Friday 19 October 2012

Seputar Malaysia Street Festival 2012 di Melbourne (Bahagian 1)


“Abang, apakata kita ubah hari pergi ke Victoria Market, tak jadilah hari Sabtu, kita pergi hari Ahad. Sebab hari Ahad 14 Oktober ada festival makanan di sebelah Vic market. Boleh tak?”

Begitu pinta isteri, petang Jumaat lepas. Sebaik sahaja beliau sampai di rumah selepas habis kelas tutorialnya bersama mahasiswa kedoktoran tahun dua di Universiti Monash. Selain sibuk dengan pengajian PhDnya, dalam waktu yang sama beliau juga menjadi tenaga pengajar kepada mahasiswa kedoktoran di Universiti Monash. Masuk tahun ini sudah tiga tahun isteri menjadi pemudahcara samada untuk kelas tutorial atau praktikal di lapangan.

“Dari mana Ila tahu ada festival makanan dekat dengan Victoria Market? Bukankah Ila dah janji dengan Nila hendak pergi hari Sabtu?”, saya mengingatkan isteri. Memang kami dah berjanji dengan Dr. Anilawati hendak pergi ke Victoria Market pada hari Sabtu nanti. Tujuannya adalah bagi membeli  sedikit cenderahati sebagai tanda ingatan kepada keluarga dan rakan-rakan bila kami pulang ke Malaysia nanti.

“Oh... pasal festival tu,  Ila terbaca iklan  berkenaan festival tersebut di papan notis semasa di Uni tadi. Berkenaan dengan Nila pula, abang jangan bimbang nanti Ila akan bincang dengan Nila. Mereka belum pernah pergi ke Festival makanan mungkin mereka berminat.” jawab isteri dengan senyum terukir di bibirnya. Sejak akhir-akhir ini, semakin hampir dengan tarikh kepulangan kami ke Malaysia, semangat beliau untuk pergi berjalan-jalan semakin menggebu-gebu. Ada saja acara atau tempat menarik yang tidak memerlukan perbelanjaan yang mahal pasti tidak lepaskan. Dalam kalut-ribut seharian, antara saya yang kalut di rumah meladeni  anak-anak dan isteri yang mengulati perjuangannya untuk secangkir ilmu Allah, teratak berbata merah - unit dengan sewa AUD305 seminggu dengan tiga bilik ini sudah hampir dua tahun kami diami. Pantasnya masa berlalu...Oakleigh east kini menjadi perdaerahan saya dan keluarga tujuh beranak, tumpang bernaung selepas setahun bermukim di Sarah Close, Clayton South.



Isteri kemudian menghidupkan komputer ribanya dan terus menghubungi Dr.Anilawati melalui facebook (fb). “Confirm ada food festival kat vic market ahad ni. Kita pergi ahad je la ye Nila. Zaza dan Marini nak join jomla. Esok akak tak jadi pergi Rose Garden. Kalau pergi pun maybe pergi IKEA atau DFO je”. begitu mesej yang dihantar kepada Dr.Anilawati dan dalam waktu yang sama turut mengundang (tag) dua lagi rakan iaitu Zaza dan Marini. Seakan sudah membudaya kebanyakan urusan, diskusi dan keputusan dilakukan di alam maya menerusi fb ini. Begitulah  juga diskusi hendak pergi ke Queen Victoria Market dan Festival Malaysia di Melbourne City pun dilakukan melalui fb  dan ianya menarik minat rakan-rakan yang lain. Hasilannya, ramai yang hendak ikut sama. “Abang, ramai yang akan ikut - Nila, Marini, Zaza, Asrene, Salwa  dan Shida. Mereka semua setuju hendak berkumpul di rumah kita, pukul 9.15 pagi besok” beritahu isteri selepas beberapa ketika berdiskusi melalui fb.


Saya menatap wajah isteri yang masih dibalut lelah. Rutin hariannya menjadi semakin sibuk semenjak melahirkan Nur Humairah pada 31 Julai yang lepas. Aduhai, itulah resam, jerit-perit kehidupan sebagai seorang pelajar PhD yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil. Untuk meraih segulung ijazah Doktor Falsafah, bukan sedikit pengorbanan yang dilakukankan, bukan sedikit keringat yang tumpah dan bukan sedikit waktu tidur yang perlu dikorbankan. Bagaimana hati tega memendam rasa. Aduhai, dan  saya, sebagai suami sedikit-sebanyak mendapat tempias. Ianya adalah perjuangan yang harus ditempuh dengan rasa sabar dan tabah yang panjang. Ujian untuk pelajar pasca-ijazah ini datang dalam bermacam-macam bentuk, kena tabah dan lebih sabar tidak kira samada pelajar itu bujang atau sudah berkeluarga. Cabaran sebagai orang bujang tanpa keluarga dengan caranya sendiri dan berkeluarga pula dengan mehnahnya yang lain. Ya, bukan senang mahu senang. Manakala cabaran sebagai pasangan kepada pelajar PhD juga tak kurangnya mencabarnya. Hanya mereka yang mengalaminya saja yang faham dan mengerti.

Sebab itu, bila isteri mengusulkan hendak pergi ke Queen Victoria Market dan Festival Malaysia di City, tanpa berfikir panjang saya lansung bersetuju. Semuga dengan kepergian ke sana nanti, sedikit sebanyak dapat menghilangkan kelelahan dan ketegangan perasaan yang bersarang dalam dirinya. Biarlah ianya menjadi tempat dan masa untuk isteri berlibur, menghabiskan masa bersama-sama rakan-rakan seperjuangannya yang lain bagi melupakan sekejap ingatan kepada pengajian PhD mereka.

Sebenarnya, tahun ini merupakan kali ketiga kami ke Victoria Market dan kali kedua ke Festival Malaysia. Pada tahun 2011 yang lepas, kami pergi Festival menaiki Tren bersama dengan dengan Irwan sekeluarga. Pada tahun 2011 Festival diadakan pada tanggal 16 Oktober. Saya masih ingat betapa nostalgianya ketika itu, Kami sekeluarga 6 beranak (Nur Humairah belum dilahirkan lagi) dan Irwan bersama isterinya Azrina dan 3 anak mereka -Mardhiah (10 tahun), Yusuf (7 tahun) dan Sofea (5 tahun) menaiki tren dari stesen Clayton ke Melbourne City. Betapa terujanya dan gembiranya anak-anak kami dapat menaiki tren terutamanya Hafiz dan Yusuf, menyebabkan kami terkial-kial bagi memasti mereka duduk diam di kerusi mereka. Selepas ke Festival kami bersiar-siar sekitar bandar Melbourne  dengan berjalan kaki dan singgah makan bersama-sama di sebuah restoran India yang menyediakan makanan halal sebelum pulang dengan menaiki tren.

Memori itu kini tinggal dalam lipatan kenangan. Azrina sudah pun menamatkan pengajian PhDnya dan mereka sekeluarga telah kembali ke Malaysia pada bulan Febuari yang lepas. Tahniah kepada Dr. Azrina!...dan tidak ketinggalan kepada Irwan yang setia menemani isteri dalam mengharungi pahit-manis hidup di negara orang. Kami kehilangan salah satu teman kembara kerana sebelum ini, kami sering menggembara bersama menelusuri destinasi-destinasi menarik di bumi Australia ini. Di antara destinasi yang pernah kami jelajah bersama ialah Great Ocean Road, Phillip Island, Melbourne City, Lake Entrance, Venus Bay Sovereign Hill, Ballarat dan Blue hill.


Berkumpul di Flagstaf Park, sebelum berjalan kaki ke
Malaysia Street Festival di Queen Victoria Market


Kali ini kami pergi ke Festival Malaysia dengan memandu kereta. Seperti yang telah dijanjikan, semua berkumpul di rumah kami di Strelden Ave. Semuanya terdapat 8 keluarga iaitu Dr. Nazri, Dr. Hilmi, Rudy, Sapawi, Farid, Nasran, Zaidi dan kami sekeluarga. Setelah semuanya bersedia kami bertolak ke Victoria Market kira-kira pukul 9.30 pagi secara berkonvoi. Sebanyak 7 buah kereta dalam konvoi kami, dimana Zaidi dan keluarga menumpang kereta Farid. Perjalanan sejauh 24 km itu mengambil masa kira 30 minit. Cuaca hari tersebut panas dan langit terang benderang. Kami memilih untuk parkir kereta di tempat parkir yang terdapat di sepanjang jalan skeliling Flagstaf Park. Lokasi ini dipilih kerana jaraknya tidak jauh dengan Victoria Market di mana Festival diadakan. Selepas parkir kereta , kami berkumpul di Flagstaf Park dan bergambar beramai-ramai sebagai kenangan. Usai bergambar, kami kemudian berjalan kaki menuju Victoria Market yang jaraknya kira-kira 300 meter. Kami sampai di tapak Festival pada pukul 10.30 pagi dan pengunjung belum ramai memenuhi kawasan tersebut. Festival  ini dibuka kepada pengunjung dari pukul 9 pagi sehingga 4 petang.




Bergambar beramai-ramai di Flagstaf Park 


Sebanyak 21 peniaga makanan mengambil bahagian dalam festival tahun ini. Mereka adalah   M.E.C.C.A Satay Skewers,  Wangs Noodle Bar, Selero Kito, Chilli Padi Mamak, Ants Dumpling, Nelayan, KL Bunga Raya, Deep Fried King, Kampung Story, Kari Leaf, Blok M, Spanich Bites, Garamareca, Indonesian Melbourne Community Victoria, Twisto Potato, Bamboe Indo, Taste of Borneo - International Trader, Nyonya Hut, Monash Malaysian Society, The Lemonade Stand dan Coconut Drinks.
Terdapat pelbagai jenis makanan dan minuman yang berasal dari Malaysia, Indonesia,  Singapore, Korea dan Spanyol dijual di sini. Di antara makanan tersebut adalah seperti Satay, Nasi Lemak, Churros, Chorizo, Batagor, Siomai, Steam Rice, Martabak Tauhu , Fried Dim Sims , Jimbaran skewers , Nasi Campur Bali Special, Brownies Cupcake , Pandan Cupcake, Caramel Cake, Korean Twist Potato, Lontong Sayur, Nasi Uduk Inang, Mendoan , Chicken Satay, Pastel, Kueh Melon dan Kueh Lumpur, Laksa Sarawak, Kek lapis Sarawak.



l
Tapak festival  terletak di kawasan Queen Victoria Market



Sebilangan pengunjung yang hadir semasa kami sampai ke
tapak festival.

Selain itu terdapat juga Har Mee, Loh Bak, Curry Puff, Pandan Nasi Lemak, Pulut Hitam , Kueh Nyonya, Rempah, Cucur Udang, Fruit Rojak, Assam Fish Laksa, ikan Bakar, Mud Crab, Mee Goreng vegetarian/chicken, Mee Rebus, Tau Fu Fa, Chow Kuey Teow, Meat curry, vegy curry, saffron rice dan banyak lagi.
Manakala minuman pula ialah ais cendol, ais sersak, ais campur , ais kelapa muda dan ais sarang burung, ais blewah, slushy lemonade, air bandung, air mata kucing, ABC, Teh Peng, ais kacang dan Soy milk + grass jelly.
Melihat pelbagai jenis makanan tersebut sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya kepada makanan Malaysia. Cuma saya sedikit terkilan kerana tiada nasi kerabu atau dagang yang dijual di Festival ini. Sebagai gantinya kami membeli 1 laksa Sarawak ($6), 1 Kek lapis Sarawak ($10), 2 cendol ais ($8) dan 2 Korean Twist Potato ($10). Sebanyak $34 dibelanjakan untuk makanan dan minuman tersebut. Usaha untuk memperkenalkan makanan Malaysia di peringkat antarabangsa melalui festival ini patut diberi pujian. Tetapi terdapat beberapa kekurangan yang menjadi faktor penolak mengapa saya lihat ramai pengunjung tidak begitu ghairah berbelanja. Begitu juga dengan rakan-rakan dalam rombongan kami, mereka hanya melihat sahaja. Kalau beli pun itu sekadar menyenyapkan rengekan anak-anak  yang minta dibelikan makanan tersebut.  
Secara umum, harga makanan adalah mahal berbanding dengan kuantiti dan kualitinya. Sebagai contoh laksa Sarawak dijual dengan harga $6 dalan bekas plastik kecil dan rasanya pula agak mengecewakan. Sehinggakan terlontar kata-kata spontan isteri kepada Marini yang asalnya dari Sarawak, “Laksa yang awak buat lagi sedap berbanding dengan ini, akak bagi markah 100% kepada laksa yang awak buat”. Tersenyum Marini mendengarkan untaian kata-kata tersebut. Contoh kedua ialah air bandung dalam plastik kecil dijual dengan harga $3.50 satu bungkus. Kalau di Malaysia, harga di antara RM 0.50-RM 1. Kalau ditukar kepada duit Malaysia $3.50 bersamaan RM11. Saya rasa harga tersebut keterlaluan kerana bahan-bahan yang digunakan untuk membuatnya boleh didapati dengan mudah dan murah di kedai-kedai asia yang ada di sini. Selain itu faktor kebersihan juga tidak diutamakan. Pemerhatian saya mendapati kebanyakan pengendali makanan tidak memakai sarung tangan, apron dan penutup kepala semasa mengendalikan makanan. Cara mereka mengendali dan menyimpan makanan yang telah dimasak tidak begitu memuaskan dan memerlukan latihan khusus untuk memperbaikinya.
Selain peniaga makanan terdapat juga agensi atau peniaga bukan makanan yang turut menyertainya. Kedatangan ramai pengunjung ke Festival merupakan peluang terbaik mempromosikan dan menawarkan  perkidmatan yang mereka sediakan. Di antaranya  adalah Children's Sand Art, Merlion Group, Bank of Melbourne, Central Equity Property Group dan  Australia Migration Consultants. 
Di samping itu, acara pertunjukan dan hiburan juga diadakan di atas pentas khas yang disediakan di sepanjang festival berlansung. Di antara peserta yang mengambil bahagian adalah Melbourne Uni Breakdance Group (11:45AM & 2:15PM), Peranakan Association Australia (12:15PM), Poise'N Bollypop (1:15PM & 2:45PM), Malaysia Fashion Runway (2:45PM) oleh sukarelawan rakyat Malaysia dan Pertunjukan Silap mata oleh Anuar Avecina (3:00PM).


Malaysia's Consul-General  Ke Melbourne -Dr Rameez Yahaya  memberi
ucapan selamat datang dan memperkenalkan Malaysia



Persembahan oleh Melbourne Uni Breakdance Group


Kami tidak menunggu sampai festival habis berlansung, selepas kira-kira 2 jam di tapak Festival kami menjelajah Victoria Market untuk membeli cenderamata untuk dibawa pulang. Selepas membeli cenderamata kami semua berkumpul di Flagstaf Park untuk memberi peluang anak-anak bermain sambil menikmati pemandangan dan suasana musim bunga yang mendamaikan. Selepas itu kami beransur pulang dan sampai di rumah kira- kira pukul 3.30 petang. Bagi rakan-rakan atau pembaca yang tidak berkesempatan pergi ke Malaysia Street Festival 2012, di Seputar Malaysia Street Festival 2012 di Melbourne (Bahagian 2) saya serta sebahagian gambar yang saya ambil untuk tatapan.

No comments:

Post a Comment