Thursday, 30 April 2015

Pengalaman Mengajar Pelajar-Pelajar Advance Diploma in Midwifery...

Sudah lama tiada masukan baru dalam blog ini. Ada beberapa perkara dan perubahan yang berlaku berkaitan kerja dan rutin hidup yang baru dan berbeza menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berehat seketika dari menulis. Sebenarnya saya tidak berhenti terus dari menulis. Terdapat  lebih dari 10 masukan yang saya tulis tetapi disimpan sebagai draf untuk rujukan sendiri. Saya tidak bersedia publish tulisan-tulisan tersebut untuk berbagi dengan rakan-rakan pembaca kerana beberapa alasan dan sebab. Mungkin selepas diri lebih bersedia dan masa yang sesuai, saya akan publish tulisan-tulisan tersebut. In Sha Allah!.

Masukan kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mengenai bidang kerja baru yang dilalui. Kalau sebelum ini saya membuat kerja-kerja di lapangan tetapi sejak 14 April 2014 saya telah dilantik sebagai tenaga pengajar di salah sebuah Intutusi Latihan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Selepas melaporkan diri di Putra Jaya, saya telah ditempatkan di Kolej Kesihatan Awam Batu Rakit Kuala Terengganu pada 16 April 2014. Bermula dari tarikh tersebut bermulalah kerjaya saya di Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM). Untuk pengetahuan rakan pembaca, terdapat 32 buah kolej di bawah ILKKM di seluruh negara iaitu 4 Kolej Sains kesihatan Bersekutu, 2 Kolej Kesihatan Awam, 12 Kolej Kejururawatan, 10 Kolej Jururawat Masyarakat, 2 Kolej Pembantu Perubatan, 1 Kolej Latihan Pergigian dan 1 Kolej Teknologi Makmal Perubatan. Semua kolej-kolej ini disatukan di bawah nama Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia atau singkatnya ILKKM. Setiap tahun ILKKM menghasilkan tenaga kerja dan paramedik yang majoritinya berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia manakala sebilangan  kecil berkerja di Hospital Swasta atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Semasa masukan ini ditulis, sudah setahun dan sebulan saya bekerja di Kolej Kesihatan Awam Batu Rakit. Sebetulnya terdapat 2 buah Kolej Kesihatan Awam (KKA), selain Kolej Kesihatan Awam Batu Rakit Kuala Terengganu sebuah lagi adalah Kolej Kesihatan Awam Kuching, Sarawak. Fungsi KKA adalah menghasilkan tenaga kerja iaitu Pembantu Kesihatan Awam (PKA) yang kompeten. Selepas lulus semua PKA ini akan ditempatkan di Pejabat-Pejabat Kesihatan Daerah seluruh Malaysia dan sebahagian kecil bertugas dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pada bulan April  lepas iaitu dari 19-29/4/2015, saya telah dijemput untuk mengajar subjek Statistik kepada pelajar-pelajar Diploma Lanjutan Kebidanan (Advance Diploma in Midwifery) di Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu.(KKKT). Diploma lanjutan ini ditawarkan hanya kepada jururawat yang sudah ada pengalaman kerja klinikal. Selepas melalui proses temuduga, hanya calon-calon yang layak dan berjaya sahaja yang ditawarkan mengikuti kursus Diploma Lanjutan Kebidanan ini. Kursus ini adalah bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran jururawat dalam kebidanan. Ianya mengambil masa selama setahun. Selepas lulus kursus ini,  mereka akan kembali bertugas dan mendapat elaun khas pada setiap bulan selain peluang yang lebih baik dalam proses kenaikan pangkat.


Pelajar-pelajar Advance Diploma in Midwifery di Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu.

Seramai 44 pelajar ambilan 1/2015 yang mengikuti kursus Diploma lanjutan ini dan semuanya adalah perempuan. Dari seramai 44 orang, 40 pelajar adalah jururawat yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari seluruh negara. Manakala 4 orang lagi, mereka yang berkerja dengan Hospital Swasta. Selain subjek-subjek kebidanan, mereka yang mengikuti kursus ini juga perlu lulus subjek Basic Statistics (ADBS 510102). Pengetahuan mengenai Basic Statistics adalah penting kepada pelajar yang merancang melakukan penyelidikan menggunakan pendekatan secara kuantitatif. Ini adalah elemen penting dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal. Selain itu ianya juga bertujuan menyediakan pelajar dengan pengetahuan bagi analisis data menggunakan perisian statistik SPSS.. Seterusnya pengetahuan yang diperolehi boleh digunakan dalam Metodologi Penyelidikan dan Quality Assurance Program bagi memastikan hasil yang tepat dan konsisten diperolehi.

Saya dijemput untuk mengajar subjek statistik kerana pensyarah Jemputan sebelum ini iaitu Dr. Myat seorang pensyarah dari UniSza dan berasal dari Myanmar tidak dapat memenuhi jemputan kerana ada komitmen lain. Disebabkan tiada pengajar dari Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu (KKKT) yang boleh menggantikan tempat Dr Myat maka Pn. Zainon Bt Jusoh yang ditugaskan sebagai pengajar penyelaras Mac 2015 telah mencadangkan nama saya kepada pengarah KKKT. Pn. Zainon adalah dahulunya seorang Jururawat Terlatih dan sekarang ini bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar di KKKT setelah dilantik ke jawatan yang lebih tinggii. Kami berkenalan semasa sama-sama melapor diri di Putra Jaya pada 14 April 2014 yang lepas. Setelah itu, kami bertemu lagi semasa mengikuti Kursus Asas Metodologi Pengajaran Bil.3/2014 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Johor Bharu.selama dua minggu pada 7-20 Jun 2014 yang lalu.

Dari dua peristiwa tersebut, Pn. Zainon mengetahui sedikit sebanyak mengenai kelayakan akademik diri saya. Beliau mencadangkan nama saya sebagai pengganti Dr. Myat kerana mengetahui saya mempunyai Master of Sc. (Medical Statistics) dari USM. Sebelum itu, Pn. Zainon ada mengusulkan soalan disertai permintaan samada  saya  boleh memberi kuliah basic statistic untuk menggantikan  pensyarah sebelum ini yang ada komitmen lain. Saya menyatakan kesanggupan kerana beranggapan mungkin hanya satu atau dua sesi kuliah sahaja. Saya menyatakan bahawa beliau perlu mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Kolej tempat saya bertugas bagi membolehkan saya berbuat demikian.. Saya juga  meminta beliau memberikan syllabus bagi memudahkan saya membuat  persediaan mengajar.

Selang beberapa tempoh masa, Pn. Zainon bersama dengan Pn. Norizan bt Mohd Noor yang merupakan Ketua Program Pengkhususan di KKKT datang berjumpa dengan Pengarah Kolej Kesihatan Awam iaitu En. Syed Hashim Syed Endut bagi menyatakan permintaan mereka. Saya dipanggil oleh pengarah dan kami berempat berbincang. Pengarah memberi kebenaran dengan syarat tiada pertindihan jadual dengan kuliah untuk pelatih PKA di kolej. Semuanya terpulang kepada saya samada sanggup atau tidak. Setelah meneliti syllabus dan jumlah jam kuliah, saya rasa sedikit terkejut kerana saya perlu menyampaikan bukan satu atau dua kuliah tetapi keseluruhannya iaitu dari awal sampai akhir.. Ianya merangkumi 20 jam kuliah. Saya agak keberatan untuk menyatakan persetujuan, bukan kerana syllabus tetapi jumlah jam yang agak besar.

Melihat saya yang agak keberatan Pn. Zainon bersungguh-sungguh meminta saya menerimanya dan mencadangkan 20 jam tersebut dibahagikan kepada tiga sesi kuliah. Melihat kepada kesungguhan Pn. Zainon dan Pn. Norizan serta simpati dengan kesukaran mereka mencari pengganti dalam waktu yang terdekat, saya akhirnya menyatakan persetujuan. Saya mencadangkan 20 jam dibahagikan kepada 5 sesi kuliah iaitu 4 jam bagi setiap sesi dan meminta sedikit masa bagi memastikan tiada berlaku pertindihan jadual. Selepas semuanya selesai, saya akhirnya menerima surat jemputan bersama jadual kuliah iaitu pada 19/4/15, 21-23/4/2015 dan 29/4/15


Surat Jemputan daripada Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu

Suasana di dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung....

Sesi perbincangan dan soal jawab....pembelajaran dua hala.

Selama lima hari saya berulang alik dari KKA Batu Rakit ke KKKT yang jaraknya kira-kira 21 km atau 35 minit perjalanan menggunakan kereta. Saya rasa sedikit kekok pada permulaan sesi pertama kuliah. Ini adalah kerana semua 44 pelajar di hadapan saya adalah perempuan. Suasana ini sangat berbeza dengan suasana di kolej sebelum ini iaitu semua pelatih adalah lelaki. Semua pelajar-pelajar ini datang dari seluruh Semenanjung Malaysia dan sebahagian besar sudah berkeluarga. Bagaimanapun perasaan kekok tersebut beransur-ansur hilang selepas beberapa ketika. Pengalaman bekerja bersama Jururawat semasa menangani wabak denggi di daerah Kota Bharu sebelum ini banyak membantu saya mengatasi perasaan kekok tersebut.

Sebelum memulakan kuliah saya membuat penilaian tahap pengetahuan statistik mereka. Majoriti dari mereka mempunyai sedikit pengetahuan asas statistik kecuali dua orang yang sudah belajar di peringkat ijazah. Saya menggunakan pendekatan pengajaran-pembelajaran dua hala dengan tempo sedikit perlahan. Keadaan ini agak mencabar kerana ianya mengambil masa dan penerangan mengenai sesuatu perkara perlu diulang dan diulas secara rinci. Pada hari pertama saya dapat melihat kegusaran pada riak muka sebahagian besar mereka. Riak kegusaran jelas kelihatan terutama di kalangan pelaja-pelajar yang agak berumur. Melihat keadaan tersebut, saya terkenangkan situasi yang hampir sama semasa dua minggu pertama saya menyambung pengajian Master (Medical Statistic) di HUSM Kubang Kerian pada tahun 2006.

Ketika itu saya sudah bekerja dan mempunyai dua orang anak. Pengetahuan statistik saya agak kurang berbanding dengan 5 rakan sekursus yang lain. Ijazah saya bukan dalam bidang statistik atau matematik tetapi Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan.. Saya diterima kerana 3 orang panel temuduga berpuashati dengan jawapan saya berkaitan dengan soalan statistik. He.he.he. apa tidaknya, selama 3 hari saya menelaah nota-nota statistik sebelum pergi temuduga. Perasaan takut dan gusar sepanjang dua minggu pertama begitu ketara sekali dan soalan "apakah aku mampu lulus" sentiasa berlegar-legar menyelubungi perasaan. Alhamdulillah...selepas dua tahun, dengan anugerah dan rahmat Allah SWT disertai dengan usaha, saya berjaya lulus dengan jayanya walaupun terpaksa menghadapi banyak cabaran dan tribulasi.


Saya memahami situasi dan mengerti perasaan yang mereka alami kerana pernah melaluinya pada suatu ketika dulu. Bagi mereda dan menghilangkan kegusaran yang bersarang di hati mereka, saya ceritakan pengalaman yang dialami sepanjang 2 tahun mengharungi pengajian di peringkat master statistik perubatan di HUSM. Kesimpulan dari cerita tersebut adalah kita boleh berjaya jika bersungguh-sungguh berusaha mencapainya. Doa, Usaha dan Tawakal adalah asas kejayaan. Jangan mengalah sebelum mencuba dan berusaha. Kita perlu berbuat sesuatu sebelum mendapat sesuatu kerana bukan senang, hendak senang. No pain, no gain

Alhamdulillah...selepas mendengar pengalaman tersebut, saya lihat ada perubahan pada raut wajah mereka. Mereka nampak lebih tenang, yakin, ceria dan bersemangat untuk belajar Statistik. Berbekalkan, pengalaman belajar Statistik, saya menggunakan pendekatan komunikasi dua-hala. Manakala sesi kuliah dan praktikal diselang-selikan serta dijalin-gabungkan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih seronok dan ceria. Sepanjang lima hari, sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan bersemangat. Banyak soalan-soalan yang diajukan dan saya menjawabnya sebaik yang mungkin. Walaupun bermula dengan perlahan tetapi kami dapat menghabiskannya seperti yang ditetapkan dalam syllabus. Sesuatu yang saya puji dan perasan adalah mereka tidak keluar semasa kuliah berlangsung iaitu dari 8.00 pg-10.00 pg & 10.30 pg-12.30 tgh) hatta untuk ke tandas. Kebanyakan mereka ke tandas semasa waktu rehat, 10.00-10.30 pg.

Selepas lima hari iaitu 20 jam sesi pembelajaran, saya agak gembira dengan hasil dan maklum balas yang diperolehi. Daripada tidak tahu apa-apa pasal SPSS, kini mereka boleh membina pangkalan data, ‘cleaning data’ dan melakukan analisa deskriptif serta dapat menentukan samada taburan sesuatu data itu normal atau tidak. Mereka juga mampu membuat analisa dan interpretasi ujian statistik lainnya seperti  chi2, one sample t-test, paired t-test, independent t-test, one way anova dan pearson correlation. Paling menggembirakan mereka dapat menentukan jenis ujian statistik yang sesuai berdasarkan jenis data variabel kajian, saiz sampel, taburan data dan research question. Saya rasa teruja kerana dapat menyumbang dan berbagi ilmu kepada mereka yang memerlukannya. Pada sesi kuliah terakhir, para pelajar Diploma Lanjutan Kebidanan 1/2015 KKKT telah memberi ‘cederamata’ kepada saya sebagai penghargaan. JazakAllahu Khairan Kashiira... Saya doakan semoga ANDA semua dapat menghabiskan kursus ini dan LULUS dengan jayanya seperti yang diimpikan.!

5 comments:

  1. Terima kasih en mat noor atas pertolongan...tapi assignment kami kena baiki huhu
    Admw 1/2015

    ReplyDelete
  2. Mohon share ye encik..

    ReplyDelete
  3. Terima kasih en mat noor

    ReplyDelete
  4. Terima kasih kembali....silalah share...sharing is caring!

    ReplyDelete
  5. Salam En Mohd Noor Mamat.Ingat saya lagi tak?Sukri, Pengajar PPKP di KSKB Sg Buloh yg berasal dr Bachok.Baca entry En Mohd Noor pasal statistik kali ini macam menarik pulak klau dapat ikut sekali kelas research yg dibuat.Boleh tak share nota basic statistic in research dan langkah2 untuk membentuk tajuk dan objektif kajian.

    ReplyDelete