Monday 26 November 2012

Jom! Pergi Cherry Picking

Musim Cherry di Victoria, Australia datang lagi!. Biasanya di kebanyakan kawasan musim Cherry bermula pada minggu pertama atau kedua bulan November dan berterusan sehinggalah memasuki pertengahan bulan Januari pada setiap tahun. Musim puncak adalah pada minggu-minggu menjelangnya hari Krismas. Tahun ini musim Cherry datang agak lambat sedikit, iaitu minggu ketiga bulan November. Musim sejuk yang sedikit panjang menyebabkan buah-buah Cherry masak agak lewat. Di kebanyakan ladang, ia mula dibuka kepada pengunjung pada 17 hb. November 2012 (Sabtu).

Buah-buah cherry yang mulai masak


Victoria mempunyai kira-kira 800 hektar ladang Cherry yang produktif. Terdapat 4 kawasan utama penanaman Cherry di Victoria iaitu di Goulburn Valley (Tatura, Cobram), Timur laut Victoria (Wangaratta, Stanley), Tengah Victoria (Alexandra, Yarck, Strathbogie, Euroa) dan Selatan Victoria (Yarra Valley, Mornington Peninsula, Gisborne). Pengeluaran tahunan buah Cherry adalah kira-kira 4,000 tan metrik dengan nilai @ $ 6.50/kg lebih kurang $ 25-30 juta. 

Pada 18 Nov 2012 (Ahad) yang lepas, kami berkesempatan pergi memetik cherry di Ladang Cherry bernama Cherry Bomb di Wandin Timur. Ladang Cherry ini terletak di Selatan Victoria iaitu di dalam kawasan Yarra Valley yang jaraknya kira-kira 41 km dari Oakleigh East. Perjalanan pergi memetik cherry kali ini disertai oleh Nasyran dan Ruzaidi bersama keluarga masing-masing. Rancangan dan destinasi asal yang dipilih adalah ladang Cherry bernama Cherry Haven di 470 Queen Rd, Wandin East,Victoria. Cherry Haven baru sahaja dibuka kepada orang ramai untuk memetik Cherry sehari sebelumnya.

Meskipun hujan renyai mengguyur dari langit membasahi tanah dan permukaan jalanraya pada awal paginya, kami meneruskan juga rancangan pergi memetik cherry kerana ramalan cuaca di Wandin East adalah cerah menjelang tengahari. Kami bertolak lebih kurang pukul 8.30 pagi dan selepas 15 minit memulakan perjalanan, kami dimaklumkan oleh seorang rakan melalui telefon bahawa ladang Cherry Haven ditutup disebabkan buah Cherry yang sudah masak tidak cukup banyak kerana sudah dipetik oleh orang ramai sehari sebelumnya. 

Setelah berbincang, kami memutuskan untuk pergi petik cherry di Cherry Bomb yang juga berada dalam daerah Wandin East. Kami juga dimaklumkan, 3 atau 4 rakan-rakan yang lain bersama dengan keluarga masing-masing juga berhasrat memetik cherry di tempat yang sama. Selepas separuh perjalanan menuju Wandin, langit bertukar menjadi semakin kelam kerana dilitupi awan gemawan hitam yang berarak perlahan seolah-olah mengekori kereta yang kami naiki. Bulir-bulir halus air hujan jatuh menimpa dan memenuhi permukaan cermin depan kereta yang saya pandu. Sambil menggerakkan pengelap cermin, saya berkata kepada isteri, "Nampaknya hujan dah turun...harap-harap ianya tidak lebat... kalau lebat, habislah rancangan kita hendak petik cherry." "Harap-harap di Wandin tidak hujan, sebab ramalan cuaca  kata hari cerah menjelang tengahari." jawab isteri dengan wajah yang sedikit cemas. Setelah beberapa minit kemudian, hujan berhenti dan langit menjadi cerah semula.

"Syukur Alhamdulillah, nampaknya hari semakin panas!, Ya Allah! janganlah hujan, berilah peluang kami petik cherry!" demikian doa isteri bila melihat matahari menampakkan wajahnya dari sebalik awan. Di sepanjang perjalanan menuju ladang cherry bomb ini, kami dapat melihat kawasan luar bandar dan ladang yang luas beralun, hijau serta mendamaikan. Di kiri dan kanan jalan terdapat banyak ladang berries, cherry dan anggur.

Kami sampai di Cherry Bomb selepas 45 minit perjalanan iaitu lebih kurang pukul 9.15 pagi. Rupanya kami merupakan kumpulan pertama yang datang ke ladang Cherry Bomb pada hari tersebut. Usai kami memakir kereta, barulah datang kumpulan kedua pengunjung seramai 6 orang yang mempunyai raut wajah seperti orang Cina/Jepun/Korea. Saya sukar membezakan ketiga-tiga bangsa ini melalui penampilan fizikal mereka. Bagi saya mereka semua nampak macam sama. Selanjutnya kami menuju ke khemah yang didirikan berhampiran dengan rumah tuan punya ladang. Di khemah ini terdapat dua petugas perempuan yang mengendalikan urusan bayaran masuk dan mengira jumlah berat buah cherry yang dipetik oleh pengunjung.

Bayaran masuk ke ladang Cherry ini ialah $3 untuk pengunjung yang berumur 5 tahun dan ke atas. Manakala kanak-kanak bawah 5 tahun adalah percuma. Bagi buah cherry yang telah dipetik dan mahu dibawa keluar, harga yang dikenakan ialah $7 bagi setiap kilogram. Selepas membayar yuran kemasukan, kami diberi bekas plastik yang dilengkapi dengan tali pinggan bagi memudahkan proses memetik buah cherry dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Kemudian kami dan kumpulan pengunjung yang mirip seperti Cina/Jepun/Korea diberi taklimat mengenai jenis-jenis cherry yang terdapat diladang tersebut oleh seorang petugas lelaki.  Selain itu kami juga diajar cara yang betul bagaimana memetik buah cherry supaya tidak merosak lapisan tampuk tangkai buah yang memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 tahun untuk pulih dan mengeluarkan bunga seterusnya buah cherry.

Buah cherry akan tahan lebih lama jika dipetik bersama-sama dengan tangkainya. Buah cherry yang berwarna merah gelap adalah menandakan ianya masak ranum. Sementara yang berwarna merah cerah adalah separa ranum dan biasanya mempunyai masa yang lebih panjang sebelum ianya menjadi busuk atau rosak. Di ladang ini sebahagian pokok cherry terpaksa dilitupi dengan jaring bagi mengelak buah yang telah masak dimakan oleh burung. Bagi memetik buah cherry kami perlu masuk ke dalam litupan jaring dan seterusnya memetik buah-buah cherry yang sudah masak serta sedia untuk dimakan. Setelah lebih kurang 20 minit kami asyik memetik cherry, 4 keluarga rakan-rakan senegara sampai dan bergabung menyertai kami memetik buah cherry. Suasana riuh rendah dengan senda gurau dan pelbagai keletah anak-anak, terasa bagaikan bukan berada di Australia tetapi di Malaysia. Sambil memetik cherry untuk terus dimakan, kami juga memetiknya untuk dibawa pulang. Selain itu kami juga mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.   

Memetik cherry dari pokok di ladang dan terus dimakan adalah pengalaman yang sukar dan mungkin tidak dapat dirasai jika berada di Malaysia. Apatah lagi aktiviti ini dilakukan bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan. Mungkin ada orang bertanya, "Mengapa cherry picking? kenapa susah-susah pergi ladang, beli sahaja di kedai buah atau Coles, habis cerita." Jawapannya adalah - pertama, anak-anak sejak kecil didedahkan dengan alam sekitar, khususnya kebun atau ladang buah-buahan. Bagi orang dewasa, aktiviti memetik buah boleh jadi perkara biasa saja. Tetapi seperti kata pepatah, "Lihatlah dengan mata seorang anak kecil." Boleh jadi memetik cherry adalah pengalaman luar biasa bagi mereka. Malah masa bersama anak memetik buah Cherry adalah pengalaman dan masa yang istimewa buat si anak. Apa yang pasti, tidak perlu ilmu khusus memetik cherry. Asal petik, biasanya manis. 

Kedua, memetik cherry memang mengasyikkan. Melihat buah cherry yang merah matang di pohon dan memetiknya memang menyeronokkan. Kita boleh pilih jenis atau buah cherry mana yang kita suka. Kita boleh makan bermacam jenis cherry. Begitu juga kita boleh pilih buah cherry yang separa ranum atau ranum untuk dimakan. Ada banyak pokok cherry tinggi dan untuk memetik buah diperlukan tangga. Namun, tidak sedikit pohon cherry yang tumbuh rendah merinbum sehinggakan anak-anak kecil pun dengan mudah boleh meraih dan memetik cherry. 

Ketiga, cherry picking adalah kesempatan yang terbaik untuk berkumpul bersama keluarga di alam persekitaran terbuka. Bukan hanya di antara anak dan ibubapa tapi juga berjumpa dengan ahli keluarga yang lain dan rakan-rakan. kita boleh makan buah cherry sepuasnya di dalam ladang dan hanya membayar cherry yang dibawa pulang saja. Ladang Cherry Bomb ini mengenakan harga sebanyak $7/kg bagi buah cherry yang dibawa pulang. Selepas menghabiskan masa lebih kurang dua jam di ladang Cherry Bomb ini, kami semua berangkat pulang dengan membawa bersama buah cherry sebagai bekalan. Di bawah ini adalah gambar-gambar kami memetik cherry di ladang Cherry Bomb untuk dikongsi bersama.!

Jalan menuju ke Wandin East


Pemandangan luar bandar dalam perjalanan ke ladang cherry Bomb

Berjumpa ladang anggur semasa perjalanan ke Ladang Cherry Bomb




Papan Tanda Arah ke Cherry Bomb
Ladang Cherry Bomb beralamat di 120 Wandin Creek Rd, wandin East, Vic 3139

Di sebelah ladang Cherry Bomb adalah Ladang Berries - Jay Berries
Rumah tuan punya ladang Cherry Bomb

Tuan punya ladang juga ada membela ayam untuk kegunaan sendiri.
Kesian..Hafiz dan Hisham terpegun mereka melihat ayam,. Ayam dipanggilnya
burung...Ala hai...selalu makan daging ayam tapi jarang/tidak pernah tengok ayam hidup!

Bergambar bersama sebelum memulakan aktiviti memetik cherry

Berjalan menuju ke pokok-pokok Cherry di Ladang Cherry Bomb


Suasana di ladang Cherry Bomb

Sebahagian pokok-pokok cherry terpaksa dilitupi dengan
pukat/jaring  bagi mengelak buahnya dimakan oleh burung

Hidayah sedang asyik memetik cherry
Buah-buah cherry yang sudah masak dan boleh dipetik

Adik Hisham pun hendak petik cherry juga...

Lepas petik dari pokok terus makan...emm.,,yummm..manis..
Masuk ke dalam litupan pukat untuk memetik buah cherry
yang manis dan turut menjadi kesukaan burung-burung.


Cherry jenis Lewis-warna merah gelap dan rasanya manis
Cherry jenis Lambert - warna merah cerah  mempunyai rasa
masam-masam manis dan teksturnya lebih rangup.

Kaum bapa bersama anak-anak bergambar di ladang cherry
Kaum ibu pula bersama anak-anak bergambar di ladang cherry



Buah-buah cherry yang sudah dipetik dan dibawa pulang

Sunday 18 November 2012

Seharian di Fairy Park - Taman Tema Bagi Kanak-Kanak



Selepas balik dari Werribee Park, isteri mencari-cari destinasi baru untuk kami sekeluarga menghabiskan masa bersama sambil menggunakan kesempatan yang ada untuk melihat negara orang. Peluang yang tersedia perlu digunakan sebaiknya bagi memperolehi pelajaran dan pengajaran dari setiap destinasi yang dilawati. Manafaat yang diperolehi ini penting bagi membuka hati dan minda serta menambahkan koleksi pengalaman untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan bermakna.

“Abang, jom kita pergi Fairy Park, hari Sabtu ni...nak tak?" pertanyaan yang disertakan sekali ajakan oleh isteri selepas 2 hari pulang dari melawat Victoria State Rose Garden dan The Mansion di Werribee Park.

“Apa benda tu Fairy Park." tanya saya kembali, sambil mengacah-acah Nur Humairah yang beberapa hari lagi umurnya akan mencecah 100 hari.

“Laa.. taman tema untuk kanak-kanak, lebih kurang macam disney land tu la.. tapi fairy park ini kecik je. Apa orang kata, ala ala disney land gitu!" isteri menjawab pertanyaan saya dan memberi tamsilan dengan bersemangat sekali. Ya, semangatnya untuk pergi berjalan-jalan tidak pernah kendur walaupun kami terpaksa membawa bersama dan melayan kerenah 3 anak-anak kami yang masih kecil berumur bawah 5 tahun.

"Ya ke.., kat mana tu?"

"Atas sikit dari werribee park yang kita pergi minggu lepas, lebih kurang sejam setengah drive dari rumah kita"

“Puhh....jauh jugak tu..."

“Alaa.. boleh laa... kesian budak-budak, berilah sedikit reward pada mereka...tentu mereka seronok."

“Tapi berapa tiket masuk?"

“Dewasa $16 , kanak-kanak 3-13 tahun - $8, bawah 3 tahun free....” 

“kalau untuk kita sekeluarga, berapa?"

“emm...$58”

“hah...boleh tahan juga tu..."

“Ala...boleh la bang....sekali sekala, apa salahnya...lagi pun baru lebih kurang setengah jam gaji Ila teaching.” Pujuk isteri bila melihat saya seakan keberatan.

“Siapa lagi pergi?” Saya mengusulkan soalan, meminta penjelasan .

"Tak tahu lagi, nanti Ila post dalam FB kalau ada sesiapa yang berminat nak gi sama. Tapi kalu tiada orang nak pergi, kita sekeluarga je lah pergi” begitu berazam sekali isteri .

Ok..tapi kalu nak pegi, kita gi awal sikit, pukul berapa park tu buka? saya memberi reaksi kepada jawapan isteri.

"pukul 10 pagi"

“Hah.. kalu macam tu.... kita pergi hari Sabtu, pukul 8 pagi, sebab sekarang ni siang semakin awal. Kalau kita gi awal, boleh balik awal... takut budak-budak tak tahan panas”

"Lagi pula kalu pukul 8 kita bertolak, campur perjalanan sejam setengah, kita sampai pukul 9.30... just nice sebelum masuk, kita sarapan dulu...baru kuat nak pusing kat dalam park tu..." saya menyatakan persetujuan sambil memberi pendapat.

"ok..nanti Ila pos kat fb"

“salam kak zila. nk tnya besok confirm ker bertolak pukul 8pg...” begitu mesej yang dihantarkan oleh Roshida, pada hari Jumaat menerusi Fb, yang berminat hendak pergi bersama. Roshida ialah isteri Nasyran yang sudah beberapa bulan datang ke Australia bagi melanjutkan pengajiannya di peringkat PhD. Mereka juga merupakan antara jiran terdekat kami.

“iAllah jadi, nak tolak awal sebab jauh gak dalam 1 jam 40 minit. kawasan nak teroka tu pulak luas...ada tempat boleh picnic n bbq...boleh kita balik awal sikit. akak tak de no tepon shida...no akak 04306108XX / abg mat 04264029XX... tempat tu buka pukul 10 pg...sedang elok, sampai kita isi perut dulu, baru berjalan“ demikian jawapan balas isteri.

Akhirnya seperti yang dirancang, kami sekeluarga bersama Nasran sekeluarga bertolak ke Fairy Park pada 10 hb. Nov 2012 bagi meluang masa, bersantai bersama keluarga masing-masing. Entri kali ini, saya ingin berbagi pengalaman kami pergi ke Fairy Park kepada semua pembaca. Semoga ianya bermanafaat......


Fairy Park  dikenali juga sebagai  Fairytale Park atau Fairytale Theme Park

Fairy Park yang juga dikenali sebagai  Fairytale Park atau Fairytale Theme Park terletak di puncak bukit berbatu di Anakie, berhampiran Geelong. Perjalanan mengambil masa 1 jam 20 minit dari  Oakleigh East, 1 jam dari Melbourne dan 30 minit dari Geelong. Taman tema untuk kanak-kanak ini dibuka sepanjang tahun kecuali Hari Krismas dari 10 pagi hingga 5 ptg. Ia mula dibuka pada bulan Disember 1959. Taman ini adalah idea Peter Mayer, seorang pendatang Jerman ke Australia. Keluarga Mayer membuat sendiri banyak bahan pameran , sebelum membeli tanah di Anakie dan membuka taman tema ini. Keluarga Mayer masih memiliki dan mengurusnya sehingga ke hari ini. Fairy Park akan menyambut ulang tahun ke-53 pada Disember tahun 2012 nanti .



Pemandangan dari jauh Fairy Park yang terletak di kawasan
puncak bukit berbatu di Anakie.

Kami sampai di Fairy Park pukul 9.45 pagi dan masuk melalui pintu pagar pertama. Disebabkan pintu pagar kedua untuk masuk ke taman ini belum dibuka, kami mengambil peluang ini bergambar di kawasan persekitaran pintu masuk ini. Taman ini mempunyai dua lapisan pintu iaitu pintu pertama yang sentiasa terbuka dan pintu kedua yang dipagari oleh stainless steel dan dilengkapi dengan bar penghalang. Pintu ini hanya dibuka pada pukul 10 pagi iaitu masa taman ini mula dibuka kepada pengunjung. Memasuki sahaja pintu pertama, terdapat satu patung besar setinggi lebih kurang 20 kaki yang dibina dalam keadaan duduk di antara pintu masuk pertama dan kedua.



Patung besar yang dibina di antara pintu masuk pertama dan kedua 

Selepas memasuki pintu kedua dan memandu kira-kira 100 meter ke depan, terdapat Ticket Box bersama seorang petugas yang akan menentukan jumlah bayaran tiket masuk berdasarkan bilangan dan umur pengunjung. Pengunjung tidak perlu keluar dari kenderaan kerana petugas ini akan datang dan melayani pengunjung yang datang di kenderaan mereka. Tiket masuk ke taman ini adalah percuma bagi kanak-kanak bawah dari 3 tahun. Manakala harga tiket untuk kanak-kanak yang berumur 3-13 tahun ialah $8. Bagi orang dewasa yang berumur 14 tahun dan ke atas pula $16 dan tiada harga konsesi. Selain daripada  wang tunai, ia juga menerima bayaran menerusi kad kredit, debit dan EFTPOS. Bagi kami sekeluarga seramai 7 orang iaitu 2 dewasa dan 5 kanak-kanak, harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak $58. Selepas memakir kenderaan, seperti yang direncanakan kami makan dulu di kawasan perkelahan yang disediakan sebelum menjelajah taman tema ini.




Bergambar di hadapan pintu kedua

Petugas di Ticket Box yang melayani pengunjung di kenderaan  mereka
bagi  menentu harga tiket yang perlu dibayar sebelum masuk ke Taman Tema.


Kawasan perkelahan yang agak luas disediakan



Kawasan parkir kenderaan sebelah dengan tempat berkelah


Mengalas perut dulu sebelum meneroka Fairy Park 


Fairy Park ini terbahagi kepada tiga kawasan utama iaitu Fairytale Land, Camelot Playground and the Elephant Rock Picnic Grounds. Taman ini mempunyai 22 babak animatronik cerita-cerita dongeng, ditempatkan di istana, kotej dan gua buatan yang dibina seta diatur dengan rapi. Diilhamkan dari penglipurlara  Eropah, seperti Jacob dan Wilhelm Grimm, cerita-cerita dongeng di Park Fairy merangkumi hampir semua cerita kegemaran  kanak-kanak, termasuk Cinderella, Three Bears, Jack dan Beanstalk, Alice in Wonderland, Snow White, Little Red Riding Hood, The Three Little Pigs, Goldilocks, Pinnichio dan banyak lagi. Fairytale Land  di taman ini mengandungi lebih 22 babak cerita buatan tangan, disertakan bunyi digital dan pencahayaan yang boleh dianimasikan dengan menekan butang khas. 

Di pintu masuk ke Fairytale Land terdapat patung 2 beradik iaitu Jacob Grimm (1785-1863) dan Wilhelm Grimm (1786-1859). Mereka merupakan ahli akademik dan pengkaji kebudayaan Jerman yang mengumpul cerita rakyat lama dan menghasilkan beberapa koleksi cerita-cerita dongeng yang dikenali sebagai The Grimm's Fairy Tales. Mereka adalah di antara penglipur cerita-cerita rakyat Eropah yang terkenal dan hasil kerja merekalah yang mempopularkan cerita-cerita yang terdapat di Fairy Park ini.


pintu masuk ke Fairytale Land


Patung 2 beradik iaitu Jacob Grimm (1785-1863) dan Wilhelm Grimm (1786-1859)


Fairytale Land

Kotej dan istana tersergam di taman yang rimbun di sisi bukit. Banyak kotej dan ciri-ciri taman adalah mewakili gaya binaan bangunan tradisional Jerman. Taman-taman juga melengkapkan gaya ini, dengan dinding batu,pokok-pokok pain dan hujungnya dipotong rapi. Menghala ke hadapan dari peta fotografik di pintu masuk ke Fairytale Land kita akan melalui Kotej cendawan ajaib 'Happy Gnomes' dan kemudian air terjun Putera Katak. Babak air terjun Putera Katak agak mempesonakan dan mempunyai banyak butang dilekatkan pada dinding untuk kanak-kanak tekan. Bila butang ini ditekan, aliran air akan keluar dari mulut patung katak dan pastinya akan membuatkan kanak-kanak gembira. 



Bergambar di hadapan peta fotografik pintu masuk ke Fairytale Land


Kotej cendawan ajaib 'Happy Gnomes'


Suasana di dalam Kotej cendawan ajaib 'Happy Gnomes'


Susur jalan ke air terjun Putera Katak


Pandangan sisi Air terjun Putera Katak


Melewati air terjun Putera Katak, kita akan melihat Snow White dan pondok Tujuh Kerdil dan bangunan jenis lubang-hobbit di mana Snow White bangkit. Sebelum istana dengan jambatan terdapat beberapa patung cendawan ajaib dan air pancur di taman sebelah kanan. Istana ini sangat cantik dan dikhususkan untuk Rumplestiltskin, Cinderella dan Puss In Boots.


Asyik melihat pancuran air di Air terjun Putera Katak


Bergambar di atas jambatan berhampiran Air terjun Putera Katak


Kotej Tujuh kerdil dan rumah jenis lubang-Hobbit

Replika cendawan Ajaib

air pancuran di taman

Snow White dan 7 siKerdil

Pemandangan dari jauh Fairy Castle


Bergambar di hadapan Fairy Castle

Bergambar di hadapan kotej Cinderella

Rumplestiltskin
Cinderella sedang menari di dewan tarian

Raja dan permaisuri menghadiri jamuan makan di Puss In Boot 

Di atas satu lagi jambatan dan di luar istana, selepas berjalan kaki beberapa langkah kita akan menemui sebuah gua. Gua ini mempunyai satu terowong pendek yang menempatkan babak-babak dari The Magic Carpet, Aladdin, Sinbad, Ali Baba dan dan penjinak Ular. Ular tersebut kelihatan begitu 'real'.

Jambatan menuju ke Gua-The Arabian
Terowong di dalam gua di mana Alladin dan Sinbad boleh ditemui

Karpet Ajaib

Alibaba

Alladin

Sinbad

Di luar terowong adalah kotej Tiga Beruang, dengan tabir penutup tingkap yang menarik dan suatu pemandangan panorama di sebelahnya.Tiga beruang dan Goldilocks dapat dilihat dalamnya. Manakala di sebelah kiri ketika meninggalkan kotej Tiga Beruang, kita boleh melihat adegan rumahkasut (shoehouse) yang dilekatkan ke batu.


Kotej Three Bears

Three Bears

Rumah kasut yang dilekatkan pada batu.

Seterusnya adalah Istana Pinocchio dan kanak-kanak suka memanjat anak tangga dan mengetuk pintu yang bersaiz kanak-kanak yang dipasang pada dinding. Di istana kita dapat melihat Pinocchio yang mempunyai hidung yang panjang dan tersendiri. Di sini juga ditempatkan Geppetto yang memainkan akordion Hohner dan pari-pari biru yang cantik bersama dengan tongkat saktinya.


Istana Pinocchio

 Pinocchio dan Pari-pari biru bersama dengan tongkat saktinya

Jack dan Beanstalk pula ditempatkan di kotej kecil dan Jack memanjat ke atas beanstalk yang ditetapkan di sisi batu besar di atas bukit. Menyusul selepas itu adalah kotej Red Riding Hood, di mana serigala yang besar berpakaian seperti seorang nenek dan Red Riding Hood bercakap kepadanya. 


Jack and the Beanstalk 
Kotej Jack and the Beanstalk 

Kotej Red Riding Hood

Selepas berjalan dan melewati kincir air untuk Siegfried, Raja Nibelungs dan Tujuh Kanak kecil di sebuah kotej yang lebih besar dengan balkon bersaiz ukuran kanak-kanak. The Town Musicians berada di sebuah kotej di jalan keluar. Menghala ke depan terdapat sebuah telaga (wishing well) dan suatu pemandangan menarik main castle yang terletak di atas bukit. Puff the Magic Dragon ditempatkan di taman di sebelah kanan dan diikuti oleh Kotej Perempuan Sihir dari Hensel dan Bretel di persimpangan jalan.


Siegfried, King of the Nibelungs dan disebelahnya adalah kincir air
Kotej  The Wolf & Seven Little Kids
serigala

Kotej The Town Musician

The Town Musician
Puff The Magic dragon
Bergambar bersama dengan Puff The Magic dragon


Ye Old Wishing Well

Kotej Perempuan Sihir dari Hensl dan Bretel
Perempuan Sihir dari Hensel dan Bretel

Castle Café & Summit

Belok ke kanan untuk menuju ke Castle Café di atas Elephant Rock, termasuk the summit dengan pemandangan panorama, model keretapi, muzium keretapi dan banyak lagi. Muzium Keretapi kecil di dalam Castle menempatkan koleksi model kereta api Markilin (guage 1) yang jarang ditemui. Melangkah masuk ke dalam bilik gelap yang bersebelahan dengan Muzium Kereta Api untuk melihat Model Jalan Keretapi yang berukuran kira-kira 5m x 2m. Kanak-kanak pasti teruja dengan model Jalan Keretapi ini kerana terdapat beberapa butang yang perlu ditekan bagi menggerakkan kereta api melalui jalan,terowong dan kawasan berbukit.

Castle Café terletak di atas Elephant Rock
Castle yang menempatkan Museum model jalan dan keretapi 
Bergambar di dalam Museum model jalan dan keretapi 

Koleksi model keretapi 
Model jalan dan kereta api

Rapunzel dan Sleeping Beauty boleh didapati di bahagian atas - Sleeping Beauty ditempatkan di sebuah istana kecil yang cantik, berhampiran dengan summit. Kanak-kanak boleh mengintai melalui pintu untuk melihat babak kejadian. Di sini pemandangan indah boleh dilihat dan dirakam gambarnya dengan lensa kamera. Di Puncak atau summit ini juga terdapat satu teleskop untuk melihat kawasan luar bandar di sekitarnya. Usai melihat dan menikmati pemandangan luarbandar dengan teleskop, kita boleh berjalan kaki dari Istana Café ke sekitar belakang batu untuk melihat Band 5 Daisie - band pemuzik yang diukir di atas batu. Seterusnya menuruni bukit untuk melihat ukiran yang agak hodoh The Apes. Kotej Alice in Wonderland menyusul selepasnya, dengan mural cantik yang diukir pada dinding kotej. 

Band 5 Daisie

Seeping Beauty Castle
Rapunzel 
The Apes
Mural cantik yang terdapat di dinding kotej Alice in wonderland


Camelot Playground 
Taman Permainan Camelot adalah taman permainan bersaiz besar dengan satu pintu masuk utama, yang direka untuk memastikan kanak-kanak sentiasa sibuk. Terdapat terowong, menara, penjara, menara dan patung dongeng untuk kanak-kanak memanjat dan banyak peralatan permainan termasuk luncur gergasi,korsel, bundaran dan ayunan. Berhati-hati untuk tidak menekan butang di menara pusat atau anda mungkin mendapat kan kejutan basah!. Kanak-kanak suka di Taman Permainan Camelot dan akan mahu untuk berada dan bermain berlama-lama di sini kerana ianya mempunyai banyak perkara yang unik yang harus dilakukan seperti sebuah istana sebenar. Mereka boleh berlari di sekitarnya dan sangat bagus untuk kanak-kanak yang mempunyai tenaga yang banyak.


Pintu gerbang yang merupakan pintu masuk ke Camelot Playground
Hafiz sedang menggelonsor di Slide besar
Slide atau luncur yang panjang ini pastinya membuatkan
kanak- kanak teruja dan seronok 

Nur Hidayah sedang menunggang Replika Kuda

Menaiki anak tangga ke Menara yang terdapat di Camelot Playground

Suasana di dalam Menara yang terdapat di Camelot Playground

Pemandangan dari atas Camelot Playground

Pemandangan di dalam Tembok Camelot Playground

Setelah lima jam berada di taman ini, kami semua bertolak pulang pada pukul 3.15 petang. Anak-anak kami sangat seronok bermain di taman permainan ini, sehingga kami terpaksa memujuk mereka kerana tidak mahu pulang dan masih ingin meneruskan bermain. Fairy Park adalah tempat yang khusus untuk berperi mengenai cerita dongeng, mitos dan legenda. Satu puncak bukit berbatu yang menakjubkan,direka menjadi tempat yang benar-benar unik di mana keluarga dan rakan-rakan yang datang untuk berehat dan menghabiskan masa bersama-sama dalam persekitaran yang tenang. Untuk menghayati dan menikmati persekitaran serta semua babak cerita yang terdapat di taman ini, sekurang-kurangnya kita perlu menghabiskan masa seharian bagi memuaskan hati. Taman ini sesuai untuk golongan muda dan mereka yang 'berhati muda'.