Tuesday, 20 August 2013

Sepanjang Jalan Kenangan...

Permintaan isteri untuk pergi ke Majlis Perkahwinan anak sepupunya di Gong Badak Terengganu pada 17/8/2013 yang lepas, saya sanggupi dengan perasaan sedikit gusar dan berbelah-bagi. Ini adalah kerana saya terpaksa memandu kira-kira hampir 3 jam untuk sampai ke destinasi berkenaan. Sudah lama saya tidak memandu untuk perjalanan yang mengambil masa lebih daripada 2 jam. Sejak balik dari Australia pada Oktober 2012 yang lepas, belum pernah saya memandu kereta melebihi dua jam untuk sesuatu perjalanan. Disebabkan permintaan isteri dan memikirkan Majlis Perkahwinan ini adalah sesuatu yang istimewa dan mungkin hanya sekali dalam seumur hidup bagi anak sepupunya, saya akhirnya terpaksa menyanggupinya. Tambahan pula inilah masanya yang sesuai untuk kami sekeluarga pergi menziarahi dan bertandang ke rumah adik lelaki saya dan keluarganya yang sudah lebih empat tahun bermastautin di Kg. Petai Bubus, Manir Kuala Terengganu. Kesempatan ini juga adalah peluang bagi kami sekeluarga untuk melihat dan menelusuri sebahagian daripada negeri Terengganu yang terkenal dengan pantainya yang cantik dan bersih. Rasanya sudah 7 tahun lebih, saya tidak menjejakkan kaki di negeri Terengganu, tempat di mana saya menamatkan masa persekolahan peringkat menengah pada suatu ketika dahulu

Mengikut perancangannya, kami bercadang bertandang dahulu ke rumah adik lelaki saya di Kg. Petai Bubus yang terletak di Manir sebelum pergi ke Majlis Perkahwinan yang diadakan di Dewan Sivik Perumahan Gong Badak, Kuala Terengganu. Selepas itu, agenda seterusnya adalah untuk berlibur dan bersantai di pantai yang terdekat. Setelah berbincang dengan isteri, saya memilih laluan jalan pesisir pantai dari rumah kami di Kg. Tokku, Kota Jembal ke Kuala Terengganu. Laluan pesisir pantai yang menjadi pilihan itu adalah melalui Tawang dan Melawi di daerah Bachok. Kemudian melewati Tok Bali, di Pasir Putih, seterusnya menghala ke Kuala Besut dan Kg. Raja, di Besut. Perjalanan selanjutnya adalah melalui Kg. Penarik di daerah Setiu, Rhu Tapai, Batu Rakit, Wakaf Tengah, Gong Badak, Wakaf Tembusu dan melepasi bulatan Batu Enam, sebelum sampai di rumah adik saya di Kg. Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu 

Kira-kira pukul 7.15 pagi, kami sekeluarga memulakan perjalanan dari rumah ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu isteri saya. Sebenarnya anak sepupu isteri iaitu Aufa Dahlia Bahar, 25 tahun, bermastautin di Melaka, manakala pasangannya iaitu Nafiizwan, 27 tahun, berasal dari Terengganu. Majlis pernikahan mereka diadakan di Terengganu dan dijalankan serentak dengan satu lagi pasangan pengantin iaitu Mohd Nafzahizam Adnan, 28 tahun dan isterinya Nor Farhana. Mohd Nafzahizam Adnan adalah abang kepada Nafiizwan. Mereka merupakan pemain skuasy Kebangsaan dan berita mengenai majlis pernikahan keduanya ada tersiar dalam ruangan sukan akhbar Kosmo , Ahad 18 Ogos 2013.

Selepas 15 minit perjalanan, kami singgah untuk sarapan pagi di sebuah gerai makan yang terletak di tepi Sungai Kemasin dan berhampiran dengan Jeti Nelayan Pengkalan Petah. Sengaja saya pilih gerai makan ini, pertamanya adalah kerana lokasinya yang strategik iaitu di tepi jalan raya, sungai dan jeti nelayan dengan panorama yang cantik serta suasana nan tenang. Keduanya, sungai Kemasin yang mengalir berhampiran dengan gerai ini adalah merupakan tempat saya menahan pukat dan mengail ikan pada suatu ketika dahulu. Melihat sungai ini, ianya membuat saya mengimbau kenangan silam. Sambil menjamu selera, kami juga menikmati dan menghayati lukisan alam yang indah serta unik. Suasana pagi yang tenang dan permukaan air sungai yang seperti cermin di jeti nelayan di mana terdapat deretan bot-bot berlabuh menyejukkan lagi pandangan mata

Semua itu menggembalikan kenangan dan ingatan saya kepada suasana dan wajah Sungai Kemasin pada masa 20 tahun dahulu. Sekarang wajah sungai tersebut telah berubah. Sebahagian besar pohon-pohon Nipah dan Membuta di kanan dan kiri tebing sudah tiada lagi. Ikan-ikan tembakul yang merayap di gigi air kawasan tepi sungai yang berlumpur juga tidak kelihatan lagi. Satu jambatan kekal telah dibina bagi menggantikan jambatan rakit atau jelujur yang menghubungkan Kg. Kemasin dan Kg. Tawang. Bersama-sama dengan jambatan dibina juga Pintu Air. Selain untuk tujuan pertanian ianya juga bagi membolehkan air mengalir masuk ke sungai dilepaskan ke laut dengan lebih cepat serta lancar bila banjir melanda kampung-kampung yang berhampiran. 

Struktur tebing dan alur sungai juga telah berubah. Sebahagian alur sungai telah ditimbus dan alur yang baru telah digali bagi membetulkan aliran dan mendalamkan paras airnya. Tujuannya adalah untuk membolehkan ianya menampung air dengan kapasiti yang lebih banyak bagi mengelak berlakunya banjir di kampung-kampung yang berdekatan. Selain itu ianya juga bagi membolehkan bot-bot nelayan yang bersaiz besar mudik masuk dari Laut Cina Selatan melalui Kuala Kemasin ke Jeti Nelayan Pengkalan Petah untuk mendaratkan hasil tangkapan, mendapatkan bekalan baru dan membaikpulih bot. Sebetulnya jeti nelayan Pengkalan Petah baru sahaja siap dibina. Sebelum jeti ini beroperasi sebahagian bot-bot nelayan ini mendaratkan hasil tangkapan samada di Kuala Besut atau di Thailand. Berikut ini adalah sebahagian foto yang sempat di rakam semasa singgah di gerai makan berkenaan:


Bot-bot Nelayan berlabuh di Jeti Pengkalan Petah-pemandangan dari jauh



Bot-bot Nelayan berlabuh di Jeti Pengkalan Petah-pemandangan dari dekat

Singgah untuk bersarapan pagi di Gerai Makan berhampiran Jeti Nelayan

Bersarapan pagi bersama keluarga sambil menghirup
udara segar waktu pagi di tepi sungai

Sarapan pagi dengan berlatarbelakangkan Sungai Kemasin
dan bot-bot nelayan yang berlabuh di Jeti Pengkalan Petah.


Gerai Makan terbuka - hanya bertiang dan bumbung tanpa dinding

Permukaan air sungai di Jeti Nelayan ini kelihatan seperti cermin

Suasana yang cantik dan damai di Jeti Nelayan Pengkalan Petah


Bersarapan pagi sambil menikmati suasana tenang dan damai di Jeti Nelayan


Lokasi tapak gerai makan ini sebenarnya terletak di tengah-tengah bahagian
sungai asal  sebelum ianya ditimbus bagi meluruskan aliran airnya


Pemandangan Jambatan dan Pintu Air dari jauh


Kenderaan melalui jambatan dan di sebelahnya Pintu Air yang merentasi sungai

Pemandangan Pintu Air dari dekat

Usai bersarapan pagi dan membayar harga makanan serta minuman, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Seperti yang direncanakan, kami menyusuri jalan pesisir pantai yang menjadi pilihan. Sepanjang jalan, kami dapat merasa suasana damai dan melihat pemandangan pesisir pantai-laut yang cantik. Di langit kelihatan awan bertaut, pucuk dan dedaun kelapa melambai-lambai, jajaran pokok-pokok cemara yang dahannya yang meliuk-liuk dibuai angin, lautan kebiruan terbentang luas dengan riak lemah lembut ombak dan gelombangnya menyejukkan pandangan serta membangkit perasaan nyaman. Semua itu berpadu dan menyatu menghasilkan lukisan alam ciptaan Allah SWT yang indah lagi unik. Betullah kata orang, pantai-pantai di Terengganu cantik, unik dan alami.

Setelah mengharungi perjalanan selama dua setengah jam, melalui Tawang, Melawi,Tok Bali, Kuala Besut, Kg. Raja, Kg. Penarik, Rhu Tapai, Batu Rakit, Wakaf Tengah, Gong Badak, Wakaf Tembusu dan bulatan Batu Enam, akhirnya kami sampai di rumah adik saya di Kg. Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu. Kami tiba di rumah adik saya lebih kurang pukul 11.15 pagi. Disebabkan aturcara Majlis Perkahwinan bermula 11.00 pagi, kami merancang untuk ke sana kira-kira sejam selepas ianya berlangsung. Masa menunggu itu kami habiskan dengan berehat dan menikmati  jamuan ringan yang disediakan oleh Nor Aini, isteri adik saya.

Kami mengajak adik saya, Mohd Kamri dan isterinya, Nor Aini untuk bergabung bersama kami pergi ke Majlis Perkahwinan anak sepupu isteri. Rencananya selepas menghadiri Majlis Perkahwinan tersebut, kami ingin pergi bersantai di pantai. Mereka berdua bersetuju. Adik saya, Mohd Kamri (kami memanggilnya, Kamri) berkerja di Universiti Malaysia Terengganu manakala Nor Aini bertugas di Bahagian Kawalan Penyakit, Kompleks Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Jalan Kuala Berang. Setelah semuanya siap-sedia, kami bertolak ke Majlis Perkahwinan yang diadakan di Dewan Sivik, Perumahan Gong Badak lebih kurang pukul 12.30 tengahari.

Perjalanan ke sana menjadi mudah kerana Kamri bertindak sebagai penunjuk arah. Setelah beberapa tahun menetap di Kuala Terengganu, beliau menjadi lebih arif dengan jaringan jalan di sini. Saya tidak perlu tercari-cari arah, sebaliknya hanya mengikut kereta yang dipandu oleh Kamri. Dalam tempoh kurang dari 10 minit, kami sudah sampai ke tempat yang dituju. Semasa kami sampai, kedua-dua pasangan pengantin belum lagi tiba. Sementara menunggu ketibaan rombongan pengantin, kami menyertai tetamu-tetamu yang lain menjamu selera di Khemah yang didirikan di sebelah kanan Dewan.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pasangan pengantin tiba dan diarak naik ke pelamin yang disediakan di atas pentas dewan. Setelah selesai sesi bergambar, bacaan doa selamat dan beberapa acara lainnya, pengantin diiringi turun ke bawah pentas untuk acara makan beradab. Kami mengambil kesempatan bergambar bersama pengantin dan bertemu mata dengan keluarga sepupu isteri. Sesudah mengucapkan ucapan tahniah dan selamat serta berborak seketika, kami meminta izin untuk meninggalkan majlis. Kami meneruskan hajat seterusnya iaitu pergi ke pantai. Atas cadangan Kamri, kami memilih Pantai Teluk Ketapang yang terletak tidak jauh dari tempat Majlis Perkahwinan diadakan.


Selamat sampai di rumah adik di Kg. Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu.



Banner yang mempelawa tetamu ke Majlis Perkahwinan pasangan pengantin


Bergambar di samping banner Selamat Datang Ke Majlis Perkahwinan
dua pasangan pengantin yang berkongsi Majlis dan kegembiraan


Berita berkenaan Majlis Perkahwinan kedua-dua pasangan pengantin
tersiar di ruangan sukan akhbar Kosmo, Ahad, 18 Ogos 2013



Suasana di dalam dewan di mana Majlis Perkahwinan diadakan


Dua pasangan pengantin berseri dan menadah tangan berdoa di atas pelamin

Bergambar bersama dengan pasangan pengantin iaitu
Aufa Dahlia Bahar dan suaminya Nafiizwan Adnan


Sebelum pergi ke Pantai Teluk Ketapang, kami singgah untuk solat di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kampus Gong Badak yang dahulunya  dikenali dengan nama Kolej Sultan Zainal Abidin (Kusza). Saya pernah beberapa kali singgah solat di Masjid ini semasa ianya dikenali dengan nama Kusza. Pada 26 Mac 2005 Kusza telah dinaiktaraf menjadi Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Setelah itu pada 14 April 2010, Universiti Darul Iman Malaysia dikenali dengan nama  Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Unisza merupakan Universiti Islam ketiga di Malaysia selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Ini adalah kali pertama saya singgah bersolat di sini selepas ianya bertukar nama. Struktur binaan Masjid yang cantik dan unik, ditambah dengan tahap kebersihan yang baik dan landskap menarik menjadikannya sangat selesa kepada pengunjung yang singgah bersolat. Kami sempat merakam beberapa foto di Masjid Unisza untuk kenangan.


Singgah solat di Masjid UNISZA
Bergambar di hadapan Masjid UNISZA yang cantik tersergam

Suasana di dalam Masjid UNISZA

Tempat mengambil wuduk

Perkarangan Masjid - cantik dan bersih serta landskap yang menarik

Dua keluarga bergambar bersama di hadapan Masjid UNISZA  sebagai kenangan

Bergambar di kawasan parkir kenderaan Masjid UNISZA sebelum ke destinasi seterusnya

Universiti Malaysia Terengganu pemandangan dari jauh


Usai solat, kami bertolak ke Pantai Teluk Ketapang. Dalam perjalanan ke pantai tersebut kami melewati Universiti Malaysia Terengganu (UMT), tempat di mana Kamri bekerja. Kami sampai di Pantai Teluk Ketapang dengan disambut oleh angin yang berhembus lembut dan bunyi debur ombak yang berderai di pantai. Hamparan pantai yang luas dengan pasirnya yang putih dan terpaan warna biru lautnya membangkitkan perasaan nyaman serta damai.

Pantai Teluk Ketapang terletak di kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu. Bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kira-kira 10km dari pusat bandaraya Kuala Terengganu. Di depan lapangan terbang di sebelah arah laut, pantainya telah ditambak dengan bongkah batu-batu granit yang besar, disusun menjadi benteng pemecah ombak.

Pantai Teluk Ketapang tidaklah sepopular Pantai Batu Buruk yang terletak di bandar Kuala Terengganu tetapi ia mempunyai pantai yang luas, cantik dan bersih. Pantai ini sangat sesuai sebagai tempat istirehat, santai serta aktiviti pantai seperti menunggang kuda dan memancing. Pantai Teluk Ketapang menjadi tempat tumpuan orang ramai pada hari cuti dan hujung minggu bukan sahaja disebabkan keindahan pantainya tetapi ianya juga terkenal kerana terdapat gerai-gerai yang menyajikan makanan yang berasaskan laut yang enak seperti ikan celup tepung (ICT), sotong celup tepung, udang celup tepung, kerepok lekor dan air nyiur muda.

Kami juga tidak ketinggalan mencuba keenakan makanan laut ini. Sebaik sahaja sampai di pantai ini, lokasi pertama yang dituju adalah gerai yang menjual ikan celup tepung (ICT), sotong celup tepung, udang celup tepung dan kerepok lekor. Selepas menjamu selera barulah kami ke pantai dan laut. Hampir sejam saya menghabiskan masa bersantai bersama keluarga di Pantai Teluk Ketapang ini. Rasanya tidak puas berada di pantai ini, tapi apakan daya kami harus pulang ke Kota Bharu segera. Selepas bersalaman dan mengucapkan salam perpisahan kami pun berangkat pulang. Kamri bersama isteri dan 2 anak lelakinya pulang ke Kg. Petai Bubus manakala saya sekeluarga menuju ke Kota Bharu.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah sekejap di Pantai Batu Rakit untuk melihat batu yang seolah-olah terapung di tengah laut sehinggakan ianya dipanggil Batu Rakit. Rasanya sudah lebih 10 tahun saya tidak datang ke pantai ini. Melihat pantai ini juga mengingatkan saya kenangan sewaktu persekolahan dahulu. Betapa tidak, saya sampai di Pantai Batu Rakit untuk kali pertamanya adalah sewaktu saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Terengganu yang terletak kira-kira 12 km dari pantai ini. Di pantai ini juga, saya dapat menunjukkan perahu-perahu nelayan dan menceritakan kisah suka-duka kehidupan mereka kepada anak-anak. Pengkisahan kehidupan seorang nelayan ini penting kepada anak-anak supaya mereka lebih menghargai diri sendiri dan orang lain. Di sini kami juga tidak boleh berlama-lama kerana perlu meneruskan perjalanan pulang. Saya merakam beberapa keping gambar di pantai ini sebagai kenang-kenangan.

Kami meneruskan perjalanan pulang. Setelah sampai di Kedai Keropok Mengabang Tapah, Merang, Setiu, saya berhenti sekali lagi bagi membeli keropok lekor untuk kami sekeluarga. Selain itu ianya juga untuk  dijadikan buah tangan kepada Mek, kakak dan jiran terdekat. Mengikut cerita Kamri, keropok lekor di kedai ini adalah di antara yang paling enak di Terengganu. Sememangnya betul kata Kamri, berbanding keenakan keropok lekor Losong dengan Kedai Mengabang Tapah ini, saya lebih menyukai keropok kedai ini. Selepas membeli keropok lekor, kami meneruskan perjalanan kembali. Sepanjang perjalanan pulang kami dapat melihat suasana dan pemandangan cantik waktu petang di sepanjang jalan pesisir pantai. Kalau semasa pergi, kami dapat melihat keindahan dan suasana tepi pantai pada waktu pagi manakala sewaktu pulang pula, kami dapat menyaksikan keindahan dan keunikan suasana di waktu petang. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah sekitar pukul 8 malam. Kenangan silam kembali membugar di sepanjang perjalanan  ini kerana ianya adalah sepanjang jalan kenangan....



Papan Tanda  yang mengalu-alukan kedatangan tetamu ke Pantai Teluk Ketapang 


Anak-anak berlari menuju ke Pantai Telok Ketapang

Bersantai bersama keluarga di Pantai Teluk Ketapang

Barisan pohon Cemara yang ditanam sepanjang pantai

Hembusan angin dari Laut Cina Selatan di pantai
Teluk ketapang begitu menyegarkan

Melihat pantai dan laut lepas di Pantai Teluk Ketapang

Meluang masa dan bersantai di pantai bersama keluarga

Menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga

Bergambar bersama adik dan keluarganya di Pantai Teluk Ketapang

Merenung jauh ke ufuk kebiruan, yang berpadu menyatukan langit dan laut 



Bergambar di bawah bangsal beratapakan daun kelapa  

Pasir pantai nan putih dan air laut yang kebiruan

Teruja dengan keindahan panorama dan suasana pantai dan laut yang terbentang luas

Pantai yang landai dan bersih

Bergambar bersama dengan berlatar belakangkan Laut Cina Selatan

Merenung laut yang membiru dan mendengar deburan ombak yang menghempas pantai

Bermain dan bercanda di tepian pantai


Menapak meninggalkan pantai yang cantik bersama kenangan yang indah

Berjalan menuju jalan pulang


Hafiz bergambar  membelakangi Batu Rakit yang kelihatan terapung di tengah laut


Batu Rakit - pemandangan dari jauh

Rumah Api dibina di atas Batu Rakit sebagai panduan kepada nelayan


Pantai Batu Rakit luas dan pasirnya putih bersih

Perahu-perahu nelayan mendarat  bersama hasil tangkapan di pantai ini


Deretan perahu-perahu nelayan yang diletakkan bersebelahan antara satu sama lain
\

Salah sebuah perahu nelayan tempatan yang sudah siap sedia bersama ikatan
dahan-dahan pokok yang dijadikan unjam untuk tujuan menangkap ikan

Hafiz bergambar bersama dengan bot dan bubu-bubu kepunyaan nelayan tempatan

Hafiz tertarik dengan Ikan Todak yang dibuang oleh nelayan tempatan

Bubu yang dibina daripada dawai  'mata punai' digunakan untuk menangkap sotong katak

Singgah membeli keropok Lekor di kedai Keropok Mengabang Tapah,
Kampung Pantai Merang, Setiu yang terkenal dengan keenakannya

Pemandangan dari jauh  Kedai Keropok Mengabang Tapah.