Monday 29 October 2012

Sambutan Aidil Adha di Australia



Aidil Adha 26 Oktober 2012 (Jumaat)

26 Oktober 2012 -Jumaat lepas adalah Hari Raya Qurban atau Aidil Adha di Australia. Aidil Adha atau  setengah orang menyebut Eid al-Adha tahun ini jatuh pada hari Jumaat iaitu hari bekerja dan persekolahan seperti biasa di Australia. Tiada cuti umum atau khas,  bagi yang bekerja atau belajar akan ke sekolah dan meneruskan urusan seperti hari-hari biasa. Aidil Adha ini menandakan sudah empat kali kami sekeluarga menyambutnya di Australia. Aidil Adha kali ini juga jatuhnya pada hari Jumaat sama seperti kali pertama kami menyambutnya pada tahun 2009 selepas kira-kira 2 bulan tinggal di Australia. Pada tahun 2009 Aidil Adha adalah pada 27 November manakala tahun ini ianya jatuh pada 26 Oktober 2012  iaitu selisih  sebulan jika  dibanding di antara keduanya mengikut kalendar Gregorian. 

Sedar tidak sedar, sudah masuk empat  tahun  kami berada di Australia dan mungkin sudah sampai waktunya untuk kami beransur pulang ke Malaysia. haha.... Walaupun kami seronok tinggal di sini tetapi Malaysia sentiasa menggamit kami pulang dan sentiasa istimewa di hati. Pergalaman lepas menjadikan saya semakin kalih dan mangli kepada kerinduan terhadap ibubapa, keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Pun begitu perasaan dan hati saya tidak 'sekebal’ yang disangka, entah kenapa bila mendengar alunan takbir di pagi raya tiba-tiba saya menjadi hiba dan sedih terkenangkan kedua emak dan ayah yang jauh di mata. Haha... saya sudah dah mula ‘emo-emo’, ya... mungkin kerana sudah lama tidak bertemu mata dengan orang yang tersayang. Baiklah kita lupakan hal tersebut dan berbalik kepada bagaimana kami menyambut Aidil Adha di sini.   

Sambutan kami bermula dengan Solat sunat Aidil Adha di Dewan Rekreasi Kompleks Sukan Universiti Monash bersama-sama dengan ahli-ahli lain masyarakat Muslim di sekitar sini. Masyarakat Muslim di sini terdiri daripada berbagai bangsa dan negara, malah ada sebilangannya memakai pakaian mengikut tradisi seperti negara asal mereka. Terdapat masyarakat muslim yang berasal dari negara-negara Arab, Afrika, Turki, Afghanistan, Sri Langka , Bangladesh, Malaysia, Indonesia dan banyak lagi. Mereka ini merupakan pelajar-pelajar yang  belajar di Universiti Monash atau  golongan yang bekerja dan tinggal sekitar Clayton.




Sebelum solat sunat Aidil Adha, takbir raya dilakukan kira-kira 15 minit iaitu ia bermula pada 8.15 pagi sehingga sehingga 8.30 pagi. Selepas itu barulah solat sunat Aidil Adha dikerjakan dan diikuti dengan khutbah raya. Usai khutbah maka selasailah sudah ibadah solat sunat Aidil Adha tahun ini. Masa yang tersisa digunakan sepenuhnya bagi berkenalan dan menjalinkan serta mengukuhkan ikatan ukhuah islamiah sesama muslim yang berlaianan bangsa dan budaya. Aidil Adha di Australia ini mencerminkan bahawa Islam itu sesuai untuk semua insan dan zaman. Imejnya dipantul dan diwarnai oleh adanya hubungan antara komuniti muslim dari berbagai negara yang mesra dan harmoni. Ia adalah satu acara yang pendek tetapi teratur kerana hari tersebut merupakan hari bekerja.

Selepas solat kami pergi ke rumah kenalan iaitu Dr.Hilmi dan Zaza di Glenbrook Ave untuk majlis Potluck Aidiladha 2012 di mana setiap keluarga membawa makanan  atau masakan yang disediakan di rumah masing-masing untuk dikongsi bersama. Ianya sudah menjadi kelaziman di kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di sini iaitu masing-masing akan membawa makanan bila terdapat rumah terbuka atau majlis makan-makan. Di sini ianya dikenali dengan istilah 'potluck’. Potluck ini adalah  khas bagi mereka yang tidak bekerja atau mempunyai urusan penting pada hari tersebut berkumpul sambil menikmati dan berkongsi makanan yang dibawa. Perasaan rindu terhadap keluarga dan suasana raya di Malaysia sedikit terubat dengan adanya majlis seperti ini. Tidak semua rakyat Malaysia dapat hadir kerana ada yang terpaksa menghadiri peperiksaan dan kuliah atau menyelesaikan tugasan penting atau bekerja.

Kebiasaannya jika hari raya jatuh pada hari bekerja atau bersekolah, dua majlis sambutan diadakan iaitu majlis potluck kecil-kecilan pada hari pertama raya dan potluck yang lebih besar pada hari cuti hujung minggu bagi membolehkan kehadiran yang lebih ramai. Begitu juga pada Aidil Adha tahun ini suatu majlis sambutan raya telah dianjurkan oleh South East Family Club (SEFC) pada 28 Oktober 2012 (Ahad). SEFC adalah satu klub yang ditubuhkan khas untuk rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan South East (Tenggara) Victoria. Selain  sambutan raya, majlis ini juga diadakan bagi meraikan rakan-rakan yang akan pulang ke Malaysia dan mereka yang baru menyertai keluarga SEFC.  

Rumah  pasangan Ust. Burhan Che Daud dan Najah Amran iaitu di no 7 Gray Street, Springvale telah dipilih menjadi tempat majlis ini diadakan kerana mempunyai ‘backyard’ yang agak luas.  Majlis ini diadakan secara gotong-royong dan potluck.  Sebanyak 7 ekor kambing telah disumbangkan oleh ahli keluarga SEFC bagi menunaikan ibadah korban pada tahun ini. Menu utama adalah nasi Beriani, kambing masak kurma, kambing masak kerutuk dan kambing barbeque. Majlis ini berlangsung sehingga petang dan meriah dengan kedatangan ramai rakyat Malaysia yang tinggal sekitar Tenggara Victoria. Selepas majlis berakhir, kerja-kerja cuci mencuci dan mengemas tempat dan peralatan dilakukan secara gotong-royong.  Selepas semuanya selesai, kami pun beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing. Berikut ini adalah sebahagian gambar-gambar sambutan Aidil Adha sepanjang kami berada di Australia dari tahun 2009 sehingga 2012 yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera. 




Solat Sunat Aidil Adha 2012 @ 1433 Hijrah
Tarikh :  26 Oktober 2012 (Jumaat)
Tempat :  Recreation Hall Monash Sport Complex, Universiti Monash, Kampus Clayton 
























Potluck Aidil Adha 2012 @ 1433 Hijrah
Tarikh :  26 Oktober 2012 (Jumaat)
Tempat : 44 Glenbrook Avenue, Clayton (Rumah Dr. Hilmi Abdullah & Zatur Rawihah)













Potluck Aidil Adha 2012 @ 1433 Hijrah (South East Family Club (SEFC))
Tarikh :  28 Oktober 2012 (Ahad)
Tempat : 7 Gray Street, Springvale (Rumah Ust. Burhan Che Daud  & Najah Amran) 




















Solat Sunat Aidil Adha 2011 @ 1432 Hijrah
Tarikh :  6 Oktober 2011 (Khamis)
Tempat : Padang Oval, Universiti Monash, Kampus Clayton 




































Solat Sunat Aidil Adha 2010 @ 1431 Hijrah
Tarikh :  16 November 2010 (Selasa)
Tempat :  Recreation Hall Monash Sport Complex, Universiti Monash, Kampus Clayton 












Sambutan Aidil Adha 2010 @ 1431 Hijrah
Tarikh 20 November 2010 (Sabtu)

Tempat : Karkarook Park - Warrigal Rd, Heatherton, Victoria 3202















Potluck Aidil Adha 2009 @ 1430 Hijrah  (Kg. Clayton)
Tarikh : 27 November 2009 (Jumaat)
Tempat : Glenbrook Avenue, Clayton (Rumah Dr. Aziz)

























Sambutan Aidil Adha 2009 (Mega Raya-Kg. Clayton, Dandy, Vic dan Bundoora)
Tarikh : 29 November 2009 (Ahad)
Tempat : Jack Rooper Park, Reservoir, Victoria