Thursday, 1 November 2012

Sekilas Sejarah Australia

Entri kali ini adalah berkenaan dengan sejarah Australia.  Australia mempunyai sejarah yang unik dan menarik untuk diketahui. Jika ada sebuah negara yang terletak di bumi bahagian timur tetapi memiliki kemajuan serta tradisi yang mirip dengan belahan bumi bahagian barat, mungkin negara itu Australia. Australia, saat menyebut nama negara benua ini, yang terbayang adalah sebuah negara maju dan di sekelilingnya terdapat banyak negara-negara membangun. Negara ini berbeza dengan negara-negara di sekitarnya.  Mulai dari sejarah yang dimilikinya sehingga penampilan fizikal orangnya yang sama sekali tidak mirip dengan orang timur. Bandingkan dengan negara sekitarnya seperti Indonesia, Timur Leste, Papua New Guinea dan banyak lagi. Tamsilannya, Australia ini seperti negara barat yang pulaunya terapung di sebelah timur dan terpisah jauh daripada negara-negara barat yang lain. Mereka orang barat yang berbeza dengan lingkungan sekitarnya yang terdiri daripada  orang timur . Itulah uniknya Australia dan perlu diketahui sejarahnya...

Asal usul nama Australia

Nama 'Australia' berasal daripada perkataan bahasa Latin, australis, yang bermaksud di selatan. Legenda tentang "sebuah tanah yang tidak dikenali di selatan" (terra australis incognita) telah diceritakan sejak zaman orang Rom lagi, dan benua ini wujud dalam geografi zaman pertengahan, tetapi tidak mendasarkan pengetahuan sebenar. Bentuk kata sifat Belanda, Australische, telah digunakan seawal 1638 lagi oleh pegawai-pegawai Belanda di Batavia untuk merujuk kepada sebuah tanah di selatan yang baru ditemui. Penggunaan pertama perkataan "Australia" dalam bahasa Inggeris ialah sebuah terjemahan 1693 untuk Les Aventures de Jacques Sadeur dans la Découverte et le Voyage de la Terre Australe, sebuah novel Perancis yang ditulis pada tahun 1692 oleh Gabriel de Foigny di bawah nama pena Jacques Sadeur.

Alexander Dalrymple kemudian menggunakan perkataan ini dalam karyanya, Himpunan Sejarah Perjalanan-perjalanan dan Penemuan-Penemuan di Lautan Pasifik Selatan, untuk merujuk kepada seluruh kawasan Pasifik Selatan. Pada tahun 1793, George Shaw dan Sir James Smith menerbitkan Zoologi dan Botani Holland Baru. Dalam karya itu, mereka menulis tentang sebuah "pulau yang luas terbentang, atau lebih merupai benua, yang dinamakan Australia, Australasia, atau Holland Baru."


Nama "Australia" dipopularkan oleh karya, Perjalanan ke Terra Australis, yang ditulis oleh ahli pelayaran, Matthew Flinders, pada tahun 1814. Beliau merupakan orang pertama yang dicatat  belayar mengelilingi Australia. Judul bukunya yang membayangkan pandangan Admiral British, Flinders menggunakan perkataan "Australia" dalam bukunya yang dibaca secara meluas dan istilah itu semakin tersebar luas. Gabenor Lachlan Macquarie dari New South Wales kemudian menggunakan perkataan ini dalam perutusan-perutusan rasminya ke England. Beliau mengesyorkan nama ini diterima pakai secara rasmi pada tahun 1817. Pada tahun 1824, Admiral British bersetuju bahawa benua itu harus dikenali sebagai "Australia" secara rasmi.

Sejarah Australia

Tarikh penempatan manusia pertama di Australia dianggarkan antara 42,000 dan 48,000 tahun dahulu.  Penduduk-penduduk Australia pertama adalah nenek moyang orang Aborigin Australia kini. Mereka tiba melalui darat dan laut dari benua Asia Tenggara kini. Kebanyakan penduduk ini adalah pemburu-pemungut. Mempunyai budaya lisan yang rumit serta nilai-nilai kerohanian yang berdasarkan rasa hormat kepada tanah dan kepercayaan kepada mimpi. Penduduk Selat Torres yang tergolong dalam etnik Melanesia, mendiami di Kepulauan Selat Torres dan bahagian utara Queensland. Amalan kebudayaan mereka berbeza daripada amalan orang Aborigin.

Rekod pertama yang tidak dipertikaikan tentang penemuan tanah besar Australia oleh orang Eropah adalah penemuan yang dibuat oleh ahli pelayaran Belanda, Willem Janszoon, yang menemui pantai Semenanjung Tanjung York pada tahun 1606. Semasa abad ke-17, orang-orang Belanda mencartakan garis-garis pinggir laut barat dan utara bagi apa yang dipanggil oleh mereka sebagai Holland Baru, tetapi mereka tidak mencuba mengasaskan sebarang penempatan. Pada tahun 1770, James Cook belayar dengan kapal HM Bark Endeavour di sepanjang pantai timur Australia dan memetakan garis pinggir pantai tersebut. Beliau menamakan daratan itu New South Wales dan menuntutnya untuk Britain. Penemuan-penemuan ekspedisi mendorong penubuhan koloni untuk hukuman di sana.



Kapten James Cook mencartakan pantai timur Australia di atas 
HM Bark Endeavour dan menuntut tanah ini untuk Britain pada tahun 1770.
Revolusi pertanian di Britain, dan letusan peningkatan populasi penduduk di bandar-bandar, menyebabkan peningkatan dalam jenayah. Ditambah pula berlakunya Revolusi Amerika bermakna bahawa tiada lagi banduan boleh dihantar ke sana. Satu-satunya cara untuk mengatasi kesesakan di penjara adalah untuk mewujudkan satu koloni untuk hukuman  di daratan tanah yang ditemui oleh Kapten James Cook. Para banduan akan diangkut dan tidak akan kembali ke Britain. Di antara tahun 1788 sehingga 1850 Inggeris telah menghantar lebih 162.000 banduan ke Australia dengan menggunakan 806 kapal. Sebelas kapal pertama ini dikenali sebagai Armada Pertama, mengandungi banduan dan marin yang kini diakui sebagai Pengasas Australia. Selepas itu ianya diikuti oleh Armada Kedua tahun 1790 (6 kapal), Ketiga tahun 1791 (11 kapal) dan seterusnya sehingga 1868.

Armada Pertama 1788

Armada Pertama adalah nama yang diberikan kepada sebelas kapal yang belayar dari Great Britain pada 13 Mei  1787. Penumpang terdiri daripada: 10 pegawai awam, 212 Marin, termasuk pegawai, tambahan 28 isteri dan 17 anak-anak marin, 81 orang bebas, 504 banduan lelaki dan 192 banduan wanita, bilangan orang yang bebas adalah 348 dan bilangan banduan sebanyak 696, menjadikan semuanya berjumlah 1044 orang. Armada ini menuju ke New South Wales untuk memulakan penjajahan Eropah di Australia. Arahan untuk mewujudkan koloni telah dikeluarkan di London pada 6 Disember 1785. Armada ini telah diketuai oleh Kapten (kemudian Admiral) Arthur Phillip. Armada yang terdiri daripada dua kapal pengiring Tentera Laut Diraja, HMS Sirius dan HMS Supply. Mereka mengiringi enam kapal pengangkut banduan iaitu Alexander, Charlotte, Friendship, Lady Penrhyn, Prince of Wales dan Scarborough. Manakala tiga buah kapal penyimpan barang iaitu Borrowdale, Fishburn dan Golden Grove

Kapal-kapal tersebut tiba di Botany Bay, Sydney pada 18-20 Januari 1788. HMS Supply tiba pada 18 Januari manakala Alexander, Scarborough dan Friendship tiba pada 19 Januari. Kapal-kapal yang lain tiba pada  20 January.  Pelayaran  dari England ke New South Wales ini mengambil masa lebih daripada 252 hari atau 8 bulan 1 minggu dan membawa sebanyak 1044 lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sebanyak 48 kematian dan 28 kelahiran berlaku semasa pelayaran.



Armada Kedua 1790


Armada Kedua adalah nama armada kedua kapal yang dihantar dengan peneroka, banduan dan bekalan ke tanah jajahan di Sydney Cove di Pelabuhan Jackson, Australia. Armada terdiri daripada enam kapal: satu kapal pengiring Tentera Laut Diraja (HMS Guardian), empat buah kapal banduan  (Juliana Lady, Surprize, Neptun dan Scarborough) dan satu kapal yang membawa bekalan (Justinian). Semua kapal dirancang belayar ke Australia bersama-sama dan dijangka tiba di Sydney Cove dalam tahun 1790. Walau bagaimanapun kapal pengiring HMS Guardian telah rosak semasa dalam pelayaran dan gagal sampai ke destinasi. Tidak seperti Armada Pertama sebelumnya, di mana usaha serius  telah diambil untuk memastikan kesihatan para banduan, Armada Kedua ini telah dikontrakkan kepada pihak swasta yang menyebabkan banduan dalam keadaan teruk. Mereka tiba dalam keadaan yang terlalu uzur dan sakit.


Kapal Juliana Lady belayar sebelum kapal banduan lain dan tidak dikira sebagai ahli Armada Kedua. Justinian kapal yang membawa bekalan tidak belayar dengan kapal banduan dan tiba sebelum mereka iaitu pada 3 Jun 1790. HMS Guardian berlepas sebelum kapal banduan tetapi terlanggar ais selepas meninggalkan Tanjung Pengharapan, kembali ke selatan Afrika dan telah rosak di pantai. Surprize, Neptun dan Scarborough dari firma "Camden, Calvert & King" yang dikontrakkan bagi mengangkut, pakaian dan makanan banduan untuk bayaran £ 17 7s. 6d per kepala, sama ada mereka mendarat hidup atau tidak. Firma ini sebelum ini telah terlibat dalam mengangkut hamba ke Amerika Utara. Hanya terdapat seorang ejen tentera laut, Leftenan John Shapcote, dan Kapten Pengawal, semua kru lain telah dibekalkan oleh firma tersebut.

Armada ini meninggalkan England pada 19 Januari tahun 1790 dengan 1006 banduan (928 lelaki dan 78 wanita) di atas kapal dan membuat hanya satu persinggahan dalam perjalanan iaitu di Tanjung Pengharapan. Tiga kapal iaitu Suprize, Neptune dan Scarborough membuat perjalanan yang lebih cepat daripada Armada Pertama, tiba di Pelabuhan Jackson dalam minggu terakhir bulan Jun 1790, tiga minggu selepas Lady Juliana, dan satu minggu selepas storeship Justinian. Suprize tiba pada 26 Jun 1790 sementara Neptune dan Scarborough pada 28 Jun 1790. Pelayaran adalah agak cepat, tetapi kadar kematian adalah yang tertinggi dalam sejarah penghantaran banduan ke Australia. Daripada 1.026 banduan (1006 + 20 banduan yang diselamatkan dari kapal HMS Guardian), 267 (256 lelaki dan 11 wanita) meninggal dunia semasa pelayaran (26%). Bagi kapal Neptune mereka sengaja dibiarkan kebuluran, dirantai dan sering dihalang akses ke dek. Skurvi tidak boleh diperiksa. Bagi kapal Scarborough, catuan dilakukan dan banduan dikurung di bawah dek kerana terdapat cubaan rampasan kapal oleh banduan.



Armada Ketiga 1791


Armada Ketiga terdiri daripada 11 buah kapal yang belayar dari United Kingdom pada bulan Februari, Mac dan April 1791 menuju Sydney penal settlement dengan lebih daripada 2,000 banduan di atas kapal. Semua kapal berlepas pada 27 Mac 1791 kecauli Mary Ann (16 Febuari 1791), Gorgon (15 Mac 1791) dan Queen (April 1791). Penumpang terdiri daripada banduan, anggota tentera dan orang penting yang dihantar untuk mengisi jawatan-jawatan tinggi di tanah jajahan. Kapal-kapal ini juga membawa banyak bekalan barang keperluan.


Kapal pertama tiba di Sydney adalah Mary Ann dengan kargo banduan perempuan dan barang keperluan pada 9 Julai 1791. Kapal seterusnya tiba adalah Matilda pada 1 Ogos, 1791, tiga minggu selepas Mary Ann dan diikuti oleh sembilan lagi kapal yang lain. Di antara kapal-kapal tersebut ialah Atlantic (20 Ogos 1791), Salamander (21 Ogos 1791), William And Ann (28 Ogos 1791), Gorgon (21 Sept. 1791), Active (26 Sept.1791), Queen (26 Sept.1791), Albermarle (13 Oktober 1791), Britainnia (14 Oktober 1791) dan Admiral Barrington. Kapal yang terakhir tiba adalah Admiral Barrington iaitu pada 16 Oktober 1791, hampir 11 minggu selepas Matilda, dan 14 minggu selepas Mary Ann. 173 banduan lelaki dan 9 banduan wanita meninggal dunia semasa pelayaran ini. Walaupun kadar kematian ini adalah tinggi tetapi ia tidak seteruk yang berlaku dalam Armada Kedua.

Penubuhan koloni-koloni baru

Pelabuhan Arthur, Tasmania merupakan tanah jajahan untuk hukuman yang terbesar di Australia. Tanah Jajahan British di New South Wales bermula dengan penempatan Pelabuhan Jackson oleh Kapten Arthur Phillip pada 26 Januari 1788. Tarikh ini kemudian menjadi Hari Australia, iaitu hari kebangsaan Australia. Tanah Van Diemen, kini dikenali sebagai Tasmania, diduduki pada tahun 1803 dan menjadi sebuah tanah jajahan yang berasingan pada tahun 1825. Britain menuntut secara rasmi bahagian barat Australia pada tahun 1829. Tanah-tanah jajahan yang berasingan ditubuhkan daripada bahagian-bahagian New South Wales: Australia Selatan pada tahun 1836, Victoria pada 1851, dan Queensland pada 1859. Wilayah Utara (NT) ditubuhkan pada tahun 1863 sebagai sebahagian Australia Selatan. Australia Selatan ditubuhkan sebagai sebuah "wilayah bebas", iaitu kawasan ini tidak pernah menjadi sebuah tanah jajahan untuk hukuman. Victoria dan Australia Barat diasaskan dengan tujuan sedemikian juga, tetapi kemudian menerima banduan-banduan yang dipindahkan. Penghantaran banduan-banduan ke Australia dihentikan secara berperingkat-peringkat antara tahun 1840 dan 1868.


Di antara tahun 1855 dan 1890, enam buah tanah jajahan secara berasingan memperolehi pemerintahan sendiri dan mengendalikan kebanyakan hal ehwal pentadbiran. Namun demikian, Pejabat Kolonial di London masih mengekalkan penguasaan dalam hal-hal, khususnya tentang hal ehwal luar negeri, pertahanan, dan perkapalan antarabangsa di Australia. Pada 1 Januari 1901, persekutuan tanah-tanah jajahan dibentuk selepas satu dekad perancangan, perundingan dan pengundian, dan Komanwel Australia dilahirkan sebagai satu Dominion Empayar British. Wilayah Ibu Kota Australia dibentuk daripada sebahagian New South Wales pada tahun 1911 untuk memberi kawasan kepada Canberra, ibu negara persekutuan yang baru (Melbourne merupakan ibu negara dari tahun 1901 hingga 1927). Penguasaan Wilayah Utara dipindahkan dari kerajaan Australia Selatan ke Komanwel pada tahun 1911. Australia menyertai Perang Dunia I, banyak orang Australia menganggap kekalahan Kor Tentera Australia dan New Zealand (ANZAC) dalam Perang Gallipoli di Turki, yang merupakan tindakan ketenteraan utama yang pertama, sebagai kelahiran negara mereka. Sama dengan Gallipoli, perang di Kokoda dengan Jepun dianggap oleh banyak orang sebagai perang pentakrifan negara daripada Perang Dunia II.

Statut Westminster 1931 secara rasmi menamatkan kebanyakan pertalian perlembagaan antara Australia dengan United Kingdom apabila Australia menguatkuasakannya pada 1942. Kejutan daripada kekalahan United Kingdom di Asia pada tahun 1942 serta ancaman serangan Jepun menyebabkan Australia beralih ke Amerika Syarikat sebagai sekutu dan pelindungnya yang baru. Sejak tahun 1951, Australia adalah sekutu ketenteraan Amerika Syarikat yang rasmi di bawah naungan perjanjian ANZUS. Selepas Perang Dunia II, Australia menggalakkan imigrasi secara besar-besaran dari Eropah. Sejak dekad 1970-an dan pemansuhan Dasar Australia Putih, imigrasi dari Asia dan bahagian-bahagian lain di dunia juga digalakkan. Oleh itu, demografi, budaya, dan imej Australia terhadap diri sendiri telah berubah secara radikal. Pertalian perlembagaan terakhir di antara Australia dengan United Kingdom diputuskan pada tahun 1986 dengan pelulusan Akta Australia 1986 dan dengan itu, menamatkan sebarang peranan British di Negeri-negeri Australia serta rayuan kehakiman kepada Majlis Privi. 

Pengundi-pengundi Australia menolak langkah untuk menjadi sebuah republik dalam pemungutan suara pada tahun 1999 dengan majoriti sebanyak 55%. Sejak pemilihan Kerajaan Whitlam pada tahun 1972, terdapat penumpuan yang semakin meningkat terhadap masa hadapan negara sebagai sebahagian kawasan Asia-Pasifik. 

Setelah memerintah selama 11 tahun, Parti Liberal Australia yang dipimpin oleh John Howard tidak terpilih lagi dalam pilihanraya pada tahun 2007. Kevin Rudd dari Parti Buruh telah dilantik sebagai Perdana Menteri Australia yang ke-26 pada tanggal 3 Desember 2007. Pada 24 Jun 2010, selepas Kevin Rudd kehilangan sokongan partinya dan meletak jawatan, Julia Eileen Gillard dilantik tanpa bertanding sebagai Ketua Parti Buruh, sekali gus menjadi Perdana Menteri ke-27 Australia sehinggalah sekarang ini.

No comments:

Post a Comment