Thursday 4 July 2013

Malaria....lesson learned (part I)

Pada 23-25 Jun lepas iaitu selama 3 hari saya bersama 4 rakan sepejabat telah dihantar ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jeli Kelantan bagi membantu dalam aktiviti kawalan wabak Malaria yang melanda daerah Jeli baru-baru ini. Sebagai pengetahuan pembaca, daerah Jeli telah dikejutkan dengan kejadian wabak Malaria dengan kes pertama yang dilaporkan pada 1/5/2013. Kes pertama tersebut adalah seorang lelaki Melayu berumur 30 tahun. Beliau telah mula mengalami simptom demam Malaria pada 24/4/2013 dan dimasukkan ke HRPZII Kota Bharu pada 29/4/2013 sehingga 9/5/2013. 

Berikutan dengan kejadian kes tersebut, langkah pencegahan dan kawalan telah dilakukan serta dipertingkatkan. Aktiiviti seperti semburan residu permukaan, pengagihan kelabu berubat dan pengambilan slaid darah atau Mass Blood Survey (MBS) telah dipergiatkan. Pengesanan kes secara aktif atau Active Case Detection (ACD) iaitu pengambilan slaid darah bagi mengesan parasit Malaria daripada mereka yang ada hubungan dengan kes telah dilakukan secara besar-besaran. Hasil daripada aktiviti yang dijalankan, bermula dari 13/5/2013 kes kedua, ketiga dan seterusnya telah dapat dikesan serta dilaporkan. Sehingga 25/6/2013 terdapat sebanyak 139 kes Malaria dilaporkan dengan 136 adalah kes yang dapat dikesan melalui aktiviti ACD. 

Daripada 139 kes yang dilaporkan, 108 adalah berlaku di kalangan Orang Asal (OA) yang tinggal di Rancangan Kampung Baru (RKB) Orang Asal Sungai Rual khususnya di Kg. Manok dan Seberang Manok. Kes-kes selebihnya adalah terdiri daripada penduduk Melayu tempatan, pekerja-pekerja asing Indonesia dan Mynmar terutama di Tumbi Rapat dan Lata Janggut.

Sebenarnya saya dan pasukan merupakan kumpulan keempat dari PKD Kota Bharu yang dihantar ke PKD Jeli bagi membantu dalam menangani kejadian wabak Malaria ini. Sebelum ini sudah 3 kumpulan sudah dihantar sana. Setiap kumpulan terdiri darpada 5 orang anggota. Selain untuk tujuan membantu, pemergian kami ke sana adalah juga untuk mendapatkan pendedahan dan menimba pengalaman bagaimana cara menangani wabak Malaria yang baik serta berkesan. Ianya juga memberi peluang kepada kami untuk menggilap kemahiran dan mendapatkan pengalaman dalam melakukan aktiviti penyiasatan kes, MBS, semburan residu permukaan, pengagihan kelabu berubat, risalah dan sebagainya. Maklumlah di daerah Kota Bharu, boleh dikatakan tiada kes Malaria berlaku. Kalau ada pun, ianya adalah kes yang dibawa masuk dari daerah atau negara lain. Kejadian wabak di daerah Jeli ini, memberi kesempatan yang terbaik untuk mendapatkan pengalaman berguna apatah lagi ianya merupakan wabak yang agak besar bagi daerah Jeli malah di Malaysia juga. 

Selain PKD Kota Bharu, PKD lain yang turut menghantar pasukan bantuan adalah Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Tumpat dan Machang. Malahan ada PKD di luar Kelantan yang menghantar pasukan untuk tujuan pembelajaran dan menimba pengalaman. Kalau sebelum ini pasukan dari PKD Kota Bharu telah di tempatkan di Kg. Sg. Long, Kg.Tumbi Rapat dan Kg. Lalat, kali ini kami telah ditugaskan untuk menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di Kg. Kalai Lama. Kg.Kalai lama ini terletak kira-kira 18 km dari Bandar Jeli. Majoriti penduduk tempatan di sini bekerja sebagai penoreh getah dan sebilangan kecil mendulang emas yang terdapat di kawasan ini.

Sebelum meneruskan tulisan ini, saya ingin menceritakan secara ringkas berkenaan penyakit Malaria. Apa itu demam Malaria?. Orang Melayu dulu-dulu memanggilnya demam kura-kura. Bagaimana pun, sekarang ini panggilan tersebut semakin kurang digunakan. Demam Malaria merupakan sebutan yang lebih popular dan biasa digunapakai. Malaria merupakan penyakit berjangkit bawaan vektor yang disebabkan oleh parasit protozoa. Penyakit ini disebabkan oleh parasit protozoa dari genus Plasmodium. Perkataan malaria berasal dari perkataan Itali, mala aria, yang bermaksud udara kotor (bad air). Penyakit ini sudah menular di kalangan masyarakat Rome berabad lamanya dan ketika itu ia dikaitkan dengan udara kotor yang datang dari kawasan berpaya. Secara kebetulan, kawasan yang berair dan berpaya adalah sumber pembiakan vektor pembawa parasit Plasmodium. Demam malaria yang paling serious disebabkan oleh Plasmodium falciparum dan Plasmodium vivax, tetapi spesies yang lain seperti Plasmodium ovale, Plasmodium malariae dan Plasmodium knowlesi turut mampu menjangkiti manusia.

Parasit Malaria disebar oleh nyamuk Anopheles betina. Nyamuk ini memerlukan sel-sel darah merah yang kaya dengan protein dan hemoglobin untuk bertelur. Semasa ia sedang menghisap darah dari mangsanya, parasit Plasmodium yang berada di kilang air liur nyamuk itu akan memasuki kitaran darah mangsa sebelum bergerak ke sel-sel hati untuk berkembang dan membiak. Ketika ini mangsa mungkin tidak tahu dirinya sudah dijangkiti parasit berkenaan sehinggalah selepas satu hingga empat minggu kemudian apabila simptom atau tanda-tanda penyakit malaria mulai kelihatan. Tempoh simptom mula terjadi adalah berbeza bergantung kepada masa pengeraman setiap spesis parasit atau Plasmodium yang menjangkiti.


             Parasit                                               Masa pengeraman
Plasmodium falciparum                               9 – 14 hari (12)
Plasmodium vivax                                      12 – 17 hari (15)
Plasmodium ovale                                      16 – 18 hari (17)
Plasmodium malariae                                18 – 40 hari (28)
Plasmodium knowlesi                                 10 – 12 hari 


Nyamuk Anopheles (Tiruk) -Vektor pembawa parasit malaria

Simptom demam Malaria termasuk demam, menggeletar, arthralgia (sakit sendi), muntah, anemia disebabkan hemolysis, hemoglobinuria, dan kekejangan (convulsion). Terdapat juga kemungkinan perasaan mencucuk pada kulit terutama dengan malaria yang disebabkan oleh Plasmodium falciparum. Simptom klasik malaria adalah pengulangan berkala rasa sejuk diikuti dengan kekejangan dan demam dan berpeluh selama empat hingga enam jam, berlaku setiap dua hari bagi jangkitan Plasmodium vivax dan Plasmodium ovale, sementara setiap tiga hari bagi Plasmodium malariae. Manakala bagi jangkitan Plasmodium falciparum boleh mengalami demam berulang setiap 36-48 jam atau demam rendah yang berpanjangan. Di antara lima spesis ini, Plasmodium falciparum adalah yang paling merbahaya kerana ia boleh menyebabkan malaria otak dan melalui mutasi, ia juga boleh menjadi kalis terhadap ubat-ubat malaria yang sedia ada. Plasmodium falciparum melibatkan hampir separuh dari kes- kes malaria di seluruh dunia dan merupakan punca 95 peratus kematian akibat malaria.

Demikianlah maklumat berkenaan malaria sepintas lalu. Berbalik kembali kepada kisah kami di Kg Kalai Lama. Selama 3 hari kami berkampung di kampung ini. Di antara aktiviti yang kami lakukan adalah pengambilan slaid darah penduduk bagi mengesan parasit malaria, pengagihan kelabu berubat dan semburan residu permukaan. Selain kami, rakan-rakan dari PKD Pasir Mas, Bachok dan Machang juga turut melakukan aktiviti serupa di tempat yang sama. Kami ditugaskan mengikut zon atau kawasan yang telah diputuskan dan ditetapkan oleh rakan-rakan dari PKD Jeli. Objektifnya adalah supaya tindakan pencegahan dan kawalan  meliputi semua rumah dan penduduk yang menetap di kampung ini. 

Sebenarnya kampung Kalai Lama ini dipilih  kerana ianya terletak berhampiran dengan Tumbi Rapat di mana terdapat sekurang-kurangnya 13 kes Malaria yang dapat dikesan di sini. Aktiviti yang kami lakukan bermula dari pagi sehingga malam. Bagi semburan residu dan pengagihan kelabu berubat biasanya berlangsung di siang hari manakala pengambilan slaid darah terpaksa diteruskan sehingga waktu malam. Waktu bekerja kami terpaksa disusun atur mengikut masa penduduk tempatan keluar bekerja dan masa kebanyakan mereka berada di rumah.

Di antara cabaran yang kami lalui adalah semasa aktiviti mengambil slaid darah daripada penduduk. Kami perlu mengambil slaid darah semua penduduk bagi pengesanan parasit malaria. Bagi mencapai tujuan tersebut, kami terpaksa ke rumah penduduk mengikut masa mereka berada di rumah. Sebahagian penduduk lapang pada waktu awal pagi (8-9 pagi). Sebilangan pula pada waktu tengahari sehingga awal petang (12 tgh-2 ptg). Manakala sebilangan lagi selepas pukul 6 petang sehingga malam. Waktu ini adalah bergantung kepada bila mereka pergi menoreh. Sebahagian besar pergi menoreh pokok getah pada awal pagi dan selesai pada pukul 12 tgh. Sebahagian kecil daripada mereka menyambung menoreh pada pukul 2 sehingga 5 ptg. Selain itu terdapat juga penduduk yang tidak mahu darah mereka diambil. Ada yang tidak memberi kerjasama dan segelintir yang melarikan diri. 

Bagaimana pun, cabaran yang kami hadapi tidaklah sehebat seperti yang dialami oleh rakan-rakan dari PKD Jeli.  Mereka terpaksa pergi ke penempatan Orang Asal (OA) dan PATI yang agak jauh untuk mengambil slaid darah. Misi mereka tidak berjaya sepenuhnya bila ada sebilangan OA dan PATI menghilangkan diri ke dalam hutan. Di bawah ini adalah sebahagian gambar yang dirakam semasa kami berada di daerah Jeli.


Pengambilan slaid darah daripada wargaemas bagi tujuan mengesan parasit malaria

Pengambilan slaid darah dari kanak-kanak bagi tujuan mengesan parasit malaria

Contoh slaid darah- 1 filem darah tebal-untuk mengetahui kehadiran
 parasit malaria dan 1 filem darah nipis-untuk  menentukan spesis parasit

Anggota PKD Kota Bharu sedang bekerja dengan memakai pakaian biasa
bagi menimbulkan suasana santai dan mesra terutama kepada kanak-kanak.

Pengambilan slaid darah daripada remaja bagi tujuan mengesan parasit malaria

Pengagihan kelabu berubat kepada penduduk kampung

Racun K-Othrine Moustiquaire SC yang digunakan dalam bancuhan bagi mencelup kelambu

Label yang tedapat pada botol racun K-Othrine Moustiquaire SC 


Semburan residu permukaan dinding bahagian luar bagi membunuh nyamuk
 Anopheles yang menjadikannya sebagai tempat hinggap atau berehat  
Semburan residu permukaan dinding bahagian dalam rumah bagi membunuh
 nyamuk  Anopheles yang menjadikannya sebagai tempat hinggap atau berehat

Selain rumah yang mempunyai penghuni semburan residu permukaan juga
dilakukan kepada rumah kosong atau  premis yang dijadikan sebagai setor.

Racun K-Othrine 5.0 WP dengan bahan aktif Deltamethrin
digunakan dalam semburan residu permukaan

Label bahagian belakang bungkusan Racun K-Othrine 5.0 WP


Bergambar di Rancangan Kampung Baru Orang Asal Sungai Rual, Jeli, Kelantan.


Kg. Manok  salah satu kampung yang termasuk dalam Rancangan
Kampung Baru Orang Asal Sungai Rual, Jeli, Kelantan.


Pemandangan dari Jauh Kg Manok di Sungai Rual, Jeli, Kelantan-rumah-rumah
batu yang bina oleh pihak kerajaan dengan jalan bertar sehingga ke perkarangan rumah. 




Di sebelah rumah batu mesti ada rumah tradisional Orang Asal.

Salah sebuah rumah tradisional rumah Orang Asal di Kg. Manok, Sg.Rual, Jeli

Anak-anak OA di Kg. Manok dari suku bangsa Jahai yang
merupakan satu daripada suku kaum Negrito

Anak-anak OA di Kg. Manok yang sangat pemalu
                                                                               
                                                                                               Malaria....lesson learned (part II)

1 comment: