Monday 14 October 2013

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Selepas kira-kira dua bulan kita merayakan Aidil Fitri, maka kini tibalah pula masanya kita menyambut Hari Raya Aidil Adha. Hari Raya Aidil Adha dikenali juga dengan Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban, dirayakan bersempena dengan kehadiran 10 Zulhijjah pada setiap tahun. Tarikh 10 Zulhijjah kali ini adalah bersamaan 15 Oktober 2013. Aidiladha bermula dengan Takbir pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik.



10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada 10 Zulhijjah juga hari di mana jemaah haji melaksanakan ibadah melontar di Jumrahtul Aqabah. Inti Ibadah haji dimulai pada tanggal 8 Zulhijah ketika umat Islam bermalam di Mina. Pada pagi 8 Zulhijah, semua umat Islam memakai pakaian Ihram, kemudian berniat haji, dan membaca bacaan Talbiyah. Jemaah haji kemudian berangkat menuju ke Mina dan bermalam di sana. Pada pagi 9 Zulhijah, semua jemaah haji akan pergi ke Arafah dan melaksanakan ibadah Wukuf sehingga waktu Maghrib. Bila malam tiba, jemaah haji bergerak menuju dan bermalam di Muzdalifah. Pada tanggal 10 Zulhijah, setelah pagi di Muzdalifah, jamaah berpatah balik semula ke Mina bagi melaksanakan ibadah melontar di Jumrahtul Aqabah, iaitu melempar anak batu sebanyak tujuh kali sebagai tanda simbolik mengusir Iblis. Setelah mencukur rambut atau sebahagian rambut, jemaah boleh melakukan Tawaf Wada' (menyelesaikan Haji), atau bermalam di Mina dan melaksanakan jumrah sambungan di Jumrahtul Ula dan Wustha pada 11  dan 12 Zulhijjah. Sebelum pulang ke negara masing-masing, jemaah haji melaksanakan Tawaf Wada' iaitu tawaf perpisahan.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadah korban. Ibadah korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Sempena hari yang mulia ini, saya sekeluarga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat menunaikan ibadah korban kepada semua ahli keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan dan umat Islam seluruhnya. Kepada mereka yang sedang mengerjakan ibadah haji, selamat menunaikan ibadah haji, semoga mendapat haji yang mabrur. Semoga semua Ibadah kita diterima oleh Allah S.W.T! In Sha Allah!

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1434 H.