Wednesday, 23 January 2013

Kembali bekerja...


Selama tiga tahun dan tiga bulan saya mengambil cuti tanpa gaji bagi menemani isteri melanjutkan pengajian PhD di Universiti Monash, Australia. Selama tempoh itu juga saya telah meninggalkan pekerjaan di pejabat kerana bercuti bagi menggalas tugas sebagai house husband. Pada 1hb Januari 2013 (Selasa) lalu saya perlu melapurkan diri untuk kembali bertugas sebaik sahaja cuti tanpa gaji tamat. Tanggunjawab itu telah pun saya sempurnakan dan sekarang ini telah kembali bekerja. Kembali....ertinya saya dulu pernah melakukannya dan kini harus melakukannya lagi setelah suatu tempoh masa ianya berhenti. Seharusnya kembali bekerja menjadi hal yang mudah sahaja dilakukan, kerana saya sudah bertahun-tahun menjalaninya. Tetapi ternyata ianya tidak semulus yang dibayangkan. 

Banyak perkara, peristiwa dan perubahan berlaku seiring dengan peredaran masa. Keadaan dan suasana seperti yang pernah dirasai pada suatu ketika dahulu, sudah beransur pupus dan auranya tidak sama lagi seperti hari-hari yang telah pergi. Manakala sebahagiannya sudah tiada lagi dan ianya hanyalah lekat tersimpan dalam lipatan kenangan.

Keadaan pejabat sekarang ini sudah banyak berubah dan berbeza berbanding semasa saya tinggalkan dahulu. Ketika saya kembali melapur diri untuk bertugas, sebahagian besar ruang pejabat sudah diubahsuai. Ruang-ruang menjadi berubah. Ruangan kerja yang dahulunya luas dan tebuka kini kelihatan semakin kecil kerana sebahagian ruangnya telah dijadikan bilik-billik bagi menempatkan pegawai-pegawai yang berjawatan ketua. 

Ruang kerja terbuka yang menempatkan banyak unit-unit dalam organisasi pejabat juga sudah berubah. Dahulu di antara satu meja dengan meja lainnya tidak ada pembatas, tapi sekarang ruangan itu terpisah-pisah dengan pembahagi setinggi lebih kurang 4 kaki. Kalau dahulu kita boleh mengetahui dan melihat sebahagian besar rakan-rakan sepejabat yang datang bekerja di meja mereka, tetapi kini tidak lagi. Ruang pandang menjadi terhalang kerana adanya pembahagi yang memisahkan setiap unit kerja. Tiada lagi suasana dan rasa meriah ramainya rakan sepejabat. Dari sudut yang lain, pembahagi yang dibuat ini membolehkan setiap unit lebih fokus kepada tugas mereka. Ianya juga memudahkan ketua setiap unit berhubung dan mengawal selia staf bawahannya serta memberi lebih privacy. Semasa entri ini ditulis, pejabat masih lagi diubahsuai di mana satu kaunter pelanggan yang baru telah diadakan.

Satu lagi perubahan dan pembaharuan yang berlaku adalah sistem merekod kedatangan dan kepulangan staf dari pejabat tidak lagi menggunakan sistem punch card tetapi menggunakan sistem biometrik yang menggunakan cap jari. Sistem ini dikira lebih baik dari punch card kerana verifikasi cap jari hanya sah bila tuan punya jari yang sebenar dilekatkan pada pembaca cap jari. Ianya secara tidak langsung dapat mengatasi penipuan yang banyak berlaku dalam sistem punch card iaitu seseorang itu boleh mengetik kad bagi pihak orang lain.


Sistem biometrik merekod kedatangan dan kepulangan staf menggunakan cap jari

Sistem biometrik cap jari ditempatkan di sebelah tangga utama  pejabat.

Beberapa hari di awal kembali bekerja saya hanya menghabiskan waktu untuk berkenalan, berjumpa mata dan bertegur sapa serta berbincang dengan rakan-rakan baru-dan lama. Senang dan lega rasanya mereka masih menerima saya dengan hangat... Alhamdulillah!. 

Ketua Pejabat sudah berganti sejak saya tinggalkan kerana telah mencapai umur bersara. Beliau diganti oleh ketua baru yang lebih muda dan sudah pernah saya kenal sebelumnya. Beberapa jawatan ketua unit pentadbiran dan unit-unit lain juga sudah ada perubahan, tapi sebahagian besar masih saya kenal.

Staf lain di pejabat juga mengalami perubahan. Beberapa rakan sepejabat sudah tidak dapat saya temui lagi. Ada yang sudah meninggal dunia, pencen dan pindah ke unit kerja lain. Manakala sebilangannya bertukar ke tempat kerja yang baru kerana dinaikkan pangkat atau mohon dipindahkan. Saya kehilangan sebahagian rakan-rakan sejawatan kerana mereka ditukarkan ke negeri atau daerah lain, selepas dinaikkan pangkat. Perasaan gembira berbaur sedih bila mengetahui berita tersebut. Gembira kerana mereka dinaikkan pangkat dan sedih kerana tidak dapat mengikut jejak langkah mereka serta tidak berpeluang lagi berbual mesra, berkongsi cerita dan pengalaman seperti suatu ketika dulu. 

Dalam banyak perubahan yang berlaku di pejabat, kehilangan rakan-rakan sejawatan yang sudah bekerja bersama-sama selama bertahun-tahun ini sangat memberi kesan kepada diri saya. Saya boleh merasai suasana dan rasa yang berlainan bila bekerja tanpa kehadiran mereka. Perasaan sayu dan sebu datang menggugah kalbu bila terkenangkan peristiwa bersama mereka pada masa dulu. Mereka bukan sahaja humor dan optimis tetapi juga sentimental. Perasaan ini sering hinggap dan menusuk kalbu serta masuk bersarang di dalam hati saya sehingga kini. Sebenarnya perasaan yang sama juga turut dirasai oleh rakan-rakan sejawatan lama yang masih ada. Betapa tidak, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermesra dan bekerja membina kerjaya kehidupan...Walaubagaimana pun, saya akur dan pasrah dengan ketentuan yang telah direncanakan oleh Allah S.W.T ini. Tentunya semua yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi yang akan diketahui kebaikannya dikemudian hari.

Tempat mereka yang bertukar, diganti oleh rakan-rakan sejawatan yang lebih muda dan baru memasuki alam pekerjaan. Rata-ratanya mereka termasuk dalam golongan generasi Y. Perbezaan cara berfikir, bekerja, memberi pendapat dan pola fikir sudah tentu wujud. Semua perbezaan ini perlu diurus dan diolah bagi menjana sikap saling menghormati, kerjasama dan keserasian yang merupa elemen penting untuk menghasilkan suasana kerja yang harmoni. Keserasian bukan semestinya kita mempunyai pendapat dan sikap yang sama dalam semua perkara, tetapi ia adalah sebuah kemampuan kita memanafaatkan segala perbezaan untuk mencapai keharmonian, meraikan kepelbagaian untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Ibarat bezanya caj positif dan negatif yang menghasilkan arus elektrik bagi sebuah bateri. Atau ibarat bezanya bunyi setiap note piano yang menghasilkan irama dan lagu. Di mana ada perbezaan..disitu bercambah keserasian. Ternyata saya perlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sudah berubah dan membina keserasian dengan rakan-rakan baru dan lama. Kembali bekerja juga bermakna saya perlu menggilap semula ilmu dan kemahiran berkerja. Membiasa diri dengan tempo dan rutin harian bekerja. Kembali bekerja...ternyata memberi saya cabaran, semangat dan harapan baru.  Ya Allah!.....Tuntunlah dan bantulah hambaMU dalam meneruskan perjalanan hidup ini!

Tuesday, 1 January 2013

Musafir berakhir...


Siang bertukar malam. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan. Bulan bersilih tahun. Masa berlalu tanpa henti dan akhirnya genaplah sudah tempoh masa bagi kami bermusafir di Australia. Tanggal 29 hb November 2012 (Khamis) lepas saya dan keluarga telah meninggalkan Melbourne setelah menumpang hidup di bawah langitnya selama 3 tahun lebih. Kami tinggalkan Melbourne pada hujung musim bunga. Satu musim yang paling serasi dengan saya berbanding dengan 3 musim yang lainnya.

Kami tinggalkan Dandenong di mana terdapat Marmara - kedai orang Turki, tempat kami mendapatkan daging halal. Kami tinggalkan Clayton yang mempunyai Hong Kong, sebuah kedai runcit kepunyaan orang Cina yang menjual pelbagai makanan Asia. Ianya juga tempat di mana terdapatnya Sarawan - sebuah kedai runcit milik orang India, tempat kami mendapatkan beras Basmati bagi memenuhi kerinduan makan nasi, suatu keinginan yang sukar kami tinggalkan walaupun berada di negara yang penduduknya makan roti dan keju sebagai makanan rujinya. Kami tinggalkan Springvale kawasan penempatan masyarakat Vietnam - tempat kami selalu mendapatkan makanan laut terutama ikan kembong dan tenggiri. Ianya juga tempat kami memperolehi dan menikmati buah-buahan tropika seperti mempelam, nangka, mata kucing, durian dsb.


Hong Kong Asian Food Supermarket di Clayton

Sarawan Spices & Home Entertainment di Clayton

Pasar buah di Springvale

Buah-buahan tropika ada dijual di Springvale

Pasar ikan di Springvale

Kami tinggalkan kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East yang merupakan tempat yang tenang, bersih dan cantik. Kami tinggalkan rumah yang selama lebih 2 tahun, kami sekeluarga menetap di dalamnya. Kami tinggalkan jiran-jiran terdekat yang berasal dari pelbagai negara - Bangladesh, Iraq, Grecce dan China.  Kami juga tinggalkan rakan-rakan senegara, sebahagian mereka ada yang terlebih dahulu pulang ke Malaysia. Kami berkongsi ilmu, pengalaman dan cerita. Berkongsi citarasa, makanan dan kesukaan. Berbual, berhujah, bersetuju dan berbeza pendapat. Ada yang kelakar, ada yang serius, ada yang bersahaja, ada yang peramah, ada yang pendiam dan bermacam-macam karakter. Mereka ahli dalam pelbagai bidang. Di kalangan mereka - ada yang pakar komputer, ceo, guru, jurutera, ustaz, pengurus, doktor, pensyarah, usahawan, akauntan, pustakawan dsb. Saya tinggalkan rakan-rakan yang saya telah timba ilmu dan curi pengalaman mereka.


Kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East

Perasaan gembira berbaur sedih  menggamit kalbu tatkala meninggalkan rakan-rakan sekeliannya. Hati terasa walang. Perpisahan yang amat kelat untuk ditempuh. Perpisahan yang belum menjanjikan pertemuan semula, terasa begitu berat dan sungguh sayu sekali. Namun inilah aturan dan kudrat Allah S.W.T. Kenangan kembali membugar dan sungguh mengasyikkan bila mengimbau semula saat kedatangan kami ke Australia pada lebih 3 tahun yang lalu. Kami menjejakkan kaki di bumi Melbourne, Australia pada tanggal 26 hb September 2009 (Sabtu), lebih kurang pukul 10.30 pagi. Kami sekeluarga 5 beranak tiba di Melbourne International Airport pada awal musim bunga. Suhu ketika itu adalah kira-kira 7 celcius, sungguh sejuk mencengkam kulit kami lima beranak yang baru tiba dari bumi Malaysia yang panas membahang. Sungguhpun begitu, kami dikatakan tiba di musim yang paling sesuai untuk peralihan atau pengenalan kepada bumi Australia yang terkenal dengan empat musimnya. Selama setahun kami tinggal di Sarah Close, Clayton sebelum berpindah ke Strelden Ave, Oakleigh East - satu tempat yang lebih hampir dengan Universiti Monash Clayton. Seterusnya bermastautin di sini sehinggalah tarikh kepulangan ke Malaysia.

Kehidupan di bumi Australia sememangnya berwarna warni dengan empat musim yang silih berganti. Kedatangan musim bunga (spring) yang jatuhnya pada bulan September-November, dengan seribu satu warna sangat dinanti. Pelbagai spesis bunga memenuhi ruang mata. bunga-bunga mekar berkembang dalam pelbagai rupa, bau dan warna. Warna warni yang mengisi alam dan ruang pandangan membawa ke musim panas (summer) di bulan Disember-Febuari, disemarakkan pula dengan pelbagai aktiviti outdoor disebabkan siang lebih panjang dari malam. Subuh seawal pukul 4 pagi dan maghrib selewat 8.40 malam. Seusai musim panas, menjelma pula musim luruh (autumn) pada Mac-Mei, yang menjanjikan keindahan luar biasa. Walaupun layaknya musim luruh ini hanya dikaitkan dengan dedaun yang kekeringan namun hadir dengan pelbagai warna yang hampir serupa. Warna warni musim luruh…pemandangan yang amat menakjubkan. Keajaiban ciptaan Tuhan…

Bunga-bunga mekar berkembang di musim bunga
Lagi bunga-bunga muncul di musim bunga...
Suasana pemandangan musim luruh di Emerald Park

Kenangan ..Suasana pemandangan musim luruh

Daun-daun berguguran di musim luruh


Tika sampai saatnya musim luruh memberi laluan untuk musim sejuk (winter) yang datang pada Jun-Ogos menggantikannya. Hadirnya membawa malam yang tempohnya lebih panjang daripada siang. Subuh pukul 6.15 pagi dan maghrib seawal pukul 5.15 ptg. Walaupun hadirnya dengan seribu satu keresahan bagi sebahagian warga tempatan, namun bagi sesetengah orang - kedatangan musim sejuk terutamanya salji sangat dinanti. Walaupun kesejukannya mencengkam tulang namun kemeriahan bermain salji pasti menjadi salah satu nostalgia yang terpahat dalam ingatan terutama setelah tidak lagi bermastautin di sini. Musim sejuk yang sinonim dengan warna putih seputih salji yang memenuhi bumi. Satu lagi keindahan luar biasa semulajadi yang tiada di tanahair sendiri…

Bumi diliputi salji putih pada musim sejuk di Mount Buller

Suasana bersalji di musim sejuk
Bermain salji di Mount Buller


Saya tinggalkan banyak perkara yang menjadi kenangan. Ia satu tempoh yang diingati. Saya tinggalkan Australia, tetapi saya membawa segala kenangan dan pengalaman pulang bersama. Seperti mana musafir lain, bermusafir sering membuat kita berfikir dan merenung kembali banyak perkara yang dilihat dan menilai banyak perkara yang dipegang. Pandangan kita mengenai sesuatu perkara boleh berubah disebabkan perubahan tempat. Musafir juga membuka kesempitan penilaian kepada yang lebih luas dan jauh. Ianya juga memberi pelbagai pengalaman yang membuka hati dan minda. Memberikan penilaian baru tentang kehidupan. Musafir menguji keimanan kita dan seterusnya memberi peluang bermuhassabah serta menginsafi diri

Sepanjang 3 tahun lebih bermusafir, sedikit sebanyak saya dapat memahami corak dan erti kehidupan di bumi Kangaroo ini. Ternyata memang banyak mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi. Terkadang berlakunya suasana yang betul-betul menguji kesabaran dan ketabahan diri. Ujian ukhuwah antara rakan-rakan... ujian hidup dalam masyarakat yang majoritinya beragama kristian... cabaran bagaimana mengekalkan jati diri dan mempertahan iman diri dan anak-anak... Semua ini perlu dihadapi dan dihadam serta diambil cakna sebaiknya. Musafir ini menjadikan kami sekeluarga banyak belajar. Belajar bersabar terutamanya, belajar menjadi tabah dan kuat, belajar mengenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam, belajar akan ertinya redha dan banyak lagi perkara yang mendidik serta menjadikan kami hamba Allah yang semakin banyak bermuhassabah dan bersyukur.

Musafir membebaskan diri dari belenggu taksub, merintis jalan kepada keluasan pandangan dan ufuk pemikiran insan. Saya ingin bermusafir lagi jika diizinkan Allah. Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pegangan dan pandangan diri dalam perjalanan menuju Allah... Sesungguhnya, bermusafir itu membuat diri semakin mengenal dan bergantung harap kepada Allah S.W.T!.



Semalam adalah sejarah .. dan Hari ini adalah hadiah .. Esok adalah misteri ..
Alhamdulillah .. Terima Kasih Allah