Thursday, 27 September 2012

Musafir ke Australia bermula...


26 September 2009 (Sabtu) - Hari tersebut merupakan tarikh penerbangan kami ke Melbourne, Australia.  Bermulalah langkah pertama kami bermusafir menelusuri perjalanan yang jauh dan agak lama.  Route penerbangan kami dari KLIA ke Melbourne adalah  melalui ruang udara Selat Melaka dan negara Republik Indonesia. Pesawat kemudian akan terbang di sepanjang ruang udara  pulau sumatera sehingga melintasi pulau dan laut Jawa. Seterusnya ia  meluncur merentasi lautan India sehingga sampai di ruang udara negara Australia. Bermula dengan negeri Australia Barat dan melintasi Australia Selatan sehinggalah ke Victoria di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Tullamarine terletak. Dianggarkan penerbangan ini menempuh perjalanan sejauh 6367 km dan memakan masa selama 7-8 jam di udara.


Route penerbangan kami dari KLIA ke Melbourne

Acik  Radziah sekeluarga, Wak Ibrahim sekeluarga, (emak  dan bapa saudara isteri), sepupu-sepupu dan Atan  menghantar kami ke  KLIA (Kuala Lumpur International Airport). Emak dan Abah cuma dapat mengirim kami setakat halaman rumah sahaja kerana  emak perlu menyantuni nenek isteri saya yang sudah tua dan berusia hampir 100 tahun. Di samping itu, emak juga perlu menjaga abah yang tidak boleh berjalan jauh kerana kecederaan lama akibat kemalangan jalanraya. Hanya pesanan berharga dan lambaian tangan mereka mengiringi keberangkatan kami.
Beraya di rumah Wak Ibrahim & Ramnah -malam raya ke-3




Bersama Abah dan Acik Radziah, Acik Ijah
dan  Bibik sebelum berangkat ke KLIA

Bergambar bersama nenek,emak, wak Ibah
 dan acik Radziah sebelum berangkat ke KLIA




Waktu berlepas kami ialah pada 12.30 malam,usai solat Maghrib dan Qasar & Jama’  Isyak kami bertolak  ke KLIA. Bagi penerbangan Antarabangsa kami  perlu mendaftar masuk 3 jam sebelum waktu berlepas. Di KLIA kami berjumpa dengan  Rudy bersama isteri dan 3 anak mereka. Isteri Rudy iaitu Dr. Asrenee merupakan rakan sejawat isteri saya di HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia). Anak-anak mereka Afeeq, Hazeeq dan Aisyah masing-masing 11,10 dan 7 tahun. Mereka pun sama seperti kami, ingin ke Melbourne. Memang dari sejak awal lagi, isteri saya dan Asrenee berpakat membuat Phd bersama-sama di Universiti Monash. Alhamdulillah mereka berjaya diterima walaupun ditempatkan berlainan kampus mengikut bidang pilihan masing-masing. Isteri saya ditempatkan di Kampus Utama iaitu di Clayton manakala Asrenee di kampus cawangan Caufield yang jarak antara keduanya kira-kira 10 km. 


Beratur untuk  proses check-in di KLIA.



Kemudian kami terus mendaftar masuk (check-in). Seperti biasa prosedur yang sama perlu dilalui. Semua bagasi kami  diimbas dengan mesin X-Ray dan ditimbang bagi memastikan tidak melebihi had yang dibenarkan dan  tiada barangan larangan dibawa.  Selepas boarding pass diperolehi, kami bersalaman dan mengucapkan terima kasih serta selamat tinggal kepada rombongan yang mengirim kami ke KLIA.  Seterusnya kami berjalan masuk ke ruangan berlepas bersama Rudy sekeluarga. Selepas beberapa ketika berada di ruangan berlepas, kami akhirnya dipanggil masuk ke pesawat MAS Boeing 747 yang sudah siap menunggu. Melangkah masuk ke dalam badan pesawat kami disambut dengan senyuman dan ucapan ramah mesra oleh  pramugari dan pramugara yang bertugas. Kami dituntun dan ditempatkan dikerusi di bahagian tengah pesawat mengikut nombor kerusi yang tertulis di  boarding pass dan tidak jauh dari Rudy sekeluarga.


Kami duduk satu barisan tempat duduk 

Muhammad Hafizuddin bersama ibunya.

Hafizuddin yang sudah keletihan dan mengantuk- tidur di tempat khas bagi anak kecil.



No comments:

Post a Comment