Friday 5 July 2013

6 perkara yang paling....

1. Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?

Jawapannya adalah masa lalu.

Setiap waktu yang telah berlalu, bahkan satu detik yang terlewati adalah masa lalu. Waktu yang telah berlalu tak mungkin boleh diulang. Manusia tidak punya kekuatan walau sekelumit untuk kembali atau mengubah masa lalu. Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Di dalam al Quran banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Masa yang telah berlalu tidak akan berulang kembali lagi. Salah satu ayat al Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti berikut:

“Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran” (surah Al-Asr) 


Pembahagian masa kepada semua manusia adalah sama banyak. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam. Penggunaan masa dalam sehari, seminggu,sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada mereka yang pandai mengurus masa. Dalam hal ini Rasullulah s.a.w berpesan: Bersedialah untuk 5 perkara sebelum sampai 5 perkara iaitu:



1. Masa hidup sebelum mati 
2. Masa sihat sebelum sakit 
3. Masa muda sebelum tua 
4.Masa kaya sebelum miskin 
5. Masa senang sebelum susah



2. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?.

Jawapannya adalah mati. Sesungguhnya kematian merupakan misteri bagi manusia. Tak seorang pun yang tahu bila datangnya. Namun satu kepastian bahwa ajal (waktu kematian) seseorang sudah tercatat jauh hari di Lauhul Mahfudz sebelum manusia diciptakan. Dan ketika seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak boleh dipercepatkan atau ditangguh hatta sesaat. 

Allah Ta’ala berfirman,

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan." (QS. Al A'raf: 34)


 




Kebanyakan dari kita merasa ngeri bila membicarakan kematian. Melupakan pembicaraan tentang itu, bahkan kita tidak berani membayangkannya. Hal itu kerana kita tidak mempersiapkan diri kita untuk peristiwa setelah kematian (akhirat). Padahal, sama ada kita mempersiapkannya ataupun tidak, pasti kita akan melalui kematian. Siap atau tidak siap, kematian pasti akan datang menyambut kita. Daripada selalu mengelak, alangkah lebih baik mulai sekarang kita berusaha untuk mempersiapkannya diri kita untuk menghadapi kematian.


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (QS. Al Anbiyaa: 35) 



“Di mana sahaja kamu berada, niscaya kematian akan menemukanmu, walaupun kamu bersembunyi di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (QS. An-Nisa`: 78)


Sebuah hadis Nabi S.A.W yg diriwayatkan oleh Abdullah b Abbas R.A, bahwa Rasullullah S.A.W bersabda yang maksudnya “Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: “Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa”.

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Kematian adalah sama dekatnya seperti pernafasan kita. Semasa kita menghembus nafas keluar apakah kita mampu menyedut kembali? Kematian berada di antara keduanya.


3. Apa yang paling besar di dunia ini?

Jawapannya adalah nafsu. Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai nafsu. Nafsu yang terdapat pada manusia adalah ujian Allah S.W.T. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia telah berjalan mengatasi salah satu ujian Allah S.W.T. yang cukup berat ini.

Dalam sirah ketika Rasulullah S.A.W dan para sahabat balik dan peperangan Badar, Rasulullah bersabda maksudnya : "Kita baru balik dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang lebih besar." Para Sahabat bertanya : “Apakah peperangan yang lebih besar itu ya Rasulullah? Jawab baginda : Perang melawan nafsu. (Hadis Riwayat Baihaqi)



Rasul SAW bersabda:


لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادٍ مِنْ ذَهَبٍ الْتَمَسَ مَعَهُ وَادِيًا آخَرَ وَلَنْ يَمْلَأَ فَمَهُ إِلَّا التُّرَابُ ثُمَّ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ 

Anak Adam, andaikan sudah memiliki kekayaan satu lembah emas, maka akan mencari satu lembah yang lainnya. Tidak akan ada yang dapat memenuhi mulutnya kecuali tanah. Namun allah SWT menerima taubat orang yang bertaubat. (Hadis Riwayat Ahmad). 

Dari Anas bin Malik, Rasul bersabda:

لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى إِلَيْهِمَا ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Jika anak Adam telah memiliki dua lembah harta kekayaan, maka akan mencari tambahan bagi keduanya itu lembah yang ketiga. Tidak akan ada yang dapat memenuhi perut anak Adam kecuali tanah. Namun Allah mengampuni dosa yang bertaubat. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim). 


Sebab itu orang yang besarkan Tuhan akan memandang nafsu itu besar dan wajib diperangi. Nafsu itulah yang sangat menyusahkan. Sebab itu dalam ajaran Islam kita mesti bermujahadah dalam melawan nafsu. Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

4. Apa yang paling berat di dunia ini?

Jawapannya adalah amanah. Amanah merupakan segala sesuatu yang dibebankan kepada seseorang atau dipercayakan kepadanya. Amanah ini mencakup hak-hak Allah, seperti berbagai macam kewajiban. Juga mencakup hak-hak hamba, seperti barang-barang yang dititipkan. Oleh karena itu, seseorang berkewajiban untuk menunaikan dangan sebaik-baiknya. Dia harus menunaikannya kepada pemiliknya dan tidak menyembunyikan, mengingkari, atau membelanjakannya tanpa adanya izin yang dibenarkan syariat. Barang siapa yang tidak menunaikan amanah yang telah dipertanggunjawabkan kepadanya di dunia ini, maka akan dimintai pertanggungjawabannya di hari kiamat.



Allah swt berfirman: ” Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat”. (QS Annisa’:58)
Begitu pula sabda Rasulullah saw di dalam hadis al-Hasan dari Samuroh: “Tunaikanlah amanah kepada yang memberikan amanah dan jangan khianati orang yang berkhianat kepadamu”. (HR.Ahmad dan Ahlussunan)

5. Apa yang paling ringan di dunia ini?.

Jawapannya adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat. Berapa ramai orang yang menganggap meninggalkan solat adalah perkara yang ringan. Disebabkan kerja ramai yang meninggalkan solat. Ada yang pergi kerja sebelum waktu subuh masuk dan sampai ke tempat kerja selepas subuh berakhir. Begitu juga dengan waktu Asar ketika balik setelah tamat bekerja. Berapa ramai ibubapa dan pengantin sendiri yang meninggalkan solat gara-gara sibuk melayan tetamu atau tidak mahu 'make-up' hilang atau tanggal bila mengadakan kenduri kahwin dan bersanding. Begitu mudahnya solat ditinggalkan seolah-olah ianya benda yang paling ringan. Sedangkan solat itu tiang agama. Orang yang meninggalkan solat adalah meruntuhkan agama.

 
6. Apakah yang paling tajam di dunia ini?. 

Jawapannya adalah lidah manusia. Melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan orang lain. Setajam-tajam pisau, masih lebih tajam lidah. Kata-kata yang bisa itu lebih menyakitkan dari apa jua senjata tajam sekalipun. Ibaratnya, luka luaran kita masih boleh sembuh tapi luka di hati sangat sukar untuk disembuhkan. Walaupun hanya anggota yang kecil dari tubuh kita, namun ia dapat membesarkan sekecil-kecil perkara.




Kerana pulut santan binasa, kerana mulut (lidah) badan binasa. Itu perumpamaan yang sering kita dengar. Kerana lidah, akan wujudkan dendam di hati yang menerima bisanya. Hati.. Bukankah sukar menjaga hati, inikan pula bila hati itu disajikan dengan kata-kata nista, kata-kata pedas. Ya, berkata-kata memang mudah. Namun jika ia dituturkan setajam pisau, sengaja mahu menyakitkan, sengaja mahu melukakan, tidakkah ianya boleh mengundang padah? Padah pada hati yang menerima dan pastinya padah pada lidah yang menuturkan. Betapa banyak kehidupan manusia yang hancur kerana tajam dan pedasnya kata-kata lidah. Perkahwinan, persahabatan, percintaan, kekeluargaan boleh berakhir di tengah jalan atau retak utuh hubungan hanya kerana lidah kecil yang berbicara. 




6 perkara yang paling dekat, jauh, besar,berat,ringan dan tajam tersebut adalah pesanan yang dititipkan oleh Imam Al-Ghazali. Betul apa yang Imam al Ghazali titipkan dalam pesanan beliau itu, terutamanya bab kematian. Kita tak tahu sama ada jam yang berikutnya, hari yang berikutnya atau bulan yang berikutnya, kita masih lagi dapat bernafas atau tidak. Sedarlah wahai  diri!

1 comment: