Saturday, 29 September 2012

Bermula Kehidupan di Australia..(Bahagian 2)


Selesai urusan  pendaftaran  pengajian isteri dan persekolahan anak-anak, tumpuan kami beralih pula kepada mencari rumah sewa dan kereta. Kedua-duanya adalah keperluan hidup yang penting, rumah sebagai tempat penginapan dan kereta menjadi medium pengangkutan. Mendapatkan ‘2P’ ini iaitu penginapan dan pengangkutan yang sesuai adalah salah satu hal yang penting dalam menjalani pengajian dan hidup di Victoria. Penginapan dan pengangkutan yang sesuai dapat membantu sesorang itu belajar lebih baik, cepat berbaur, bersosial dengan lebih efektif dan menikmati hidup yang baik serta bermakna.

Keperluan dan permintaan kepada penginapan terutama 7 km sekitar Universiti Monash agak mendesak kerana kawasan ini bukan sahaja menjadi tumpuan warga tempatan tetapi para pelajar luarnegara yang datang melanjutkan pengajian di sini. Mengikut tinjauan kami, harga atau kadar sewa semakin tinggi jika penginapan itu semakin hampir dengan kampus universiti. Secara umumnya terdapat 3 jenis penginapan yang biasa disewa oleh para pelajar di sini iaitu rumah, unit dan studio. Rumah adalah kediaman yang mempunyai halaman depan dan belakangnya sendiri manakala unit pula adalah penginapan yang berkongsi halaman dengan unit-unit lain dalam kawasan yang sama. Studio pula lebih merupakan sebuah bilik yang boleh menampung 2 orang penghuni sahaja. Ianya adalah mirip dengan bilik hotel atau asrama.



Rumah yang mempunyai halamannya sendiri


4 Unit penginapan yang berkongsi halaman depan

Secara umum ada 2 cara mencari penginapan di sini. Yang pertama adalah memantau iklan rumah kosong yang boleh didapati di akhbar, risalah, laman carian di internet ataupun papan iklan di hadapan rumah yang diiklankan. Beberapa laman carian seperti domain.com.au atau realestate.com.au yang boleh kita terokai. Bahkan kita boleh mencari dengan mengkhususkan di suburb atau persekitaran mana kita mahu tinggal, berapa budget dan berapa bilik tidur yang kita inginkan. Yang kedua adalah dengan pergi terus ke pejabat agen pengurusan hartanah untuk meminta senarai yang mereka tawarkan. Terdapat banyak agen-agen pengurusan hartanah yang menawarkan perkhidmatan mereka di sini contohnya Barry Plant, Darras and Zervas, Raywhite, Harcourts, Stockdale, LJHooker, Buxton dan banyak lagi. Di Australia urusan sewa dan jual-beli rumah biasanya dilakukan melalui agen hanya sebilangan kecil sahaja yang berurusan terus dengan tuan rumah.

Jika berminat, kita perlu mengisi borang permohonan untuk menetapkan tarikh dan masa lawatan untuk melihat langsung penginapan yang kita inginkan atau istilahnya property inspection. Untuk melakukan pemeriksaan, agen akan menetapkan masa yang spesifik dan selalunya pada hari minggu dengan masa selama 15-30 minit. Pemeriksaan ini diatur biasanya bersama-sama dengan bakal pembeli/penyewa yang lain. Kalau kita tidak melakukan pemeriksaan dan melihat secara langsung, mengikut undang-undang  kita tidak boleh membeli/menyewa penginapan tersebut. Persaingan mendapat rumah tersebut adalah tinggi jika terdapat ramai yang berkenan kepada penginapan yang sama. Jika keadaan ini berlaku, selalunya pembeli/penyewa yang menawarkan kadar yang lebih tinggi akan mendapatkannya. Proses mendapat rumah sewa atau penginapan ini biasanya mengambil masa 1-2 minggu bergantung kepada lokasi, jenis penginapan dan kadar sewa yang ditetapkan.

Jika permohonan berjaya, perjanjian sewaan akan ditandatangani di antara agen dengan penyewa. Kelayakan penyewa dipastikan dengan semakan dilakukan berkenaan penyata sumber kewangan berserta salinan dokumen yang berkaitan Conditional Report perlu dipulangkan dalam masa yang ditetapkan setelah rumah diduduki. Sambungan bekalan elektrik, air, gas dan telefon biasanya diuruskan oleh agen dan perkhidmatan sambungannya sangat cepat. Kadar sewa adalah mengikut mingguan manakala pembayaran sewa biasanya dilakukan secara sebulan sekali berserta sebulan bayaran bond atau deposit yang akan dipegang oleh Residential Tenancies Bond Authority. Di Australia, gas disalurkan ke rumah-rumah sama seperti elektrik dan air. Gas ini bukan sahaja digunakan untuk tujuan memasak tetapi juga untuk memanaskan rumah dan juga sumber tenaga bagi memanaskan bekalan air paip. Umumnya kos penggunaan gas adalah lebih murah berbanding elektrik terutamanya di musim sejuk dimana harga atau tarif elektrik adalah lebih mahal berbanding dengan musim-musim yang lain.


Dalam memilih tempat penginapan atau rumah sewa kami mempunyai beberapa kriteria yang ditetapkan iaitu pertama sekali, kadar sewanya mestilah tidak melebihi $300/minggu dan mempunyai sekurang-kurangnya 2 bilik. Selain itu lokasinya mestilah dekat dengan masjid, universiti Monash dan sekolah rendah bagi menjimatkan masa berulang-alik dari tempat berkenaan. Kriteria yang lain adalah ada garaj atau ruang letak kereta, mempunyai laman sendiri dan dilengkapi dengan alat pemanas dan dapur yang menggunakan gas.

Sebelum sampai ke Melbourne, kami dimaklumkan bahawa Norma bercadang hendak menghabiskan phdnya di Malaysia kerana masalah kesihatan yang Azhar alami. Sebenarnya semasa kami sampai ke Melbourne, Azhar baru beberapa bulan keluar daripada Alfred Hospital selepas menjalani pembedahan bagi membuang 3 sumbatan pada jantungnya. Takdir Allah tiada siapa yang tahu dan boleh menghalangnya. Setelah beberapa bulan menemani Norma dan hidup sebagai house husband di Melbourne,  suatu hari Azhar telah mengalami sakit dada pada hari pertama beliau berkerja part-time di syarikat Mercedes. Setelah dirujuk ke hospital didapati terdapat 3 block atau sumbatan pada jantungnya yang menghalang pengedaran normal darah dan memerlukan pembedahan yang segera.

Selepas pembedahan dan dibenarkan keluar daripada hospital, Azhar berehat di rumah dan memerlukan rawatan susulan serta ubat bagi memastikan jantungnya sembuh sepenuhnya. Walaupun sebahagian kos rawatannya ditanggung oleh Overseas Health Covers (OSHC), sebahagian lagi terpaksa mengeluarkan duit sendiri kerana melebihi had liputan (coverage).

Disebabkan Azhar memerlukan rawatan susulan yang berterusan dalam jangkamasa yang agak lama tentulah ianya memakan kos yang tinggi dan berat untuk ditanggung. Norma pula sejak Azhar dimasukkan ke hospital tidak dapat menumpukan masa dan fokusnya kepada pengajian. Banyak masanya dihabiskan untuk berulang-alik dari rumah ke Alfred Hospital yang jaraknya 23 km bagi menjaga Azhar yang dalam kesakitan. Perasaan dan hatinya gundah gulana mengenangkan suami tercinta dilanda ujian. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui keadaan perasaan dan hatinya. Hidup di negara orang bertemankan dengan 3  anak orang yang masih kecil dan suami pula sakit, tentulah menyentap ketabahan hati dan perasaannya.

Kekangan kewangan bagi membiayai kos rawatan susulan dan keperluan sokongan keluarga ketika saat-saat getir menyebabkan Norma memutuskan untuk menghabiskan baki masa pengajian phdnya di Malaysia. Sebelum pulang mereka perlu menyelesaikan masalah perjanjian sewa rumah yang belum cukup tempoh matangnya setahun, penjualan kereta dan lain-lain barangan utiliti seperti mesin basuh, peti sejuk dsb. Bagi pelanggaran perjanjian sewa rumah yang belum cukup tempoh matang denda akan dikenakan kecauli ada pengganti penyewa yang baru. Maka kepada kami diajukan tawaran mengambil alih sebagai penyewa dan penjualan kereta dan semua barangan dalam  satu pakej. Setelah berbincang, saya dan isteri setuju dengan tawaran tersebut. Rumah yang kami tumpang ini memenuhi semua kriteria yang ditetapkan. Manakala kereta dan semua barangan tersebut memang diperlukan untuk kelangsungan hidup. Ianya adalah situasi menang-menang di mana kedua-dua pihak mendapat manafaat. Selepas setuju dengan harga pakej yang ditawarkan, kami berempat kemudiannya ke pejabat agen hartanah iaitu Barry Plant di Clayton untuk urusan perjanjian sewa rumah sebagai penyewa yang baru. Perjanjian sewa rumah ditandatangani setelah 2 minggu kami menumpang bersama mereka.

Rumah sewa kami- pemandangan dari jauh






Rumah sewa kami- No.4 Sarah Close, Clayton South, Victoria



Azhar dan Norma bersama 3 anak mereka:
Afiq (10 tahun), Nurin (8 tahun) dan Shasa (3 tahun)


Bergambar bersama semasa lawatan ke
Tesselaar Tulip Festival Molbuk Road, Silvan.


Setelah itu, Azhar dan Norma bersama 3 orang  anak-anak pergi melawat Gold Coast di Brisbane selama seminggu. Sekembalinya mereka  sekeluarga dari Gold Coast, kami pula mempelawa mereka tinggal bersama kami. Mereka sekeluarga tinggal selama 2 minggu bersama kami sebelum pulang ke Malaysia. Sedih melihat pemergian mereka, kerana hampir sebulan kami tinggal bersama beramah mesra, bergurau senda dan berbagi pengalaman terasa mereka begitu dekat di hati kami. Saya rasa kehilangan kerana tiada lagi teman bersembang sambil minum moccona yang menjadi kegemaran Azhar. Sekarang saya juga turut menggemarinya. Banyak yang kami belajar daripada mereka sekeluarga. Saya begitu terkesan sekali dengan pengalaman yang dilalui oleh Azhar dan Norma kerana disebalik segala ujian dan dugaan yang dialami, mereka masih sanggup menerima kami sebagai tetamu. Jazakallah...kerana membenarkan kami menumpang dan sudi berbagi pengalaman. Hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalas segala budi baik kalian. Terimalah serangkap pantun dari kami:
 
             Pulau Pandan jauh ke tengah
             Gunung Daik bercabang tiga
             Hancur badan dikandung tanah
             Budi yang baik dikenang jua.


Bermula Kehidupan di Australia..(Bahagian 1)


Bagi memulakan kehidupan bermastautin di Australia terdapat beberapa perkara yang perlu kami lakukan dan membuat penyelarasan untuk menyesuaikan diri dan membaur dengan persekitaran baru. Proses bermastautin ini tentunya memerlukan masa, pengalaman dan menuntut perubahan sikap serta amalan daripada kami sekeluarga. Ianya merupakan suatu proses yang mesti ditempohi dan dilalui oleh kami bagi membina kehidupan baru yang mampan dan mandiri. Tentunya pertolongan daripada Allah SWT dan bantuan dari rakan-rakan yang sudah melaluinya adalah sangat penting dalam proses bermastautin ini. Tanpa pertolongan dan bantuan tersebut, proses yang dilalui tentunya menjadi sukar dan berat. Ianya juga memerlukan masa yang lama bagi sesorang itu membaur dan beradaptasi dalam lingkungan baru yang berbeza dari segi situasi, agama, etnik, bahasa dan budaya. Semua batas pemisah ini perlu dihadapi dengan segala ketabahan dan kesabaran bagi memperolehi keserasian dan  kualiti kehidupan yang baik serta bermakna.  

Kami amat bertuah kerana di peringkat awal kehidupan di Australia, kami dapat banyak bantuan, tips-tips dan panduan berguna daripada rakan-rakan bagaimana menjalani hidup di rantauan.  Semua tips, panduan dan bantuan menjadi sangat berguna dan ketara  dalam  merombak corak kehidupan kami di sini. Berpandukan tips dan pertolongan tersebut, kami tidak memerlukan masa yang lama untuk membaur dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Namun begitu ada juga perkara yang sampai sekarang ini kami belum betah iaitu cuaca dan putaran empat  iklim yang berlaku iaitu musim luruh, sejuk, bunga dan panas. Musim luruh bermula dari (Mac-Mei), sejuk (Jun-Ogos), bunga (September.-November) dan panas (Disember-Febuari). Pada musim panas, waktu siang adalah lebih panjang berbanding dengan malam. Manakala pada musim sejuk waktu siang lebih pendek daripada malam.



Hari pertama persekolahan bagi anak-anak kami,,,



Masa kami tiba, Melbourne diwarnai oleh musim bunga, banyak pepohonan mengeluarkan daun dan bunga yang bermacam warna serta bentuk mewarnai buminya. Sungguh indah dan mengasyikkan dan saya terbius dengan suasana yang mempersonakan. Pemandangan alamnya begitu memikat hati dan eksotik, tetapi tidak pada hembusan bayunya. Desiran bayunya  yang bertiup dari kutub selatan yang dingin begitu sejuk menggigit bila ianya menerpa ke muka dan badan. Kedinginan sedemikian berlaku di waktu siang sungguhpun matahari  hadir memancarkan sinarnya dan dinginnya makin terasa bila malam menjelma. Suhunya boleh mencapai sehingga  8-4°C menjadikan udaranya  begitu sejuk menyelimuti dan sentiasa menghambat saya keluar dari bawah selimut tebal. Saya yang belum biasa dengan keadaan demikian berasa kurang selesa dan selalu alah dengan kesejukan. Mungkin saya perlukan masa yang lebih panjang untuk 'kalih' dengan suasana begini.




Nur Hafizah bersama dengan guru kelasnya



Selain daripada cuaca, masalah lain tidak begitu mengcengkam. Kami mengambil masa kira-kira 3 bulan untuk menjadi betah dan serasi dengan tempat dan persekitaran baru. Dua minggu pertama adalah tempoh yang agak sibuk kerana banyak perkara dan urusan yang mesti diselesaikan. Urusan pertama dilakukan adalah menyelesaikan pendaftaran masuk  isteri di Universiti Monash untuk pengajian phdnya  Urusan pendaftaran ini menjadi mudah dengan bantuan Normazla yang membawa dan menunjukkan tempat-tempat yang berkenaan.Normazla atau Norma panggilan yang biasa disebut, adalah pelajar phd dalam sastera english (english literature) sudah 7 bulan mengharungi perjalanan hidup di Australia bagi meneruskan dunia pengajian phdnya di  Universiti Monash Clayton. Beliau tidak lokek berbagi pengalaman selama berada di sini dan sudah semestinya ianya menjadi bekal dan panduan yang berguna kepada kami khasnya kepada isteri yang bakal  bergelar pelajar.



Nur Hafizah diperkenalkan kepada rakan-rakan kelas oleh Mrs Rukshana Verzijl


Selepas pendaftaran kemasukan isteri di Universiti Monash selesai, kami juga perlu mencari sekolah yang sesuai bagi anak-anak meneruskan persekolahan mereka. Di antara sekolah yang menjadi pilihan kami ialah Primary Clayton North. Selain lokasinya yang berhampiran dengan Universiti Monash, para pelajarnya juga terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara dimana ibubapa mereka adalah pelajar luarnegara yang belajar di Universiti Monash atau berkerja sekitar  Clayton. Anak-anak kepada pasangan Azhar dan Norma iatu Afiq (10 tahun) dan Nurin (8 tahun) juga bersekolah di sini. Clayton North Primary School ini mempunyai sejarah yang lama dan kaya  dengan kecemerlangan pendidikan serta telah beroperasi selama lebih 100 tahun. Sekolah ini mempunyai bangunan bata yang dibina sejak tahun 1864 dengan bilangan pelajar seramai 312 orang dan  terletak di 1714 Dandenong Road, Clayton.

Setelah melihat dan memperolehi maklumat berkenaan sekolah serta berpuas hati dengan sistem pembelajaran dan pengajarannya, Saya dan isteri kemudiannya mendaftar anak kami iaitu Nur Hafizah (10 tahun) dan Nur Hidayah (8 tahun) di sekolah ini. Selepas  dokumen yang berkaitan seperti passport, status visa dan certificate of enrolment (COE) daripada Jabatan Pendidikan Victoria diperiksa dan disemak akhirnya anak kami diterima masuk.  Proses pendaftaran diakhiri dengan ucapan selamat datang dan taklimat ringkas daripada pengetuanya iaitu Mrs Rukshana Verzijl berkenaan waktu persekolahan,pakaian seragam dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Waktu persekolahan adalah bermula pukul 9 pagi sehingga 3.30 petang. Bagi pelajar bukan warganegara Australia atau yang dilahirkan di luar negara salinan asal passport dan status visa perlu dikemukakan semasa proses pendaftaran untuk semakan. Selain itu certificate of enrolment (COE) daripada Jabatan Pendidikan Victoria perlu dikemukakan untuk pengecualian yuran persekolahan yang agak mahal di sini. Certificate of enrolment (COE) perlu dipohon daripada Jabatan Pendidikan Victoria oleh ibubapa yang mempunyai anak wajib sekolah bersama dengan permohonan visa.

Primary Clayton North School -Unik dan bersejarah.
Nur Hafizah ditempatkan di kelas Gred 3/4 A dan Nur Hidayah Gred 1/2 I. Nombor pada  Gred adalah mewakili peringkat umur  pelajar manakala Abjad di belakangnya adalah nama guru yang menjaga kelas berkenaan. Contohnya Gred 3/4 A - 3/4 adalah untuk pelajar gred 3 dan 4 yang digabung manakala A pula merujuk kepada nama guru kelas berkenaan iaitu Brad Alphonso. Secara umumnya terdapat 6 peringkat umur  pelajar di  sekolah ini iaitu dari gred 1 sehingga 6. Ianya kemudiannya digabungkan menjadi 3 gred utama iaitu gred 1/2, gred 3/4 dan gred 5/6.  Setiap gred-gred ini pula dibahagikan kepada 3 kelas yang dijaga oleh guru  yang berlainan. Contohnya bagi gred 3/4, terdapat 3 kelas atau gred 3/4  lain yang seumpamanya. Begitu juga dengan gred 1/2 dan 5/6. Setiap kelas mempunyai bilangan pelajar kira-kira 25 orang. Selain itu sekolah ini juga mempunyai kelas pra-sekolah bagi kanak-kanak yang berumur 5-6 tahun.  

Nur Hidayah bersama rakan-rakan sekelasnya



Nur Hidayah  bersama-sama dengan rakan-rakan dan guru.

Umur persekolahan bagi pelajar di Australia khususnya di Victoria tidak banyak perbezaan dengan Malaysia. Persekolahan bermula dengan pra-sekolah bagi kanak-kanak berumur 6 tahun kebawah, diikuti dengan primary school dari gred 1-6 bagi pelajar berumur dari 7-12 tahun dan High School dari Year 7-12 untuk pelajar yang berusia 13-18 tahun.  Bagi negeri Victoria terdapat peperiksaan penting yang dikenali The Victorian Certificate of Education (VCE) bagi pelajar sebelum menamatkan persekolahan mereka di High School. VCE  adalah sijil yang majoriti pelajar di Victoria akan terima apabila menamatkan pendidikan menengah mereka dengan memuaskan. VCE menyediakan pelbagai laluan kepada  kemasukan ke universiti atau TAFE dan sektor pekerjaan.



                                                                              Bermula Kehidupan di Australia..(Bahagian 2)

Friday, 28 September 2012

Menjejakkan kaki di bumi Australia.....


Setelah beberapa minit pesawat berlepas naik dari landasan, ia akhirnya mencapai cruising altitude. Tidak lama selepas itu isyarat lampu pasang talipinggang keselamatan dipadamkan dan penggunaan tandas dibenarkan semula. Semua kerusi dalam pesawat penuh dengan penumpang yang hampir separuhnya bukan berwajah Asia. Buat pertama kali saya menaiki pesawat Boeing 747 yang penuh dengan penumpang. Pesawat ini mempunyai 3 barisan tempat duduk dengan susunatur kerusi-kerusinya secara 3-4-3. Dianggarkan lebih daripada 300 penumpang berada dalam pesawat ini. Semua ini menimbulkan rasa kagum dalam diri saya, bukan sahaja iannya boleh mengangkat dan mengapungkan badannya yang besar dan berat di udara tetapi juga boleh menampung beban keseluruhan penumpang serta bagasi yang terkandung di dalamnya. 

Bukan itu sahaja, pesawat ini  juga mampu terbang dalam jarak yang jauh dan jangkamasa yang lama serta pada tahap kelajuan yang tinggi. Bagi jarak 6367 km dari Kuala Lumpur ke Melbourne, pesawat ini mampu terbang tanpa henti dalam tempoh  8 jam dengan kelajuan purata 796 km/jam. SubhanAllah, dengan sedikit ilmu yang Allah anugerahkan, manusia dapat mencipta dan melakukan sesuatu yang hebat dan mustahil boleh dilakukan sebelum ini. Semua ini dengan kekuatan ilmu seperti mana yang telah dinyatakan dalam AlQuran Surah Ar Rahman, ayat 33-34 :

Mahfumnya:

     Wahai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi
    ( melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak akan 
    dapat menembusnya kecuali dengan kekuatan. Maka nikmat 
   Tuhanmu manakah  yang kamu dustakan?


Setelah hampir 30 minit terbang, suatu pengumuman oleh staf yang bertugas berkenaan dengan hidangan minuman dan makanan dalam pesawat. Sejurus selepas itu hidangan beberapa jenis makanan dan minuman pun bermula. Minuman panas/mineral/kotak dan makanan yang telah siap berbungkus  disusun di atas troli. Troli ini ditolak oleh 2 pramugari/ra di sepanjang lorong antara barisan tempat duduk penumpang. Sebanyak 2 troli yang digunakan untuk tujuan tersebut dimana setiap satu dikendalikan oleh dua pramugari/ra. Kami sekeluarga dihidangkan dengan 2 nasi lemak, 1 nasi ayam masak merah dan 1 steak. Semua makanan tersebut dibungkus dalam bekas yang disaluti lapisan Aluminium. Manakala minuman pula 2 botol kecil air mineral dan 2 air kotak.

Setelah selesai makan,  semua bekas makanan dan minuman dikutip oleh para petugas untuk dilupuskan. Kira-kira 15 minit kemudian, lampu utama dipadamkan dan hanya beberapa lampu kecil sahaja dibiarkan menyala. Bila suasana menjadi semakin kelam, barulah saya, isteri dan anak-anak dapat melelapkan mata.  Boleh dikatakan setiap jam  saya terjaga bagi memastikan kami tidak terlepas solat subuh.  Lebih kurang pukul 5.15 pg, secara bergilir-gilir isteri, anak-anak dan saya ke tandas yang berdekatan dengan tempat duduk kami bagi menunaikan hajat dan mengambil wudhu. Usai mengambil wudhu’, kami solat subuh di satu ruang kecil berhampiran dengan pintu pesawat secara bergilir-gilir dengan kebenaran krew yang bertugas. Walaupun tidak mengetahui waktu sebenar subuh dan di mana kami berada pada masa itu, kami tetap mengerjakan solat dengan harapan Allah SWT menerima amalan kami.  Ayat 177 dari surah Al-Baqarah menjadi panduan dan pedoman kepada saya bila menghadapi situasi begini!

Mahfumnya:

"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu adalah suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah barang siapa yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, Ibnu sabil (musafir) dan orang-orang yang meminta-minta, dan memerdekakan hamba sahaya (budak), mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menempati janjinya ketika ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan dan penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa".(Al-Baqarah: 177)



Selepas solat subuh, saya  tidak  dapat lagi melelapkan mata sehinggalah pengumuman dari sistem pembesar suara pesawat yang menyatakan pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang  Antarabangsa Melbourne dalam masa satu jam berikutnya. Serentak dengan itu, Australia Incoming passenger card diedarkan kepada penumpang dan penjelasan berkenaannya dinyatakan.  Australia Incoming passenger card  adalah satu kad kecil yang mempunyai 27 soalan yang mesti jawab oleh setiap penumpang yang memasuki Australia. Soalan-soalan tersebut adalah berkenaan dengan biodata, taraf kesihatan, barangan dan wang dibawa, sejarah pergerakkan 6-30 hari yang lepas dan  tujuan kedatangan. 


muka depan Australia Incoming passenger card 


Kad ini perlu diserahkan kepada Customs and Border Protection officer untuk tujuan pemeriksaan. Ianya adalah legal document dan kegagalan atau membuat pengistiharan palsu akan mengakibatkan seseorang itu boleh didenda  AUD 220 pada masa itu juga atau didakwa di Mahkamah Australia. Jika sabit kesalahan, boleh didenda  melebihi AUD 66 000 dan berisiko dipenjara 10 tahun dan satu  catatan rekod jenayah. Seseorang itu tidak akan dikenakan tindakan jika semua barangan diisytiharkan, walaupun ada di antaranya yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke Australia. 


muka belakang Australia Incoming passenger card 



Australia terkenal dengan pemeriksaan yang ketat dan undang-undang yang tegas berhubung perkara ini. Undang-undang ini adalah bertujuan melindungi rakyat, haiwan dan tumbuhan di Australia  daripada perosak dan penyakit yang dibawa masuk  ke dalam negara tersebut. Pesawat yang kami naiki kemudiannya secara beransur-ansur mengurangkan kelajuan dan merendahkan altitud penerbangannya. Tidak lama selepas itu kami sampai dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne (LTAM).



Bersiap sedia untuk turun dari pesawat


26 September 2009 - Ini adalah hari pertama saya sekeluarga menjejakkan kaki di bumi Australia. Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne lebih kurang pukul 8.30 pagi waktu Malaysia atau 10.30 pagi waktu Melbourne selepas melalui perjalanan selama 7 jam 50 minit dari KLIA. Alhamdulilah, itu kalimah yang mampu dilafazkan tatkala keluar dari pintu pesawat dan merasai serta menghirup udara Melbourne. Kami sekeluarga menuruti penumpang lain menuruni tangga yang diletakkan di pintu pesawat. Sebaik sahaja kami semua berpijak di atas lantai landasan, saya berkata “Kita telah sampai ke Australia!”. Kata-kata saya dijawab dengan anggukkan dan kuntuman senyum dari isteri dan anak-anak. Kami terus menapak mengikut penumpang lain ke bahagian imigresen. Ianya adalah perkara yang perlu dilakukan kerana lapangan terbang Melbourne masih lagi asing bagi kami. 


Semua penumpang perlu mengemukakan passport dan Incoming Passenger Card yang telah lengkap diisi kepada Customs and Border Protection officer (CBPO) sebelum boleh mengambil bagasi masing-masing. Di lapangan terbang ini proses immigration clearance dikendalikan oleh CBPO bagi pihak Jabatan Immigresen. Pegawai yang bertugas akan memeriksa  dokumen yang berkaitan dan kebenaran  memasuki Australia bagi setiap penumpang.  Bila semua syarat dipatuhi barulah seseorang itu dibenarkan masuk ke Australia. Jika terdapat masalah berkenaan dengan dokumen pengenalan atau kebenaran memasuki Australia barulah ianya dirujuk kepada staf immigresen di lapangan terbang untuk menyelesaikannya  


a
Mengambil bagasi yang diletakkan di atas Belt Conveyor
di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne (LTAM)





Kami terpaksa beratur panjang , bagi membolehkan dokumen dan passport diperiksa sebelum dibenarkan masuk. Selepas itu kami mengambil bagasi yang sudah dipindahkan daripada pesawat ke dalam bangunan terminal dan diletakkan di atas belt conveyor yang berpusing perlahan. Dua troli digunakan untuk meletak semua beg/bagasi tersebut dan ditolak menuju pusat saringan keselamatan untuk diimbas dengan mesin X-ray. Sebelum sampai ke pusat saringan seorang petugas memeriksa  Incoming passenger card kami dan memaklumkan bahawa beg yang mengandungi barangan seperti yang diistiharkan dalam kad tersebut perlu dibawa ke tempat khas untuk pemeriksaan lanjut. Sementara beg-beg yang lain  perlu melalui imbasan mesin X-ray. Saya dan isteri membuat keputusan kami berpecah dua - saya dan anak-anak beratur beratur menunggu giliran beg-beg kami diperiksa dan diimbas. Manakala isteri saya mengambil satu beg yang mengandungi makanan ke satu lagi tempat pemeriksaan. 

Sejujurnya, memang kami membawa  pelbagai makanan kegemaran seperti keropok keping, pelbagai serbuk kari,kurma ,ikan bilis hitam dan kuih-muih. Semua makanan tersebut , kami bungkus dan label dengan lengkap serta dipastikan tidak mengandungi  bahan-bahan yang tidak dibenarkan. Ianya dimasukkan ke satu beg sahaja bagi memudahkan pemeriksaan dan kami telah istiharkan semua makanan berkaitan dalam Incoming passenger card. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar, semua makanan dan beg-beg kami diperiksa dan dilepaskan tanpa timbul sebarang masalah. Selain pemeriksaan secara fizikal dan imbasan mesin X-ray, petugas bersama anjing terlatih juga diguna bagi mengesan dan menghidu bahan-bahan larangan atau berbahaya yang mungkin terdapat dalam bagasi penumpang. Syukur kepada Allah SWT, beg-beg kami terselamat daripada terkena air liur anjing,  kerana  haiwan ini  hanya lalu berhampiran dan tidak menghidunya.



gg
Nur Hafizah yang kesejukan. Di belakangnya
Rudy bersama isteri dan anak-anak



Bergambar di kawasan mengambil penumpang di LTAM



Bergambar di sebelah Van yang akan membawa
kami ke Sarah Close, Clayton.




Setelah hampir satu jam beratur dan  melalui pemeriksaan, kami pun melangkah keluar ke ruang ketibaan . Di sana kami berjumpa dengan Rudy sekeluarga yang juga baru selesai melalui prosedur pemeriksaan yang sama. Di ruang ketibaan, terdapat ramai penumpang yang duduk berehat di atas kerusi  sementara meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Kami pula menunggu seseorang yang diupahkan oleh Universiti Monash untuk menjemput kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne (LTAM) ke rumah kenalan rakyat Malaysia yang tinggal di no.4, Sarah Close, Clayton South,Victoria iaitu kira-kira 53 km dari LTAM.


Membawa bagasi ke Van,  sebelum bertolak ke Clayton


Bersama Rudy sekeluarga di dalam kenderaan yang
membawa kami dari LTAM ke Clayton

Sememangnya pihak Universiti Monash ada menyediakan kemudahan pengangkutan dari lapangan terbang ke kediaman  pelajar satu kali sepanjang pengajian mereka di sini.  Bila kami tiba di ruang ketibaan, kami tidak melihat sesiapa memegang tanda nama isteri saya dan Dr. Asrenee, jadi kami pun duduk menunggu di kerusi-kerusi yang disediakan. Tidak lama selepas itu, isteri saya mendapat panggilan telefon dari seseorang yang sepatutnya menjemput kami. Rupanya beliau menunggu di ruang ketibaan yang tidak jauh dari tempat kami duduk. Beliau adalah - seorang 'Mat Saleh' dalam peringkat umur 50 an memegang sehelai kertas tertulis Dr Zakaria and Dr Ab. Razak. Kami pun memperkenalkan diri kepada beliau dan terus di bawa ke lokasi van dipakir. Kami semua menaiki van tersebut yang agak besar dan boleh menampung 12 orang. Manakala semua beg kami dan Rudy sekeluarga dimasukkan ke dalam Carrier khas bertutup yang ditunda di belakangnya. Perjalanan ke rumah kenalan kami di Sarah close mengambil masa kira-kira 55 minit. 


Rumah pertama - tempat di mana kami
menumpang dan berlindung di Australia.


Setibanya di Sarah Close, kami disambut oleh Azhar Mohamed Burhan dan isterinya Normazla Mahir bersama 3 orang anak mereka iaitu Afiq,Nurin dan Sasha. Selepas mengucapkan terimakasih kepada Mat Saleh yang menghantar, kami  pun memasukkan beg-beg ke dalam rumah.  Selepas bertanya khabar dan beramah mesra, kami dijamu dengan nasi lemak masakan Normazla  khas untuk kedatangan kami. Tidak sangka rupanya ada nasi lemak di sini. Terima kasih tuan rumah! Selepas makan, Rudy sekeluarga ke rumah seorang lagi kenalan di Springvale kira-kira 4 km dari Sarah Close. Manakala kami menumpang di rumah Azhar dan Normazla di Sarah  Close buat sementara waktu sebelum dapat menyewa rumah lain. Maka bermulalah musafir kami di bumi Australia.....




Thursday, 27 September 2012

Musafir ke Australia bermula...


26 September 2009 (Sabtu) - Hari tersebut merupakan tarikh penerbangan kami ke Melbourne, Australia.  Bermulalah langkah pertama kami bermusafir menelusuri perjalanan yang jauh dan agak lama.  Route penerbangan kami dari KLIA ke Melbourne adalah  melalui ruang udara Selat Melaka dan negara Republik Indonesia. Pesawat kemudian akan terbang di sepanjang ruang udara  pulau sumatera sehingga melintasi pulau dan laut Jawa. Seterusnya ia  meluncur merentasi lautan India sehingga sampai di ruang udara negara Australia. Bermula dengan negeri Australia Barat dan melintasi Australia Selatan sehinggalah ke Victoria di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Tullamarine terletak. Dianggarkan penerbangan ini menempuh perjalanan sejauh 6367 km dan memakan masa selama 7-8 jam di udara.


Route penerbangan kami dari KLIA ke Melbourne

Acik  Radziah sekeluarga, Wak Ibrahim sekeluarga, (emak  dan bapa saudara isteri), sepupu-sepupu dan Atan  menghantar kami ke  KLIA (Kuala Lumpur International Airport). Emak dan Abah cuma dapat mengirim kami setakat halaman rumah sahaja kerana  emak perlu menyantuni nenek isteri saya yang sudah tua dan berusia hampir 100 tahun. Di samping itu, emak juga perlu menjaga abah yang tidak boleh berjalan jauh kerana kecederaan lama akibat kemalangan jalanraya. Hanya pesanan berharga dan lambaian tangan mereka mengiringi keberangkatan kami.
Beraya di rumah Wak Ibrahim & Ramnah -malam raya ke-3




Bersama Abah dan Acik Radziah, Acik Ijah
dan  Bibik sebelum berangkat ke KLIA

Bergambar bersama nenek,emak, wak Ibah
 dan acik Radziah sebelum berangkat ke KLIA




Waktu berlepas kami ialah pada 12.30 malam,usai solat Maghrib dan Qasar & Jama’  Isyak kami bertolak  ke KLIA. Bagi penerbangan Antarabangsa kami  perlu mendaftar masuk 3 jam sebelum waktu berlepas. Di KLIA kami berjumpa dengan  Rudy bersama isteri dan 3 anak mereka. Isteri Rudy iaitu Dr. Asrenee merupakan rakan sejawat isteri saya di HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia). Anak-anak mereka Afeeq, Hazeeq dan Aisyah masing-masing 11,10 dan 7 tahun. Mereka pun sama seperti kami, ingin ke Melbourne. Memang dari sejak awal lagi, isteri saya dan Asrenee berpakat membuat Phd bersama-sama di Universiti Monash. Alhamdulillah mereka berjaya diterima walaupun ditempatkan berlainan kampus mengikut bidang pilihan masing-masing. Isteri saya ditempatkan di Kampus Utama iaitu di Clayton manakala Asrenee di kampus cawangan Caufield yang jarak antara keduanya kira-kira 10 km. 


Beratur untuk  proses check-in di KLIA.



Kemudian kami terus mendaftar masuk (check-in). Seperti biasa prosedur yang sama perlu dilalui. Semua bagasi kami  diimbas dengan mesin X-Ray dan ditimbang bagi memastikan tidak melebihi had yang dibenarkan dan  tiada barangan larangan dibawa.  Selepas boarding pass diperolehi, kami bersalaman dan mengucapkan terima kasih serta selamat tinggal kepada rombongan yang mengirim kami ke KLIA.  Seterusnya kami berjalan masuk ke ruangan berlepas bersama Rudy sekeluarga. Selepas beberapa ketika berada di ruangan berlepas, kami akhirnya dipanggil masuk ke pesawat MAS Boeing 747 yang sudah siap menunggu. Melangkah masuk ke dalam badan pesawat kami disambut dengan senyuman dan ucapan ramah mesra oleh  pramugari dan pramugara yang bertugas. Kami dituntun dan ditempatkan dikerusi di bahagian tengah pesawat mengikut nombor kerusi yang tertulis di  boarding pass dan tidak jauh dari Rudy sekeluarga.


Kami duduk satu barisan tempat duduk 

Muhammad Hafizuddin bersama ibunya.

Hafizuddin yang sudah keletihan dan mengantuk- tidur di tempat khas bagi anak kecil.