam dan bermacam-macam karakter. Mereka ahli dalam pelbagai bidang. Di kalangan mereka - ada yang pakar komputer, ceo, guru, jurutera, ustaz, pengurus, doktor, pensyarah, usahawan, akauntan, pustakawan dsb. Saya tinggalkan rakan-rakan yang saya telah timba ilmu dan curi pengalaman mereka.


Kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East

Perasaan gembira berbaur sedih  menggamit kalbu tatkala meninggalkan rakan-rakan sekeliannya. Hati terasa walang. Perpisahan yang amat kelat untuk ditempuh. Perpisahan yang belum menjanjikan pertemuan semula, terasa begitu berat dan sungguh sayu sekali. Namun inilah aturan dan kudrat Allah S.W.T. Kenangan kembali membugar dan sungguh mengasyikkan bila mengimbau semula saat kedatangan kami ke Australia pada lebih 3 tahun yang lalu. Kami menjejakkan kaki di bumi Melbourne, Australia pada tanggal 26 hb September 2009 (Sabtu), lebih kurang pukul 10.30 pagi. Kami sekeluarga 5 beranak tiba di Melbourne International Airport pada awal musim bunga. Suhu ketika itu adalah kira-kira 7 celcius, sungguh sejuk mencengkam kulit kami lima beranak yang baru tiba dari bumi Malaysia yang panas membahang. Sungguhpun begitu, kami dikatakan tiba di musim yang paling sesuai untuk peralihan atau pengenalan kepada bumi Australia yang terkenal dengan empat musimnya. Selama setahun kami tinggal di Sarah Close, Clayton sebelum berpindah ke Strelden Ave, Oakleigh East - satu tempat yang lebih hampir dengan Universiti Monash Clayton. Seterusnya bermastautin di sini sehinggalah tarikh kepulangan ke Malaysia.

Kehidupan di bumi Australia sememangnya berwarna warni dengan empat musim yang silih berganti. Kedatangan musim bunga (spring) yang jatuhnya pada bulan September-November, dengan seribu satu warna sangat dinanti. Pelbagai spesis bunga memenuhi ruang mata. bunga-bunga mekar berkembang dalam pelbagai rupa, bau dan warna. Warna warni yang mengisi alam dan ruang pandangan membawa ke musim panas (summer) di bulan Disember-Febuari, disemarakkan pula dengan pelbagai aktiviti outdoor disebabkan siang lebih panjang dari malam. Subuh seawal pukul 4 pagi dan maghrib selewat 8.40 malam. Seusai musim panas, menjelma pula musim luruh (autumn) pada Mac-Mei, yang menjanjikan keindahan luar biasa. Walaupun layaknya musim luruh ini hanya dikaitkan dengan dedaun yang kekeringan namun hadir dengan pelbagai warna yang hampir serupa. Warna warni musim luruh…pemandangan yang amat menakjubkan. Keajaiban ciptaan Tuhan…

Bunga-bunga mekar berkembang di musim bunga
Lagi bunga-bunga muncul di musim bunga...
Suasana pemandangan musim luruh di Emerald Park

Kenangan ..Suasana pemandangan musim luruh

Daun-daun berguguran di musim luruh


Tika sampai saatnya musim luruh memberi laluan untuk musim sejuk (winter) yang datang pada Jun-Ogos menggantikannya. Hadirnya membawa malam yang tempohnya lebih panjang daripada siang. Subuh pukul 6.15 pagi dan maghrib seawal pukul 5.15 ptg. Walaupun hadirnya dengan seribu satu keresahan bagi sebahagian warga tempatan, namun bagi sesetengah orang - kedatangan musim sejuk terutamanya salji sangat dinanti. Walaupun kesejukannya mencengkam tulang namun kemeriahan bermain salji pasti menjadi salah satu nostalgia yang terpahat dalam ingatan terutama setelah tidak lagi bermastautin di sini. Musim sejuk yang sinonim dengan warna putih seputih salji yang memenuhi bumi. Satu lagi keindahan luar biasa semulajadi yang tiada di tanahair sendiri…

Bumi diliputi salji putih pada musim sejuk di Mount Buller

Suasana bersalji di musim sejuk
Bermain salji di Mount Buller


Saya tinggalkan banyak perkara yang menjadi kenangan. Ia satu tempoh yang diingati. Saya tinggalkan Australia, tetapi saya membawa segala kenangan dan pengalaman pulang bersama. Seperti mana musafir lain, bermusafir sering membuat kita berfikir dan merenung kembali banyak perkara yang dilihat dan menilai banyak perkara yang dipegang. Pandangan kita mengenai sesuatu perkara boleh berubah disebabkan perubahan tempat. Musafir juga membuka kesempitan penilaian kepada yang lebih luas dan jauh. Ianya juga memberi pelbagai pengalaman yang membuka hati dan minda. Memberikan penilaian baru tentang kehidupan. Musafir menguji keimanan kita dan seterusnya memberi peluang bermuhassabah serta menginsafi diri

Sepanjang 3 tahun lebih bermusafir, sedikit sebanyak saya dapat memahami corak dan erti kehidupan di bumi Kangaroo ini. Ternyata memang banyak mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi. Terkadang berlakunya suasana yang betul-betul menguji kesabaran dan ketabahan diri. Ujian ukhuwah antara rakan-rakan... ujian hidup dalam masyarakat yang majoritinya beragama kristian... cabaran bagaimana mengekalkan jati diri dan mempertahan iman diri dan anak-anak... Semua ini perlu dihadapi dan dihadam serta diambil cakna sebaiknya. Musafir ini menjadikan kami sekeluarga banyak belajar. Belajar bersabar terutamanya, belajar menjadi tabah dan kuat, belajar mengenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam, belajar akan ertinya redha dan banyak lagi perkara yang mendidik serta menjadikan kami hamba Allah yang semakin banyak bermuhassabah dan bersyukur.

Musafir membebaskan diri dari belenggu taksub, merintis jalan kepada keluasan pandangan dan ufuk pemikiran insan. Saya ingin bermusafir lagi jika diizinkan Allah. Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pegangan dan pandangan diri dalam perjalanan menuju Allah... Sesungguhnya, bermusafir itu membuat diri semakin mengenal dan bergantung harap kepada Allah S.W.T!.



Semalam adalah sejarah .. dan Hari ini adalah hadiah .. Esok adalah misteri ..
Alhamdulillah .. Terima Kasih Allah

Saturday, 22 December 2012

Bila tiba masanya untuk kembali...


Sesuatu yang bermula pada suatu saat pasti akan berakhir, itulah hakikat kehidupan di dunia. Begitulah juga dengan musafir dan keberadaan saya di bumi Kangaroo ini. Setelah lebih dari tiga tahun berada di Australia dan ianya menandakan cuti saya sudah menghampiri penghujungnya maka tibalah masanya untuk kembali ke tanah air. Kembali ke Malaysia selepas menghabiskan masa selama tiga tahun lebih bermastautin di Australia adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan. Pengalaman saya tinggal dan bekerja serta dalam masa yang sama menemani isteri belajar di negara 'down-under' ini adalah sesuatu yang sangat berharga. Ianya adalah pengalaman yang mahal, jarang diperolehi dan tidak boleh ditukar ganti. Namun, saya juga tidak sabar untuk segera kembali di tengah-tengah keluarga dan orang-orang yang saya kenal serta dekat di hati.

Beberapa ketika yang lalu saya cukup tersentuh bila menghadiri majlis perpisahan rakan-rakan yang akan berangkat pulang ke tanah air. Ada yang pulang setelah mengemukakan tesis kepada pihak universiti masing-masing manakala sebahagiannya terpaksa pulang dulu dan menyudahkan penulisan tesis di tanah air atas pelbagai sebab. Biasanya pada hari berangkat pulang rakan-rakan samada seorang diri atau  bersama keluarga masing-masing ke Malaysia, suatu majlis perpisahan diadakan di rumah rakan senegara yang menjadi tempat berkumpul sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne untuk kembali pulang ke Malaysia. Bermacam situasi yang dialami oleh rakan-rakan yang akan pulang ke tanah air. Ada banyak hal yang harus diselesaikan dan disempurnakan sebelum dapat  kembali ke tanah air. 

Banyak ibrah yang diperolehi daripada kepulangan mereka. Selepas memerhati dan mempelajari pelbagai situasi yang dilalui oleh rakan-rakan yang sudah pulang ke Malaysia serta ditambah dengan pengalaman sendiri, saya rumuskan terdapat beberapa persediaan penting yang perlu dilakukan supaya kepulangan ke tanah air tidak menjadi kelam-kabut dan bermasalah. Pada entri kali ini, saya ingin berbagi pengetahuan dan pengalaman mengenai persediaan yang perlu dilakukan supaya proses kepulangan ke tanah air tercinta lancar dan aman.

Perancangan dan persediaan rapi adalah perlu bagi menyelesaikan pelbagai urusan yang berkaitan dengan proses kepulangan ke Malaysia. Mulai dari menghantar barang-barang melalui kargo, menempah tiket pulang, mengurus dokumen-dokumen penting seperti passport dan visa sehinggalah trip perjalanan saat akhir bersama rakan-rakan ke destinasi-destinasi yang belum sempat dikunjungi. Apabila tiket pulang telah disahkan tarikh dan masanya, waktu yang berbaki dan kesempatan yang masih ada harus dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ada banyak hal yang harus kita 'beres'kan sebelum kita pulang kembali ke tanah air. Di sini saya rumus dan rangkumkan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:

1. Menempah tiket pulang.

Kalau boleh dilakukan lebih awal dari tarikh kepulangan lagi bagus, terutama jika kita membawa keluarga. Ini adalah penting jika pelajar mempunyai bilangan anak lebih dari 3 orang atau berumur 13 tahun ke atas. Terdapat sebilangan universiti yang menaja pelajar hanya membiayai pasangan dan hanya 3 orang anak untuk tambang penerbangan pergi dan balik sekali sahaja sepanjang tempoh pengajian. Sebahagian universiti lagi hanya membiayai pasangan dan anak-anak pelajar yang berumur di bawah 13 tahun sahaja. Jika bilangan anak lebih dari 3 orang atau  berumur 13 ke atas, tambang balik mereka mesti ditanggung dan diusahakan sendiri oleh pelajar berkenaan. Syarat-syarat berkaitan perkara ini mungkin berbeza di kalangan universiti-universiti yang menaja pelajar, maklumat lanjut mengenainya perlu dirujuk kepada pihak universiti berkenaan. 

Biasanya harga tiket yang ditempah atau dibeli pada masa lebih awal adalah lebih murah berbanding yang ditempah pada saat-saat akhir. Perbezaan harga di antara keduanya kadangkala sangat ketara dan penjimatan kos dapat dilakukan jika kita awal menempahnya. Perbezaan harga juga agak ketara bila kita menempah tiket secara online terutama jika menggunakan handphone berbanding menggunakan PC atau laptop. Ini adalah berdasarkan pengalaman rakan-rakan yang telah melaluinya. Perkara ini adalah penting bagi pelajar yang terpaksa membiayai sendiri sebahagian perbelanjaan tambang untuk keluarga masing-masing.

Selain itu, pastikan juga tarikh kepulangan masih dalam tempoh sah atau dibenarkan seperti dalam visa permit tinggal supaya tidak timbul masalah atau perkara yang tidak diinginkan. Pengesahan tarikh dan masa tempahan tiket pulang ini penting kerana ianya memudahkan perancangan seterusnya seperti bila masanya untuk menamatkan kontrak sewa dan mengosongkan tempat penginapan, menamatkan sambungan elektrik, air, gas, telefon, internet dan pelan handphone, menutup akaun bank, menghantar (shipping) barang dan urusan jual-beli kenderaan bagi yang mempunyai kenderaan.

2. Menamatkan kontrak sewa tempat tinggal.

Bagi penyewa yang sudah melebihi 12 bulan menyewa dan ingin menamatkan kontrak selepas tarikh  kontrak habis, perlu memberi tahu agen atau landlord sekurang-kurangnya 4 minggu sebelum tarikh kepulangan atau bergantung pada kesepakatan seperti di dalam kontrak. Bagi penyewa yang bercadang tinggal kurang daripada tempoh 12 bulan, mesti memastikan menandatangani kontrak yang membenarkan kontrak sewa ditamatkan sehingga tempoh masa berkenaan. Agak sedikit rumit jika  kita mahu menamatkan kontrak sebelum tarikh masanya habis, paling tidak kita harus memaklumkan kepada agensi / landlord 8 minggu sebelum kepulangan kita atau mengikut klausa kontrak. Dalam kes kami yang sudah menyewa melebihi 2 tahun hanya perlu memaklumkan kepada agen pengurusan hartanah Darras and Zervas, 4 minggu sebelum tarikh pulang. Kami tidak perlu membayar sewaan penuh pada bulan terakhir, tetapi bayaran sewa dikira berdasarkan kadar sewa harian iaitu jumlah sewa sebulan dibahagi dengan bilangan hari dalam bulan tersebut dan didharabkan dengan bilangan hari kami tinggal sehinggalah tarikh kediaman tersebut dikosongkan.

Dengan berakhirnya kontrak sewa ini kita juga mempunyai tanggungjawab mengosongkan dan  membersihkan tempat kediaman sama seperti keadaan ketika kita masuk di awal kontrak dulu. Bagi kediaman yang mempunyai karpet, perkara yang wajib dilakukan adalah mencuci karpet dengan menggunakan khidmat pencuci karpet profesional. Selain daripada karpet, kita boleh menjimatkan upah mencuci dengan membersih sendiri dapur, oven, heater, tingkap, bilik air, tandas, lantai, dinding dan siling kediaman sehingga bersih, sama seperti ketika kita masuk dulu. Kita harus mengemukakan resit yang kita terima daripada pencuci karpet professional kepada agen / landlord untuk  mendapatkan balik duit bond yang diberi semasa di awal kontrak. 

Untuk urusan mencuci karpet di unit kediaman, kami menggunakan perkhidmatan Pak Rudy (Tel: 0430489755) - Pencuci karpet profesional berbangsa Cina yang berasal dari Indonesia dan sudah lebih 15 tahun menetap di Australia. Harga yang dikenakan adalah bergantung kepada keluasan karpet. Biasanya bagi 3 bilik dan  satu ruang tamu yang berkarpet, harganya sekitar $90 hingga $120 bergantung kepada keluasan karpet di ruang berkenaan. Duit bond yang berjumlah sebulan sewa akan dikembalikan sepenuhnya selepas pihak agen / landlord berpuas hati dengan keadaan dan kebersihan kediaman selepas pemeriksaan dilakukan. Jika pihak agen / landlord tidak berpuas hati dengan kebersihan atau keadaan kediaman, sebahagian duit bond akan diambil untuk upah membersih semula atau mengganti alatan yang rosak/hilang.  

3. Mengosongkan kediaman.

Sebelum urusan mencuci kediaman dimulakan, sebaiknya kediaman tersebut perlu dikosongkan terlebih dahulu untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan dijalankan. Ada banyak cara bagaimana  mengosongkan kediaman, jika agen / landlord bersetuju ada rakan yang akan takeover, urusannya menjadi sederhana. Kita boleh take over seluruh kandungan isi rumah dengan harga yang dipersetujui dengan rakan, atau kita akan menghibahkan seluruhnya. Jika tidak dibenarkan take over, kita boleh menjual isi rumah atau menghibahkan samada kepada rakan-rakan yang memerlukannya atau institusi yang biasa menerima. Jika keadaannya tidak cukup layak untuk dihibahkan / dijual kita harus membuangnya ke tempat pembuangan akhir. Jika barang yang akan dibuang cukup banyak dan saiznya besar dan boleh dikitar semula seperti mesin basuh dan peti sejuk, kita boleh memberinya kepada pusat kitar semula yang terdapat berdekatan dengan kediaman. Sebahagian pusat kitar semula menyediakan pekhidmatan pengangkutan untuk mengambil barangan kitar semula yang diberikan kepada mereka. Maklumat mengenai pusat kitar semula ini ada terdapat di internet mengikut lokaliti yang berkenaan.  

Bagi barangan yang tidak boleh dikitar semula, kita boleh membuangnya semasa spring cleaning  yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum tarikh kepulangan. Spring Cleaning untuk kawasan Clayton, biasanya adalah pada bulan September pada setiap tahun. Dalam hal mengosongkan kediaman ini, kami melakukannya 12 jam sebelum tarikh dan masa kepulangan kami ke Malaysia. Usai sahaja kerja-kerja pembersihan, kami  terus menyerahkan kunci kepada pihak agen. Sebaik sahaja menerima kunci, pihak agen terus melakukan pemeriksaan dan hasilnya mereka berpuas hati. Kami menerima duit bond  yang dimasukkan ke dalam akaun dalam tempoh 3 hari selepas pemeriksaan dijalankan.   

4. Menamatkan sambungan perkhidmatan elektrik, air, gas, internet, telefon dan pelan telefon bimbit.

Perkara ini cukup sederhana, kita hanya perlu menelefon kepada pembekal perkhidmatan berkaitan dan memberitahu tarikh bila kita hendak memutuskan perkhidmatan tersebut. Khas untuk pelan telefon  bimbit, sejak awal usahakan hanya mengambil kontrak yang lebih pendek dari masa tinggal kita untuk mengurangkan kegawatan di masa akhir menjelang kepulangan kita. Jika memang tidak ada pelan yang sesuai dengan masa tinggal kita, saya sarankan untuk menggunakan kad pra bayar. Bagi perkhidmatan internet khususnya TPG, ianya memerlukan 30 hari notifikasi untuk menamatkan sambungan. Selepas memaklumkan melalui telefon, kita mesti mengesahkan untuk menamatkan sambungan internet tersebut melalui email atau surat. Tarikh 30 hari notifikasi bermula pada tarikh pengesahan dilakukan samada melaui kiriman email atau surat.

5. Menutup akaun bank.

Boleh jadi ada beberapa perkara yang masih kita perlukan yang berkaitan dengan akaun kita di bank yang membuat kita tidak boleh menutup akaun sebelum kita pulang ke tanah air. Salah satunya adalah urusan pembayaran balik duit bond yang berkaitan sewaan tempat kediaman. Dalam hal ini, hubungi pihak bank dan tanyakan tatacara yang terbaik perlu dilakukan bagi situasi yang kita hadapi. Dalam sesetengah kes, pihak bank membenarkan third party arrangement, kita boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menutup akaun kita  atau penutupan akaun melalui telefon selepas kita sudah pulang ke tanah air.

6. Menghantar barang.

Biasanya buku-buku, tetapi banyak juga kawan yang membawa barang lain seperti BBQ set, coffea  machine, basikal, peralatan / mainan kanak-kanak, peralatan elektrik, elektronik , pakaian, kasut, dsb. Yang perlu diingat adalah sama ada barangan tersebut boleh digunakan atau tidak bila sampai di Malaysia? Kerana jika tidak, selain kita perlu membayar untuk kos penghantaran kita juga hanya menghantar 'sampah' kerana kita tidak boleh menggunakannya. Dari pengalaman peribadi dan rakan, pakaian yang dihantar pulang biasanya tidak dipakai lagi kerana selain tidak sesuai kerana faktor cuaca, pakaian baru di Malaysia lebih 'bergaya' dan harganya pun lebih berpatutan. Daripada dihantar mungkin lebih baik di'waris'kan ke rakan yang masih memerlukan di sini, terutama pakaian untuk musim sejuk dan anak-anak. Jika memang banyak barang yang akan kita bawa pulang, saya mencadangkan untuk menghantarnya lebih dulu, paling lambat dua minggu sebelum kepulangan kita.

Untuk menghantar barang kita boleh memilih syarikat penghantaran mana yang sesuai dengan kehendak kita. Ada banyak pilihan. Kita boleh bertanya kepada rakan yang lebih dulu pulang untuk mendapatkan pertimbangan yang baik, termasuk bayaran penghantaran. Hubungi syarikat tersebut untuk menanyakan kos, tarikh penghantaran, dokumen dan keperluan yang harus kita sediakan. Jika memang perlu, bandingkan untuk memilih syarikat yang memberikan perkhidmatan terbaik dengan harga yang paling berpatutan. 

Cara penghantaran yang biasa menjadi pilihan rakyat Malaysia di sini adalah melalui kapal laut. Terdapat dua perkhidmatan yang ditawarkan iaitu penghantaran dari pintu ke pelabuhan (door to port) dan pintu ke pintu (door to door). Penghantaran dari pintu ke pelabuhan adalah bermaksud barangan yang hendak dihantar dikutip dari rumah dan dihantar ke pelabuhan di Malaysia yang paling hampir dengan alamat pengirim. Manakala penghantaran dari pintu ke pintu pula bermaksud barangan yang hendak dihantar diambil dari rumah pengirim di Australia dan setelah sampai di Malaysia, barangan tersebut seterusnya dihantar ke alamat yang dinyatakan oleh pengirim. Kaedah penghantaran ini adalah lebih murah tetapi mengambil lebih masa berbanding dengan  penghantaran melalui udara. 

Kos penghantaran adalah dikira berdasarkan saiz isipadu barangan dalam ukuran meter. Semua barangan yang hendak dihantar hendaklah dibungkus samada dengan memasukkan ke dalam kotak kertas atau beg. Semua kotak atau beg hendaklah ditampal alamat,  nombor bilangannya dan diambil ukuran panjang, lebar dan tingginya dalam ukuran meter bagi mengetahui jumlah isipadu barangan. Sebaiknya setiap beg atau kotak tidak terlalu berat bagi memudahkan pekerja mengangkatnya. Berat setiap beg atau kotak sepatutnya tidak melebihi 30 kg. 

Bagi barangan yang berat dan mudah pecah seeloknya dibungkus dalam kotak yang lebih kecil serta dilekatkan label ‘fragile’. Setiap barangan yang dibungkus juga hendaklah dinyatakan jenis atau kategorinya untuk memenuhi syarat-syarat penghantaran dan sebagai rujukan. Satu dokumen yang mengandungi butiran pengirim, senarai barangan, keterangan barangan, no. kotak dan jumlah isipadu hendaklah disediakan bagi memudahkan urusan penghantaran terutamanya yang melibatkan pihak kastam.

Contoh barangan yang dibungkus dan dilabel untuk dihantar balik

Contoh senarai barangan untuk dihantar balik


7. Membawa bagasi dan hand luggage ketika pulang

Usahakan kita hanya akan membawa beg kecil dan jumlah had berat yang dibenarkan sahaja ketika  kita pulang. Setiap syarikat penerbangan mempunyai peraturan-peraturan khas berkaitan dengan jumlah had berat bagasi dan hand luggage yang boleh dibawa oleh setiap penumpang. Pengalaman saya semasa pulang ke Malaysia bersama keluarga menggunakan pesawat MAS baru-baru ini adalah mendapati penumpang hanya dibenarkan membawa bagasi tidak melebihi 30 kg/orang. Manakala bagasi bagi bayi pula tidak melebihi 10 kg/orang. Sementara setiap penumpang dibenarkan membawa hand lugage yang tidak melebihi berat 7kg dan saiz yang ditetapkan.

Situasi yang sering berlaku adalah pada saat-saat akhir hendak pulang, kita banyak berbelanja dan bagasi kita yang dahulunya dikira sudah tinggal sedikit menjadi banyak semula dan boleh jadi akhirnya melebihi had maksima yang dibenarkan. Bila berat bagasi atau hand lugage melebihi berat yang dibenarkan, kita ada dua pilihan iaitu mengeluarkan sebahagian barangan dari bagasi dan hand lugage atau terpaksa membayar bagi setiap kilogram yang terlebih. Bayaran yang dikenakan bagi setiap kilogram yang terlebih biasanya agak mahal dan ianya tentulah membebankan jika lebihan berat tersebut banyak. Sementara barangan yang dikeluarkan dari bagasi dan hand lugage juga mempunyai dua pilihan iaitu samada kita terpaksa memberinya kepada rakan yang pergi menghantar atau membuangnya ke dalam bin yang disediakan di lapangan terbang. Tentulah kita tidak mahu perkara ini berlaku semasa kepulangan kita.  

Cara untuk mengelak ianya berlaku adalah kita perlu menimbang semua bagasi dan hand lugage semasa proses membungkus bagi mengetahui beratnya. Kita hanya membungkus barangan mengikut jumlah berat yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan. Satu lagi perkara yang paling penting dibuat sebelum bertolak ke lapangan terbang adalah memeriksa tiket, passport, semua dokumen penting dan mengira bilangan bagasi serta hand lugage yang harus dibawa supaya tidak berlaku keciciran atau kehilangan semasa kepulangan. Demikianlah beberapa perkara yang perlu diperhatikan sebelum pulang ke tanahair. Semoga bermanfaat...

p/s : Salah di mata jika tidak nampak, salah tafsiran jika tidak dinilai..