Setiap pagi, saya akan melewati satu bin sampah yang besar (communal bin) semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Bin sampah tersebut diperbuat daripada besi, dicat dengan warna hijau dan diletak di tepi jalan susur yang sering saya lalui sebagai jalan pintas untuk mengelak daripada kesesakan yang berlaku di lampu isyarat. Setiap kali saya melalui jalan susur ini , saya akan terpandang dua kelibat perempuan berhampiran dengan bin yang mengandungi longgokan sampah. Dua perempuan tersebut, seorang kelihatan sudah berumur dalam lingkungan 50 an manakala seorang lagi masih muda iaitu 30 an. Mereka meyelongkar setiap bungkusan plastik sampah bagi mencari barangan yang boleh dikitar semula untuk dijual. Barangan ini akan diasing dan dikumpul dari setiap bungkusan plastik sampah. Bila kuantitinya menjadi semakin banyak, ianya dijual bagi mempeolehi wang untuk menyara kehidupan. Barangan yang boleh dikitar semula seperti kotak kertas, barangan plastik, tin-tin dan besi menjadi sumber pendapatan kepada mereka.
Itu adalah pemandangan yang selalu saya lihat setiap kali melintasi bin sampah pada waktu pagi semasa pergi bekerja. Tanpa menghiraukan bau busuk, kekotoran dan perasaan malu kepada orang yang lalu-lalang, kedua perempuan tersebut dengan sabar mengasing dan mengumpulkan barangan seperti kotak kertas, barangan plastik, tin-tin serta besi untuk dijual. Setiap kali bila menghampiri lokasi di mana mereka bekerja, saya akan memandu kereta dengan perlahan.Tujuannya adalah bagi melihat wajah keduanya dari dekat dan hasil yang mereka perolehi pada hari berkenaan. Melihat wajah mereka, timbul perasaan insaf dan sayu di hati saya. Betapa getirnya hidup mereka untuk mencari sesuap rezeki bagi melangsungkan kehidupan. Terdapat garis-garis kesusahan dan keperitan di wajah mereka. Timbul pertanyaan di benak fikiran saya, siapalah mereka ini?. Di mana suami, anak-anak atau ahli keluarga mereka?. Atau adakah mereka ini ibu tunggal atau sebatang kara dan tiada orang yang menjadi tonggak sandaran dalam meneruskan kehidupan.
Bin sampah yang diletak di bahu jalan susur |
Bin sampah yang menjadi tempat melupus sampah bagi kebanyakan orang dan tempat mencari rezeki bagi golongan yang lain. |
Betapa sukar dan kerasnya kehidupan mereka. Mencari rezeki dari sampah yang dibuang orang. Terpaksa membuang rasa malu dan berkerja dalam persekitaran yang berbau busuk dan kotor demi kelangsungan hidup. Setiap hari 'hasil' yang diperolehi tidak menentu. Ada ketikanya banyak dan ada kalanya sedikit. Kalau hasilnya sedikit, barangan tersebut perlu dikumpul terlebih dahulu sebelumnya ianya dapat dijual bagi mendapatkan wang. Mereka mewakili golongan miskin dan susah yang bilangannya masih ramai di negeri ini.
Melihat keduanya, hati saya diburu oleh pertanyaan, berapa banyakkah wang yang mereka perolehi pada setiap hari?. Cukupkah menampung kehidupan mereka dan tanggungannya? Tambahan pula dengan kos hidup yang semakin meningkat ekoran harga petrol RON95 naik dari RM1.90 kepada RM2.10 manakala harga diesel pula naik dari RM1.80 kepada RM2.00 sejak 3 September lepas. Harga banyak barangan keperluan harian dan caj perkhidmatan turut naik. Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa harga barangan keperluan tidak akan naik melebihi 1% tetapi kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan. Peritnya daripada kenaikan harga barangan keperluan tersebut begitu dirasa terutama oleh golongan miskin dan tiada sumber pendapatan tetap. Jika seorang yang berpendapatan tetap seperti saya pun dapat merasa impaknya, bayangkan bagaimanalah perit dan susahnya bagi mereka yang tiada sumber pendapatan tetap. Setiap detik mereka berhati walang memikirkan bagaimana caranya mencari wang untuk menyara kehidupan. Rezeki yang diperolehi hari ini tidak mencukupi menyara hidup untuk besok hari. Bagi melangsungkan hidup besok hari, rezeki yang lain perlu diraih dan dicari bak kata pepatah 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang!'
Bagi golongan susah dan miskin ini, kehidupan menjadi semakin keras dan sukar. Mereka menjadi golongan terpinggir dan perlukan pembelaan. Saya terkenangkan nasib para petani yang mengusahakan tanaman tembakau di daerah kelahiran iaitu Bachok. Kalau dahulu daerah Bachok ini terkenal dengan tanaman tembakau dan ianya merupakan kawasan penanaman tembakau terbesar di Malaysia. Semua itu telah tinggal menjadi kenangan dan sejarah. Sejak beberapa tahun terakhir ini, tanaman tembakau yang diusahakan sering musnah dilanda banjir. Banjir yang berlaku akibat hujan yang menggeluyur lebat semasa musim penanaman iaitu dari Januari-Mac menyebabkan kerugian kepada penanam tembakau. Musibah yang berlaku menyebabkan ramai penanam tembakau tidak lagi mampu menampung kerugian tersebut. Tambahan pula terlaksananya Kawalan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) sejak tahun 2010. Di bawah AFTA ini, berlakunya penurunan harga dan pengurangan duti import tembakau. Syarikat-syarikat rokok mendapatkan bekalan tembakau luar seperti dari Thailand dan Indonesia disebabkan kos pengeluaran dan upah buruhnya lebih murah.
Tanaman tembakau yang ditanam mengikut barisan di atas batas tanah |
Ladang tembakau yang menghijau |
Banjir dan pelaksanaan AFTA telah menyebabkan kira-kira 6,000 penanam tembakau di Kelantan hilang punca pendapatan. Daripada jumlah tersebut, 5,000 ialah penanam dari daerah Bachok dan selebihnya dari Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat. Sejak tahun 2013 ini, tembakau tidak lagi ditanam di daerah Bachok. Nasib ribuan penanam tembakau terumbang-ambing dan tidak menentu. Tembakau yang selama ini menjadi sumber pendapatan yang baik kepada mereka telah tiada. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan tanaman lain seperti kenaf menggantikan tembakau, tetapi ia dikatakan tidak berbaloi kerana hasil yang diperolehi tidak dapat menandingi tembakau. Di antara penyebab lain adalah kerana tanah di daerah Bachok kurang sesuai untuk getah, kelapa sawit atau padi. Jika tanam sayur, hasilnya tidak menentu dan seberapa serta risiko rosak yang tinggi.
Natijahnya, sebilangan besar penanam tembakau tidak lagi bertani. Kawasan pertanian yang dahulunya menghijau dengan tembakau, kini sebahagian besar terbiar tidak dikerjakan dan menjadi tanah rang. Mereka terpaksa mencari perkerjaan lain sebagai sumber pendapatan. Sebahagian kecil mendapat kerja tetap manakala sebilangan besar masih lagi mencari-cari. Kehidupan mereka menjadi semakin sukar, keras dan tidak menentu. Berlakunya fenomena 'domino effects' iaitu kenaikan rantaian harga barangan keperluan dan caj perkhidmatan akibat kenaikan harga petrol menambahkan lagi susah serta peritnya hidup mereka.
Bilakah keadaan ini akan berakhir? Siapakah yang sudi membantu dan membela nasib mereka?. Atau akan adakah pakar ekonomi atau usahawan berjaya yang sanggup membantu! Soalan-soalan ini mungkin tidak terjawab!. Penanam-penanam tembakau ini tertunggu-tunggu agenda dan program daripada pihak kerajaan Persekutuan atau Negeri bagi membela nasib mereka. Program atau projek yang berdaya maju adalah penting bagi meringankan beban dan melunakkan sedikit hidup mereka yang semakin keras. Ianya penting supaya mereka mampu mengukir senyum dan beramah-tamah dalam menghadapi kehidupan yang semakin keras....
No comments:
Post a Comment