Tuesday, 23 July 2013

Pergi Tak Kembali....

Ketibaan Ramadhan tahun ini dirasakan begitu berbeza sekali. Gembira berbaur sedih. Dalam kegembiraan hendak bertemu Ramadhan, kami disapa kesedihan dengan pemergian Ayahanda mengadap Ilahi. Ayahanda (kami memanggilnya Che’) pergi di ambang kedatangan Ramadhan Al Mubarak. Che’ pergi meninggalkan dunia yang fana ini beberapa jam sebelum Ramadhan menjelma. Selasa, tanggal 9 Julai 2013 pada detik 12.55 tengahari, diusia 78 tahun, Che’ meninggalkan alam dunia menuju alam baqa. Pergi tak kembali…  Hati tergores oleh kedukaan dan sedihnya seakan tidak terucap.

Sebenarnya sudah hampir 4 bulan Che’ uzur dan hanya di pembaringan. Umurnya yang agak berusia ditambah dengan penyakit jantung dan Benign Prostatic Hypertrophy (BPA) yang dialami telah memberi kesan kepada kesihatannya. Selera makannya turut menerima impaknya. Beliau tidak dapat makan seperti dahulu lagi. Makan dan minumnya hanya beberapa suap dan teguk. Saya sayu dan simpati melihat Che’ uzur, kehilangan selera makan, berat badan dan kudrat.. 

Tiga hari sebelum pemergiannya, Che’ dimasukkan ke wad 7 Selatan HUSM kerana pernafasannya tidak lancar. Di hospital Che’ diberi topeng bantuan pernafasan oksigen dan air melalui drip. Pemeriksaan doktor mendapati selain penyakit yang sedia ada, terdapat jangkitan kuman di paru-paru Che’. “Akibat lama berbaring dan tidak aktif bergerak, banyak cecair berkumpul di paru-paru dan akhirnya berlaku jangkitan kuman” Itulah jawapan yang diberikan oleh doktor bila ditanya mengapa boleh berlakunya jangkitan kuman tersebut?. Selama 3 malam dan 2 hari kami bergilir menemani Che’ di hospital. Malam pertama kakak sulong yang menemani . Malam kedua dan ketiga saya pula menggantikan tempatnya. Sebelah siangnya emak (kami memanggilnya ‘Mek’) mengambilalih menemani Che',walaupun kesihatannya sendiri tidak berapa baik. Che pergi semasa ditemani oleh Mek pada siang hari ketiga selepas dimasukkan ke dalam wad.

Benar-benar saya tidak sangka Che’ telah meninggalkan kami. Saya sedikit terkilan kerana tidak berada di sisi Che' ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Saya tidak berpeluang untuk membisikkan kalimah Allah atau Laa ila ha illallah di telinganya buat kali terakhir. Peluang tersebut diperolehi oleh kakak sulong dan Mek yang ada bersama ketika Che' berada di penghujung nyawa. "Che pergi dengan mudah!"  begitu kata kakak sulong saya. Kata-kata itu memberi sedikit kelegaan kepada diri saya yang diselubungi rasa ralat.  Saya terkenangkan malam kedua menemani Che' di hospital. Sepanjang malam tersebut, Che' langsung tidak makan dan minum. Semua pujukan dan ajakan saya untuk makan dan minum ditolaknya. Beliau seolah-olah sudah kehabisan ‘kuota makan dan minum’. Che' seakan sudah tahu bahawa rezeki makan dan minum yang telah ditetapkan untuknya sudah tiada lagi!. Rupanya malam itu merupakan malam terakhir saya bersama Che'. Saat itu sangat membekas di hati saya. Ia adalah suatu tempoh yang dikenang. 

Usai semua urusan prosedur pentadbiran dengan pihak hospital, Jenazah Che' dihantar ke rumah dari hospital USM Kubang Kerian dengan Van Jenazah. Jenazah Che' sampai ke rumah selepas waktu zohor dan diletakkan di ruang kanan bahagian tengah rumah bagi memboleh sanak-saudara, jiran-jiran dan rakan taulan datang menghadiahkan bacaan Al Quran serta melawat buat kali terakhir. Setelah berbincang dengan Mek, kakak dan sanak-saudara yang lain, saya memutuskan untuk menangguhkan pengebumian Che' sehingga waktu malam. Ini bagi membolehkan empat lagi adik-beradik kami yang berada di luar Kelantan sempat sampai dan dapat menatap wajah Che' bagi kali terakhir. Kakak kedua, Kamariah dan adik perempuan, Siti Fatimah bersama keluarga masing-masing tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Seorang lagi adik perempuan Siti Khalijah dan keluarga menetap di Kuala Kangsar, Perak. Manakala adik lelaki, Mohd Kamri dan keluarga bermastautin di Kuala Terengganu.

Saya menyelesaikan urusan pemilihan tapak dan penggalian kubur. Selepas itu berbincang dengan Imam dan Penghulu untuk urusan seterusnya. Atas nasihat dan cadangan Tuan Imam, urusan mandi jenazah dilakukan selepas Solat Maghrib dan Solat Jenazah diadakan sesudah Solat Terawih. Alhamdulillah semua empat adik-beradik saya bersama keluarga masing-masing sampai sebelum masuknya waktu Maghrib. Kakak dan adik yang tinggal di Cheras, balik dengan kapal terbang. Manakala adik yang tinggal di Kuala Kangsar dan Kuala Terengganu tiba dengan kenderaan masing-masing. Ketibaan mereka disambut dengan perasaan lega tetapi diselimuti kesedihan.

Seperti yang telah direncanakan, selepas solat Maghrib urusan mandi Jenazah Che' dimulakan. Dengan diketuai oleh Imam dan pembantunya, Saya, Mohd Kamri dan menantu-menantu lelaki Che'- abang Latif, abang Zali, Mat, Wan dan Along (anak lelaki abang Latif) turut sama-sama membantu. Ini sebagai menunaikan tanggungjawab dan menunjukkan tanda penghargaan dan kasih kami yang tidak terhingga buat Che'.

Selepas dimandikan, jenazah Che' dibaring untuk dikafankan. Proses mengkafankan Che' adalah suatu proses yang sukar bagi kami untuk saksikan. Jenazah Che' yang terbujur kaku di kafan sehelai demi sehelai dengan kain putih sehingga lapisan yang terakhir. Cuma yang ditinggalkan di bahagian muka untuk kami sekeluarga kucup sebelum ianya juga ditutup. Minyak wangi dan wangian lain ditaburi mengiringi jenazah Che'. Semua urusan mandi dan kafan selesai menjelang waktu Isyak. Mek, kami adik-beradik seramai tujuh orang dan cucu-cucu Che' diberikan peluang untuk mengucup dahi Che' buat kali terakhir.


Selepas solat terawih, jenazah Che' disolatkan di rumah yang merupakan hasil titik peluh Che' dan Mek sepenuhnya. Selepas solat jenazah, Che' seterusnya dibawa keluar dari pintu rumah buat kali yang teakhirnya. Perpisahan abadi semakin menghampiri, jenazah Che' dibawa ke destinasinya. Perlahan-lahan jenazah Che' diturunkan ke dalam liang untuk disemadikan.


Solat Jenazah yang diimamkan oleh Imam Masjid Mukim Kemasin

Selesai solat jenazah Ayahanda mula diangkat untuk disemadikan 

Jenazah ayahanda diusung keluar dari rumah dan dibawa ke tanah
perkuburan dengan Van Jenazah yang sedia menunggu. 

Saya sugul. Apatah lagi ketika menyemadikan jenazahnya ke liang tanah perkuburan. Tidak tega rasanya bila menimbus tanah ke dalam liang menutupi jenazahnya. Seakan tidak percaya jenazah itu adalah ayahanda kami yang tercinta. Dengan perasaan yang berat saya menimbus tanah ke dalam liang bersama mereka yang lainnya. Usai tahlil dan bacaan talkin, tubuh saya terus menjadi tidak bermaya untuk terus berdiri teguh. Tidak mampu rasanya diri ini meninggalkan ayah besemadi di sana seorang diri. Saya ingin melawatnya lagi apabila semua orang telah pulang. Saya harap rohnya akan terus mengenali saya dan suka dengan kedatangan saya nanti. Demikianlah perjalanan hidup ayahanda kami tercinta. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Ayahanda kami Mamat bin Awang dilahirkan pada 23.09.1935 (Ahad) bersamaan 1 Rejab 1354 dan kembali ke rahmatullah pada 09.07.2013 (Selasa) bersamaan 29 Syaaban 1434. Ayahanda berusia 78 tahun mengikut kalendar Gregorian (Masihi) dan berumur 80 tahun jika dikira berpandukan kalendar Islam (Hijrah). Ayahanda telah selamat disemadikan di perkuburan Kg kemasin, Bachok selepas solat terawih pada malam pertama Ramadhan Al Mubarak. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang solleh. Disebabkan bulan ini merupakan Ramadhan, atas nasihat imam Majlis tahlil diadakan selepas solat terawih. Pada malam Jumaat iaitu hari ketiga kematian, kami mengadakan Majlis tahlil pada waktu sebelum berbuka puasa. Ia kemudiannya diikuti sesi Tazkirah oleh Imam Masjid Mukim Kemasin dan Majlis berbuka puasa.


Majlis tahlil diikuti tazkirah oleh Imam Masjid Mukim Kemasin dan Majlis
Berbuka Puasa diadakan pada hari ketiga (Jumaat) selepas pemergian ayahanda


Sebahagian tetamu yang hadir ketika Majlis Tahlil, Tazkirah dan Berbuka Puasa

Selepas beberapa hari pemergian Che’, saya cuba menulis untuk merakam kenangan lalu dan melerai kesedihan yang menjalar dalam diri . Namun usaha saya tidak berhasil. Tangan dan jari-jemari menjadi longlai tidak berdaya. Kesedihan dan sebak yang ada di dalam dada dan kalbu masih menebal. Kesedihan dan sebak itu terperap di dalam, tidak mahu menghilang. Fikiran buntu untuk mengolah untaian kata-kata bagi meluah rasa. Rasa kehilangan dan sendu masih belum kendur, masih bersarang di hati dan kalbu. Aduhai, kesedihan dan sendu ini meresap serta menjalar ke seluruh penjuru nafas. Ia mengalir dalam darah bersama sebak di dada. Airmata memenuhi pandangan tatkala wajah Che’ hadir dalam ingatan. Betapa pemergian dan kehilangan ini begitu menyayat hati serta menusuk kalbu.

Selepas dua minggu berlalu, barulah saya boleh menulis entri ini. Itu pun dalam kesedihan yang tak tertahankan. Walaupun saya sudah berusaha tegar, setegar-tegarnya. Saya tidak mampu menulis banyak, perasaan saya masih bergoncang. Sesungguhnya semuanya ini adalah suratan takdir dari Ilahi. Kami mesti menerimanya dengan hati yang redha biarpun kesedihan ini begitu payah untuk dibendung. Ya, kematian itu adalah satu kemestian. Semua yang hidup akan mati. Kubur sebagai tempat persinggahan dan laluan ke alam akhirat. Apa yang nyata, kematian dan alam kubur adalah suatu perkara yang pasti!.

Ayahanda kami telah pergi. Pergi yang takkan kembali lagi. Berpisahlah sudah segalanya. Yang tinggal hanyalah kenangan. Pemergian ini kami iringi dengan doa dan air mata, semoga Che’ sentosa dan aman di sana.  Kami masih di sini. Menunggu giliran hari. Kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya, jika diizinkan Allah, kita akan berjumpa. Moga kita direzekikan bertemu di tempat yang baik. Saya menangis. Saya pasti terus menangis kerana Che’ telah pergi ke destinasi. Saya belum lagi. Tapi saya tahu, saya juga akan ke sana. Namun, antara bahagia dan derita hanya Allah Yang Maha Tahu. Sebagai anak saya doakan keampunan, kebaikan dan rahmat Allah untuknya. Namun, siapakah yang sudi berdoa untuk saya nanti? Ya Allah! Ampunkan saya, ampunkan  ayahanda kami dan ampunkan kami semua!.

No comments:

Post a Comment