Siang bertukar malam. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan. Bulan bersilih tahun. Masa berlalu tanpa henti dan akhirnya genaplah sudah tempoh masa bagi kami bermusafir di Australia. Tanggal 29 hb November 2012 (Khamis) lepas saya dan keluarga telah meninggalkan Melbourne setelah menumpang hidup di bawah langitnya selama 3 tahun lebih. Kami tinggalkan Melbourne pada hujung musim bunga. Satu musim yang paling serasi dengan saya berbanding dengan 3 musim yang lainnya.
Kami tinggalkan Dandenong di mana terdapat Marmara - kedai orang Turki, tempat kami mendapatkan daging halal. Kami tinggalkan Clayton yang mempunyai Hong Kong, sebuah kedai runcit kepunyaan orang Cina yang menjual pelbagai makanan Asia. Ianya juga tempat di mana terdapatnya Sarawan - sebuah kedai runcit milik orang India, tempat kami mendapatkan beras Basmati bagi memenuhi kerinduan makan nasi, suatu keinginan yang sukar kami tinggalkan walaupun berada di negara yang penduduknya makan roti dan keju sebagai makanan rujinya. Kami tinggalkan Springvale kawasan penempatan masyarakat Vietnam - tempat kami selalu mendapatkan makanan laut terutama ikan kembong dan tenggiri. Ianya juga tempat kami memperolehi dan menikmati buah-buahan tropika seperti mempelam, nangka, mata kucing, durian dsb.
Hong Kong Asian Food Supermarket di Clayton |
Sarawan Spices & Home Entertainment di Clayton |
Pasar buah di Springvale |
Buah-buahan tropika ada dijual di Springvale |
Pasar ikan di Springvale |
Kami tinggalkan kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East yang merupakan tempat yang tenang, bersih dan cantik. Kami tinggalkan rumah yang selama lebih 2 tahun, kami sekeluarga menetap di dalamnya. Kami tinggalkan jiran-jiran terdekat yang berasal dari pelbagai negara - Bangladesh, Iraq, Grecce dan China. Kami juga tinggalkan rakan-rakan senegara, sebahagian mereka ada yang terlebih dahulu pulang ke Malaysia. Kami berkongsi ilmu, pengalaman dan cerita. Berkongsi citarasa, makanan dan kesukaan. Berbual, berhujah, bersetuju dan berbeza pendapat. Ada yang kelakar, ada yang serius, ada yang bersahaja, ada yang peramah, ada yang pendiam dan bermacam-macam karakter. Mereka ahli dalam pelbagai bidang. Di kalangan mereka - ada yang pakar komputer, ceo, guru, jurutera, ustaz, pengurus, doktor, pensyarah, usahawan, akauntan, pustakawan dsb. Saya tinggalkan rakan-rakan yang saya telah timba ilmu dan curi pengalaman mereka.
Kediaman di Strelden Ave, Oakleigh East |
Perasaan gembira berbaur sedih menggamit kalbu tatkala meninggalkan rakan-rakan sekeliannya. Hati terasa walang. Perpisahan yang amat kelat untuk ditempuh. Perpisahan yang belum menjanjikan pertemuan semula, terasa begitu berat dan sungguh sayu sekali. Namun inilah aturan dan kudrat Allah S.W.T. Kenangan kembali membugar dan sungguh mengasyikkan bila mengimbau semula saat kedatangan kami ke Australia pada lebih 3 tahun yang lalu. Kami menjejakkan kaki di bumi Melbourne, Australia pada tanggal 26 hb September 2009 (Sabtu), lebih kurang pukul 10.30 pagi. Kami sekeluarga 5 beranak tiba di Melbourne International Airport pada awal musim bunga. Suhu ketika itu adalah kira-kira 7 celcius, sungguh sejuk mencengkam kulit kami lima beranak yang baru tiba dari bumi Malaysia yang panas membahang. Sungguhpun begitu, kami dikatakan tiba di musim yang paling sesuai untuk peralihan atau pengenalan kepada bumi Australia yang terkenal dengan empat musimnya. Selama setahun kami tinggal di Sarah Close, Clayton sebelum berpindah ke Strelden Ave, Oakleigh East - satu tempat yang lebih hampir dengan Universiti Monash Clayton. Seterusnya bermastautin di sini sehinggalah tarikh kepulangan ke Malaysia.
Kehidupan di bumi Australia sememangnya berwarna warni dengan empat musim yang silih berganti. Kedatangan musim bunga (spring) yang jatuhnya pada bulan September-November, dengan seribu satu warna sangat dinanti. Pelbagai spesis bunga memenuhi ruang mata. bunga-bunga mekar berkembang dalam pelbagai rupa, bau dan warna. Warna warni yang mengisi alam dan ruang pandangan membawa ke musim panas (summer) di bulan Disember-Febuari, disemarakkan pula dengan pelbagai aktiviti outdoor disebabkan siang lebih panjang dari malam. Subuh seawal pukul 4 pagi dan maghrib selewat 8.40 malam. Seusai musim panas, menjelma pula musim luruh (autumn) pada Mac-Mei, yang menjanjikan keindahan luar biasa. Walaupun layaknya musim luruh ini hanya dikaitkan dengan dedaun yang kekeringan namun hadir dengan pelbagai warna yang hampir serupa. Warna warni musim luruh…pemandangan yang amat menakjubkan. Keajaiban ciptaan Tuhan…
Bunga-bunga mekar berkembang di musim bunga |
Lagi bunga-bunga muncul di musim bunga... |
Suasana pemandangan musim luruh di Emerald Park |
Tika sampai saatnya musim luruh memberi laluan untuk musim sejuk (winter) yang datang pada Jun-Ogos menggantikannya. Hadirnya membawa malam yang tempohnya lebih panjang daripada siang. Subuh pukul 6.15 pagi dan maghrib seawal pukul 5.15 ptg. Walaupun hadirnya dengan seribu satu keresahan bagi sebahagian warga tempatan, namun bagi sesetengah orang - kedatangan musim sejuk terutamanya salji sangat dinanti. Walaupun kesejukannya mencengkam tulang namun kemeriahan bermain salji pasti menjadi salah satu nostalgia yang terpahat dalam ingatan terutama setelah tidak lagi bermastautin di sini. Musim sejuk yang sinonim dengan warna putih seputih salji yang memenuhi bumi. Satu lagi keindahan luar biasa semulajadi yang tiada di tanahair sendiri…
Bumi diliputi salji putih pada musim sejuk di Mount Buller |
Suasana bersalji di musim sejuk |
Saya tinggalkan banyak perkara yang menjadi kenangan. Ia satu tempoh yang diingati. Saya tinggalkan Australia, tetapi saya membawa segala kenangan dan pengalaman pulang bersama. Seperti mana musafir lain, bermusafir sering membuat kita berfikir dan merenung kembali banyak perkara yang dilihat dan menilai banyak perkara yang dipegang. Pandangan kita mengenai sesuatu perkara boleh berubah disebabkan perubahan tempat. Musafir juga membuka kesempitan penilaian kepada yang lebih luas dan jauh. Ianya juga memberi pelbagai pengalaman yang membuka hati dan minda. Memberikan penilaian baru tentang kehidupan. Musafir menguji keimanan kita dan seterusnya memberi peluang bermuhassabah serta menginsafi diri
Sepanjang 3 tahun lebih bermusafir, sedikit sebanyak saya dapat memahami corak dan erti kehidupan di bumi Kangaroo ini. Ternyata memang banyak mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi. Terkadang berlakunya suasana yang betul-betul menguji kesabaran dan ketabahan diri. Ujian ukhuwah antara rakan-rakan... ujian hidup dalam masyarakat yang majoritinya beragama kristian... cabaran bagaimana mengekalkan jati diri dan mempertahan iman diri dan anak-anak... Semua ini perlu dihadapi dan dihadam serta diambil cakna sebaiknya. Musafir ini menjadikan kami sekeluarga banyak belajar. Belajar bersabar terutamanya, belajar menjadi tabah dan kuat, belajar mengenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam, belajar akan ertinya redha dan banyak lagi perkara yang mendidik serta menjadikan kami hamba Allah yang semakin banyak bermuhassabah dan bersyukur.
Musafir membebaskan diri dari belenggu taksub, merintis jalan kepada keluasan pandangan dan ufuk pemikiran insan. Saya ingin bermusafir lagi jika diizinkan Allah. Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pegangan dan pandangan diri dalam perjalanan menuju Allah... Sesungguhnya, bermusafir itu membuat diri semakin mengenal dan bergantung harap kepada Allah S.W.T!.
Semalam adalah sejarah .. dan Hari ini adalah hadiah .. Esok adalah misteri ..
Alhamdulillah .. Terima Kasih Allah
No comments:
Post a Comment