Sunday, 4 November 2012

Sekilas Sejarah Islam di Australia (Bahagian 1)

“Jika anda datang ke Australia, sama seperti anda pergi ke seluruh dunia.” Ini adalah satu pernyataan yang pertama saya  dengar apabila sampai di Australia. Saya tertanya-tanya apakah maksud pernyataan tersebut. Setelah 3 hari berada di Melbourne barulah saya faham tentang pernyataan diatas, bahawa di Australia semua bangsa dari seluruh dunia datang ke sini untuk bekerja mencari rezeki. Ada diantara mereka yang mendapat kerakyatan Australia dan ada juga sebagai penduduk tetap. Di sini peluang pekerjaan lebih mudah diperolehi dan gaji yang diterima sangat berpadanan dan nilai wangnya agak tinggi.

Di Australia juga terdapat ramai orang Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Paling ramai penduduk yang berketurunan Labenon dan Turki. Selain itu, terdapat juga penduduk yang berasal dari Afghanistan, Bangladesh, Bosnia, Indonesia, Malaysia, Mesir, Pakistan, Singapore, Sudan dan sebagainya. Di samping itu, di Australia juga terdapat banyak unta, sehinggakan ada yang dieksport ke banyak negara termasuk Malaysia bagi memenuhi permintaan yang tinggi terutama sekali pada Hari Raya Korban atau Aidiladha. 

Australia juga terdapat jalan keretapi yang merentasi negara benua tersebut. Jalan keretapi ini menghubungkan Adelaide di Selatan dengan Alice Spring di bahagian Tengah dan seterusnya sehingga ke Darwin yang terletak di bahagian utara Australia. Jalan keretapi yang berukuran sepanjang 2979 km ini dinamakan Ghan  singkatan daripada perkataan Afghanistan. Semua ini menimbulkan rasa ingin tahu menjadi membuak-buak kerana sepanjang pengetahuan saya, Australia terkenal dengan Kangaroo dan Koala bukan unta. Unta bukan haiwan yang berasal dari  bumi Australia. Timbul persoalan bila dan mengapa unta dibawa masuk ke Australia?. Keduanya, mengapa jalan keretapi dinamakan Ghan?  iaitu singkatan daripada nama Afghanistan sedangkan seperti mana yang kita maklum, bangsa Eropah terkenal dengan sikap bangga diri yang tinggi dan sangat sukar bagi mereka menamakan sesuatu sebagai suatu penghormatan jika tiada alasan yang sangat kuat dan relevan.


Jalan keretapi yang merentasi gurun, menghubungkan Adelaide
di selatan dengan Alice Spring  di tengah dan Darwin di utara

Jalan keretapi sepanjang 2979 km dari Adelaide ke Darwin
mengambil masa selama 3 hari 2 malam perjalanan

Harga tambang sehala dari Adelaide-Darwin atau sebaliknya


Keretapi 'The Ghan' dengan simbol unta dan penunggangnya.

Keretapi 'The Ghan' yang merentasi kawasan padang pasir yang tandus

Jawapan kepada semua persoalan itu ada kaitannya dengan sejarah kemasukan Islam ke Australia. Jika entri sebelum ini berkenaan sejarah Australia, jadi kali ini kita telusuri pula sejarah Islam di Australia. Bagi pembaca yang tidak meminati sejarah, entri kali ini mungkin sedikit membosankan... tapi apalah kiranya jika sesekali kita memandang ke belakang, merenungi, menghayati dan mengambil pengajaran daripada kisah yang sudah berlaku supaya ianya menjadi iktibar dan pedoman kepada kita dalam mengharungi masa depan dengan penuh keyakinan dan kekuatan. 

Sejarah bukan sahaja menyedarkan, menerang dan mengajar tetapi ia adalah sesuatu yang sedang bergerak bersama-sama kita. Sejarah ini dapat dijadikan sebagai petunjuk dan pengajaran serta iktibar bagi generasi seterusnya. Sejarah menceritakan mengenai individu, tempat atau peristiwa yang sudah berlaku dan bukan semua sejarah yang tercatat dalam buku atau rekod atau manuskrip itu benar seperti kenyataan yang sebenarnya. Sejarah biasanya ditulis oleh pihak yang menang dan berkuasa. Sejarah pihak yang kalah dan lemah akan dipadamkan atau diubahsuai mengikut kehendak pihak yang menang dan berkuasa. 

Baiklah berbalik kepada sejarah Islam di Australia, orang ​​Islam pertama di Australia adalah pedagang yang berasal dari kepulauan Indonesia. Pedagang Makasar dan Bugis telah mempunyai hubungan dengan orang-orang asli utara Australia dan bahasa mereka mempengaruhi orang Asli Australia yang terdiri daripada pelbagai puak. Pedagang Makasar dan Bugis dari Sulawesi (dahulunya Celebes) melawat pantai utara Australia selama beratus-ratus tahun sebelum ketibaan orang Eropah di Australia untuk menangkap gamat iaitu sejenis hidupan laut yang berharga untuk yang nilai masakan dan ubat-ubatan di pasaran Cina. Semasa pelayaran, pedagang Makasar meninggalkan 'tanda' mereka kepada penduduk utara Australia dari aspek bahasa, seni, ekonomi dan genetik.

Di Kepulauan Cocos khususnya, orang Melayu mual-mulanya dibawa masuk dan diperhambakan oleh Alexander Hare pada tahun 1826, tetapi kemudian diupah sebagai pemetik kelapa untuk penghasilan kopra. Bagaimanapun, tiadanya fakta sejarah yang membuktikan apa-apa penempatan Melayu di tanah besar Australia dan pantai timur sehinggalah akhir abad ke-19, di mana mereka bukan sahaja mengusahakan industri gamat atau mutiara, bahkan juga penanaman tebu. Tidak banyak jumlah Orang Islam yang tinggal di Australia pada masa itu sehinggalah tahun 1860 serombongan penggembala unta berasal dari Afganistan datang ke Australia menambah jumlah Orang Islam yang tinggal di Australia. Pada dekad 1870-an, penyelam-penyelam Melayu Islam telah diambil sebagai penyelam mutiara melalui perjanjian dengan Belanda untuk berkerja mencari mutiara di Australia Barat dan Wilayah Utara. Pada tahun 1875, terdapat 1,800 orang penyelam Melayu yang bekerja di Australia Barat. Kebanyakan mereka kemudian pulang ke negara masing-masing.

Pada abad ke 19 Australia mempunyai banyak daerah yang kaya dengan sumber alam yang belum diterokai. Sebahagian besar dari tanah tersebut berupa gurun atau padang pasir dengan suhu yang sangat tinggi dan mempunyai sedikit sumber mata air. Terdapat 3 buah gurun yang besar di Australia dan unta merupakan binatang ideal untuk keadaan tersebut. Adik-beradik Phillips iaitu Henry Weston Phillips (1818-1898), George Phillips (1820-1900) dan GM Phillips telah membeli sembilan ekor unta di Tenerife di Kepulauan Canary. Empat atau enam unta ini telah dimuatkan ke dalam kapal SS Apolline yang telah disewa oleh Henry di London. Apolline, di bawah Kapten William Deane, berlabuh di Port Adelaide di Australia Selatan pada 12 Oktober 1840 dan unta tunggal yang masih hidup, bernama Harry, menjadi unta pertama tiba di Australia.

Pada 1846 penjelajah John Ainsworth Horrocks (1818-1846) dari Penwortham, Australia Selatan, mengambil Harry bagi memulakan ekspedisi mencari tanah baru untuk pertanian berhampiran Tasik Torrens. Pasukan enam lelaki, enam kuda, dua belas kambing dan Harry meninggalkan Penwortham pada 29 Julai. Mereka menuju ke Mount Remarkable dan kemudian ke banjaran Flinders di mana Horrick menemui laluan pintas yang dinamakan sempena nama beliau. Horrocks mendapati unta yang bernama Harry sukar dikendalikan dan sering menggigit orang dan kambing. Beliau ingin membandingkan antara unta dan kuda sebagai haiwan pengangkut barang di padang pasir, tetapi misi ini gagal dan Horrocks telah meninggal dunia akibat kemalangan semasa ekspedisi ini. Horrocks telah mempelopori penggunaan unta dalam penerokaan di Australia. Beliau memberi pujian mengenai kemampuan unta membawa barangan yang berat untuk perjalanan yang jauh dengan bekalan air minum yang terhad. Beliau juga  melaporkan bahawa unta yang bernama Harry yang turut serta dalam ekspedisinya 
sering kali meragam dan sukar dikendalikan.
John Ainsworth Horrocks (1818-1846), by Colonel Temple, c1840

Selepas ekspedisi oleh Horrocks, usaha telah dilakukan untuk membawa masuk unta dan penggembalanya ke Australia. Penggembala unta pertama tiba di Melbourne, Victoria pada Jun 1860, apabila lapan orang Islam dan Hindu tiba bersama dengan 24 ekor unta untuk ekspedisi Burke dan Wills. Ketibaan seterusnya penggembala unta adalah pada tahun 1866 apabila 31 lelaki dari Rajasthan dan Baluchistan tiba di Australia Selatan dengan unta untuk Thomas Elder. Walaupun mereka datang dari beberapa negara, mereka biasanya dikenali di Australia sebagai "Afghan", perkataan bahasa Inggeris untuk orang Afghanistan dan membawa bersama mereka kewujudan rasmi pertama Islam di Australia. Oleh kerana bangsa Eropah tidak tahu mengendalikan unta, maka mereka telah membawa masuk ramai orang Islam dari benua India yang kebanyakannya berketurunan afghan untuk tujuan tersebut.  Sekitar 10.000 sampai 12.000 ekor unta didatangkan ke Australia di antara tahun 1860 sampai 1907.  Sekitar 3000 orang Orang Islam berasal dari Afghanistan bekerja sebagai pengangkut barang-barang, air, serta makanan dengan menggunakan unta  sebagai kenderaan pengankut di daerah-daerah yang terpencil. (A. Saeed, Islam in Australia, Allen & Unwin, 2003). 

Para penggembala unta dari Afghanistan ini menjumpai tempat yang hampir sama keadaannya seperti di daerah asal mereka di tengah Australia. Mereka mengendarai unta dan berjalan melintasi padang pasir sekitar 600 km untuk mengangkut barang-barang keperluan utama dan penting dari Oodnadatta menuju Alice Springs (Australia Tengah). “Sumbangan mereka dalam membuka kawasan serta jalan untuk masyarakat di daerah-daerah Australia sangat besar dan penting. Tulang belakang ekonomi tradisional Australia ketika itu iaitu pertanian dan perlombongan sangat memerlukan penggembala dan unta sebagai alat pengangkutan" (Tin Mosques and Ghantowns – Christine Stevens 1989).


Gambar-gambar di bawah menunjukkan dan 
menceritakan berkenaan orang Islam awal di Australia 

















Peranan orang Islam ini sangat penting bagi penjelajahan awal pedalaman Australia dan pembentukan jaringan perhubungan. Salah satu projek besar yang melibatkan penunggang unta Afganistan adalah pembinaan jaringan landasan kereta api yang menghubungkan Port Augusta dan Alice Springs, yang kemudian dikenal sebagai Ghan. Landasan kereta api dilanjutkan hingga ke Darwin pada 2004. Disebabkan sumbangan mereka, landasan kereta api utara-selatan dinamakan sebagai The Ghan, singkatan untuk "The Afghan". Para penunggang unta ini juga memainkan  peranan penting dalam pembinaan  talian telefon darat antara Adelaide dan Darwin pada 1870 - 1872, yang akhirnya menghubungkan Australia dengan London melalui India.

Oleh sebab pengetahuan dan kemahiran orang Islam mengenai unta, mereka telah diberikan penghargaan untuk menyelamatkan banyak penjelajah Eropah yang awal, dan adalah amat penting untuk penjelajahan. Dengan kehadiran mereka , sejumlah bandar ‘Ghan’ telah dibuka di sepanjang jalan kereta api ini. Di kalangan pekerja-pekerja ini terdapat sejumlah bilangan dari golongan ulama. Mereka ini terdiri daripada Alim dan juga hafiz Quran. Di samping membuat landasan ini mereka telah membina masjid –masjid di tempat mereka berkerja. Banyak di antara bandar-bandar ini yang memiliki sekurang-kurangnya satu masjid. Di seluruh Australia mereka telah membina 70 buah masjid yang teguh. Masjid pertama di Australia didirikan di Marree di sebelah utara Australia Selatan pada 1861. Masjid besar pertama dibangun di Adelaide pada 1890 dan satu lagi didirikan di Broken Hill (New South Wales) pada 1891.

Namun, kehadiran kenderaan bermotor dan lori menandakan berakhirnya era penunggang unta. Sebahagian dari mereka pulang ke negara asal sementara sebilangan lagi bermukim di daerah dekat Alice Springs dan kawasan lain di Australia Utara. Mereka juga telah berkahwin dengan wanita-wanita tempatan termasuk wanita orang Aborigin. Mereka ini beramal dengan perintah Allah bersungguh-sungguh bersama isteri-isteri mereka yang baru memeluk Islam. Golongan yang alim mengajar ilmu dan al quran kepada anak-anak mereka, tetapi kualiti ilmu tidak sama saperti yang mereka pelajari di Afghanistan, sampai kepada cucu mereka agama semakin berkurang. Ada di kalangan mereka yang meninggal dunia dan meninggalkan anak dan isteri yang kurang kekuatan iman. Semasa mereka hidup bersama isteri dan anak-anak dakwah tidak dijalankan, akhir sekali sampai diperingkat cucu sudah ada yang murtad mengikut agama datuk nenek sebelah ibu mereka. Cicit mereka boleh dikatakan hampir sebilangan besar telah bertukar agama yang tinggal hanya sebutan nama keluarga mereka saperti “Khan” dihadapannya. Contohnya Micheal Khan, Jodie Khan, Jochi Khan, Steve Khan, Michelle Khan, John Khan dan sebagainya. Sekarang daripada 70 buah masjid yang tinggal hanya 2 masjid sahaja, satu di Adelaide dan satu lagi di Alice Spring kedua-dua masjid masih diimarahkan dan hidup dengan amalan dakwah.

Dengan berakhirnya era industri pengangkutan yang menggunakan unta pada sekitar tahun 1920, serta peraturan yang lebih ketat dari pihak Imigresen Australia kerana sedikitnya populasi warga kulit putih Australia, maka jumlah Orang Islam Afghanistan yang datang ke Australia menjadi berkurang. (B. Cleland, The Muslims in Australia: A Brief History, Islamic Council of Victoria, 2002).

Pada sekitar tahun 1960, disebabkan peraturan yang lebih longgar dari Jabatan Imigresen Australia berkenaan dengan migrasi bangsa non-Eropa ke Australia, jumlah Orang Islam yang datang ke Australia semakin bertambah. Pada sekitar tahun 1960 dan 1970 terjadi migrasi Orang Islam dari Lebanon dan Turki ke Australia dalam jumlah yang cukup besar. Jumlah Orang Islam terbesar di Australia sekarang ini berasal dari dua negara tersebut. Jumlah Orang Islam terbesar yang tinggal di Australia saat ini berasal dari bangsa Arab berbanding dengan bangsa lainnya. Orang Islam yang berasal dari Lebanon mempunyai jumlah terbesar dan sejarah migrasi yang lebih panjang/lama. 

Migrasi pertama bangsa Arab Lebanon ke Australia terjadi pada sekitar akhir tahun 1880-an. Gelombang kedua migrasi terjadi antara tahun 1947 sampai dengan 1975, terutama setelah terjadi perang di antara bangsa Arab dan Israel pada tahun 1967. Gelombang ketiga terjadi pada tahun 1976 setelah terjadi perang saudara di Lebanon. Bangsa Arab lain yang mempunyai populasi terbanyak di Australia adalah dari Mesir. Seperti halnya bangsa Lebanon, migrasi bangsa Mesir ke Australia terbesar terjadi setelah perang dunia II. Migrasi ini terjadi dalam dua gelombang iaitu di antara tahun 1947 sampai dengan 1971 dan gelombang kedua terjadi pada sekitar akhir 1980-an. (A. Saeed, Islam in Australia, Allen & Unwin, 2003).

No comments:

Post a Comment