Sebelum berangkat ke Australia, kami menggunakan sepenuhnya kesempatan yang ada menyambut Aidilfitri di Malaysia khususnya di Kelantan dan Selangor. Disebabkan kami sudah bermastautin di Kelantan, hari pertama Aidilfitri diraikan bersama dengan keluarga sebelah saya. Manakala pada hari kedua , kami sekeluarga bersama bibik ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa untuk menaiki pesawat MAS KB-KLIA, bagi merayakan Aidilfitri bersama keluarga sebelah isteri di Kg. Sg. Lang Baru, Banting, Selangor.
Sampai sahaja di Lapangan Terbang, kami terus ke kaunter pendaftaran masuk. semua beg atau bagasi yang hendak kami bawa ke Australia diimbas dengan mesin x-ray dan ditampalkan tag pemeriksaan. Seterusnya kami mendaftar masuk. Setiap orang diperiksa dan diverifikasi benar seperti dalam passport dan itinerary. Semua beg kami ditimbang bagi memastikan tidak melebihi had yang dibenarkankan sebelum diterima masuk. Selepas itu barulah boarding pass dikeluarkan.
Di airport Peng. Chepa- 21 september (raya ke 2). Sebahagian ahli keluarga yang menghantar kami. |
Sebelum masuk ke ruangan berlepas, suasana hiba berlaku ketika tiba saat perpisahan di antara kami sekeluarga dengan rombongan yang menghantar kami ke lapangan terbang. Rombongan yang terdiri emak, adik-adik dan kakak saya bersama keluarga masing-masing. Ayah tidak dapat datang bersama kerana kurang sihat. Emak tidak dapat menahan rasa sebak, saya lihat beliau menyapu air mata yang bergenang di kelopak matanya. Begitu juga keadaannya dengan kakak dan adik perempuan saya.
Usai mengucap salam , kami melangkah masuk ke pintu pemeriksaan untuk berlepas dengan perasaan sayu. Selepas melalui pemeriksaan hand luggage dan boarding pass, kami berjalan menuju ruangan berlepas. Seterusnya kami menaiki pesawat MAS menuju KLIA. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit dan kapalterbang yang kami naiki selamat mendarat di KLIA.
Dari KLIA , kami di jemput oleh Syahril atau Atan panggilan manjanya, iaitu adik bongsu isteri saya dengan kereta. Oleh kerana satu kereta tidak dapat menampung bilangan kami dan semua beg yang dibawa, saya menyewa satu lagi kereta sewa disediakan di lapangan terbang KLIA. Tambangnya adalah sebanyak RM85 bagi route ke Banting. Saya bersama seorang anak dan sebahagian beg menaiki kereta sewa manakala isteri , 2 anak dan bibik menaiki kereta yang dipandu oleh Atan. Perjalanan mengambil masa 40 minit dan kami selamat sampai ke rumah emak dan ayah mertua saya. Seperti Aidilfitri tahun-tahun yang lepas rumah mertua sentiasa meriah dengan kunjungan sanak saudara dan jiran tetangga yang jauh dan dekat.
Suasana meriah sambutan Aidilfitri begitu terasa sekali bila adanya rumah terbuka, aktiviti kunjung-mengunjung dan saling bermaafan di antara satu sama lain. Ditambah pula terdapat pelbagai kuih dan beraneka ragam juadah istimewa yang disediakan. Suatu yang menjadi kebahgiaan dan kesyukuran kepada saya dan isteri bila masing-masing masih ada emak dan ayah. Kami juga mempunyai adik-beradik,ipar duai dan saudara yang ramai. Kemeriahan begitu terasa bila semua dapat berkumpul. Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T kerana memberi banyak peluang dan masa kepada kami menyambut Aidilfitri bersama orang-orang yang tersayang. Kami menyambut Aidilfitri di Banting sehingga hari kelima sebelum musafir kami ke Australia bermula...

No comments:
Post a Comment