Alhamdulillah, kita sudah pun melewati 15 Ramadhan 1436H. Ini bermakna satu pertiga fasa pertama atau sepuluh hari pertama bulan Ramadhan sudah pun berlalu. Kini kita berada di fasa kedua atau sepuluh hari kedua sebelum memasuki fasa ketiga iaitu sepuluh terakhir Ramadhan. Kita sudah maklum bahawa fasa pertama merupakan fasa rahmat. Fasa kedua pula adalah fasa magfirah atau keampunan. Manakala fasa ketiga pula adalah kebebasan daripada api neraka.
Masukan kali ini saya ingin berbagi pengalaman berkaitan solat Tarawih bagi bulan Ramadhan tahun ini. Sepanjang 15 malam tarawih yang lepas, saya solat berglir-gilir di tiga Masjid iaitu Masjid Kg. Padang Nenas, Wakaf Tengah, Masjid Mengabang Telung, Batu Rakit dan Masjid Ar-Rahman, Kg. Kedai Lalat, Kelantan. Alhamdulillah...di semua tiga Masjid tersebut solat Tarawih dan Witir dipimpin oleh para Hafiz al quran. Di masjid Kg. Padang Nenas solat Tarawih dan Witir dipimpin oleh dua hafiz yang berasal dari Filipina dan Patani, Thailand secara bergilir-gilir. Begitu juga di Masjid Mengabang Telung, solat diimamkan oleh dua hafiz yang merupakan anak tempatan. Manakala di Masjid Ar Rahman, Kedai Lalat pula, solat dipimpin oleh dua hafiz asal dari negara Arab yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka. Alunan ayat-ayat al quran yang lancar, jelas dan suara mereka yang merdu begitu mengesankan. Solat tarawih di Masjid Kg. Padang Nenas dan Mengabang Telung adalah sebanyak 20 rakaat dan 3 rakat solat Witir. Sementara di Masjid Ar Rahman, Kedai Lalat pula, solat tarawih sebanyak 8 rakaat dan 3 rakat solat Witir.
Pada hari Khamis lepas iaitu 02.07.15 (15 Ramadhan 1436H), saya berkesempatan menunaikan solat sunat Tarawih di Masjid Mengabang Telung, Batu Rakit. Kalau pada malam-malam sebelumnya solat Tarawih dipimpin oleh 2 orang Hafiz rakyat tempatan Pada malam tesebut solat Isyak dan Tarawih diimamkan oleh Imam muda yang berasal dari Palestine. Selepas 4 rakaat solat Tarawih, suatu tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Imam muda Palestine iaitu Yazan Faleh Abdoh.
|
Kedatangan imam muda Palestine adalah atas inisiatif Aqsa Syarif iaitu suatu institusi kebajikan di bawah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). Aqsa Syarif adalah khas untuk menangani isu bantuan kemanusiaan di Palestine. Selain Aqsa Syarif terdapat institusi-institusi lain yang dikendalikan oleh MyCARE seperti Salam Iraq untuk bantuan kemanusiaan ke Iraq. IKRAM for Syria (i4s) untuk bantuan kemanusiaan ke Syria. Nusantara CARE (NICE) untuk bantuan kemanusia di negara-negara Nusantara termasuk Malaysia. Selain itu terdapat juga institusi seperti Rose2Rose dan Palestine Centre of Excellence (PACE)
Jemaah Masjid bersama Imam Yazan Faleh Abdoh |
Kedatangan Imam muda Yazan ini adalah untuk menyampai kisah sebenar dan maklumat tepat mengenai apa yang berlaku di Palestine supaya ianya dapat disebar luaskan. Keduanya adalah untuk mengumpul dana bagi tujuan membantu rakyat Palestine yang sedang ditindas oleh Israel. Sejak kejatuhan Presiden Mohamed Morsi, pintu masuk Raffah ke bumi Gazza telah ditutup dan terowong-terowong telah dimusnahkan. Sangat susah untuk bawa bantuan masuk, sehinggakan terpaksa menggunakan terowong-terowong bawah tanah dan sebagainya.
Berpelukan...setelah selesai solat sunat Witir sebagai tanda perpisahan |
Di antara intisari tazkirah, beliau menceritakan : "Bahawa sekarang ini, bagaimana orang Yahudi begitu membenci umat Islam sehinggakan laungan azan di Masjidil Aqsa pun tidak dibenarkan. Pihak Yahudi juga telah mengusir penduduk Palestine di sekitar bumi Al Quds supaya mereka dapat membina tembok-tembok pemisah. Rezim Yahudi telah bertindak ganas dengan mengusir keluar keluarga orang Islam dan merobohkan rumah-rumah mereka. Mereka yang diusir ini tiada tempat tinggal melainkan tinggal dalam khemah-khemah sahaja. Ini menyulitkan lagi keadaan di dalam bulan Ramadhan, bagaimana mereka hendak bersahur dan berbuka puasa?."
"Sesungguhnya tugas menjaga Masjid Aqsa dan bumi Al Quds adalah menjadi tanggung jawab kita seluruh umat Islam. Tetapi kita semua tidak mampu menunaikannya melainkan tanggunjawab ini telah dilaksanakan oleh mereka yang berada di dalam bumi Al Quds. Mereka menjadikan diri mereka sebagai ‘Murabittun’ iaitu semata-mata untuk mempertahankan bumi Al Aqsa. Mereka memikul dan menggalas tanggungjawab mempertahankan Masjid Aqsa. Para Murabittun yang berada di dalam Masjid Aqsa ini, tidak mengendahkan apa yang berlaku ke atas diri mereka seperti kehilangan pekerjaan, rumah mereka dihancurkan dengan ahli keluarga yang tiada saraan hidup. Mereka terus menginfakkan diri mereka di dalam Masjid Aqsa dan terus berada di sana bagi memikul tanggungjawab mempertahankan bumi Al Quds yang menjadi kewajiban seluruh umat Islam."
"Para Murabittun ini meninggalkan ahli keluarga dan anak-isteri di belakang. Keluarga mereka ini tiada orang yang menjaganya. Oleh itu menjadi tanggung jawab umat Islam, dari timur ke barat dan seluruhnya untuk menyediakan kemudahan dan bantuan kepada mereka. Di Gazza iaitu satu daerah di Palestine, keadaan bertambah teruk lagi apabila sudah berlaku tiga kali peperangan. Ribuan rumah telah dihancurkan oleh rezim Israel. Penduduk Gazza tiada tempat tinggal yang baik dan sekarang ini mereka berada di dalam kesusahan. Para Murabittun terpaksa menginfakkan diri mereka untuk melindungi Masjidil Aqsa dan pada masa yang sama meninggalkan keluarga mereka. Ini adalah kerana mereka yakin tanggung jawab menjaga keluarga mereka akan diambil alih oleh umat Islam seluruh dunia. Para Murabittun ini apabila keluar, mereka yakin bahawa mereka keluar bukan dengan sia-sia kerana ada umat Islam seluruh dunia untuk menjaga ahli keluarga mereka."
Imam Yazan mengakhiri tazkirahnya dengan menyampaikan pesan Nabi SAW “Barangsiapa yang menyediakan peralatan perang bagi mereka yang hendak pergi berperang ketahuilah sesungguhnya dia telah berperang.” dan “Sedekah itu akan memadamkan dosa-dosa yang dilakukan sebagaimana air memadamkan api”. Beliau juga menyatakan “Apakah sedekah yang lebih baik melainkan kita memberikan kepada ahli-ahli keluarga Mujahidin yang telah menginfakkan diri mereka untuk berjihad dan terus berjuang mempertahankan bumi Al Quds”. Seterusnya beliau mengucapkan “Semoga Allah menghilangkan segala kesusahan dan memberi rezeki bagi membolehkan kita bersolat di Masjidil Aqsa pada suatu hari nanti. Semoga Allah menerima solat-solat kalian, bangun malam kalian dan tilawah kalian, moga-moga Allah SWT temukan kita di SyurgaNYA. In Sha Allah!.”
Marilah kita sama-sama cakna dengan mengambil berat dan membantu kesusahan saudara seislam di Palestine. Adalah menjadi tanggung jawab kita membebaskan Masjidil Aqsa yang merupa Masjid telah diberkati oleh Allah SWT. Ianya adalah masjid suci yang ketiga dan merupakan kiblat pertama bagi umat Islam.