Monday, 30 September 2013

Berkunjung Ke Pameran Buku Di Balai Islam Lundang...


Pada 27.09.2012 (Jumaat) yang lepas, kami sekeluarga pergi ke Pameran Buku yang diadakan di Dewan Besar Balai Islam Lundang Kota Bharu, Kelantan. Pameran buku ini bermula pada 26 September 2013 - 03 Oktober 2013 dari pukul 10.00 pagi - 10.00 malam. Ianya dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Darul Syakir sebagai program Ilmu bermanafaat sempena bulan dakwah di negeri Kelantan.



Kami pergi ke pameran buku ini selepas sehari ianya bermula. Kali ini saya tidak ingin melepas peluang melawat ke pameran buku bersama keluarga. Sebelum ini saya agak terkilan kerana tidak berkesempatan pergi bersama keluarga ke Pesta Buku Kelantan 2013 yang diadakan di Dewan Jubli Perak MPKB pada 26 ogos - 1 september 2013 yang lepas. Pesta buku tersebut adalah yang terbesar di Kelantan dan merupakan acara tahunan di Kelantan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (PUSTAKA) dengan kerjasama Syarikat Muda Osman.

Pameran atau pesta buku merupakan salah satu acara yang menjadi tempat pilihan utama yang harus dikunjungi. Ianya menjadi tempat yang sesuai bagi saya meluang dan menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga. Selain mengeratkan hubungan kekeluargaan, ianya juga tempat yang selayaknya bagi menyemai dan memupuk minat suka membaca serta mencintai buku di kalangan anak-anak. Minat suka membaca perlu disemai dan dipupuk sedari awal supaya ianya menjadi tabiat yang akhirnya menjadi budaya hidup. Masyarakat yang maju adalah berkait rapat dengan tabiat suka membaca di kalangan ahlinya. Ini adalah kerana membaca itu adalah jambatan ilmu.

Selain membentuk anak-anak suka membaca, saya meletak satu lagi syarat dan sasaran kepada mereka iaitu tabiat suka menulis. Kalau dengan membaca kita boleh mendapatkan ilmu dan pengalaman (walaupun tidak sama dengan mengalami sendiri) dari hasil tulisan atau karya sipenulis. Sebaliknya dengan menulis kita boleh menyumbang, berbagi ilmu dan pengalaman kepada orang lain. Bagi saya itu adalah lebih bererti kerana bukan sahaja kita hanya menerima tetapi juga perlu memberi. Adalah lebih berbahagia memberi daripada menerima, karena ada keajaiban dan rahsia di sebalik "memberi". Suatu rahsia yang hanya diketahui oleh orang yang memberi!. Memberi mendatangkan kebahagiaan yang luar biasa. Ketika kita memberi dengan berbagi ilmu dan pengalaman dengan orang lain yang akhirnya membuatkan kehidupan mereka menjadi lebih baik, maka kita akan merasakan kebahagiaan yang mendalam dan hidup terasa jauh lebih bererti kerana boleh memberi. 

Setiap orang yang suka memberi juga tidak akan pernah kekurangan. Dia akan membaikkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Memberi itu boleh dalam berbagai bentuk samada tenaga, material, wang, ilmu dan pengalaman. Tenaga, material  dan wang, semuanya akan berkurang atau habis. Tidak dengan ilmu dan pengalaman, semakin kita memberi semakin ianya bertambah. Ilmu dan pengalaman kita boleh memberi dalam dua cara iaitu dengan mengajarkannya secara langsung atau menjelaskan melalui tulisan. Di antara keduanya, memberi dalam bentuk tulisan lebih meluas dan kekal lama. Orang lain masih mendapat manafaat dari tulisan atau buku seseorang penulis walaupun beliau sudah meninggal dunia. Berbeza dengan memberi dengan mengajar secara langsung, proses memberi akan terhenti sebaik sahaja guru yang mengajar bersara atau mati.

Berbalik kepada kunjungan kami ke pameran buku di Balai Islam Lundang. Sebenarnya orang yang paling beria-ria hendak pergi ke pameran buku ini ialah Nur Hidayah iaitu anak perempuan kedua kami. Beliau begitu teruja bila kami bersetuju untuk pergi ke pameran buku tersebut. Sebabnya adalah kerana beliau ingin mendapatkan sebuah buku Sirah Nabi Muhammad s.a.w yang mengandungi maklumat mengenai peperangan yang berlaku semasa hayat Rasulullah s.a.w. Buku tersebut mahu digunakan untuk mengulang kaji sebagai persiapan menghadapi ujian penilaian kelas kafa (UPKK). Sementara Nur Hafizah, anak sulong kami, terpaksa ikut serta walaupun kurang berminat dengan pameran buku.

Kami bertolak dari rumah ke Balai Islam Lundang yang jaraknya kira-kira 10 km pada pukul sekitar 9.40 pagi. Selepas 20 minit perjalanan kami sampai di kompleks Balai Islam Lundang. Usai memakir kereta di tempat parkir kereta di sebelah kanan Dewan Besar, kami segera memasuki pintu utama Dewan Besar, tempat di mana pameran buku diadakan. Semasa kami sampai, pameran baru sahaja dibuka kepada pengunjung. Kami merupakan di antara pengunjung yang terawal datang ke pameran pada hari tersebut. Berhampiran dengan pintu masuk terdapat satu meja untuk pendaftaran nama pengunjung yang datang melawat ke pameran buku. Selepas mendaftar nama, setiap pengunjung akan diberi kertas yang tertulis nombor. Cabutan beberapa nombor akan dilakukan pada sepanjang hari tersebut dan sesiapa yang bertuah akan mendapat hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur.

Selain pameran buku, banyak lagi aturacara menarik yang disediakan oleh pihak penganjur di sepanjang pameran ini berlangsung. Di antaranya adalah cabutan nombor bertuah, Jualan pakaian dan makanan dari negara Thailand, Kemboja, China, Arab dan Filipina. Terdapat juga acara bersama personaliti terkenal seperti Ustaz Abdullah Fahmi - Juara Akademi Quran TV9 musim 1, Adik Qayyim-Naib juara Program adik-adikku musim 1, program mewarna bersama pelajar-pelajar PASTI & Diana Amir, dikir halaqat dan acara bersama PDRM negeri Kelantan.

Semasa kami melawat ke pameran buku, terdapat ceramah yang disampaikan oleh Imam Tua Masjid Pasir Mas kepada saudara-saudara baru. Ceramah selama kira-kira sejam khusus kepada mereka yang baru memeluk Islam berkenaan tips-tips dan cara menjalani kehidupan mengikut ajaran agama Islam yang sebenar. Sambil membelek dan melihat buku-buku yang dipamerkan, kami juga dapat mendengar serta mengikuti ceramah yang disampaikan. Selepas ceramah, cabutan nombor bertuah pula dilakukan. Seramai 5 orang pengunjung mendapat hadiah daripada penganjur selepas nombor masing-masing terpilih semasa cabutan dibuat.

Terdapat banyak buku-buku dipamerkan di atas meja-meja yang disusunatur di bawah pentas dengan teratur. Terdapat pelbagai tajuk buku yang dipamerkan dan dijual. Bermula dari kategori untuk bacaan kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa. Kebanyakan buku-buku tersebut adalah berkaitan atau bertema dengan keagamaan. Selain itu terdapat juga pelbagai saiz, corak dan warna Al quran atau Al  quran bersama tafsirnya dijual di sini. Kebanyakan buku atau Al quran dijual dengan harga diskaun 20% daripada harga asal. Malah ada sebahagiannya diberi diskaun sehingga 50%.

Pesta Buku ini memberi peluang kepada pencinta buku, mendapatkan buku-buku kegemaran pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga biasa. Kami sekeluarga juga turut mengambil peluang ini untuk membeli buku-buku kegemaran sebagai bahan bacaan dan koleksi. Kami membelanjakan sebanyak RM130.00 untuk membeli buku pada pameran kali ini. Itu pun selepas mendapat diskaun sebanyak 20-50% daripada harga asal buku-buku tersebut. Selepas menghabiskan masa lebih kurang satu jam setengah di pameran buku ini, kami pun beransur pulang dengan membawa buku-buku di tangan.

Semasa dalam perjalanan pulang, saya memberi tugasan kepada dua anak perempuan kami iaitu Nur Hafizah dan Nur Hidayah untuk menulis artikel berkenaan dengan pameran buku yang baru sahaja mereka kunjungi. Walaupun pada mulanya, mereka kurang bersetuju dengan cadangan saya tetapi akhirnya akur selepas penjelasan diberikan mengapa kita perlu menulis. Saya membina blog untuk mereka berdua bagi memuatkan tulisan masing-masing. Blog yang memuatkan dan memaparkan luahan hati dan tulisan anak perempuan sulong kami iaitu Nur Hafizah yang berumur 13 tahun boleh dicapai di alamat berikut : http://nurhafizah0702.blogspot.com/2013/10/bookfair-festival-at-balai-islam undang.html. Manakala blog anak perempuan kedua iaitu Nur Hidayah yang kini sudah berusia 11 tahun pula boleh diakses di : http://nurhidayah2602.blogspot.com/2013/10/mengunjungi-pameran-buku-di-balai-islam.html.

Setelah 3 tahun lebih mengharungi sistem persekolahan di Melbourne, Australia, kini sampailah masanya saya mengukur dan menilai pencapaian mereka. Mengukur kebolehan mereka menggarap dan merangkai untaian kata-kata bagi menzahirkan suasana serta perasaan. Menilai kemampuan mereka berintraksi di lingkungan, merakam peristiwa yang berlaku dan mengekpresikan diri  di dalam bentuk tulisan. Saya tidak menetapkan dalam bahasa apa yang sepatutnya mereka tulis, samada English atau Bahasa Malaysia. Bergantung kepada kebolehan dan keselesaan mereka. Selamat membaca, menyemak dan menghayati tulisan mereka. Silalah membacanya bagi mengetahui perasaan dan sudut pandang mereka berkenaan sesuatu perkara. Semoga mereka menjadi penulis yang baik dan dapat menyumbang sesuatu yang bermanafaat kepada orang lain.

Berikut adalah di antara sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakam oleh lensa kamera semasa kami sekeluarga mengunjungi pameran buku di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan.



Sebahagian bangunan Kompleks Balai Islam Lundang-pandangan
dari Dewan Besar  Balai Islam Lundang
Dewan Besar  Balai Islam Lundang - tempat di mana pameran buku diadakan


Pintu masuk utama Dewan Besar  Balai Islam Lundang








































Berikut ini adalah buku-buku yang kami sekeluarga beli sempena lawatan ke pameran buku pada 27.09.2013 yang lepas:












No comments:

Post a Comment