Monday, 17 June 2013

14 Orang Yang Paling......

Setiap di antara kita tentunya mempunyai cita-cita dan impian yang ingin dicapai. Bagi menggapai cita-cita dan impian tersebut, ramai di antara kita yang berkerja atau berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh tanpa mengira masa, siang atau malam, hujan atau panas, susah atau senang, berat atau ringan, halal atau haram. Perjuangan menuju ke garis kejayaan dalam menggapai impian terkadang menjadikan seseorang itu berjiwa keras dan berhati batu. Apa sahaja halangan yang berada di sepanjang jalan menuju garis kejayaan akan diredah dan diharungi, bak kata pepatah membujur lalu melintang patah. Segala fikiran, tenaga,dan usaha digembelangkan demi mencapai kejayaan yang diidamkan sehingga ada kalanya menjadikan matlamat menghalalkan cara. Semua cara dibolehkan, asalkan matlamat tercapai.

Masing-masing kalau boleh ingin menjadi seorang yang paling....dalam serba-serbi. Kalau seorang pelajar, mahu menjadi seorang yang paling pandai di kalangan rakan-rakannya. Seorang peniaga, mahu menjadi yang paling berjaya dan banyak mengaut keuntungan. Seorang pekerja ingin menjadi seorang paling cemerlang dan menjawat pangkat yang paling besar di tempatnya bekerja. Seorang ahli politik mahu menjadi individu yang paling berkuasa dan popular. Selain itu, ramai juga yang ingin menjadi orang paling terkenal, paling kaya, paling berkuasa, paling kuat, mempunyai rumah yang paling besar, mempunyai isteri paling cantik atau suami paling kacak, mempunyai anak paling ramai dan macam-macam paling...lagi

Persoalannya siapakah sebenarnya orang yang paling.....samada yang paling berpangkat, kuat, kaya, pintar, hebat dan sebagainya itu? Jawapan kepada pertanyaan tersebut sebenarnya bervariasi bergantung kepada sudut pandang orang yang menilainya dan jenis neraca yang dijadikan alat ukurnya. Berikut ini beberapa contoh pertanyaan dan jawapan kepada persoalan tersebut:

1.Siapakah orang yang paling sibuk?
Orang yang paling sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Sebahagian orang sangat sibuk dan tidak sempat hendak solat. Perbandingannya di sini seolah-olah ianya seperti kerajaan nabi Sulaiman. Mengapa nabi Sulaiman?. Sebabnya kerana nabi Sulaiman bukan sahaja memerintah manusia tetapi juga jin, haiwan dan angin. Semuanya akur di bawah kekuasaannya. Jadi kita bekerja di tempat kerja, itu pun hanya di unit atau bahagian yang kita diberi tanggungjawab sahaja. Itu pun dah sibuk dan tidak sempat hendak solat tetapi nabi Sulaiman yang mempunyai kerajaan yang besar masih sempat beribadat kepada Allah. 

2.Siapakah orang yang paling cerdik?
Orang yang paling cerdik adalah orang yang selalu mengingati mati dan sentiasa menghitung dirinya serta membawa banyak amalan kebaikan untuk hari selepas mati. Mereka adalah penghuni syurga kelak kerana telah menggunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindar daripada siksa neraka.

3. Siapakah orang yang paling bodoh?
Orang yang paling bodoh adalah orang yang tidak mahu melakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya. Mereka adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

4. Siapakah orang yang paling kuat?
Orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.

5. Siapakah orang yang paling lemah?
Orang yang paling lemah adalah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan selalu berangan-angan dengan Allah dengan angan-angan yang banyak.

6. Siapakah orang yang paling bahagia?




7.Siapakah orang yang paling manis senyumannya?

Orang yang mempunyai senyuman paling manis adalah orang yang apabila ditimpa musibah lalu dia mengucapkan "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman. Jadi kalau ditimpa musibah kita jangan cepat bermuram durja, kita kena cepat-cepat sedar dan insaf bahawa setiap yang datang daripada Allah akan kembali kepadaNya. 

8.Siapakah orang paling yang kaya?
Orang yang paling kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak tamak haloba dengan kenikmatan dunia yang sementara ini.

9.Siapakah orang yang paling miskin? 
Orang yang paling miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta. 

10. Siapakah orang yang paling cantik? 
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik. 

11.Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas? 
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang. 

12.Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling sempit?
Orang yang mempunyai rumah yang paling sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikan lalu kuburnya menghimpitnya. 

13. Siapakah orang yang paling rugi? 
Orang yang paling rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan. 

14.Siapakah orang yang paling tertipu?
Orang yang paling tertipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua. Mereka hanya mahu melakukan ibadat bila umur dah tua tapi lupa bahawa kematian itu boleh datang pada bila-bila masa dan tidak mengira umur tua atau muda.

Itulah sedikit renungan dan panduan yang boleh dikongsikan bersama bagi meningkatkan amal dan keperibadian diri dalam melayari bahtera kehidupan yang sementara dan penuh dengan tipu daya ini. Marilah kita bermuhasabah dan menginsafi diri, Siapakah kita? Adakah kita termasuk dalam salah satu kategori orang yang paling....seperti di atas? Tepuk dada, tanya Iman..!

Friday, 14 June 2013

10 Cara Bagaimana Untuk Membahagiakan Kedua Ibubapa....

Baru-baru ini, saya berkesempatan menghadiri sesi berbagi ilmu dan pengalaman bersama rakan-rakan sepejabat. Dalam sesi tersebut terdapat suatu topik yang menyentuh hati dan mencuit perasaan saya. Rugi rasanya jika saya tidak berkongsi dan berbagi kepada semua pembaca yang tentunya bergelar seorang 'anak'. Topik tersebut adalah sepuluh cara bagaimana untuk membahagiakan kedua ibu bapa kita.

Bila menyebut perkataan ibubapa seakan terasa diri kita masih kecil dan bersekolah. Namun demikian, selagi kita ada ibubapa, walaupun tidak lagi bersekolah dan sudah berumur, kita mesti menghormati dan berbakti kepada mereka. Malah menjadi suatu kewajipan kita untuk membahagiakan mereka. Banyak cara yang boleh dilakukan oleh seorang anak bagi membahagiakan kedua ibubapa. Di sini saya ingin berkongsi dan berbagi 10 cara bagaimana untuk membahagiakan kedua ibu bapa kita. Di antaranya adalah:

1.Memberi nafkah

Bagi anak yang sudah bekerja samada makan gaji atau bekerja sendiri maka perlulah memberi nafkah kepada kedua ibubapa. Walaupun ibubapa kita orang kaya tetapi kita masih lagi tidak terlepas daripada tanggunjawab memberi nafkah kepada mereka. Walaupun ibubapa kita tiada masalah kewangan, apa lagi kalau mereka sedang mengalaminya - jadi lebih-lebih lagilah kita perlu membantu mereka. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia atau kesihatan. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat. Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibubapa. Sebenarnya sumbangan tersebut, tidak seberapa berbanding dengan jasa ibubapa membesar dan mendidik kita.

Dalam perkara memberi nafkah ini, ramai di antara kita memberi wang hanya kepada ibu/emak sahaja dan tidak kepada ayah/bapa. Ini adalah atas dasar niat, kalau kita beri wang kepada ibu/emak maka wang itu juga akhirnya akan diberi kepada ayah/bapa. Paling baik bila kita beri duit kepada ibubapa, kita beri sendirilah kepada emak dan ayah. Itu lebih membahagiakan mereka daripada kita beri sekaligus kepada emak dan tidak pun beritahu emak untuk membahagikannya kepada ayah juga. Lebih baik walaupun kita beri RM100, tetapi hulur sendiri kepada emak dan ayah. Itu lebih membahagiakan mereka jika kita boleh buat seperti itu. Itu bagi anak yang tinggal berdekatan. Bagi anak yang tinggal jauh dan tidak boleh hulur sendiri duit kepada emak dan ayah, bolehlah masukkan ke dalam akaun bank mereka.

2. Menyediakan tempat tinggal. 

Mungkin kebanyakan ibubapa kita sudah ada tempat tinggal. Ada sesetengah ibubapa yang tidak bernasib baik kerana tempat tinggal sudah tiada atau tempat tinggal sudah ada, tapi tidak sempurna dan tidak sesuai untuk didiami. Adalah menjadi tanggungjawab anak  menyempurnakan dan menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa. Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

3. Memberi kasih sayang. 

Kita biasa dengar dan maklum bahawa pahala diperolehi oleh anak-anak bila melihat sahaja muka kedua ibubapa. Melihat sahaja wajah kedua ibubapa dah boleh pahala, apalagi memberi kasih sayang, lebih-lebih lagilah pahalanya.Terdapat 4 perkara jika memandangnya pun dapat pahala. Empat perkara tersebut adalah wajah ibubapa, al-quran, lautan dan Ka’abah. Ini adalah seperti hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: "Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan." - (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan "Melihat Ka'abah". (Riwayat Abu Daud).

Memberi kasih sayang kepada ibubapa adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan oleh mereka kepada kita. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak yang baik tidak akan melupai jasa dan kasih sayang kedua ibubapa. Anak soleh sentiasa berdoa kepada Allah agar ibubapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat. Firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra, ayat 24).

4. Memberi perhatian.

Kasih sayang lain, perhatian lain. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Duit sudah diberi tetapi jarang-jarang atau tidak bertanya khabar langsung sebab sibuk dengan urusan kerja. Hal ini boleh memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan kepada ibubapa. Jika keadaan ini  berterusan, ianya akan memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa. Sebagai anak jika tidak sempat hendak ziarah dan menyantuni kedua ibubapa, sekurang-kurangnya telefonlah untuk bertanya khabar dan berbual-bual sebagai mengubat kesunyian dan kerinduan mereka.

5.Memenuhi permintaan.

Seboleh mungkin, kita perlu memenuhi permintaan ibubapa, selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran agama. Ibubapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya. Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: "Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah."

6. Melakukan apa yang disukai ibubapa.

Ibubapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibubapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa".(Hadis riwayat Tirmizi).Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati." 

7. Bercakap dengan lemah lembut. 

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka. Firman Allah bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut." (Surah al-Israk, ayat 23). Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

8. Menghadiahkan kejayaan.

Walaupun kita dah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri, kita masih perlu berkongsi kejayaan dengan kedua ibubapa kita. Jadi, jika kita memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat, mendapat sesuatu anugerah dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Kita perlu berkongsi kejayaan tersebut dengan Ibu bapa dan mereka dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa. 

9. Meluangkan masa bersama-sama. 

Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya. Bagi anak yang tinggal jauh, maka perlulah mencari peluang yang ada untuk balik ke rumah kedua ibubapa untuk menjengok dan menyantuni mereka.

10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. 

Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya". (Hadis riwayat Muslim).







Walaupun ibubapa sudah lama meninggal dunia, janganlah kita lupa menyedekahkan pahala bacaan zikir dan al quran seperti Al Fatihah,Yassin atau surah-surah lainnya setiap kali selepas solat. Mudah-mudahan bila kita tidak lupa kepada kedua ibubapa dengan menyedekah pahala bacaan al quran dan zikir, esok-esok nanti anak-anak kita tidak lupa kepada kita. Ini adalah kerana kita juga akan melalui umur tua dan akan jadi seperti ibubapa kita jika Allah panjangkan umur. Seandainya kita tidak ingat kepada ibubapa, anak-anak kita pun tidak akan mengingati kita. Pun begitu, kebaikan yang dilakukan anak kepada ibubapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Ibubapa adalah pemimpin kita, kita pula akan jadi pemimpin kepada anak-anak kita. Anak-anak akan mencontohi kita bukan melalui kata-kata, tetapi melalui perbuatan dan akhlak kita. Kalau kita ada ibubapa yang sakit atau sudah nyayuk atau tidak boleh berkomunikasi dengan baik atau mermerlukan bantuan kewangan maka layanilah dan santunilah mereka dengan baik. Sekiranya kita menunjukkan akhlak dan perbuatan yang tidak elok, esok nanti anak-anak kita akan melayan kita dengan perbuatan seperti itu.

Kalau kita ada ibubapa yang sakit yang memerlukan tukar lampin (pampers), kita kena galakkan anak-anak turut serta membantu. Ini bertujuan supaya mereka tahu, pada suatu hari nanti inilah tanggungjawab dan tugas yang perlu mereka lakukan. Kalau kita layan ibubapa kita dengan baik, inshaAllah anak-anak akan layan kita dengan baik. 

Sebenarnya, banyak cara yang lain untuk membahagiakan orang tua. Hanya anda sebagai seorang anak yang tahu caranya. Semoga tulisan ini membantu pembaca semua dalam membahagiakan orang yang anda cintai. Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu mungkin dalam bentuk metarial atau perhatian dan hubungan kasih sayang.Ini bersesuaian dengan keadaan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibubapa dengan sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibubapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibubapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibubapa atau salah seorangnya masih ada. Berbakti kepada ibubapa menjadi lebih bermakna ketika mereka masih hidup!.

Sudahkah anda membahagiakan kedua ibubapa? Hanya anda sebagai seorang anak yang mampu menjawabnya...!!

Saturday, 4 May 2013

Pembawa Demam Denggi....

Pada awal bulan April 2013 lepas, saya mendapat perkhabaran berkenaan dua rakan disyaki dijangkiti demam denggi. Seorang telah dirujuk ke wad Hospital Kota Bharu Medical Centre (KBMC). Beliau disyaki dijangkit Demam Denggi Berdarah atau Dengue Haemorrhagic Fever (DHF). Keadaan beliau agak serius pada mulanya dan beransur-ansur stabil setelah mendapat rawatan. 

Manakala seorang rakan lagi dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu kerana dijangkiti Demam denggi (DF). Keadaannya tidak seserius rakan yang dimasukkan ke wad KBMC, Sekarang ini beliau telah pun pulih dan dibenar pulang ke rumah. Walaupun telah dibenarkan keluar daripada hospital, ternyata demam denggi telah memberi kesan kepada kesihatan dan dirinya. Berat badannya menjadi susut dan wajahnya menjadi cekung dan pucat. 

Ekoran daripada peristiwa tersebut, tergerak hati saya untuk menulis sesuatu berkenaan dengan demam denggi. Ya... demam denggi suatu penyakit yang semakin kerap terjadi dan dengar namanya sekarang ini berbanding dengan masa dahulu. Demam denggi ini menjadi masaalah kesihatan awam yang semakin besar magnitudnya. Mahu atau tidak mahu kita harus menghadapinya dan mencari jalan keluar bagi mengatasinya. Bagi menelurkan jalan mengatasinya kita perlu mengetahui semua maklumat berkaitan dengan penyakit demam denggi ini. Terdapat dua aspek besar yang perlu diketahui iaitu pertama berkenaan dengan Virus denggi itu sendiri dan keduanya berkaitan dengan pembawa virus tersebut iaitu nyamuk Aedes.

Entri kali ini saya ingin menulis berkenaan dengan pembawa demam denggi iaitu nyamuk Aedes. Bila membicarakan hal berkenaan pembawa demam denggi atau vektor kepada virus denggi ini, ramai yang sudah maklum tetapi tidak kurang juga yang belum mengenalnya secara pasti. Pada bulan-bulan yang lepas, saya dan rakan-rakan sekerja telah menghadiri mesyuarat mingguan Epidemiologi yang dipengerusi oleh seorang doktor yang pakar dalam bidang Kesihatan Awam. Beliau merupakan salah seorang ketua di tempat kami bekerja. Jawatan yang disandang oleh beliau adalah dikenali dengan nama Pegawai Kesihatan Epidemiologi atau ringkasnya Pegawai Epid.

Dalam salah satu sesi mesyuarat itu, berlaku perbincangan  di antara rakan-rakan sekerja dan saya dengan Pegawai Kesihatan Epidemiologi mengenai pembawa denggi. Berikut adalah perbincangan kami dengan Pegawai Kesihatan Epidemiologi tersebut :

Pegawai Epid. : “Apa pembawa demam denggi?”

Rakan 1 : “Nyamuk Aedes ”


Pegawai Epid. : “Ada berapa jenis nyamuk Aedes yang membawa demam denggi di Malaysia?”

Rakan 2 : “Dua!”

Pegawai Epid : “Apa dia?”

Saya : “Aedes albopictus dan Aedes aegyti” saya menyebut dua spesis nyamuk Aedes yang terdapat dan biasa dijumpai di Malaysia.

Pegawai Epid : “Apa perbezaan di antara keduanya terutama dari segi tabiatnya?” soal pegawai epid yang mahukan jawapan lebih kepada perbezaan tingkah laku dan bukannya perbezaan fizikal atau morfologi nyamuk Aedes dewasa.

Rakan 2 :“ Aedes albopictus biasanya bertelur dan membiak di luar rumah. Gemar berehat dan sering menggigit mangsanya di luar rumah. Sebaliknya Aedes aegyti, tempat pembiakannya di dalam rumah dan suka menggigit manusia yang berada di dalam rumah.” Jawapan yang diberi oleh rakan sekerja menyentuh perbezaan dari segi tingkahlaku di antara Aedes aegyti dan albopictus.

Sebenarnya banyak lagi perbezaan di antara keduanya samada di peringkat telur, jentik-jentik, pupa dan dewasa. Dalam banyak perbezaan tesebut, perbezaan tingkahlaku dan belang-belang hitam putih pada nyamuk dewasa yang agak mudah dikenalpasti.

Pegawai Epid :“Okay betul...tapi mana lebih bahaya, Aedes aegyti atau albopictus?. dan mengapa?..”

Rakan 3 : “Aedes aegyti... kerana ia membawa virus yang menyebabkan demam denggi berdarah (DHF)..dalam badannya. Manakala Aedes albopictus membawa virus denggi yang menyebabkan demam denggi tidak berdarah..dalam badannya.

Demikian jawapan oleh seorang rakan sekerja. Memang tidak dapat dinafikan jika dibandingkan di antara keduanya, ternyata Demam denggi berdarah (DHF) lebih  bahaya berbanding dengan Demam denggi tidak berdarah (DF). Ini adalah disebabkan DHF mengakibatkan berlakunya pendarahan yang serius dan  seterusnya DHF boleh bertukar menjadi Dengue Shock Syndrome (DSS) jika tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. DSS seterusnya boleh mengakibatkan kematian kepada pesakit yang mengalaminya.”

Pegawai Epid : "Okay... Di antara keduanya, mana satu yang lebih menularkan atau lebih menyebabkan jangkitan denggi kepada ramai orang? dan mengapa?

Rakan 1 : "Pada pendapat saya, Aedes albopictus lebih menyebarkan jangkitan virus denggi kerana habitatnya di luar rumah. Di luar rumah, terdapat ramai orang berbanding di dalam. Peluang untuk Aedes albo ini menggigit mangsanya dan menyebarkan virus denggi juga tinggi."

Pegawai Epid : "Awak macamana pula?"

Rakan 4 : "Bagi saya, Aedes aegyti lebih menyebarkan demam denggi kerana ianya membiak dan tinggal di dalam rumah. Dalam rumah ia tidak perlu terbang jauh untuk menghisap darah dan menyebarkan virus denggi kepada penghuni atau orang yang berada di dalam rumah tersebut!"

Pegawai Epid : " Bagaimana dengan awak?"

Rakan 5 : "Bagi saya, Aedes aegyti lebih menyebarkan demam denggi kerana tabiat mengigitnya"

Pegawai Epid : " Kenapa dengan tabiat menggigitnya?"

Rakan 5 : "Tabiat nyamuk Aedes aegypti ini, bila ianya menggigit dan menghisap darah seseorang atau mangsanya tidak terus sampai kenyang. Ia akan berpindah dan menghisap darah beberapa orang sebelum ianya kenyang. Berbeza dengan Aedes albo bila ia menghisap darah orang pertama yang ditemuinya terus sampai kenyang dan ianya tidak dapat menghisap darah orang yang seterusnya. Oleh itu peluang Aedes agypti menyebarkan demam denggi kepada ramai orang adalah lebih tinggi"

Pegawai Epid : "Di antara tiga jawapan tersebut, mana satu yang betul?"

Pegawai Epid : "Ok...Jawapan yang ketiga itulah yang betul. Memang jika dibanding tabiat menggigit di antara kedua spesis nyamuk Aedes ini, Aedes albopictus agak tamak sikit. Bila menghisap darah...sekali hisap terus sampai kenyang.  Berbeza dengan Aedes aegyti ia suka menghisap darah sekejap-sekejap. Lepas tu...ia pindah kepada orang lain dan begitu seterusnya sampai ia betul-betul kenyang. Bukan setakat menghisap darah sahaja, tetapi dalam masa yang sama memasukkan virus denggi ke dalam badan mangsanya"

"Mana satu yang menggigit dan menghisap darah lebih ramai orang?"

"Aedes agypti!"

"Mana satu yang lebih menyebarkan demam denggi?"

"Aedes agypti!"

"Mana satu yang lebih bahaya?"

"Aedes agypti"




Aedes aegyti (pandangan sisi). Mempunyai belang atau
jalur putih di bahagian mesothorax (belakang tengah)
yang lebih banyak berbanding  dengan Aedes albopictus

Aedes albopictus (pandangan sisi).  Mempunyai belang
atau jalur putih di bahagian mesothorax (belakang tengah)
yang sedikit berbanding  dengan Aedes aegypti

Aedes aegyti (pandangan depan). Terdapat 2 belang putih
yang berbentuk seperti layar dan sepasang jalur putih
di bahagian tengah mesothorax (belakang tengah)

Aedes albopictus (pandangan depan). Terdapat satu
jalur putih tebal  dan berbentuk lurus di bahagian
mesothorax (belakang tengah)

Suatu perkara yang sering menjadi masalah utama berkenaan dengan nyamuk Aedes ini adalah pembiakannnya. Aedes boleh membiak di mana-mana sahaja baik di dalam atau di luar rumah. Ia boleh membiak di dalam bekas atau takungan yang mempunyai air yang sedikit. Telur-telurnya boleh bertahan tanpa air selama 6 bulan dan bila terdapat air ia boleh menetas menjadi jentik-jentik dan bertukar menjadi pupa (kepompong) dan seterusnya nyamuk hanya dalam tempoh kira-kira seminggu sahaja. Sesetengah orang mempunyai fahaman yang salah berkaitan dengan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Mereka mengatakan nyamuk Aedes membiak di tasik, sungai, paya, parit-parit besar dsb. Sebetulnya nyamuk Aedes tidak membiak di tempat-tempat berkenaan. Kalau adapun jentik-jentik, ianya mungkin nyamuk Mansonia atau Culex.


Kitaran hidup nyamuk aedes bermula dari telur hingga
dewasa mengambil masa kira-kira satu minggu.

Daripada pengalaman kerja di Unit Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV), tempat-tempat pembiakan Aedes yang sering ditemui adalah di sekitar kediaman samada di dalam atau luar rumah.  Berikut adalah senarai dan gambar bekas atau tempat yang sering ditemui pembiakan nyamuk Aedes:

Dalam Rumah:
1. Akuarium
2. Perangkap semut
3. Pasu Bunga
4. Timba/baldi
5. Tempayan
6. Kolam (kolah) mandi
7. Tempat air peti sejuk
8. Mangkuk tandas yang lama tidak digunakan
9. Cistern (pam tandas) yang lama tidak digunakan
10.Bekas bunga/tumbuhan air (aquatic plants)

Luar Rumah:
1. Tayar buruk
2. Tempurung kelapa
3. Botol/gelas pecah yang mengandungi air
4. Salur air hujan yang tersumbat
5. Tempayan
6. Pokok Pisang
7. Pokok Keladii
8. Longkang yang tersekat
9. Tangki septik (terdedah)
10.Botol/bekas plastik yang menakung air

 



Tayar terpakai meupakan tempat pembiakan yang ideal untuk nyamuk Aedes.


Tempat pembuangan sampah juga di antara tempat yang
sering dijumpai pembiakan nyamuk Aedes


Tunggul pohon buluh dan bekas-bekas plastik boleh menjadi
tempat pembiakan nyamuk Aedes



Di antara kedua jenis pembawa demam denggi ini, ternyata Aedes aegyti lebih bahaya dan menyebarkan denggi tetapi Aedes albopictus merupakan spesis yang sering ditemui. Dalam membicarakan berkenaan nyamuk berbelang putih hitam ini, mungkin ada di antara pembaca tertanya-tanya mengapa ianya dinamakan Aedes? Sebenarnya Aedes berasal daripada perkataan Yunani Kuno aÄ“dÄ“s, yang bererti "tidak menyenangkan", kerana nyamuk ini menyebarkan beberapa penyakit berbahaya seperti demam denggi. Selain denggi, Aedes aegypti juga terkenal sebagai penyebar penyakit demam kuning (yellow fever) dan Chikungunya. 


 

Di antara tindakan yang berkesan dan utama dalam mencegah penyakit-penyakit yang dibawa oleh nyamuk Aedes ini adalah memusnahkan atau mengeringkan air di dalam bekas / takungan yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Cegahlah demam denggi daripada berlaku dengan cara meluangkan masa selama 10 minit dihujung minggu bagi memastikan kediaman kita bebas dari pembiakan Aedes.! Hapuskan Pembawa Demam Denggi! Tiada Aedes Tiada Denggi!


Sunday, 31 March 2013

Tiga Bulan Selepas Kembali Bekerja....


Sedar tidak sedar rupa-rupanya sudah 3 bulan saya kembali bekerja. Kehidupan saya menjadi sedikit sibuk berbanding semasa tinggal di Australia. Terasa masa begitu pantas berlalu. Banyak tugasan yang perlu dilaksana dan disempurnakan. Entri kali ini saya ingin menulis berkenaan perkerjaan dan situasi terkini yang sedang dialami. Selepas melaporkan diri tempoh hari, saya telah ditempatkan di Unit Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV). 

Ianya merupakan salah satu sub unit di bawah Unit Inspektorat. Unit lain yang terdapat bawah Inspektorat adalah Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), HIV/AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCDC), Keselamatan dan Kualiti Makanan (KKM), Kawalan Mutu Air Minum (KMAM), Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), Penyiasatan dan Pendakwaan (UPP), Promosi Kesihatan (UPK), Surveilan dan Tb/Kusta.

Unit RKPBV bertanggungjawab ke atas morbiditi dan mortaliti penyakit-penyakit bawaan vektor yang merangkumi Malaria, Denggi, Filariasis (Untut), Japanese Encephalitis, Scrub Taifus (Typhus), Hawar (Plague) dan Yellow Fever. Penyakit Chikungunya, Kalaazar dan West Nile Fever juga telah diserapkan ke dalam RKPBV pada Januari 2001.

Objekif Unit RKPBV meliputi:-
1.Mengurangkan kejadian dan kematian penyakit bawaan vektor supaya ianya tidak lagi menjadi masalah kesihatan umum di Malaysia.
2.Mencegah kejadian penyakit bawaan vektor di kawasan di mana tiada berwabak pada masa ini.
3.Mencegah kedatangan semula (“re-introduction”) penyakit Hawar dan mencegah pengimpotan penyakit Yellow Fever.
4.Mencegah kemasukan penyakit Chikungunya, Kala-azar dan West Nile Fever

Unit RKPBV merupakan yang terbesar dengan bilangan kakitangan yang ramai jika dibandingkan dengan unit-unit yang lain. RKPBV merupakan hot unit kerana ia melibatkan penyakit demam denggi yang mesti disiasat dalam tempoh 24 jam dari tarikh ianya dilaporkan. Demam denggi merupakan penyakit bawaan vektor yang menjadi masaalah kesihatan utama dalam masyarakat, khususnya di daerah Kota Bharu dan Malaysia secara amnya.

Sengaja saya pilih dan ceritakan secara sepintas lalu berkenaan dengan Unit RKPBV ini kerana dari pengalaman tidak ramai orang yang mengetahui peranannya kecuali ahli keluarga dan mereka yang pernah mengidap demam denggi. Tidak ramai yang sedar dan perasan tentang kewujudan dan peranan yang dilakukan oleh unit ini bagi memastikan kejadian atau wabak penyakit bawaan vektor terkawal. Semoga tulisan ini memberi sedikit pencerahan kepada pembaca yang belum mengetahuinya.

Berbalik kepada Unit RKPBV di tempat saya bekerja, ianya dibahagikan kepada 3 pasukan iaitu Siasatan, Kawalan dan Pencegahan. Saya termasuk dalam pasukan siasatan yang terdiri daripada 6 orang pegawai penyiasat. Sebaik sahaja notifikasi kes Demam Denggi diterima dari hospital dan klinik (kerajaan dan swasta), ianya mesti disiasat segera dalam tempoh 24 jam. Secara ringkasnya tugas kami adalah bagi menentukan punca dan tempat jangkitan.



Pasukan Kawalan dan Pencegahan Unit RKPBV sedang 
melakukan tugasnya.

Semburan kabus dilakukan bagi membunuh 
nyamuk Aedes dewasa. 

Selepas itu pasukan Kawalan dan Pencegahan akan meneruskan tindakan seterusnya. Biasanya sebelum semburan kabus dijalankan di lokaliti yang disyaki sebagai tempat seseorang pesakit itu dijangkiti denggi, suatu Pemeriksaan Pembiakan Aedes (PPA) dilakukan bagi mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Selain itu, ianya juga bagi menentukan Indeks Aedes di lokaliti tersebut. Bagi premis yang didapati terdapat pembiakan Aedes di dalam atau di luar kawasan persekitaran premis, penghuninya akan dikenakan kompaun atau tindakan mahkamah jika gagal membayarnya mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Selepas PPA dilaksanakan, barulah semburan kabus dilakukan di dalam dan luar premis (rumah dan bangunan) bagi membunuh nyamuk Aedes dewasa. Bagi daerah Kota Bharu secara puratanya terdapat 10-15 kes yang disyaki demam denggi dilaporkan pada setiap hari. Jumlah tersebut cukup membuatkan saya dan rakan-rakan di unit RKPBV sibuk pada setiap hari termasuk hari minggu....

Monday, 18 February 2013

Aset dan saham akhirat untuk Ibu dan Ayah....


“Kalau boleh, abang nak semua anak kita menjadi hafiz atau hafizah” itulah ungkapan yang selalu saya ucapkan kepada isteri bila membicarakan soal masa depan anak-anak kami. Kami bersependapat dalam perkara ini, malah isteri akan menetapkan impian yang lebih spesifik. “Kalau boleh, Ila mahu semua anak kita menjadi seorang doktor yang hafaz 30 juz Al Qur’an.”

“Mengapa doktor, kenapa tidak ustaz, ustazah, pensyarah atau lain-lain profession?. Kan baik kalau jadi seorang ustaz atau ustazah, bukan sahaja ilmu itu bermanafaat kepada diri sendiri tetapi juga boleh mengajar kepada orang lain!” saya lontarkan pertanyaan bagi menduga niat sebenar di sebalik impiannya. Adakah kerana beliau seorang doktor maka anak-anak juga mesti mengikut jejak langkahnya.

“Ya, benar apa yang abang katakan, tetapi seorang doktor yang mantap ilmu agama dan al qur’annya mempunyai kelebihan-kelebihan lain berbanding seorang ustaz atau ustazah...” jawab isteri tanpa memberi penjelasan lanjut.

“Apa kelebihan lain yang Ila maksudkan?”

“Ya, kalau seorang ustaz atau ustazah biasanya mengajar ilmu yang ada dalam dadanya kepada orang Islam yang datang kepadanya atau beliau pergi kepada mereka. Audien mereka umumnya adalah orang yang seagama dengan mereka.”

“Jarang benar atau mungkin tiada langsung pendengar atau pelajar yang mengikuti kuliah dan ceramah yang diberikan adalah mereka yang berlainan pegangan agama. Jangkauan dakwah mereka mungkin tidak dapat merentasi sempadan agama malah bangsa pun susah!.”

“Macamana dengan doktor pula?”

“Kalau doktor pula, mereka boleh merawat sesiapa saja yang memerlukan khidmat mereka. Pesakit mereka bukan setakat yang seagama tetapi juga mereka yang berlainan bangsa dan agama. Doktor boleh pergi kepada pesakit yang berlainan agama atau mereka boleh datang kepada doktor dengan perasaan lebih selesa dan persepsi kurang bias berbanding dengan seorang ustaz/ustazah.”

“Dalam situasi inilah peranan seorang doktor itu sangat penting. Mereka bukan sahaja merawat dan membantu pesakit meringankan penderitaan yang dialami tetapi dalam masa yang sama boleh menunjukkan akhlak yang baik. Merawat pesakit dengan penuh kasih sayang kerana Allah SWT dan akhlak yang terpuji juga merupakan satu bentuk dakwah.!”
   
Demikian penjelasan isteri sebab musabab mengapa beliau inginkan anak-anak menjadi seorang doktor. Bukan sebarangan doktor tetapi seorang doktor yang hafaz seluruh ayat-ayat al quran, mantap iman, akhlak dan ilmu agamanya.

Saya bersetuju dengan pendapat yang dipegangi oleh isteri. Dakwah itu bukan sahaja melalui luahan kata-kata tetapi perlu disertai dengan akhlak yang baik. Bagi saya akhlak yang baik itu lebih utama dan aula. Biasanya orang yang bukan Islam atau belum lagi Islam - (itu istilah yang selalu diguna pakai oleh seorang guru yang mengajar saya di sekolah menengah) tertarik kepada Islam bukan melalui bijak bicara atau indahnya susunan kata-kata dan bahasa pendakwah semasa berdakwah tetapi lebih kepada akhlak yang diamalkannya. Dakwah itu akhlak! 

Seorang doktor juga mempunyai peluang yang lebih baik untuk pergi ke seluruh dunia terutamanya dalam misi-misi bantuan kemanusiaan atau perubatan setelah sesuatu bencana berlaku. Atas kapasiti sebagai seorang ustaz atau ustazah, peluang berdakwah di kalangan mangsa Tsunami seperti yang berlaku di Jepun pada 11 Mac 2011 atau mangsa taufan Bhopha yang melanda Philippina pada 5 Disember 2012 mungkin nipis atau tiada langsung. Berbeza dengan seorang doktor peluangnya lebih terbuka dan boleh diterima tanpa prejudice. Ada ketikanya dakwah tidak memerlukan kita banyak berkata-kata tapi keikhlasan hati kepada Allah dan akhlak yang terpuji yang menjadi tarikan serta perhatian. 

Memang benar itulah harapan dan impian kami berdua. Semoga diizinkan Allah, harapan dan impian kami termakbul. Harapan dan impian kami ini disandarkan kepada dua anak perempuan kami yang sekarang ini diusia persekolahan iaitu Nur Hafizah  dan Nur Hidayah. Nur Hafizah sudah mencecah umur 13 tahun dan seharusnya perlu memulakan alam persekolahan di peringkat menengah. Manakala Nur Hidayah pula berumur 10 tahun dan perlu meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah. Sebulan sebelum balik ke Malaysia kami telah mula mencari-cari sekolah yang sesuai untuk keduanya. 

Setelah tinjauan dan penyelidikan yang dilakukan, kami akhirnya memilih Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman Binjai untuk Nur Hafizah dan Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 bagi Nur Hidayah atas permintaannya bagi menghabiskan persekolahan peringkat rendahnya di sini. Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 adalah sekolah asal bagi Nur Hafizah dan Nur Hidayah sebelum mereka bersekolah di Australia. Sementara Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman adalah sebuah institusi pendidikan swasta yang tersusun dan terancang bagi melahirkan individu muslim yang mampu mempraktikkan Islam dengan sempurna dan menyeluruh. Sekolah ini terletak di Lot 3496, Jalan Tali Air Binjai 16150 Kubang Kerian, Kelantan.



Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman-pemandangan dari jauh

Bangunan Surau - Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman

Bangunan Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman


Faktor utama mengapa kami memilih SMI Aman adalah kerana kurikulumnya yang menyepadukan sukatan pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) Kerajaan dengan pelajaran Diniah (Tarbiah Islamiah) dan dimantapkan lagi dengan aliran tahfiz. Sekolah ini menawarkan sesi persekolahan untuk peringkat menengah rendah (Tingkatan1-3) dan menengah atas (Tingkatan 4-5). Satu lagi perkara yang membuat kami tertarik memilih sekolah ini adalah prinsip yang dipegang oleh pihak sekolah iaitu Al Qur'an untuk semua. Peluang untuk belajar membaca dan menghafaz Al Qur'an terbuka untuk semua orang. Tidak seperti sesetengah sekolah tahfiz lain yang memilih hanya mereka yang cerdas sahaja sebagai pelajar. Kelulusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi prasyarat utama sebelum diterima masuk.

Berpegang kepada prinsip Al Qur'an untuk semua, sekolah ini memberi peluang kepada semua pelajar samada lulus 5A UPSR atau tidak. Pelajar yang diterima masuk ini perlu melalui ujian saringan bagi menentukan tahap kemampuan bacaan Al Qur'annya. Terdapat 3 kelas bagi pelajar-pelajar yang telah disaring iaitu Iqra', nazhiroh dan tahfiz.

Kelas Iqra' adalah untuk pelajar yang tidak boleh membaca Al Qur'an
Kelas Nazhiroh untuk pelajar yang boleh membaca Al Qur'an
Kelas Tahfiz untuk pelajar yang boleh membaca Al Qur'an dengan lancar

Pendekatan yang digunakan dan sasaran yang ditetapkan kepada pelajar bergantung kepada kemampuan pelajar mengikut kelas di mana mereka berada. Secara umumnya bagi pelajar yang mampu setiap tahun mereka disasarkan dapat menghafaz sekurang-kurangnya 6 juzuk Al Qur'an. Matlamatnya, selepas menamatkan pengajian dari tingkatan 1-5, mereka dapat menghafaz keseluruh 30 juzuk Al Qur'an.

Kurikulum SMI Aman ini menepati kehendak dan impian kami bagi melihat anak-anak kami berjaya menjadi seorang yang mempunyai kerjaya yang professional dan mantap ilmu agamanya serta dalam masa yang sama merupakan seorang yang hafaz 30 juzuk Al-Qur'an. Allah s.w.t melalui kalam RasulNya telah menjanjikan banyak kelebihan kepada mereka yang menghafal Al-Qur'an seperti yang digambarkan di bawah.

1.MEREKA ADALAH KELUARGA ALLAH SWT.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia." Kemudian Anas berkata lagi, lalu Rasulullah s.a.w bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah. Baginda menjawab: "Iaitu ahli Qur'an (orang yang membaca atau menghafal Al- Quran dan mengamalkan isinya).Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah.

2.DI TEMPATKAN SYURGA YANG PALING TINGGI
Sabda rasulullah s.a.w:
"Daripada Abdullah Bin Amr Bin Al Ash ra dari nabi s.a.w, baginda bersabda; Diakhirat nanti para ahli Al Qur'an di perintahkan, "Bacalah dan naiklah kesyurga. Dan bacalah Al Qur'an dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggal mu di syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca."

3.AHLI AL QU'RAN ADALAH ORANG YANG ARIF DI SYURGA
Sabda rasulullah s.a.w "Daripada Anas ra. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; "Para pembaca Al Qur'an itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni syurga,"

4.MENGHORMATI ORANG YANG MENGHAFAL AL QU'RAN BERERTI MENGAGUNGKAN ALLAH SWT.
Sabda rasulullah s..a.w "Daripada Abu Musa Al Asya'ari ra.ia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Diantara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati Orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal Al-Qur'an yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak membiarkan Al-Qur'an tidak di amalkan, serta menghormati kepada penguasa yang adil."

5.HATI PENGHAFAL AL-QURAN TIDAK DI SEKSA
Sabda rasulullah s.a.w.
" Daripada Abdullah Bin Mas'ud ra. Daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: " bacalah Al Quran kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang hafal al-quran. Sesungguhanya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, siapa yang memasukkunya ia akan aman. Dan barangsiapa yang mencintai Al Quran maka hendaklah ia bergembira."

6.MEREKA LEBIH BERHAK MENJADI IMAM DALAM SOLAT
Sabda rasulullah s.a.w. :
"DaripadaIbnu Mas'ud ra. Dari Rasulullah s.a.w. beliau bersabda; "yang menjadi imam dalam solat suatu kaum hendaknya yang paling pandai membaca Al Quran."

7.DISAYANGI RASULULLAH S.A.W
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Jabir Bin Abdullah ra. Bahawa nabi s.a.w menyatukan dua orang daripada orang-orang yang gugur dalam perang uhud dalam satu liang lahad.
Kemudian nabi s.a.w. bertanya, "dari mereka berdua siapakah paling banyak hafal Al Quran?" apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka nabi s.a.w memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad."

8.DAPAT MEMBERIKAN SYAFAAT KEPADA KELUARGA
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Ali Bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah ia berkata, "Barangsiapamembaca Al Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya kedalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah di tetapkan untuk masuk neraka."

9.PENGHAFAL AL QURAN AKAN MEMAKAI MAHKOTA KEHORMATAN
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Abu Hurairah ra.daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: "orang yang hafal Al Quran nanti pada hari kiamatnanti akan datang dan Al Quran akan berkata; "Wahai Tuhan ,pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut di berikan mahkota kehormatan. Al Quran berkata lagi:
"Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu di beri pakaian kehormatannya. Al Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redailah dia." Maka kepadanya di katakan; "Bacalah dan naiklah." Dan untuk setiap ayat, ia di beri tambahan satu kebajikan."

10.HAFAL AL QURAN MERUPAKAN BEKALAN PALING BAIK.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada jabir bin nufair, katanya rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran.

11.ORANG TUA MEMPEROLEHI PAHALA KHUSUS JIKA ANAKNYA PENGHAFAL AL QURAN.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Buraidah Al Aslami ra, ia berkata bahawasanya ia mendengar Rasulullah s..a.w bersabda: "Pada hari kiamat nanti, Al Quran akan menemui penghafalnya ketika penghafal itu keluar dari kuburnya. Al Quran akan berwujud seseorang dan ia bertanya kepada penghafalnya: "Apakah anda mengenalku?".
Penghafal tadi menjawab; "saya tidak mengenal kamu." Al Quran berkata; "saya adalah kawanmu, Al Quran yang membuatmu kehausan di tengah hari yang panas dan membuatmu tidak tidur pada malam hari. Sesungguhnya setiap pedagang akan mendapat keuntungan di belakang dagangannya dan kamu pada hari ini di belakang semua dagangan. Maka penghafal Al Quran tadi di beri kekuasaan di tangan kanannya dan diberi kekekalan ditangan kirinya, serta di atas kepalanya dipasang mahkota perkasa. Sedang kedua orang tuanya diberi dua pakaian baru lagi bagus yang harganya tidak dapat di bayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua orang tua itu lalu bertanya: "kenapa kami di beri dengan pakaian begini?". Kemudian di jawab, "kerana anakmu hafal Al Quran."
Kemudian kepada penghafal Al Quran tadi di perintahkan, "bacalah dan naiklah ketingkat-tingkat syurga dan kamar-kamarnya." Maka ia pun terus naik selagi ia tetap membaca, baik bacaan itu cepat atau perlahan (tartil)

12.AKAN MENEPATI KELAS TERTINGGI DI DALAM SYURGA.
Sabda rasulullah s.a.w.:
"Daripada Sisyah ra ia berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat Al Quran. Maka tingkatan syurga yang di masuki oleh penghafal Al Quran adalah tingkatan yang paling atas, dimana tidak ada tingkatan lagi sesudah itu.

"Ya Allah jadikanlah kami dan zuriat keturunan kami, anak soleh yang menjadi aset dan saham akhirat ibu bapa kami sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara ; sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak soleh yang mendoakannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Wednesday, 23 January 2013

Kembali bekerja...


Selama tiga tahun dan tiga bulan saya mengambil cuti tanpa gaji bagi menemani isteri melanjutkan pengajian PhD di Universiti Monash, Australia. Selama tempoh itu juga saya telah meninggalkan pekerjaan di pejabat kerana bercuti bagi menggalas tugas sebagai house husband. Pada 1hb Januari 2013 (Selasa) lalu saya perlu melapurkan diri untuk kembali bertugas sebaik sahaja cuti tanpa gaji tamat. Tanggunjawab itu telah pun saya sempurnakan dan sekarang ini telah kembali bekerja. Kembali....ertinya saya dulu pernah melakukannya dan kini harus melakukannya lagi setelah suatu tempoh masa ianya berhenti. Seharusnya kembali bekerja menjadi hal yang mudah sahaja dilakukan, kerana saya sudah bertahun-tahun menjalaninya. Tetapi ternyata ianya tidak semulus yang dibayangkan. 

Banyak perkara, peristiwa dan perubahan berlaku seiring dengan peredaran masa. Keadaan dan suasana seperti yang pernah dirasai pada suatu ketika dahulu, sudah beransur pupus dan auranya tidak sama lagi seperti hari-hari yang telah pergi. Manakala sebahagiannya sudah tiada lagi dan ianya hanyalah lekat tersimpan dalam lipatan kenangan.

Keadaan pejabat sekarang ini sudah banyak berubah dan berbeza berbanding semasa saya tinggalkan dahulu. Ketika saya kembali melapur diri untuk bertugas, sebahagian besar ruang pejabat sudah diubahsuai. Ruang-ruang menjadi berubah. Ruangan kerja yang dahulunya luas dan tebuka kini kelihatan semakin kecil kerana sebahagian ruangnya telah dijadikan bilik-billik bagi menempatkan pegawai-pegawai yang berjawatan ketua. 

Ruang kerja terbuka yang menempatkan banyak unit-unit dalam organisasi pejabat juga sudah berubah. Dahulu di antara satu meja dengan meja lainnya tidak ada pembatas, tapi sekarang ruangan itu terpisah-pisah dengan pembahagi setinggi lebih kurang 4 kaki. Kalau dahulu kita boleh mengetahui dan melihat sebahagian besar rakan-rakan sepejabat yang datang bekerja di meja mereka, tetapi kini tidak lagi. Ruang pandang menjadi terhalang kerana adanya pembahagi yang memisahkan setiap unit kerja. Tiada lagi suasana dan rasa meriah ramainya rakan sepejabat. Dari sudut yang lain, pembahagi yang dibuat ini membolehkan setiap unit lebih fokus kepada tugas mereka. Ianya juga memudahkan ketua setiap unit berhubung dan mengawal selia staf bawahannya serta memberi lebih privacy. Semasa entri ini ditulis, pejabat masih lagi diubahsuai di mana satu kaunter pelanggan yang baru telah diadakan.

Satu lagi perubahan dan pembaharuan yang berlaku adalah sistem merekod kedatangan dan kepulangan staf dari pejabat tidak lagi menggunakan sistem punch card tetapi menggunakan sistem biometrik yang menggunakan cap jari. Sistem ini dikira lebih baik dari punch card kerana verifikasi cap jari hanya sah bila tuan punya jari yang sebenar dilekatkan pada pembaca cap jari. Ianya secara tidak langsung dapat mengatasi penipuan yang banyak berlaku dalam sistem punch card iaitu seseorang itu boleh mengetik kad bagi pihak orang lain.


Sistem biometrik merekod kedatangan dan kepulangan staf menggunakan cap jari

Sistem biometrik cap jari ditempatkan di sebelah tangga utama  pejabat.

Beberapa hari di awal kembali bekerja saya hanya menghabiskan waktu untuk berkenalan, berjumpa mata dan bertegur sapa serta berbincang dengan rakan-rakan baru-dan lama. Senang dan lega rasanya mereka masih menerima saya dengan hangat... Alhamdulillah!. 

Ketua Pejabat sudah berganti sejak saya tinggalkan kerana telah mencapai umur bersara. Beliau diganti oleh ketua baru yang lebih muda dan sudah pernah saya kenal sebelumnya. Beberapa jawatan ketua unit pentadbiran dan unit-unit lain juga sudah ada perubahan, tapi sebahagian besar masih saya kenal.

Staf lain di pejabat juga mengalami perubahan. Beberapa rakan sepejabat sudah tidak dapat saya temui lagi. Ada yang sudah meninggal dunia, pencen dan pindah ke unit kerja lain. Manakala sebilangannya bertukar ke tempat kerja yang baru kerana dinaikkan pangkat atau mohon dipindahkan. Saya kehilangan sebahagian rakan-rakan sejawatan kerana mereka ditukarkan ke negeri atau daerah lain, selepas dinaikkan pangkat. Perasaan gembira berbaur sedih bila mengetahui berita tersebut. Gembira kerana mereka dinaikkan pangkat dan sedih kerana tidak dapat mengikut jejak langkah mereka serta tidak berpeluang lagi berbual mesra, berkongsi cerita dan pengalaman seperti suatu ketika dulu. 

Dalam banyak perubahan yang berlaku di pejabat, kehilangan rakan-rakan sejawatan yang sudah bekerja bersama-sama selama bertahun-tahun ini sangat memberi kesan kepada diri saya. Saya boleh merasai suasana dan rasa yang berlainan bila bekerja tanpa kehadiran mereka. Perasaan sayu dan sebu datang menggugah kalbu bila terkenangkan peristiwa bersama mereka pada masa dulu. Mereka bukan sahaja humor dan optimis tetapi juga sentimental. Perasaan ini sering hinggap dan menusuk kalbu serta masuk bersarang di dalam hati saya sehingga kini. Sebenarnya perasaan yang sama juga turut dirasai oleh rakan-rakan sejawatan lama yang masih ada. Betapa tidak, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermesra dan bekerja membina kerjaya kehidupan...Walaubagaimana pun, saya akur dan pasrah dengan ketentuan yang telah direncanakan oleh Allah S.W.T ini. Tentunya semua yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi yang akan diketahui kebaikannya dikemudian hari.

Tempat mereka yang bertukar, diganti oleh rakan-rakan sejawatan yang lebih muda dan baru memasuki alam pekerjaan. Rata-ratanya mereka termasuk dalam golongan generasi Y. Perbezaan cara berfikir, bekerja, memberi pendapat dan pola fikir sudah tentu wujud. Semua perbezaan ini perlu diurus dan diolah bagi menjana sikap saling menghormati, kerjasama dan keserasian yang merupa elemen penting untuk menghasilkan suasana kerja yang harmoni. Keserasian bukan semestinya kita mempunyai pendapat dan sikap yang sama dalam semua perkara, tetapi ia adalah sebuah kemampuan kita memanafaatkan segala perbezaan untuk mencapai keharmonian, meraikan kepelbagaian untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Ibarat bezanya caj positif dan negatif yang menghasilkan arus elektrik bagi sebuah bateri. Atau ibarat bezanya bunyi setiap note piano yang menghasilkan irama dan lagu. Di mana ada perbezaan..disitu bercambah keserasian. Ternyata saya perlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sudah berubah dan membina keserasian dengan rakan-rakan baru dan lama. Kembali bekerja juga bermakna saya perlu menggilap semula ilmu dan kemahiran berkerja. Membiasa diri dengan tempo dan rutin harian bekerja. Kembali bekerja...ternyata memberi saya cabaran, semangat dan harapan baru.  Ya Allah!.....Tuntunlah dan bantulah hambaMU dalam meneruskan perjalanan hidup ini!

Tuesday, 1 January 2013

Musafir berakhir...


Siang bertukar malam. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan. Bulan bersilih tahun. Masa berlalu tanpa henti dan akhirnya genaplah sudah tempoh masa bagi kami bermusafir di Australia. Tanggal 29 hb November 2012 (Khamis) lepas saya dan keluarga telah meninggalkan Melbourne setelah menumpang hidup di bawah langitnya selama 3 tahun lebih. Kami tinggalkan Melbourne pada hujung musim bunga. Satu musim yang paling serasi dengan saya berbanding dengan 3 musim yang lainnya.

Kami tinggalkan Dandenong di mana terdapat Marmara - kedai orang Turki, tempat kami mendapatkan daging halal. Kami tinggalkan Clayton yang mempunyai Hong Kong, sebuah kedai runcit kepunyaan orang Cina yang menjual pelbagai makanan Asia. Ianya juga tempat di mana terdapatnya Sarawan - sebuah kedai runcit milik orang India, tempat kami mendapatkan beras Basmati bagi memenuhi kerinduan makan nasi, suatu keinginan yang sukar kami tinggalkan walaupun berada di negara yang penduduknya makan roti dan keju sebagai makanan rujinya. Kami tinggalkan Springvale kawasan penempatan masyarakat Vietnam - tempat kami selalu mendapatkan makanan laut terutama ikan kembong dan tenggiri. Ianya juga tempat kami memperolehi dan menikmati buah-buahan tropika seperti mempelam, nangka, mata kucing, durian dsb.


Hong Kong Asian Food Supermarket di Clayton

Sarawan Spices & Home Entertainment di Clayton

Pasar buah di Springvale

Buah-buahan tropika ada dijual di Springvale

Pasar ikan di Springvale

Kami tinggalkan kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East yang merupakan tempat yang tenang, bersih dan cantik. Kami tinggalkan rumah yang selama lebih 2 tahun, kami sekeluarga menetap di dalamnya. Kami tinggalkan jiran-jiran terdekat yang berasal dari pelbagai negara - Bangladesh, Iraq, Grecce dan China.  Kami juga tinggalkan rakan-rakan senegara, sebahagian mereka ada yang terlebih dahulu pulang ke Malaysia. Kami berkongsi ilmu, pengalaman dan cerita. Berkongsi citarasa, makanan dan kesukaan. Berbual, berhujah, bersetuju dan berbeza pendapat. Ada yang kelakar, ada yang serius, ada yang bersahaja, ada yang peramah, ada yang pendiam dan bermacam-macam karakter. Mereka ahli dalam pelbagai bidang. Di kalangan mereka - ada yang pakar komputer, ceo, guru, jurutera, ustaz, pengurus, doktor, pensyarah, usahawan, akauntan, pustakawan dsb. Saya tinggalkan rakan-rakan yang saya telah timba ilmu dan curi pengalaman mereka.


Kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East

Perasaan gembira berbaur sedih  menggamit kalbu tatkala meninggalkan rakan-rakan sekeliannya. Hati terasa walang. Perpisahan yang amat kelat untuk ditempuh. Perpisahan yang belum menjanjikan pertemuan semula, terasa begitu berat dan sungguh sayu sekali. Namun inilah aturan dan kudrat Allah S.W.T. Kenangan kembali membugar dan sungguh mengasyikkan bila mengimbau semula saat kedatangan kami ke Australia pada lebih 3 tahun yang lalu. Kami menjejakkan kaki di bumi Melbourne, Australia pada tanggal 26 hb September 2009 (Sabtu), lebih kurang pukul 10.30 pagi. Kami sekeluarga 5 beranak tiba di Melbourne International Airport pada awal musim bunga. Suhu ketika itu adalah kira-kira 7 celcius, sungguh sejuk mencengkam kulit kami lima beranak yang baru tiba dari bumi Malaysia yang panas membahang. Sungguhpun begitu, kami dikatakan tiba di musim yang paling sesuai untuk peralihan atau pengenalan kepada bumi Australia yang terkenal dengan empat musimnya. Selama setahun kami tinggal di Sarah Close, Clayton sebelum berpindah ke Strelden Ave, Oakleigh East - satu tempat yang lebih hampir dengan Universiti Monash Clayton. Seterusnya bermastautin di sini sehinggalah tarikh kepulangan ke Malaysia.

Kehidupan di bumi Australia sememangnya berwarna warni dengan empat musim yang silih berganti. Kedatangan musim bunga (spring) yang jatuhnya pada bulan September-November, dengan seribu satu warna sangat dinanti. Pelbagai spesis bunga memenuhi ruang mata. bunga-bunga mekar berkembang dalam pelbagai rupa, bau dan warna. Warna warni yang mengisi alam dan ruang pandangan membawa ke musim panas (summer) di bulan Disember-Febuari, disemarakkan pula dengan pelbagai aktiviti outdoor disebabkan siang lebih panjang dari malam. Subuh seawal pukul 4 pagi dan maghrib selewat 8.40 malam. Seusai musim panas, menjelma pula musim luruh (autumn) pada Mac-Mei, yang menjanjikan keindahan luar biasa. Walaupun layaknya musim luruh ini hanya dikaitkan dengan dedaun yang kekeringan namun hadir dengan pelbagai warna yang hampir serupa. Warna warni musim luruh…pemandangan yang amat menakjubkan. Keajaiban ciptaan Tuhan…

Bunga-bunga mekar berkembang di musim bunga
Lagi bunga-bunga muncul di musim bunga...
Suasana pemandangan musim luruh di Emerald Park

Kenangan ..Suasana pemandangan musim luruh

Daun-daun berguguran di musim luruh


Tika sampai saatnya musim luruh memberi laluan untuk musim sejuk (winter) yang datang pada Jun-Ogos menggantikannya. Hadirnya membawa malam yang tempohnya lebih panjang daripada siang. Subuh pukul 6.15 pagi dan maghrib seawal pukul 5.15 ptg. Walaupun hadirnya dengan seribu satu keresahan bagi sebahagian warga tempatan, namun bagi sesetengah orang - kedatangan musim sejuk terutamanya salji sangat dinanti. Walaupun kesejukannya mencengkam tulang namun kemeriahan bermain salji pasti menjadi salah satu nostalgia yang terpahat dalam ingatan terutama setelah tidak lagi bermastautin di sini. Musim sejuk yang sinonim dengan warna putih seputih salji yang memenuhi bumi. Satu lagi keindahan luar biasa semulajadi yang tiada di tanahair sendiri…

Bumi diliputi salji putih pada musim sejuk di Mount Buller

Suasana bersalji di musim sejuk
Bermain salji di Mount Buller


Saya tinggalkan banyak perkara yang menjadi kenangan. Ia satu tempoh yang diingati. Saya tinggalkan Australia, tetapi saya membawa segala kenangan dan pengalaman pulang bersama. Seperti mana musafir lain, bermusafir sering membuat kita berfikir dan merenung kembali banyak perkara yang dilihat dan menilai banyak perkara yang dipegang. Pandangan kita mengenai sesuatu perkara boleh berubah disebabkan perubahan tempat. Musafir juga membuka kesempitan penilaian kepada yang lebih luas dan jauh. Ianya juga memberi pelbagai pengalaman yang membuka hati dan minda. Memberikan penilaian baru tentang kehidupan. Musafir menguji keimanan kita dan seterusnya memberi peluang bermuhassabah serta menginsafi diri

Sepanjang 3 tahun lebih bermusafir, sedikit sebanyak saya dapat memahami corak dan erti kehidupan di bumi Kangaroo ini. Ternyata memang banyak mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi. Terkadang berlakunya suasana yang betul-betul menguji kesabaran dan ketabahan diri. Ujian ukhuwah antara rakan-rakan... ujian hidup dalam masyarakat yang majoritinya beragama kristian... cabaran bagaimana mengekalkan jati diri dan mempertahan iman diri dan anak-anak... Semua ini perlu dihadapi dan dihadam serta diambil cakna sebaiknya. Musafir ini menjadikan kami sekeluarga banyak belajar. Belajar bersabar terutamanya, belajar menjadi tabah dan kuat, belajar mengenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam, belajar akan ertinya redha dan banyak lagi perkara yang mendidik serta menjadikan kami hamba Allah yang semakin banyak bermuhassabah dan bersyukur.

Musafir membebaskan diri dari belenggu taksub, merintis jalan kepada keluasan pandangan dan ufuk pemikiran insan. Saya ingin bermusafir lagi jika diizinkan Allah. Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pegangan dan pandangan diri dalam perjalanan menuju Allah... Sesungguhnya, bermusafir itu membuat diri semakin mengenal dan bergantung harap kepada Allah S.W.T!.



Semalam adalah sejarah .. dan Hari ini adalah hadiah .. Esok adalah misteri ..
Alhamdulillah .. Terima Kasih Allah