Musim Cherry di Victoria, Australia datang lagi!. Biasanya di kebanyakan kawasan musim Cherry bermula pada minggu pertama atau kedua bulan November dan berterusan sehinggalah memasuki pertengahan bulan Januari pada setiap tahun. Musim puncak adalah pada minggu-minggu menjelangnya hari Krismas. Tahun ini musim Cherry datang agak lambat sedikit, iaitu minggu ketiga bulan November. Musim sejuk yang sedikit panjang menyebabkan buah-buah Cherry masak agak lewat. Di kebanyakan ladang, ia mula dibuka kepada pengunjung pada 17 hb. November 2012 (Sabtu).
|
Buah-buah cherry yang mulai masak |
Victoria mempunyai kira-kira 800 hektar ladang Cherry yang produktif. Terdapat 4 kawasan utama penanaman Cherry di Victoria iaitu di Goulburn Valley (Tatura, Cobram), Timur laut Victoria (Wangaratta, Stanley), Tengah Victoria (Alexandra, Yarck, Strathbogie, Euroa) dan Selatan Victoria (Yarra Valley, Mornington Peninsula, Gisborne). Pengeluaran tahunan buah Cherry adalah kira-kira 4,000 tan metrik dengan nilai @ $ 6.50/kg lebih kurang $ 25-30 juta.
Pada 18 Nov 2012 (Ahad) yang lepas, kami berkesempatan pergi memetik cherry di Ladang Cherry bernama Cherry Bomb di Wandin Timur. Ladang Cherry ini terletak di Selatan Victoria iaitu di dalam kawasan Yarra Valley yang jaraknya kira-kira 41 km dari Oakleigh East. Perjalanan pergi memetik cherry kali ini disertai oleh Nasyran dan Ruzaidi bersama keluarga masing-masing. Rancangan dan destinasi asal yang dipilih adalah ladang Cherry bernama Cherry Haven di 470 Queen Rd, Wandin East,Victoria. Cherry Haven baru sahaja dibuka kepada orang ramai untuk memetik Cherry sehari sebelumnya.
Meskipun hujan renyai mengguyur dari langit membasahi tanah dan permukaan jalanraya pada awal paginya, kami meneruskan juga rancangan pergi memetik cherry kerana ramalan cuaca di Wandin East adalah cerah menjelang tengahari. Kami bertolak lebih kurang pukul 8.30 pagi dan selepas 15 minit memulakan perjalanan, kami dimaklumkan oleh seorang rakan melalui telefon bahawa ladang Cherry Haven ditutup disebabkan buah Cherry yang sudah masak tidak cukup banyak kerana sudah dipetik oleh orang ramai sehari sebelumnya.
Setelah berbincang, kami memutuskan untuk pergi petik cherry di Cherry Bomb yang juga berada dalam daerah Wandin East. Kami juga dimaklumkan, 3 atau 4 rakan-rakan yang lain bersama dengan keluarga masing-masing juga berhasrat memetik cherry di tempat yang sama. Selepas separuh perjalanan menuju Wandin, langit bertukar menjadi semakin kelam kerana dilitupi awan gemawan hitam yang berarak perlahan seolah-olah mengekori kereta yang kami naiki. Bulir-bulir halus air hujan jatuh menimpa dan memenuhi permukaan cermin depan kereta yang saya pandu. Sambil menggerakkan pengelap cermin, saya berkata kepada isteri, "Nampaknya hujan dah turun...harap-harap ianya tidak lebat... kalau lebat, habislah rancangan kita hendak petik cherry." "Harap-harap di Wandin tidak hujan, sebab ramalan cuaca kata hari cerah menjelang tengahari." jawab isteri dengan wajah yang sedikit cemas. Setelah beberapa minit kemudian, hujan berhenti dan langit menjadi cerah semula.
"Syukur Alhamdulillah, nampaknya hari semakin panas!, Ya Allah! janganlah hujan, berilah peluang kami petik cherry!" demikian doa isteri bila melihat matahari menampakkan wajahnya dari sebalik awan. Di sepanjang perjalanan menuju ladang cherry bomb ini, kami dapat melihat kawasan luar bandar dan ladang yang luas beralun, hijau serta mendamaikan. Di kiri dan kanan jalan terdapat banyak ladang berries, cherry dan anggur.
Kami sampai di Cherry Bomb selepas 45 minit perjalanan iaitu lebih kurang pukul 9.15 pagi. Rupanya kami merupakan kumpulan pertama yang datang ke ladang Cherry Bomb pada hari tersebut. Usai kami memakir kereta, barulah datang kumpulan kedua pengunjung seramai 6 orang yang mempunyai raut wajah seperti orang Cina/Jepun/Korea. Saya sukar membezakan ketiga-tiga bangsa ini melalui penampilan fizikal mereka. Bagi saya mereka semua nampak macam sama. Selanjutnya kami menuju ke khemah yang didirikan berhampiran dengan rumah tuan punya ladang. Di khemah ini terdapat dua petugas perempuan yang mengendalikan urusan bayaran masuk dan mengira jumlah berat buah cherry yang dipetik oleh pengunjung.
Bayaran masuk ke ladang Cherry ini ialah $3 untuk pengunjung yang berumur 5 tahun dan ke atas. Manakala kanak-kanak bawah 5 tahun adalah percuma. Bagi buah cherry yang telah dipetik dan mahu dibawa keluar, harga yang dikenakan ialah $7 bagi setiap kilogram. Selepas membayar yuran kemasukan, kami diberi bekas plastik yang dilengkapi dengan tali pinggan bagi memudahkan proses memetik buah cherry dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Kemudian kami dan kumpulan pengunjung yang mirip seperti Cina/Jepun/Korea diberi taklimat mengenai jenis-jenis cherry yang terdapat diladang tersebut oleh seorang petugas lelaki. Selain itu kami juga diajar cara yang betul bagaimana memetik buah cherry supaya tidak merosak lapisan tampuk tangkai buah yang memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 tahun untuk pulih dan mengeluarkan bunga seterusnya buah cherry.
Buah cherry akan tahan lebih lama jika dipetik bersama-sama dengan tangkainya. Buah cherry yang berwarna merah gelap adalah menandakan ianya masak ranum. Sementara yang berwarna merah cerah adalah separa ranum dan biasanya mempunyai masa yang lebih panjang sebelum ianya menjadi busuk atau rosak. Di ladang ini sebahagian pokok cherry terpaksa dilitupi dengan jaring bagi mengelak buah yang telah masak dimakan oleh burung. Bagi memetik buah cherry kami perlu masuk ke dalam litupan jaring dan seterusnya memetik buah-buah cherry yang sudah masak serta sedia untuk dimakan. Setelah lebih kurang 20 minit kami asyik memetik cherry, 4 keluarga rakan-rakan senegara sampai dan bergabung menyertai kami memetik buah cherry. Suasana riuh rendah dengan senda gurau dan pelbagai keletah anak-anak, terasa bagaikan bukan berada di Australia tetapi di Malaysia. Sambil memetik cherry untuk terus dimakan, kami juga memetiknya untuk dibawa pulang. Selain itu kami juga mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.
Memetik cherry dari pokok di ladang dan terus dimakan adalah pengalaman yang sukar dan mungkin tidak dapat dirasai jika berada di Malaysia. Apatah lagi aktiviti ini dilakukan bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan. Mungkin ada orang bertanya, "Mengapa cherry picking? kenapa susah-susah pergi ladang, beli sahaja di kedai buah atau Coles, habis cerita." Jawapannya adalah - pertama, anak-anak sejak kecil didedahkan dengan alam sekitar, khususnya kebun atau ladang buah-buahan. Bagi orang dewasa, aktiviti memetik buah boleh jadi perkara biasa saja. Tetapi seperti kata pepatah, "Lihatlah dengan mata seorang anak kecil." Boleh jadi memetik cherry adalah pengalaman luar biasa bagi mereka. Malah masa bersama anak memetik buah Cherry adalah pengalaman dan masa yang istimewa buat si anak. Apa yang pasti, tidak perlu ilmu khusus memetik cherry. Asal petik, biasanya manis.
Kedua, memetik cherry memang mengasyikkan. Melihat buah cherry yang merah matang di pohon dan memetiknya memang menyeronokkan. Kita boleh pilih jenis atau buah cherry mana yang kita suka. Kita boleh makan bermacam jenis cherry. Begitu juga kita boleh pilih buah cherry yang separa ranum atau ranum untuk dimakan. Ada banyak pokok cherry tinggi dan untuk memetik buah diperlukan tangga. Namun, tidak sedikit pohon cherry yang tumbuh rendah merinbum sehinggakan anak-anak kecil pun dengan mudah boleh meraih dan memetik cherry.
Ketiga, cherry picking adalah kesempatan yang terbaik untuk berkumpul bersama keluarga di alam persekitaran terbuka. Bukan hanya di antara anak dan ibubapa tapi juga berjumpa dengan ahli keluarga yang lain dan rakan-rakan. kita boleh makan buah cherry sepuasnya di dalam ladang dan hanya membayar cherry yang dibawa pulang saja. Ladang Cherry Bomb ini mengenakan harga sebanyak $7/kg bagi buah cherry yang dibawa pulang. Selepas menghabiskan masa lebih kurang dua jam di ladang Cherry Bomb ini, kami semua berangkat pulang dengan membawa bersama buah cherry sebagai bekalan. Di bawah ini adalah gambar-gambar kami memetik cherry di ladang Cherry Bomb untuk dikongsi bersama.!
|
Jalan menuju ke Wandin East |
|
Pemandangan luar bandar dalam perjalanan ke ladang cherry Bomb |
|
Berjumpa ladang anggur semasa perjalanan ke Ladang Cherry Bomb |
|
Papan Tanda Arah ke Cherry Bomb |
|
Ladang Cherry Bomb beralamat di 120 Wandin Creek Rd, wandin East, Vic 3139 |
|
Di sebelah ladang Cherry Bomb adalah Ladang Berries - Jay Berries |
|
Rumah tuan punya ladang Cherry Bomb |
|
Tuan punya ladang juga ada membela ayam untuk kegunaan sendiri.
Kesian..Hafiz dan Hisham terpegun mereka melihat ayam,. Ayam dipanggilnya
burung...Ala hai...selalu makan daging ayam tapi jarang/tidak pernah tengok ayam hidup! |
|
Bergambar bersama sebelum memulakan aktiviti memetik cherry |
|
Berjalan menuju ke pokok-pokok Cherry di Ladang Cherry Bomb |
|
Suasana di ladang Cherry Bomb |
|
Sebahagian pokok-pokok cherry terpaksa dilitupi dengan
pukat/jaring bagi mengelak buahnya dimakan oleh burung |
|
Hidayah sedang asyik memetik cherry |
|
Buah-buah cherry yang sudah masak dan boleh dipetik |
|
Adik Hisham pun hendak petik cherry juga... |
|
Lepas petik dari pokok terus makan...emm.,,yummm..manis.. |
|
Masuk ke dalam litupan pukat untuk memetik buah cherry
yang manis dan turut menjadi kesukaan burung-burung. |
|
Cherry jenis Lewis-warna merah gelap dan rasanya manis |
|
Cherry jenis Lambert - warna merah cerah mempunyai rasa
masam-masam manis dan teksturnya lebih rangup. |
|
Kaum bapa bersama anak-anak bergambar di ladang cherry |
|
Kaum ibu pula bersama anak-anak bergambar di ladang cherry |
|
Buah-buah cherry yang sudah dipetik dan dibawa pulang |
No comments:
Post a Comment