Pada 4 November 2012 (Ahad) yang lepas kami sekeluarga pergi ke Werribee Park yang terletak di Werribee, Melbourne, Victoria untuk menghabiskan masa bersama bersantai di hujung minggu. Lokasinya adalah kira-kira 32 km di sebelah barat daya (south west) Melbourne CBD dan 50 km dari rumah kami di Oakleigh East. Werribee terletak di tebing sungai Werribee dan berada di pertengahan di antara Melbourne dan Geelong jika melalui Princess highway. Werribee Park adalah suatu kawasan yang bersejarah di Werribee, Victoria. Terdapat empat tarikan utama dalam kawasan ini iaitu Werribee Park Mansion, Victoria State Rose Garden, Werribee Park National Equestrian Centre dan Werribee Open Range Zoo. Di samping itu, terdapat juga Mansion Hotel & Spa. Tujuan kami pergi ke Werribee Park adalah untuk melawat Victoria State Rose Garden dan Werribee Park Mansion.
Werribee merupakan kawasan berpenempatan sejak awal tahun 1850-an lagi dan berkedudukan di tebing Sungai Werribee. Sebelum ini ianya dikenali dengan nama Wyndham, bersempena dengan nama tentera Britain berasal dari Scotland, Sir Henry Wyndham. Wyndham ini kemudiannya bertukar nama kepada Werribee pada tahun 1884. Ia dinamakan sempena dengan nama Sungai Werribee yang menjadi tulang belakang penempatan. Werribee adalah perkataan orang Aborigin Australia yang membawa maksud tulang belakang. Diandaikan nama ini dipilih kerana mengambil kira bentuk lembah Sungai Werribee dan rupa landskapnya yang seperti tulang belakang. Sungai Werribee juga menjadi sempadan yang memisahkan wilayah orang Aborigin Woiwurong di timur laut dan Wothowurong di barat daya.
Kali ini kami pergi bersama dengan Rozaidi sekeluarga dan Dr. Hilmi sekeluarga kecuali isterinya Zaza dan Hanan anak sulong mereka. Zaza tidak dapat ikut sama kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan dan Hanan sebagai penemannya. Walaubagaimana pun, ikut sama dengan Dr. Hilmi adalah kedua ibubapa mertua dan emak kepada emak mertuanya yang baru datang beberapa hari dari Malaysia. Setelah semua berkumpul di Strelden Ave, kami memulakan perjalanan dengan kereta masing-masing lebih kurang pukul 10 pagi.
Perjalanan dari Oakleigh East ke Werribee melalui Princess Highway, melepasi Universiti Monash Cawangan Caufield dan menghala ke Geelong/Westgate Bridge, Selepas separuh perjalanan dari Oakleigh East menuju Werribee, kami merentasi Jambatan Westgate. Westgate Bridge merupakan jambatan penting yang menghubungkan bandar Melbourne dengan Geelong. Setiap kali perjalanan menghala ke Geelong pastinya Westgate bridge perlu direntasi dan jalan ini dikenali sebagai Westgate freeway. Werribee Park mengarah ke Werribee South selepas melalui susur keluar C108 dari Princess Highway. Selepas itu kami memasuki K Road dan akhirnya sampai di Werribee Park.
Westgate Bridge yang berukuran sepanjang 2,582.8 meter adalah yang ketiga terpanjang di Australia selepas Jambatan Houghton Highway dan Hornibrook. Siap pada tahun 1978 selepas 10 tahun kerja-kerja pembinaan. Jambatan ini menghubungkan Westgate Freeway dan menelan belanja sebanyak US202juta. Beroperasi tanpa tol selepas enam tahun mengenakan tol. Jambatan ini menghubungkan Melbourne dari kuala Sungai Yarra ke Port Philip dan mengarah ke barat daya dari Melbourne. Geelong, kedudukannya lebih selatan. Ia merupakan bandar pelabuhan yang mengadap Corio Bay, 75 kilometer dari Melbourne. Geelong adalah bandar kedua terbesar dari segi populasi penduduk dalam negeri Victoria selepas Melbourne. Geelong juga ialah tuan rumah kepada pasukan kelab bola sepak Australian rules atau footy yang kedua tertua di dunia iaitu The Geelong Football Club atau The Cats.
Kami sampai di Werribee Park lebih kurang pukul 11 pagi. Cuaca pada hari tersebut sangat cerah. Semasa kami sampai, kawasan parkir kenderaan sudah penuh dan kami terpaksa memakir kenderaan di kawasan parkir kenderaan limpahan (overflow carpark) yang disediakan di kawasan berumput. Kami mengambil keputusan untuk makan terlebih dahulu di kawasan berkelah yang disediakan. Selepas makan, kami berjalan menuju pintu gerbang Victoria State Rose Garden dan merakam gambar beramai-ramai di hadapan pintu gerbang taman sebagai kenang-kenangan.
Sesi makan sebelum meneroka taman ros |
Bergambar di hadapan pintu gerbang State Rose Garden |
Memasuki sahaja pintu gerbang, kami disambut oleh lanskap yang menarik dan hamparan bunga-bunga ros yang cantik dan beraneka warna. Terkesima saya melihat bunga-bunga ros ini, memang saya tidak pernah terfikir dan menyangka ada begitu banyak sekali jenis bunga ros. Dalam fikiran saya bunga ros atau setengah orang memanggilnya bunga mawar, warnanya adalah merah atau putih dan pokoknya berduri. Kalau berbeza pun ialah saiz kuntum dan jambangannya sahaja. Rupanya telahan saya meleset dan tersasar sama sekali. Di taman ini terdapat berbagai jenis bunga ros, bukan sahaja berbeza dari segi bentuk bunganya tetapi juga susunan kelopak, warna, bau dan struktur pokoknya juga tidak sama. Terdapat pohon bunga ros jenis renek, kerdil, memanjat dan menjalar. Sementara warna pula beraneka ragam dengan warna warninya mulai dari merah, ungu, kuning, orange, putih, merah jambu dan bahkan campuran beberapa warna. Manakala kelopak bunganya juga berbagai variasi dari yang berkuntum tunggal, kembar sampai yang berkelompok Warna bunganya yang cantik menawan dengan aneka ragam warna warni seakan menghidupkan suasana taman menjadi semarak, ditambah lagi pesona aroma harumnya yang wangi.
Pelan susun atur Werribee Park |
Konsep asal State Rose Garden timbul apabila negeri Victoria diisytiharkan sebagai The Garden State pada tahun 1976. Dengan lebih 5500 pohon bunga ros yang terdiri daripada 250 jenis ros yang berlainan, Victoria State Rose Garden adalah salah satu permata pelancong bagi Victoria. Dari kawasan parkir kenderaan The Mansion ia terlindung oleh jajaran pokok-pokok. yang terdapat di Werribee Park. Taman ini mempunyai keluasan kira-kira 2.5 ha atau 6 ekar.
Rekabentuk Victoria State Rose Garden yang menyerupai bunga ros lima kelopak bersama dengan daun dan kuntumnya |
Taman ini telah dianugerahkan sebagai International Garden of Excellence oleh the World Federation Of Rose Societies pada tahun 2003. Taman Ros pertama di luar Eropah yang menerima anugerah ini dan satu-satunya pada masa itu yang dijaga oleh sukarelawan. Rekabentuk taman dibuat menyerupai Tudor Ros lima kelopak, dengan sebuah gazebo di tengah taman tersebut. Kelopak lima Tudor Ros mengandungi hamparan bunga ros floribunda (Fl) dan Hybrid Tea (HT) yang membentuk kawasan pameran terbesar di hujung bahagian utara tapak. Laluan yang mewakili sebagai "batang" pohon ros, menjulur dari kelopak Tudor Ros ke arah "daun" dan "kuntum bunga ros". 'Daun', dipanggil Daun Persekutuan, pohon ros ditanam bagi memperingati Persekutuan Centenary. Ia mengandungi hamparan bunga ros Australia yang dikembangbiak sepanjang tempoh Persekutuan. "Kuntum bunga Ros" ditanam dengan pohon-pohon ros Inggeris. Sekitar pinggir luar Ros Tudor ditanam bunga ros festoons yang memanjat dan menjalar. Satu deretan bunga ros standard dan pintu gerbang dipenuhi oleh pohon ros yang memanjat memisahkan setiap sisi kelopak atau petal. Dua sempadan luar, ditanam dengan Ros Lama atau Warisan, bagi membolehkan pelawat melihat asal-usul ros moden.
Bagi yang suka dan meminati bunga, pastinya akan bakal betah berlama-lama menghabiskan masa di sini. Masa yang terbaik untuk melawat taman ini adalah di antara bulan November sehingga Mac. Pada masa ini, semua bunga-bunga ros sudah berkembang. Taman ini dibuka sepanjang tahun, dari jam 9 pagi sehingga 5.30 petang. Tapi kalau pada musim panas, kerana siangnya panjang, ianya dibuka sehingga jam 6.30 petang dan masuk adalah percuma. Berikut ini disertakan sebahagian gambar yang sempat dirakam semasa kami berada di State Rose Garden.
La Sevillana Fl Meiliana France 1978 |
Spectabilis Europe 1850 |
Kardinal HT Kardes Germany 1986 |
Peacekeeper F1 Harkness UK 1996 |
Tradition C1 Kordes Germany 1995 |
Glorious HT Islink Netherland 2003 |
Summer Fairy Tales Kordes Germany 1992 |
Hot Cocoa Hot Weeks USA 1992 |
Danse Des Sylphes Cl Mallerin France 1959 |
Dortmund Kordes Germany 1995 |
Golden Touch Tantau Germany 1994 |
Orange Bunny F1 Meilland France 1979 |
Memoire HT Kordes Germany 1992 |
Selepas kira-kira 2 jam berada di Taman Ros ini melihat keindahan dan menghidu harum wangiannya kami bergerak pula ke Mansion pula. Sungguh pun begitu, kami hanya mampu meneroka dan menghayati hanya separuh keunikan hamparan ros yang ada di taman ini. Disebabkan matahari semakin meninggi dan sinarnya semakin membahang, kami terpaksa membatalkan rencana untuk menelusuri dan menapak ke seluruh taman. Kami meneruskan rencana yang seterusnya, melawat Mansion. Mansion adalah sebuah rumah agam atau mahligai kediaman yang mempunyai 60 bilik. Rumah ini dibina oleh Thomas dan Adrew Chirnside pada 1874 hingga 1877 dengan hiasan gaya Itali.
Pada tahun 1887 Thomas Chirnside meninggal dunia, abangnya Andrew Spencer Chirnside kemudian mengambil alih pengurusan Werribee dan semua pegangannya bersama-sama dengan anak-anaknya. Apabila Andrew Chirnside meninggal dunia tiga tahun kemudian pada tahun 1890 akibat penyakit jantung, barang kemas dan lain-lain barangan peribadi telah ditinggalkan kepada isterinya, Pada tahun 1923, mahligai ini telah dijual kepada Gereja Katolik yang menjadikannya sebagai Catholic seminary, Corpus Christi College. Bahagian bangunan yang kini diduduki oleh Mansion Hotel & Spa telah ditambah semasa tempoh tersebut. Sekarang ini ianya dimiliki oleh kerajaan, pengunjung boleh menjelajahi rumah agam ini dan belajar tentang empayar Keluarga Chirnside. Bilik-bilik yang dibuka kepada orang ramai termasuk billiardroom, bilik tidur utama, bilik tetamu dan sebahagian daripada dapur.
Selepas keluar dari pintu gerbang taman ros, kami berjalan ke arah kiri melalui laluan pejalan kaki menuju ke Mansion. Jarak di antara taman ros dengan mansion adalah lebih kurang 800 meter. Sebaik sampai di kawasan taman Mansion, kami berhenti di bawah teduhan pokok bagi berlindung dari sinar terik matahari dan merehatkan diri. Masing-masing sudah keletihan terutama anak-anak kami sesudah berpanas di taman ros. Memandangkan keadaan anak-anak yang sudah keletihan dan mengantuk serta perlu kepada rehat yang cukup, kami memutuskan untuk tidak masuk ke dalam mansion. Kami hanya merakam gambar kawasan taman dan bahagian luar mansion sahaja sebagai kenangan. Gambar-gambar di bawah menceritakan sebahagian pengalaman kami di Werribee Park Mansion
No comments:
Post a Comment