Selepas berada selama 3 hari di Jeli, satu daerah yang tenang dan menghijau, saya memperolehi banyak ilmu dan pengalaman berguna berkenaan dengan cara yang betul dalam menangani wabak malaria yang berlaku. Sehingga 26/6/2013 sebanyak 139 kes malaria yang berlaku di daerah Jeli ini. Ianya merupakan suatu bilangan yang banyak bagi sesuatu kawasan. Secara amnya, malaria kalau melebihi satu kes dalam satu lokaliti dan masa pengeraman yang sama, kita dikira gagal mencari punca jangkitan dan mengawalnya.
Bagi wabak malaria di Jeli ini, pada akhirnya mungkin ianya berpunca daripada pekerja asing Mynmar. Apa yang berlaku ianya ada kaitan dengan pekerja asing Myanmar (PAM) kerana laluan masuk Orang Asal (OA) dan PAM yang tinggal di blok dalam hutan adalah sama. Siapa tahu, kemungkinan kes yang berlaku di kalangan OA di Sg. Rual adalah berasal dari Myanmar. Ini adalah suatu perkara yang penting dalam siasatan. Pergerakan penduduk ini adalah penting kerana pada awalnya sebahagian besar kes tertumpu di Sg. Rual, tiba-tiba berlaku pula kes di Tumbi Rapat. Lokasi Tumbi Rapat ini adalah di luar daripada Sg. Rual. Terdapat juga kes di Lata Janggut yang terletak di antara Sg. Rual dan Tumbi Rapat. Secara ringkasnya wabak malaria ini yang bermula pada 1 Mei, telah mejangkiti 139 orang, termasuk 108 Orang Asal di beberapa penempatan di Sungai Rual, pekerja pembalakan dan penduduk kampung di Lata Janggut dan Tumbi Rapat, semuanya dalam daerah Jeli.
Pada mulanya, sukar untuk mencari kaitan di antara kes di Tumbi Rapat dengan di Sg. Rual. Pada asalnya parasit malaria bagi kes di Tumbi Rapat adalah
Plasmodium knowlesi tapi bila dikaji semula dalam filem darah pesakit terdapat juga
Plasmodium falciparum. Di sini terdapat gabungan atau infeksi campuran
(mix infection) iaitu
knowlesi dan
falciparum, maka tidak boleh nak 'relate' di antara kes-kes yang berlaku di dua lokasi berkenaan. Bila keadaan demikian, siasatan lanjut yang dilakukan mendapati rupa-rupanya semasa mengundi atau pilihanraya tempohari, penduduk Sg. Rual ada keluar minum di warong/kedai makan di Tumbi Rapat pada waktu malam.
Pergerakkan penduduk ini adalah penting dalam siasatan bagi mengenalpasti punca jangkitan kes yang terjadi di sesuatu lokaliti. Ianya juga merupakan input yang sangat berguna dalam merangka program atau aktiviti pencegahan dan kawalan yang berkesan. Dalam aktiviti kawalan satu hal, tapi dalam siasatan apa yang penting kalau ianya tidak lengkap atau tidak
'jelujur' maka siasatan sehingga akhirnya akan gagal mencari atau mengenalpasti punca sebenar jangkitan. Mana tahu di Sg Rual itu kes-kes yang berlaku berpunca daripada pekerja Myanmar. Dari segi rawatan pula mereka ini tidak perlu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mereka melakukan rawatan sendiri iaitu memakan ubat yang diperolehi daripada Thailand- iaitu ubat Malaria cap nyamuk seperti di bawah:
|
Di antara ubat Malaria yang diambil oleh pekerja Myanmar |
|
Pandangan dekat - ubat Malaria (cap nyamuk ) yang diambil oleh pekerja Myanmar |
|
Pandangan dekat - sejenis lagi ubat Malaria dari negara Thailand |
Ubat yang mereka ambil adalah mengandungi kuinin - 'bang' semua spesis dan peringkat parasit malaria kecauli gamet. Kalau di Malaysia ia merupakan ubat pada peringkat rawatan yang paling akhir diberikan kepada pesakit malaria. Pekerja-pekerja Myanmar ini adalah Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI). Mereka tidak perlukan rawatan daripada KKM. Mereka membuat rawatan sendiri tetapi ianya mungkin tidak sempurna kerana ubat yang diambil tidak 'bang' parasit malaria peringkat gamet.
|
Kitaran hidup parasit malaria dalam nyamuk dan manusia |
|
Kitaran hidup parasit malaria dan peringkat ianya boleh didiagnosa dan menjangkiti |
Selagi gamet ini ada, parasit malaria akan terus menjangkiti orang lain menerusi gigitan nyamuk Anopheles (tiruk). Inilah yang menjadi asas kebimbangan bila menyentuh soal jangkitan demam malaria. Ianya adalah pengajaran penting yang boleh diperolehi daripada wabak yang berlaku ini. Dalam penyakit berjangkit, pastikan kita mencari punca jangkitan selengkapnya. Puncanya dari siapa?... dan asalnya dari mana? Bila dan di mana jangkitan itu berlaku? Kepada siapa ianya menjangkiti? Maklumat tersebut penting bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan. Dalam konteks wabak malaria di Jeli ini, kalau kita kata ianya berpunca daripada pekerja Myanmar- mungkin ianya berasal dari sana. Jadi bila berlaku pada local maka ianya menyebabkan jangkitan kepada orang lain pula. Natijahnya bila berlaku jangkitan kepada penduduk tempatan, orang tersebut pula menjadi punca jangkitan baru. Jangkitan akan terus merebak sehinggalah punca jangkitan yang lama dan baru dapat dikenalpasti dan dikawal sepenuhnya.
Malaria....lesson learned (part I)
Satu penerangan yg baik dan senang untuk di fahami terutama dikalangan pegawai yg dah biasa dgn malaria. Saya bersetuju dgn perkataan JELUJUR adalah perkataan yg amat sesuai dlm penyiasatan kes malaria.
ReplyDeleteTerimakasih atas komen anda...pemilihan JELUJUR kerana ianya satu perkataan yang pendek tetapi mempunyai maksud sebenar yang memerlukan
ReplyDeletehuraian lanjut. Semoga tulisan di atas memberi info dan manafaat kepada rakan-rakan pembaca semua!