Orang Islam di Australia Sekarang ini
Berdasarkan bancian dari Australian Bureau of Statistics (ABS) pada tahun 2001, jumlah Orang Islam di Australia seramai 281.578 orang atau 1.5 % dari jumlah populasi penduduk Australia. Sedangkan menurut anggaran dari salah satu lembaga Islam di New South Wales (NSW) bilangannya mencapai 300.000 orang. Bancian juga menunjukkan bahwa Orang Islam di Australia berasal dari berbagai negara iaitu Lebanon (20.8%), Turki (14.5%) dan 64.7% lagi berasal dari 9 negara (Indonesia, Afghanistan, Bosnia,Mesir, Malaysia dsb). Bancian tersebut juga menunjukkan bahwa Orang Islam Australia mempunyai taraf pendidikan yang lebih baik jika dibandingkan dengan penduduk Australia secara keseluruhan.
Sebanyak 21.7% Orang Islam Australia yang berusia di atas 25 tahun mempunyai ijazah sarjana (bachelor degree) atau lebih tinggi. Peratusan ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan 12.4 % dari penduduk Australia secara keseluruhan. Kesimpulan penting dari hasil statistik ini adalah bahawa anggapan negatif tentang majoriti Orang Islam Australia tidak berpendidikan terutama yang berasal dari bangsa Arab adalah tidak berasas.
Orang Islam Australia sangat majmuk. Bancian pada tahun 2006, menunjukkan terdapat sejumlah 342,068 Orang Islam di Australia, di mana dari jumlah tersebut sebanyak 128,904 (42%) lahir di Australia dan bakinya lahir di luar Australia. Selain migran dari Lebanon dan Turki, negara asal Orang Islam lainnya adalah Afganistan (15,965), Pakistan (13,821), Bangladesh (13,361), Iraq (10,039) dan Indonesia (8,656). Manakala bancian yang dilakukan pada tahun 2011, seramai 476,300 orang atau 2.25% daripada jumlah keseluruhan penduduk Australia adalah beragama Islam. Ini menjadikan Islam adalah kumpulan agama keempat terbesar, selepas Kristian (64%), tidak ada agama (22.9%) dan Buddha (2.5%)
Bagaimanapun pemimpin Islam percaya Orang Islam di Australia adalah lebih dua kali ganda saiznya daripada angka rasmi yang dikeluarkan. Mereka mengatakan ramai orang Islam tidak menzahirkan agama mereka dalam kaji selidik rasmi seperti banci kerana takut penganiayaan. Berikutan peristiwa 9/11 di Amerika syarikat, orang Islam menjadi sangat bimbang dan merasakan mereka akan menjadi sasaran. Orang Islam percaya jika mereka mendedahkan maklumat peribadi, ianya akan disimpan dalam rekod. Maklumat ini seterusnya akan pergi ke pelbagai agensi kerajaan lain seperti Australian Security Intelligence Organisation (ASIO) atau seumpamanya. Natijahnya mereka akan mendapat kesan buruk daripada pendedahan maklumat tersebut.
Dalam tiga dekad terakhir, banyak Orang Islam terutama dari negara-negara Afrika seperti Somalia dan Sudan berhijrah ke Australia melalui program pelarian atau kemanusiaan. Sebahagian besar Orang Islam Australia sekarang ini bertumpu di Sydney dan Melbourne. Majoriti orang Islam di Melbourne terdiri daripada orang Lebonan, diikuti oleh Turki, Afganistan, Bosnia-Hezegovina dan Pakistan. Pelbagai mazhab diamalkan daripada Hanafi, Hambali, Maliki hinggalah Shafie. Selain itu terdapat juga golongan Syiah dan Salafiin. Ada yang konservatif, sekular, liberal dan yang berpegang teguh dengan sunnah.
Kumpulan etnik ini berkelompok di tempat-tempat tertentu dan membiak serta berkembang. Ini dapat dilihat di sekitar Melbourne. Orang Islam Arab, India dan Afgan boleh dilihat berkelompok di Dandenong. Manakala orang Lebonan di Brunswick. Penduduk Islam yang paling ramai di Melbourne ialah di Dallas iaitu 39% daripada penduduk Melbourne, walaubagaimanapun penduduk di sini tidaklah ramai iaitu cuma 6,346 orang sahaja. Disamping itu Meadow Heights juga mempunyai bilangan orang Islam melebihi 33%. Kumpulan Islam ini membentuk kelompok mereka dan masih mengekalkan budaya yang dibawa dari negara asal mereka, sungguh pun ada yang masih memegang dua kewarganegaraan, misalnya orang Lebanon.
Orang Islam Turki pula bertumpu di kawasan Sunshine, Melbourne Victoria. Sebuah Masjid telah dibina oleh orang Islam Cyprus Turki bermula pada 1992. Masjid ini telah dibina mengikut model Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, Turki. Masjid ini mempunyai 17 kubah dan satu menara serta menelan belanja melebihi $ 2,500,000. Masjid ini yang kemudian terkenal dengan nama “Sunshine Mosque” atau Masjid Sunshine, merupakan masjid terbesar di negeri Victoria, Australia.
Masjid Sunshine yang terkenal dengan 17 kubah dan
satu menara adalah yang terbesar di Victoria, Australia
|
Orang Islam dari keturunan Melayu juga tidak kurang ramainya. Mereka berasal dari Singapura, Malaysia, Afrika dan Sri Lanka. Mereka terdiri daripada imigran yang berpindah ke Australia ketika Australia menawarkan pekerjaan kemahiran (skill worker), menaja mereka dan menawarkan kewarganegaraan. Ini berlaku pada awal tahun 1980an. Di Australia, walaupun mereka golongan minoriti tetapi diberikan hak yang lebih baik daripada negara asal mereka. Orang Malaysia pula ramai yang terdiri daripada mereka yang berkahwin dengan penduduk Australia, datang menuntut ilmu dan mendapat pekerjaan yang baik di Australia
Orang Indonesia di Australia pula, bancian dari Australian Bureau of Statistics (ABS) pada tahun 2006 mendapati 50,975 orang yang menyatakan bahwa tempat kelahiran mereka di Indonesia dan 35,941 yang berkata bahwa nenek moyang mereka adalah orang Indonesia. Walaupun Islam adalah agama resmi di Indonesia tetapi di kalangan orang Indonesia di Australia mereka adalah golongan minoriti. Bancian pada tahun 2001, mendapati hanya 8,087 (17%) dari 47,158 orang Indonesia di Australia adalah orang Islam. Mereka kekurangan masjid mereka sendiri, tapi mereka biasanya menghadiri masjid-masjid didirikan oleh kumpulan etnik yang lain. Salah satu masjid Orang Indonesia Islam di Melbourne ialah Masjid Westall yang beralamat 130 Rosebank Ave, Clayton South, Victoria 3196. Pada faktanya, hampir setengah penduduk Indonesia di Australia menganut agama Kristian.
Masjid Westall-130 Rosebank Ave, Clayton South,Victoria |
Masjid Westall - Pemandangan dari luar |
Pemandangan di dalam Masjid Westall |
Jumlah orang Islam di Australia sekarang mencapai seramai 476,300 orang. Jumlah ini adalah angka rasmi berdasar bancian yang dilakukan pada tahun 2011. Jumlah sebenar mungkin lebih besar kerana ada sebahagian orang Islam tidak menzahirkan ugama mereka atas pelbagai sebab semasa bancian dilakukan. Dengan sejarah yang panjang dan jumlah yang tidak lagi sedikit, wajarlah bila tahap keragamannya pun tinggi. Dari kelompok orang Islam yang masih taat dan aktif berdakwah, sampai yang tinggal Islam pada namanya sahaja. Bahkan, nama Islam pun turut ditukar dan ada yang menjawab salam pun sudah tidak boleh. Apabila pendidikan ugama dan amalan-amalan ibadah serta dakwah ditinggalkan, lama-kelamaan Islam akan hilang dari seseorang itu dan larut bersama persekitarannya.
Keadaan ini akan menjadi bertambah parah bila adanya, usaha-usaha daripada agama lain secara sembunyi atau terang bagi menarik orang Islam masuk agama mereka. Sepanjang hampir 3 tahun kami tinggal di Australia, banyak kali rumah kami didatangi oleh aktivis-aktivis aka mubaligh Kristian yang datang bertanya khabar, memberi risalah, memberi penerangan dan menjemput ke majlis ceramah mengenai agama kristian. Paling baru berlaku kepada saya ialah pada 14 Oktober 2012 yang lepas semasa melawat ke Malaysia Street Festival 2012 di Melbourne. Dalam keasyikan saya melihat makanan yang dijual digerai-gerai di tapak Festival, saya didekati dan disapa oleh seseorang. Selepas memperkenal dirinya dan nama sebagai 'Clayton’, saya diajak berbual secara santai sambil diselit penerangan mengenai aktiviti dan ceramah agama Kristian yang mempunyai persamaan dengan Islam. Saya juga dijemput menghadiri ceramah yang diadakan bagi mengupas isu-isu tersebut dengan lebih rinci.
Muka depan risalah undangan dalam bahasa Indonesia yang diberikan kepada saya semasa Malaysia Street Festival 2012 di Melbourne |
Muka belakang risalah yang menawarkan pelajaran bible yang dipanggil al kitab dengan pemberian percuma buku yang berjudul APA YANG Sebenarnya ALKITAB AJARKAN |
Sehingga September 2012, penduduk Australia dianggarkan seramai 22,738,432 orang dan kira-kira 64% adalah beragama Kristian dan 23% tidak beragama. Secara umumnya penganut Kristian di Australia tidak kuat pegangan kepada agama mereka tetapi mutakhir ini, para mubaligh kristian terutama daripada mazhab Jehovah’s Witnesses begitu aktif menyampaikan risalah agama mereka. Mereka pergi dari rumah ke rumah dan jumpa seramai orang yang boleh bagi menawarkan pertolongan di samping menyampai ajaran agama mereka. Mereka pergi dan jumpa semua orang, termasuk rumah orang Islam sebagaimana berlaku kepada kami seperti yang telah saya ceritakan sebelum ini. Cara pendekatan mereka begitu teratur dan hikmah. Bagi mereka yang lemah imannya dan berada dalam kesusahan serta kesempitan, mungkin tergoda dengan tawaran dan ajakan mereka. Natijahnya ada yang meninggalkan agama Islam dan masuk agama Kristian. Satu kes yang terkenal orang Islam meninggalkan agamanya adalah berita perkahwinan seorang wanita melayu iaitu Zara Shafruddinn dengan Nick Rudd yang merupakan anak bekas perdana menteri Australia, Kevin Rudd di Gereja St James 'di King St, Sydney pada bulan Jun 2012 yang lepas.
Di tengah situasi ini, munculnya gerakan jemaah tabligh menggoreskan warna baru dalam perkembangan peta orang Islam di Australia. Setidaknya, sejauh pengamatan saya selama lebih 3 tahun di Australia, Jemaah Tabligh telah menjadi suatu gerakan dakwah yang sangat dinamik sekarang dan di masa mendatang. Markas Jemaah Tabligh di Australia ialah di Mesjid Fawkner yang merupakan sebahagian daripada Kolej Darul Uloom yang beralamat di 17 Baird Street, Fawkner, VIC 3059 iaitu kira-kira 12 km dari bandar Melbourne.
Di Australia, sejak awal tahun 1970-an, gerakan ini berkembang pesat hingga sekarang. Dipimpin oleh Syaikh Muhtaz berasal dari Mesir. Markasnya di Melbourne tidak lagi hanya mengarahkan sasaran dakwahnya ke Melbourne, Sydney, Perth, Darwin dan bandar-bandar di pulau Australia. Tapi juga melebar ke kepulauan Pasifik Selatan, seperti Vanuatu, Samoa, Fiji, Kaledonia Baru, China, Eropah, Afrika, dan Asia Tenggara. Para ahli tabligh berasal dari berbagai bangsa imigran seperti dari Asia Tenggara, Asia Selatan, Timur Tengah, Eropah, Afrika dan banyak lagi termasuk Australia sendiri. Penampilan para ahli tabligh yang rendah hati dan menjauhkan diri dari soal-soal khilafiah dan politik praktik, cukup ampuh menyelesaikan berbagai ketidakharmonian hubungan antara umat Islam di sini. Menghindari soal khilafiah dan siasah (politik), membuatnya mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Sepanjang berada di Australia ini, banyak kali rumah kami didatangi oleh Jemaah Tabligh yang berasal daripada pelbagai negara. Mereka datang untuk menyambungkan silaratur rahim dan saling ingat-mengingati dalam perkara-perkara agama. Menerusi mereka saya banyak mengetahui perkembangan mengenai jemaah tabligh, orang dan agama Islam di Australia. Banyak peristiwa yang dialami oleh mereka semasa melakukan usaha dakwah yang boleh dijadikan pengajaran dan pedoman kepada kita.
Di antara pengalaman tersebut adalah berlaku pada suatu masa yang lepas, ada jemaah tabligh yang bergerak telah dibawa untuk berjumpa 3 wanita tua dari keturunan penggembala-penggembala unta yang membina jalan keretapi Ghan. Mereka yang masing-masing berumur lebih 85 tahun. Ternyata mereka tidak tahu apa-apa mengenai amalan Islam kecuali kalimah Laailaha illallah, Muhammadur rasulullah. Bila mereka nampak jemaah tabligh memegang tasbih ditangan, mereka mengatakan "bapa kami dahulu memegang tasbih seperti kamu". Jemaah telah menghadiahkan kepada mereka tasbih tersebut dan mereka rasa sungguh gembira.
Laporan satu jemaah tabligh lain yang buat usaha dakwah di Thursday Island. Di pulau ini, 90% penduduknya adalah dari keturunan Islam. Tetapi amalan Islam telah lenyap dari diri mereka. Jemaah telah dibawa berjumpa seorang lagi wanita tua berusia lebih 80 tahun. Bila wanita tua ini terlihat saja kepada jemaah (yang dalam keadaan berjanggut, berjubah, berserban), maka dia telah menjerit dengan mangatakan, ‘Muslim has come, muslim has come.’ Dia telah keluarkan satu beg dari bawah katil dan tunjuk kepada jemaah peninggalan arwah bapanya berupa sejadah dan beberapa kitab selawat. Perempuan tua itu bercerita semasa umurnya 10 tahun, bapanya telah meninggal dunia. Sebelum itu dia sempat berwasiat, ‘You don’t worry. Muslim will come and take care of you because muslim are always taking care of each other.’ Perempuan tua itu menambah, ‘And I have been waiting for you (muslim) for 70 years.’
Mengikut cerita seorang ahli jemaah tabligh, bahawa beliau telah berpindah ke Australia dari Tanah Arab pada tahun 1968. Walaupun ada 80 ribu orang Islam di Melbourne tetapi hanya ada 1 masjid sahaja. Itupun dibuka 2 kali setahun untuk solat hari raya. Solat Jumaat hanya dibuat oleh 3-4 orang disebuah surau yang lain. Beliau ada mendengar laporan bahawa jemaah pertama dihantar ke Australia adalah pada tahun 1962. Jemaah ini hanya mampu menangis dan berdoa apabila melihat keadaan agama pada umat. Jemaah seterusnya dihantar pada tahun 1973. Jemaah ini balik dan beri laporan kepada Hadraji (amir dakwah dan tabligh) bahawa orang Islam di Australia sudah tiada harapan lagi. Hadraji tidak berputus asa dan menghantar jemaah lagi pada tahun 1974 & 1975. Pada tahun 1975 ini, 3 orang tempatan, termasuk abang beliau telah bersedia untuk menghidupkan amalan ziarah pintu ke pintu untuk bertemu dengan orang-orang Islam. Beberapa lama amalan ini berterusan, mereka telah bermesyuarat dan memutuskan untuk meminta kunci masjid. Kunci masjid telah diberi kepada mereka dengan senang hati dan semenjak itu masjid tersebut tidak pernah ditutup lagi sehingga ke hari ini.
Amal-amal masjid telah dihidupkan. Jemaah-jemaah telah dikeluarkan dan usaha telah berkembang. Alhamdulillah, sekarang telah ada lebih 85 masjid dan surau di Melbourne. Madrasah-madrasah telah wujud. Anak-anak yang dulunya belajar di madrasah sekarang telah mengajar pula. Beliau berkata, “Dengan mata saya, saya dapat melihat apabila dakwah ditinggalkan, dari keturunan ulama akan lahir orang-orang kufar. Apabila dakwah dijalankan, dari keturunan kufar, lahirnya ulama.”
Dari segi melakukan aktiviti ibadah, Orang Islam di Australia mempunyai lebih dari 85 Masjid dan surau. Bagi beberapa daerah yang jauh dari Masjid, Orang Islam menyewa premis contohnya pusat kegiatan masyarakat untuk dijadikan tempat solat Jumaat. Untuk membina sebuah Mesjid memerlukan prosedur tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa yang harus dipenuhi syarat-syaratnya sebagaimana membina premis-premis untuk kepentingan umum lainnya. Secara amnya Orang Islam mempunyai masalah dalam melakukan aktiviti ibadah solat pada hari bekerja. Paling banyak mengalami masalah adalah ketika hendak menunaikan solat Jumaat. Orang Islam yang taat memilih keluar dari tempat kerja atau berusaha mengumpulkan orang-orang Islam yang berdekatan tempat kerjanya untuk melaksanakan solat Jumaat. Bagi Orang Islam yang kurang taat melaksanakan ibadahnya memilih meninggalkan solat Jumaat. Walaubagaimana pun, kegiatan keagamaan di Australia cukup semarak, hal ini boleh dilihat dari banyaknya majlis taklim atau kelompok-kelompok pengajian yang ada. Bahkan beberapa gerakan Islam cukup aktif melakukan berbagai aktiviti. Di antara aktiviti terbaru dan terbesar adalah Dandenong EID Festival yang diadakan di Dandenong Park pada 4 November 2012.
Tentang Zara Shafruddin kahwin di gereja, saya ada baca komen yang sungguh kejam seperti, "kalau jumpu bunuh". Jangan lah terikut ajaran2 yang berunsur2 syaitan. Sungguh tak hormat kebebasan beragama langsung!! Biar Tuhan yang jadi pengadil dunia dan akhirat. Maaf kalau saudara/saudari berlainan pendapat.
ReplyDeleteBerdoa supaya dikuatkan pegangan agama dan semoga kembali kepada Islam
ReplyDeleteBerdoa supaya dikuatkan pegangan agama dan semoga kembali kepada Islam
ReplyDeleteBancian maksudnya apa ya pak?
ReplyDelete"bancian" can be translated as poll or survey. it is a practice to collect data. tq.
Delete