Saturday, 29 September 2012

Bermula Kehidupan di Australia..(Bahagian 1)


Bagi memulakan kehidupan bermastautin di Australia terdapat beberapa perkara yang perlu kami lakukan dan membuat penyelarasan untuk menyesuaikan diri dan membaur dengan persekitaran baru. Proses bermastautin ini tentunya memerlukan masa, pengalaman dan menuntut perubahan sikap serta amalan daripada kami sekeluarga. Ianya merupakan suatu proses yang mesti ditempohi dan dilalui oleh kami bagi membina kehidupan baru yang mampan dan mandiri. Tentunya pertolongan daripada Allah SWT dan bantuan dari rakan-rakan yang sudah melaluinya adalah sangat penting dalam proses bermastautin ini. Tanpa pertolongan dan bantuan tersebut, proses yang dilalui tentunya menjadi sukar dan berat. Ianya juga memerlukan masa yang lama bagi sesorang itu membaur dan beradaptasi dalam lingkungan baru yang berbeza dari segi situasi, agama, etnik, bahasa dan budaya. Semua batas pemisah ini perlu dihadapi dengan segala ketabahan dan kesabaran bagi memperolehi keserasian dan  kualiti kehidupan yang baik serta bermakna.  

Kami amat bertuah kerana di peringkat awal kehidupan di Australia, kami dapat banyak bantuan, tips-tips dan panduan berguna daripada rakan-rakan bagaimana menjalani hidup di rantauan.  Semua tips, panduan dan bantuan menjadi sangat berguna dan ketara  dalam  merombak corak kehidupan kami di sini. Berpandukan tips dan pertolongan tersebut, kami tidak memerlukan masa yang lama untuk membaur dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Namun begitu ada juga perkara yang sampai sekarang ini kami belum betah iaitu cuaca dan putaran empat  iklim yang berlaku iaitu musim luruh, sejuk, bunga dan panas. Musim luruh bermula dari (Mac-Mei), sejuk (Jun-Ogos), bunga (September.-November) dan panas (Disember-Febuari). Pada musim panas, waktu siang adalah lebih panjang berbanding dengan malam. Manakala pada musim sejuk waktu siang lebih pendek daripada malam.



Hari pertama persekolahan bagi anak-anak kami,,,



Masa kami tiba, Melbourne diwarnai oleh musim bunga, banyak pepohonan mengeluarkan daun dan bunga yang bermacam warna serta bentuk mewarnai buminya. Sungguh indah dan mengasyikkan dan saya terbius dengan suasana yang mempersonakan. Pemandangan alamnya begitu memikat hati dan eksotik, tetapi tidak pada hembusan bayunya. Desiran bayunya  yang bertiup dari kutub selatan yang dingin begitu sejuk menggigit bila ianya menerpa ke muka dan badan. Kedinginan sedemikian berlaku di waktu siang sungguhpun matahari  hadir memancarkan sinarnya dan dinginnya makin terasa bila malam menjelma. Suhunya boleh mencapai sehingga  8-4°C menjadikan udaranya  begitu sejuk menyelimuti dan sentiasa menghambat saya keluar dari bawah selimut tebal. Saya yang belum biasa dengan keadaan demikian berasa kurang selesa dan selalu alah dengan kesejukan. Mungkin saya perlukan masa yang lebih panjang untuk 'kalih' dengan suasana begini.




Nur Hafizah bersama dengan guru kelasnya



Selain daripada cuaca, masalah lain tidak begitu mengcengkam. Kami mengambil masa kira-kira 3 bulan untuk menjadi betah dan serasi dengan tempat dan persekitaran baru. Dua minggu pertama adalah tempoh yang agak sibuk kerana banyak perkara dan urusan yang mesti diselesaikan. Urusan pertama dilakukan adalah menyelesaikan pendaftaran masuk  isteri di Universiti Monash untuk pengajian phdnya  Urusan pendaftaran ini menjadi mudah dengan bantuan Normazla yang membawa dan menunjukkan tempat-tempat yang berkenaan.Normazla atau Norma panggilan yang biasa disebut, adalah pelajar phd dalam sastera english (english literature) sudah 7 bulan mengharungi perjalanan hidup di Australia bagi meneruskan dunia pengajian phdnya di  Universiti Monash Clayton. Beliau tidak lokek berbagi pengalaman selama berada di sini dan sudah semestinya ianya menjadi bekal dan panduan yang berguna kepada kami khasnya kepada isteri yang bakal  bergelar pelajar.



Nur Hafizah diperkenalkan kepada rakan-rakan kelas oleh Mrs Rukshana Verzijl


Selepas pendaftaran kemasukan isteri di Universiti Monash selesai, kami juga perlu mencari sekolah yang sesuai bagi anak-anak meneruskan persekolahan mereka. Di antara sekolah yang menjadi pilihan kami ialah Primary Clayton North. Selain lokasinya yang berhampiran dengan Universiti Monash, para pelajarnya juga terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara dimana ibubapa mereka adalah pelajar luarnegara yang belajar di Universiti Monash atau berkerja sekitar  Clayton. Anak-anak kepada pasangan Azhar dan Norma iatu Afiq (10 tahun) dan Nurin (8 tahun) juga bersekolah di sini. Clayton North Primary School ini mempunyai sejarah yang lama dan kaya  dengan kecemerlangan pendidikan serta telah beroperasi selama lebih 100 tahun. Sekolah ini mempunyai bangunan bata yang dibina sejak tahun 1864 dengan bilangan pelajar seramai 312 orang dan  terletak di 1714 Dandenong Road, Clayton.

Setelah melihat dan memperolehi maklumat berkenaan sekolah serta berpuas hati dengan sistem pembelajaran dan pengajarannya, Saya dan isteri kemudiannya mendaftar anak kami iaitu Nur Hafizah (10 tahun) dan Nur Hidayah (8 tahun) di sekolah ini. Selepas  dokumen yang berkaitan seperti passport, status visa dan certificate of enrolment (COE) daripada Jabatan Pendidikan Victoria diperiksa dan disemak akhirnya anak kami diterima masuk.  Proses pendaftaran diakhiri dengan ucapan selamat datang dan taklimat ringkas daripada pengetuanya iaitu Mrs Rukshana Verzijl berkenaan waktu persekolahan,pakaian seragam dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Waktu persekolahan adalah bermula pukul 9 pagi sehingga 3.30 petang. Bagi pelajar bukan warganegara Australia atau yang dilahirkan di luar negara salinan asal passport dan status visa perlu dikemukakan semasa proses pendaftaran untuk semakan. Selain itu certificate of enrolment (COE) daripada Jabatan Pendidikan Victoria perlu dikemukakan untuk pengecualian yuran persekolahan yang agak mahal di sini. Certificate of enrolment (COE) perlu dipohon daripada Jabatan Pendidikan Victoria oleh ibubapa yang mempunyai anak wajib sekolah bersama dengan permohonan visa.

Primary Clayton North School -Unik dan bersejarah.
Nur Hafizah ditempatkan di kelas Gred 3/4 A dan Nur Hidayah Gred 1/2 I. Nombor pada  Gred adalah mewakili peringkat umur  pelajar manakala Abjad di belakangnya adalah nama guru yang menjaga kelas berkenaan. Contohnya Gred 3/4 A - 3/4 adalah untuk pelajar gred 3 dan 4 yang digabung manakala A pula merujuk kepada nama guru kelas berkenaan iaitu Brad Alphonso. Secara umumnya terdapat 6 peringkat umur  pelajar di  sekolah ini iaitu dari gred 1 sehingga 6. Ianya kemudiannya digabungkan menjadi 3 gred utama iaitu gred 1/2, gred 3/4 dan gred 5/6.  Setiap gred-gred ini pula dibahagikan kepada 3 kelas yang dijaga oleh guru  yang berlainan. Contohnya bagi gred 3/4, terdapat 3 kelas atau gred 3/4  lain yang seumpamanya. Begitu juga dengan gred 1/2 dan 5/6. Setiap kelas mempunyai bilangan pelajar kira-kira 25 orang. Selain itu sekolah ini juga mempunyai kelas pra-sekolah bagi kanak-kanak yang berumur 5-6 tahun.  

Nur Hidayah bersama rakan-rakan sekelasnya



Nur Hidayah  bersama-sama dengan rakan-rakan dan guru.

Umur persekolahan bagi pelajar di Australia khususnya di Victoria tidak banyak perbezaan dengan Malaysia. Persekolahan bermula dengan pra-sekolah bagi kanak-kanak berumur 6 tahun kebawah, diikuti dengan primary school dari gred 1-6 bagi pelajar berumur dari 7-12 tahun dan High School dari Year 7-12 untuk pelajar yang berusia 13-18 tahun.  Bagi negeri Victoria terdapat peperiksaan penting yang dikenali The Victorian Certificate of Education (VCE) bagi pelajar sebelum menamatkan persekolahan mereka di High School. VCE  adalah sijil yang majoriti pelajar di Victoria akan terima apabila menamatkan pendidikan menengah mereka dengan memuaskan. VCE menyediakan pelbagai laluan kepada  kemasukan ke universiti atau TAFE dan sektor pekerjaan.



                                                                              Bermula Kehidupan di Australia..(Bahagian 2)

3 comments:

  1. Assalammualaikum..

    Saya hannan. Saya bakal berhijrah ke Melbourne akhir thn ni, boleh saya tao encik menemani isteri sambil tu encik cari kerja disana atau bagaimana?

    ReplyDelete
  2. salam. saya Amirul, bakal migrate ke sana. kali ini saya bercadang untuk semua keluarga dan anak2 saya migrate kesana. bole tuan emailkan kepada saya untuk register serta panduan untuk kanak2 di bawah 7 tahun sekolah disana. might be at melbourne on january 2020.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam En Amirul blh share bgmana nk bawa anak belajar disana. Tkasih.

      fiza_catt@yahoo.com

      Delete